Search

Banjir terburuk di Parlimen Sepanggar, tumpuan kini siapkan projek tebatan banjir – Mustapha

January 5, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Banjir yang menjejaskan penduduk beberapa kawasan di Parlimen Sepanggar sejak beberapa hari lalu disifatkan sebagai yang terburuk berbanding kejadian banjir yang pernah berlaku sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata situasi itu berdasarkan jumlah penduduk yang ramai terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Keadaan banjir yang melanda beberapa kawasan di Parlimen Sepanggar baru-baru ini merupakan yang paling teruk untuk sekian lama sehingga menyebabkan ramai yang terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) setakat pagi Isnin, seramai 158 mangsa daripada 53 keluarga masih ditempatkan di PPS Dewan Masjid Al-Munir Kampung Darau berikutan banjir sejak petang Sabtu.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, berkata keutamaan pihaknya ketika ini adalah untuk menyiapkan segera Projek Tebatan Banjir Kampung Rampayan, Manggatal yang ketika ini sedang dilaksanakan.

Katanya, peruntukan bagi Projek Tebatan Banjir Rampayan Fasa 2 juga juga diumumkan Perdana Menteri sebagai kesinambungan usaha penyelesaian jangka sederhana dan panjang.

“Perkara ini menjadi prioriti utama kami di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepanggar untuk terus bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan juga pihak kontraktor bagi meneliti langkah penambahbaikan yang diperlukan.

“Ia termasuk memastikan pelaksanaan projek sedia ada berjalan lancar dan perancangan susulan dapat memberi impak sebenar kepada penduduk di kawasan terlibat,” katanya.

Katanya, beliau memahami keluhan rakyat yang terjejas akibat bencana itu dan atas sebab itu, kerja menyiapkan projek tebatan banjir di Kampung Rampayan perlu diutamakan.

“Saya cukup terkesan dan faham keluhan dan kemarahan rakyat yang kerugian ribuan ringgit disebabkan bencana alam ini.

“Atas sebab itu, setiap kali saya di kawasan, saya secara peribadi akan berhadapan dengan mereka yang bertanggungjawab dalam memastikan projek tebatan banjir ini dapat diselesaikan ‘once and for all’,” katanya. – Info X