TAWAU: Seorang lelaki dipercayai mengugut bekas isterinya menggunakan senjata tajam ditahan polis dalam serbuan di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas, di sini, semalam.
Suspek warga asing berusia lingkungan 26 tahun itu diberkas sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau tidak lama selepas polis menerima laporan daripada mangsa.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, kejadian berlaku apabila suspek yang juga bekas suami mangsa datang ke rumah untuk mengambil anak mereka.
Menurutnya, mangsa mendakwa ternampak suspek membawa senjata tajam sebelum lelaki terbabit mengeluarkan ugutan yang menyebabkan wanita itu bimbang terhadap keselamatan dirinya.
“Susulan laporan diterima, sepasukan polis dari BSJ IPD Tawau menjalankan siasatan sebelum berjaya mengesan dan menahan suspek di tepi jalan Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek adalah seorang warga asing yang berada dan menetap di negara ini tanpa memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen sah.
Katanya, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya IPD Tawau, dalam mengambil tindakan tegas terhadap sebarang bentuk jenayah yang mengancam keselamatan masyarakat.
“Orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat kepada polis serta segera membuat laporan sekiranya menjadi mangsa atau mengetahui sebarang kejadian jenayah bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan komuniti sentiasa terpelihara,” katanya. – Info X