TAWAU: Pergaduhan membabitkan dua pelanggan wanita di sebuah restoran di Bandar Fajar, di sini, berakhir dengan penahanan kedua-dua suspek selepas insiden itu turut menyebabkan kerosakan harta benda premis berkenaan.
Dalam kejadian pada Sabtu, dua wanita berusia 19 dan 20 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bagi membantu siasatan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, polis menerima laporan daripada wakil restoran selepas berlaku pergaduhan antara dua pelanggan wanita di premis itu.
Menurutnya, akibat pergaduhan terbabit, beberapa harta benda milik restoran mengalami kerosakan sebelum pihak premis tampil membuat laporan polis.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari BSJ IPD Tawau berjaya mengesan dan menahan kedua-dua suspek di tepi Jalan Haji Karim, Tawau.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati seorang daripada suspek adalah warga asing yang berada di negara ini tanpa memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, suspek warga asing itu turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau dan tiada rampasan dibuat ketika tangkapan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana gaduh gempar dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” katanya. – Info X