Search

Belanjawan 2025: Peruntukan besar perlu diterjemah kepada tindakan nyata – Mohamaddin Ketapi

November 16, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Peruntukan besar Belanjawan Sabah 2025 berjumlah 6.421 bilion yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam perlu diterjemahkan kepada tindakan yang nyata.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata bagi maksud itu, penyampaian belanjawan berkenaan mesti dibuat dengan telus dan dipantau ketat.

Katanya, perhatian khusus juga perlu diberikan kepada kawasan yang masih terpinggir dari aspek pembangunan, termasuk di DUN Segama yang diwakilinya.

“Sebagai wakil rakyat Segama, saya menyambut baik usaha kerajaan negeri untuk membawa kemakmuran kepada Sabah melalui Belanjawan 2025.

“Namun, saya juga menekankan agar perhatian khusus diberikan kepada kawasan seperti Segama yang sering terpinggir dalam pelaksanaan projek pembangunan.

“Saya berharap peruntukan besar ini dapat diterjemahkan kepada tindakan yang nyata, dengan pemantauan ketat dan penyampaian yang telus,” katanya mengulas Belanjawan Sabah 2025 yang dibentangkan Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, semalam.

Mohamaddin yang kini bersama UMNO / Barisan Nasional (BN) berkata beliau akan membantu kerajaan negeri untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat, terutama di Segama dan memastikan suara mereka didengari.

“Dengan kerjasama semua pihak, kita pasti dapat merealisasikan visi ‘Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera’ yang menjadi tema Belanjawan 2025 untuk semua lapisan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Mohamaddin berkata beberapa isu dan cabaran perlu diberi perhatian untuk memastikan manfaat belanjawan itu dirasai secara inklusif, khususnya di kawasan luar bandar seperti Segama.

Beliau memberi contoh, Segama memerlukan pembelaan daripada Kementerian Kerja Raya negeri bagi membina dan membaiki jalan
raya strategik berikutan banyak jalan utamanya rosak hingga mengganggu aktiviti ekonomi dan sosial penduduk.

Katanya, Segama memerlukan peruntukan khas untuk pembaikan jalan luar bandar yang sering menjadi penghalang kepada aktiviti ekonomi.

“Saya mahu tindakan diambil untuk menyelesaikan isu infrastruktur jalan raya seperti di Ulu Segama, Kampung Tawaiyari, Sepadulang, Kampung Jawa dan Kampung Betik.

“Masalah bekalan air bersih yang berterusan di Segama juga memerlukan penyelesaian segera dan pemantauan pelaksanaan projek perlu ditingkatkan, lebih-lebih lagi di Segama.

“Fokus juga perlu diberikan kepada sokongan untuk petani kecil, termasuk akses teknologi pertanian moden, pemasaran produk dan subsidi input pertanian.

“Segama juga perlu dilihat sebagai daerah berpotensi untuk industri pengeluaran makanan negeri Sabah,” katanya.

Melalui potensi itu, beliau mencadangkan agar Segama dimasukkan dalam usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan pengeluaran padi dan beras tempatan ke tahap 30 peratus sara diri (SSL) pada 2026.

Bagi tujuan itu, katanya petani di Segama perlu diberi akses insentif pembajakan sawah padi, selain sokongan kepada pekebun kecil melalui program pembangunan pertanian komersial.

Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu juga tidak mahu Segama dipinggirkan daripada pembangunan modal insan, terutama peluang untuk belia mendapat mendapat manfaat daripada program TVET dan keusahawanan selain insentif lain disediakan kerajaan negeri seperti Biasiswa Negeri Sabah dan Bantuan Tunai Pendaftaran IPT.

“Saya juga berharap agar bantuan OKU, warga emas dan ibu tunggal, terutama untuk rumah kebajikan Segama atau Lahad Datu diberi perhatian bagi memastikan golongan sasar di Segama mendapat manfaat,” katanya.

Ends
[16/11, 10:25] Bang Tadius: Belanjawan 2025: Sabah catat pertumbuhan tertinggi sektor pembuatan negara

KOTA KINABALU: Sabah mencatat kadar pertumbuhan sektor pembuatan tertinggi di negara ini dengan pencapaian 4.4 peratus pada tahun lalu.

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kadar itu mengatasi pertumbuhan purata sektor pembuatan nasional iaitu sebanyak 0.8 peratus.

“Kadar pertumbuhan bagi sektor pembuatan di Sabah pada tahun 2023 adalah sebanyak 4.4 peratus mengatasi pertumbuhan purata sektor pembuatan nasional iaitu sebanyak 0.8 peratus.

“Ia menjadikan kadar pertumbuhan sektor pembuatan di Sabah yang tertinggi di Malaysia,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2025, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau berkata kadar pertumbuhan itu berdasarkan peningkatan hasil sektor pembuatan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah kepada RM6.03 bilion pada tahun lalu, berbanding RM5.78 bilion pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, Masidi berkata Sabah menerima pelaburan asing dan domestik dalam sektor utama, perkilangan dan perkhidmatan berjumlah RM1.7 bilion setakat Jun lalu.

Sebelum ini, katanya Sabah menerima pelaburan yang signifikan melalui syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd dari Korea Selatan dan Kumpulan Kibing dari China dengan nilai pelaburan masing-masing berjumlah RM4.28 bilion dan RM2.48 bilion.

“Kedua-dua pelabur ini telah menghasilkan dan mengeksport produk mereka ke luar negara bermula pada akhir 2023 bagi syarikat SK Nexilis dan Kumpulan Kibing pada awal tahun ini,” katanya.

SK Nexilis mengeluarkan kerajang tembaga untuk bateri kenderaan elektrik bagi pasaran global, manakala Kumpulan Kibing mengeluarkan kaca solar, kedua-duanya beroperasi di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

Sementara itu, Masidi berkata pada tahun ini, Kumpulan Kibing melalui anak syarikatnya, SBH Kibing New Solar Energy (M) Sdn Bhd bersetuju melabur kilang pembuatan kaca solar baharu dengan anggaran pelaburan RM7.2 bilion melalui tiga fasa pelaburan.

“Pelaburan ini juga bakal memberi peluang pekerjaan kepada 5,000 rakyat di negeri ini. Pada masa yang sama, Kumpulan Kibing juga komited untuk meningkatkan kapasiti penghasilan kaca solar di kilangnya di KKIP.

“Anggaran nilai pelaburan tambahan syarikat itu berjumlah RM700 juta sekali gus mewujudkan 600 tambahan peluang pekerjaan,” katanya. – Info X