Search

Gagal lapor tukar nakhoda, bot tunda ditahan

April 13, 2023

admin

LABUAN: Sebuah bot tunda ditahan Agensi penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana gagal melaporkan pertukaran nakhoda di kedudukan 0.4 batu nautika selatan Pulau Papan, di sini, semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Labuan, Komander Maritim Mohd Hafiz Abd Mutalib berkata, peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam rondaan Ops Sejahtera, Ops Kuda Laut dan Op Tiris melakukan pemeriksaan rutin terhadap bot tunda berkenaan.

Katanya, ketika diperiksa bot tunda itu dikendalikan oleh seorang pemandu bot dan Chief Officer warga Indonesia.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot tunda itu tidak melaporkan pertukaran nakhoda di buku Certificate Of Malaysia Registry.

“Bot berkenaan ditahan dan nakhoda serta Chief Officer bersama dokumen dibawa ke Jeti Zon Maritim Labuan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO) kerana disyaki tidak melaporkan pertukaran nakhoda di buku Certificate Of Malaysia Registry.

Sementara itu, katanya Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas sebarang aktiviti atau salah laku jenayah di laut.

“Orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-453777 atau MES 999 yang beroperaso 24 jam,” katanya. – Info X