SEPULUT: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga mangsa termasuk dua beradik yang hilang dalam kejadian bot karam di Sungai Penawan, Kampung Sin-Singon, di sini, kelmarin diteruskan pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, SAR hari ketiga dimulakan pada 8.31 pagi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.
Katanya, lokasi pencarian bermula dari Jeti Salung ke Kampung Pagalungan.
“Setakat ini ketiga-tiga mangsa masih belum ditemui.
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu kelmarin, Joffrinos Palandok, 36 tahun bersama isteri Lerina Rody, berusia 26 tahun dan tiga anak mereka iaitu Carbrineleyvonne , 7, Joffizan, 9, dan Jilan, 5 tahun dikatakan menaiki bot dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Sinsingon selepas dari kebun.
Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian, dipercayai arus sungai yang deras menyebabkan bot dinaiki mereka karam.
Susulan kejadian itu, mayat Lerina ditemui oleh penduduk kampung, pada 3.15 petang kelmarin manakala Joffrinos dan Jilan berjaya menyelamatkan diri.
Carbrineleyvonne dan Joffizan serta seorang lelaki iaitu Lasimin Mantun, berusia 38 tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ketika operasi SAR dua beradik itu semalam, hilang. – Info X