KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmy Yahya yakin, Sabah FC mampu bangkit semula untuk mencatat kemenangan apabila mereka melayan kunjungan Kelantan United FC dalam saingan Piala FA, di Stadium Likas, di sini, Sabtu ini.
Shahelmey berkata, kelebihan pada perlawanan itu sudah tentu berpihak kepada Sabah FC apabila mereka beraksi di gelanggang sendiri.
Bagaimanapun, katanya Sabah FC amat memerlukan sokongan padu penyokong pasukan itu dan berharap kehadiran mereka ke Stadium Likas Sabtu ini dapat menyuntik semangat pemain.
Beliau berkata, Sabah FC perlu memanfaatkan peluang beraksi di tempat sendiri itu selepas hanya mampu mengutip satu mata daripada tiga perlawanan Liga Super di tempat lawan baru-baru ini.
“Kita perlu berbangga dengan Sabah FC. Kita sentiasa bersama-sama mereka sama ada ketika menang atau ketika kita diuji dengan kekalahan seperti yang kita lalui dalam dua perlawanan Liga Super di tempat lawan ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC sebelum seri ketika bertemu Negeri Sembilan FC di Paroi.
“Sabah FC memulakan kempen Liga Super dengan tiga kemenangan berturut-turut dan selepas itu kita mengalami kekalahan yang pertama dan kedua serta seri dalam tiga perlawanan Liga Super di tempat lawan baru-baru ini.
“Saya berharap agar emosi pemain tidak terganggu dan mahu mereka mematuhi segala strategi dan taktikal yang diarahkan oleh pihak pengurusan Sabah FC. Kita doakan Sabah FC boleh bangkit semula pada perlawanan Piala FA ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkasnya pada Majlis Berbuka Puasa Sabah FC Bersama Anak Yatim 2023 di Padang Latihan, Persatuan Bolasepak Negeri Sabah (SAFA), di sini, semalam.
Shahelmy yang dilantik sebagai menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal SAFA dan Sabah FC berharap, peminat dan penyokong bola sepak Sabah dapat hadir memenuhkan Stadium Likas Sabtu ini untuk menyuntik semangat pasukan.
“Walaupun dalam suasana Ramadan, kita berharap peminat bola sepak Sabah dapat datang untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan Sabah FC pada perlawanan Piala FA, Sabtu ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Marzuki Nasir berkata majlis berbuka puasa yang diadakan secara santai itu adalah idea dan cadangan pemain yang mahukan kelainan agar lebih dekat dengan anak-anak yatim.
Pada majlis itu, Shahemy turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim daripada Rumah Amal Kasih dan Rumah Anak Yatim As-Sakinah.
Barisan pengurusan dan pemain Sabah FC turut menunaikan solat fardhu Maghrib berjemaah bersama-sama Shahelmy di Padang Latihan SAFA. – Info X