Search

Gagal pantau, selenggara perparitan punca banjir kilat di KK, Penampang, Putatan

February 2, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketiadaan pemantauan, pembersihan dan penyelenggaraan berjadual terhadap sistem perparitan punca utama kejadian berterusan banjir kilat di sekitar Penampang, Putatan, Kota Kinabalu dan Sepanggar.

Timbalan Presiden Parti Warisan, Datuk Darell Leiking, berkata perkara itu diakui penduduk yang tinggal berhampiran kawasan perparitan di kawasan terbabit berdasarkan keadaannya yang tidak terjaga.

“Lihat saja parit monsun di Penampang dan Kota Kinabalu atau lebih dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai ‘parit juta’, air tidak mengalir hingga menjadi hitam dan berbau busuk.

“Apabila pemimpin bahagian Warisan melawat kawasan perumahan atau komersial terjejas banjir, penduduk yang marah menyalahkan perparitan tidak diselenggara sebagai punca banjir kilat dan dalam kebanyakan kes, kita dapati ia memang benar.

“Tumbuhan air, sampah sarap dan tanah menyebabkan air parit melimpah dan kesannya berlakulah banjir kilat di jalan atau perumahan berhampiran selepas kurang daripada sejam hujan lebat di Lido dan Bundusan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog itu mengulas kejadian banjir kilat di beberapa lokasi rendah di sekitar Penampang, Putatan, Sepanggar dan Kota Kinabalu, lewat petang semalam.

Berikutan itu, Darell berkata kerajaan perlu mengkaji semula semua kontrak penyelenggaraan perparitan yang diberikan kepada syarikat kontraktor dan melihat sama ada mereka melaksanakan kerja atau tidak.

“Bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti, kerajaan juga perlu memberitahu kita (dan pembayar cukai) siapa kontraktor terbabit,” katanya.

Darell berkata, banjir di Sabah, khususnya di Penampang dan Kota Kinabalu menjadi ancaman nombor satu kepada kebajikan, keselamatan kewangan dan ekonomi negeri yang mesti diatasi dengan komitmen dan tumpuan penuh kerajaan.

“Pada 2010-an, pekerja pejabat di Kota Kinabalu tidak bimbang masih berada di pejabat selepas jam 5 petang untuk menyelesaikan kerja mereka dan balik ke rumah pada jam 7 malam.

“Sekarang, semua mahu balik rumah sebelum jam 5 petang atau berdepan risiko terperangkap dalam kesesakan jalan raya yang panjang disebabkan banjir,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Penampang itu juga mendakwa banyak bangunan seperti rumah berdepan masalah penyusutan apabila struktur dalaman tiang, lantai atau dinding berulang kali ditenggelami banjir selama beberapa hari.

Katanya, kesan terhadap perkara itu tidak dapat dilihat dalam masa yang singkat selepas banjir, namun ia akan dirasai selepas beberapa minggu atau bulan apabila mula berlaku karat dan serangan anai-anai.

Beliau berkata, kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekarang tidak boleh menjadikan hujan lebat atau air pasang sebagai alasan berlaku banjir kilat.

“Rakyat percaya sebenarnya mereka (GRS) tidak pandai mengurus sistem perparitan sebagai punca utama mengapa banjir kilat berlaku.

“Ya, kita terima kenyataan sekarang musim monsun yang membawa hujan lebat tetapi sebagai pemimpin, mereka sepatutnya mampu tampil dengan inovasi dan pendekatan baharu untuk mencegah ancaman banjir.

“Sebagai contoh, adakah keperluan untuk menaik taraf sistem perparitan sedia ada untuk menampung hujan lebat disebabkan perubahan iklim global atau adakah kita perlu mewujudkan lebih banyak lagun bagi mengumpul aliran air?,” katanya.

Darell berkata kerajaan mempunyai segala aset, pakar terlatih dan akses penuh kepada mana-mana data bagi melaksanakan langkah pencegahan dan mengurangkan kesan banjir kilat terutana yang disebabkan parit dan sungai tersumbat kerana tidak diselenggara.

Jelasnya, kerajaan bertanggungjawab untuk membersihkan perparitan dan menjelaskan kepada rakyat kenapa ia gagal melaksanakan perkara itu. – Info X