Search

Ibu maut, anak parah selepas kereta dinaiki langgar bas persiaran

April 24, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang wanita maut, manakala anaknya parah selepas kereta dinaiki mereka melanggar belakang sebuah bas persiaran yang berada di tepi jalan di Jalan Sulaman Gayang, Tuaran, petang tadi.

Mangsa Sutinah Amat, 47, yang tersepit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anak lelaki berusia 18 tahun yang memandu kereta Perodua Alza parah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohamad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 2.41 petang.

Keadaan kereta dinaiki mangsa yang melanggar belakang sebuah bas persiaran yang berada di tepi jalan di Jalan Sulaman Gayang, Tuaran.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Alza yang dipercayai terbabas sebelum melanggar belakang bas persiaran yang berada ditepi jalan.

“Terdapat dua mangsa tersepit dan operasi mengeluarkan kedua-dua mangsa terus dijalankan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sebaik berjaya dikeluarkan pasukan bomba, mangsa lelaki mengalami kecederaan parah dan di hantar ke hospital menggunakan ambulans.

Pegawai penyiasat menjalankan siasatan di lokasi kemalangan membabitkan kereta Perodua Alza dan bas persiaran di Jalan Sulaman Gayang, Tuaran.

“Manakala seorang lagi mangsa wanita disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut hadir membantu di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu, untuk tindakan lanjut.

“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.05 petang,” katanya. – Info X