Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

June 24, 2026

Info X Reporters

Rokok seludup RM24.2 juta dirampas di perairan Pulau Sipadan

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan rokok tidak bercukai bernilai RM24.2 juta dalam operasi di perairan selatan Pulau Sipadan, Semporna, semalam. Dalam operasi menerusi Op Sejahtera dan Op Tiris itu, sebanyak 3,014 peti rokok pelbagai jenama dirampas, manakala 20 kru dan nakhoda warga asing turut ditahan bagi membantu siasatan. Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Khairul Anuar Abd Majid @ Razali, berkata kejayaan itu hasil risikan berterusan yang dijalankan sejak beberapa bulan lalu berhubung aktiviti penyeludupan rokok di perairan berkenaan. Katanya, aset Maritim Malaysia, KM Kidurong mengesan sebuah kapal kargo dalam keadaan mencurigakan kira-kira tujuh batu nautika di selatan Pulau Sipadan sebelum pemeriksaan dilakukan. “Hasil pemantauan, anggota mendapati berlaku aktiviti pemindahan beberapa kotak berwarna coklat dari kapal kargo ke sebuah bot kumpit yang berada berhampiran. “Pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua vesel menemukan sejumlah besar rokok putih yang dipercayai tidak mempunyai kelulusan serta dokumentasi sah,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini. Beliau berkata, hasil pemeriksaan turut menemukan 2,956 peti rokok jenama Bossqu, 40 peti New Iris, 15 peti Berlin dan tiga peti New Far, menjadikan keseluruhan rampasan sebanyak 3,014 peti. “Nilai rampasan rokok termasuk cukai dianggarkan RM24.2 juta, manakala nilai keseluruhan rampasan termasuk dua kapal yang digunakan dianggarkan RM65.7 juta,” katanya. Menurutnya, siasatan awal mendapati rokok berkenaan dipercayai dibawa dari Vietnam sebelum dipindahkan menggunakan kapal kargo ke bot pengangkut untuk diedarkan secara haram di pasaran Malaysia, Indonesia dan Filipina. “Modus operandi sindiket adalah menggunakan kapal kargo sebagai pembawa utama sebelum memindahkan muatan kepada bot kumpit bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya. Beliau berkata, kesemua 20 individu yang ditahan berusia antara 26 hingga 62 tahun terdiri daripada pelbagai kewarganegaraan termasuk Malaysia, Indonesia, Filipina, India dan Myanmar. “Mereka ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan dokumen kapal yang sah, manakala bot kumpit yang digunakan juga tidak mempunyai sebarang pendaftaran,” katanya. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 kerana disyaki menyeludup rokok tidak bercukai, selain turut disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Imigresen 1959/63. “Kesemua kapal bersama barang kes telah diiring ke Jeti Maritim Malaysia Zon Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya. Beliau dalam pada itu menegaskan Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan operasi dan risikan bagi membanteras aktiviti penyeludupan rentas sempadan yang boleh menjejaskan hasil negara serta keselamatan perairan. “Orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di laut bagi membantu pihak berkuasa,” katanya. – Info X

June 24, 2026

Info X Reporters

PPM rampas rokok seludup hampir RM600,000

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai dengan rampasan bernilai RM593,800 dalam satu operasi di Jalan Sin On Tiku, di sini, semalam. Dalam operasi kira-kira jam 9 malam itu, dua lelaki warga tempatan berusia 35 dan 40 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, kejayaan itu hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan oleh pihaknya. Katanya, sepasukan anggota PPM menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum menjalankan pemeriksaan lanjut. “Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah besar rokok tidak bercukai yang disembunyikan di dalam kenderaan berkenaan. “Siasatan awal mendapati rokok terbabit dipercayai diseludup dari negara jiran, Indonesia, untuk dipasarkan di sekitar daerah Tawau,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, antara rokok yang dirampas ialah pelbagai jenama termasuk Premium, Nice, L.A Menthol dan L.A Mango. “Keseluruhannya, sebanyak 365,200 batang rokok tidak bercukai berjaya dirampas dalam operasi berkenaan. “Anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan yang disita adalah RM593,800,” katanya. Ahmad Amri berkata, kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. Menurutnya, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempertingkatkan operasi penguatkuasaan dan risikan bagi membanteras kegiatan penyeludupan yang menjejaskan ekonomi negara. “PPM komited untuk terus memerangi aktiviti penyeludupan yang bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya. Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti penyeludupan di kawasan masing-masing. – Info X

June 24, 2026

Info X Reporters

Kanak-kanak maut dirempuh dua kenderaan ketika melintas jalan

KOTA BELUD: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kampung Kesapang, di sini, petang semalam. Dalam kejadian jam 5.40 petang itu, mangsa yang dipercayai sedang memancing di parit kiri dan kanan jalan berhampiran lokasi kejadian. Mangsa kemudian dipercayai tiba-tiba berlari ke arah jalan raya sebelum dirempuh sebuah Perodua Bezza dan seterusnya dilanggar sebuah lori yang berada di belakang kenderaan berkenaan. Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, hasil siasatan awal mendapati Perodua Bezza yang dipandu lelaki berusia 27 tahun dan lori Isuzu dipandu lelaki berusia 31 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Kota Marudu menuju ke Kota Belud ketika kejadian berlaku. Menurutnya, mangsa melanggar bahagian belakang sebelah kiri Perodua Bezza sebelum tercampak ke atas jalan raya. “Akibat pelanggaran itu, mangsa dilanggar lori Isuzu yang berada di belakang kereta terbabit. “Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Kota Belud,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk tindakan bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika berada berhampiran jalan raya serta memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa dipantau bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – Info X

June 24, 2026

Info X Reporters

Buli bukan hal remeh, Akta Antibuli 2026 wajar disokong

KOTA KINABALU: Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan Akta Antibuli 2026 yang mula berkuat kuasa pada 16 Jun lalu sebagai langkah memperkukuh perlindungan terhadap mangsa buli serta mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, harmoni dan berteraskan nilai kemanusiaan. Pengerusinya, Yazid Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata penguatkuasaan akta berkenaan membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menangani gejala buli yang semakin membimbangkan dan memberi kesan besar terhadap kesejahteraan fizikal, emosi serta mental mangsa. Beliau berkata, isu buli tidak lagi boleh dianggap sebagai perkara remeh kerana kesannya boleh berpanjangan sehingga menjejaskan keyakinan diri, prestasi akademik, hubungan sosial dan masa depan mangsa. “Buli dalam apa jua bentuk sama ada fizikal, lisan, psikologi, sosial mahupun siber adalah perbuatan yang tidak boleh diterima dalam masyarakat yang bertamadun. “Setiap individu berhak hidup, belajar dan bekerja dalam suasana yang selamat, dihormati serta bebas daripada sebarang bentuk gangguan, ancaman atau intimidasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. Beliau berkata, pelaksanaan Akta Antibuli 2026 bukan saja memberi perlindungan undang-undang yang lebih jelas kepada mangsa, malah berperanan sebagai mekanisme pencegahan bagi membendung budaya buli daripada terus menular dalam kalangan masyarakat. Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak termasuk sekolah, institusi pengajian tinggi, asrama, organisasi, ibu bapa, pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi berkaitan agar berganding bahu dalam usaha mendidik serta membentuk generasi yang menghormati hak orang lain. “Pendidikan mengenai nilai hormat-menghormati, empati, kasih sayang dan tanggungjawab sosial perlu diterapkan sejak usia muda bagi melahirkan masyarakat yang lebih beradab dan berintegriti. “Pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan. Oleh itu, usaha membanteras buli memerlukan komitmen berterusan daripada semua lapisan masyarakat, bukan hanya bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang semata-mata,” katanya. Beliau turut menyambut baik penubuhan Tribunal Antibuli yang diperuntukkan di bawah akta berkenaan kerana ia dapat menyediakan saluran yang lebih teratur dan berkesan bagi memastikan aduan mangsa diberi perhatian sewajarnya serta keadilan dapat ditegakkan. Jelasnya, kewujudan tribunal itu akan meningkatkan keyakinan masyarakat untuk tampil melaporkan kes buli tanpa rasa takut atau bimbang terhadap sebarang bentuk tekanan. “Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor berharap pelaksanaan Akta Antibuli 2026 akan menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang lebih prihatin, berakhlak mulia, saling menghormati dan menolak sebarang bentuk keganasan serta penindasan. “Buli bukan budaya kita. Hentikan buli, suburkan nilai kemanusiaan, hormat-menghormati dan kasih sayang demi membina masa depan yang lebih aman, selamat dan sejahtera untuk semua,” katanya. – Info X

June 24, 2026

Info X Reporters

Madius tuntut penjelasan isu persetujuan Sabah dalam pelaksanaan AKPS

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menuntut penjelasan jelas daripada Kerajaan Persekutuan berhubung sama ada persetujuan rasmi Kerajaan Sabah diperoleh sebelum pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (AKPS) diperluaskan ke negeri itu. Beliau berkata, persoalan yang dibangkitkannya di Parlimen sebelum ini masih belum dijawab secara langsung walaupun penjelasan diberikan Menteri berkaitan menyentuh beberapa aspek proses rundingan dan libat urus dengan kerajaan negeri. Menurutnya, soalan yang dikemukakan adalah mudah dan hanya memerlukan jawapan sama ada “ya” atau “tidak” berhubung status persetujuan Sabah terhadap pelaksanaan akta berkenaan. “Dalam jawapan yang diberikan, Menteri menyatakan Kerajaan Sabah telah dirujuk, memberikan ulasan, terlibat dalam sesi libat urus serta bersetuju menyerahkan sembilan pintu masuk kepada AKPS. “Namun perkara pokok yang saya tanyakan tidak dijawab secara langsung, iaitu sama ada Kerajaan Persekutuan telah memperoleh persetujuan rasmi daripada Kerajaan Sabah sebelum pelaksanaan AKPS diperluaskan ke negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Madius berkata, proses dirujuk atau sesi libat urus tidak boleh dianggap sebagai persetujuan rasmi seperti yang diperlukan dalam perkara yang menyentuh hak serta autonomi Sabah. Katanya, mendapatkan pandangan kerajaan negeri juga tidak semestinya bermaksud kelulusan atau persetujuan telah diberikan. Beliau turut mempersoalkan sama ada Kerajaan Persekutuan telah memperoleh persetujuan rasmi sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya apabila sesuatu tindakan melibatkan hak-hak istimewa dan kedudukan Sabah yang dijamin ketika pembentukan Malaysia. Menurutnya, jawapan yang diberikan juga tidak menyentuh beberapa perkara penting termasuk Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan, persetujuan Yang di-Pertua Negeri Sabah, persetujuan rasmi Kerajaan Negeri Sabah atau keputusan Kabinet Negeri yang berkaitan. “Jika persetujuan itu telah diperoleh, mengapa sukar untuk menyatakan ‘ya’. Jika tidak diperoleh, mengapa tidak dijawab ‘tidak’. “Rakyat Sabah berhak mengetahui perkara sebenar kerana isu ini bukan soal politik kepartian, tetapi membabitkan penghormatan terhadap Perlembagaan Persekutuan, semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta hak dan autonomi Sabah,” katanya. Beliau berkata, sebagai Ahli Parlimen Tuaran, beliau akan terus menuntut penjelasan berhubung perkara itu dan memastikan hak perlembagaan Sabah terus dipertahankan. “Hak Sabah tidak boleh dipertahankan melalui andaian, tafsiran atau jawapan yang mengelak. Dalam perkara yang melibatkan hak perlembagaan negeri ini, rakyat Sabah berhak mendapat jawapan yang jelas, jujur dan terus kepada pokok persoalan. “Persoalan yang masih belum terjawab sehingga hari ini ialah sama ada persetujuan Kerajaan Sabah telah diperoleh atau tidak sebelum pelaksanaan AKPS diperluaskan ke Sabah,” katanya. – Info X

June 24, 2026

Info X Reporters

PIBG, sekolah perlu giatkan usaha kesedaran elak kejadian buli – Jamawi

TENOM: Semua pihak, khususnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta sekolah perlu mempergiatkan usaha kesedaran bagi membendung gejala buli dalam kalangan pelajar. Perkara itu ditekankan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar ketika mengulas insiden buli membabitkan murid sebuah asrama sekolah rendah di Tenom yang tular baru-baru ini. “Kita mengharapkan kerjasama semua pihak terutamanya PIBG dan sekolah agar mengambil langkah-langkah kesedaran elakkan buli di sekolah masing-masing agar perkara seperti ini tidak berulang. “Semoga ianya menjadi pengajaran penting untuk kita semua,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. Sementara itu, Jamawi yang juga ADUN Melalap menggesa orang ramai supaya tidak menularkan gambar dan video berkaitan insiden buli terbabit. Katanya, siasatan terhadap kes itu diserahkan kepada polis dan semua pihak perlu memberi kerjasama termasuk menghentikan penyebaran gambar dan video insiden berkenaan. “Kita serahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. “Kita harus hormati permintaan ahli keluarga mangsa dan pelajar untuk tidak viralkan gambar dan video tersebut,” katanya. Terdahulu, polis daerah Tenom mengesahkan menerima satu laporan berhubung kejadian seorang murid perempuan yang dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah asrama sekolah di Tenom sebagaimana yang tular di media sosial. Ketua Polis Daerah Tenom, Superintenden Azmir Abdul Razak berkata, susulan laporan yang diterima pada 23 Jun, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan, Seksyen 507B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Katanya, hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 11 Jun lalu di sebuah asrama sekolah di daerah itu. “Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dan telah dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya. Setakat ini tiga individu dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom bagi membantu siasatan, termasuk pelaku serta individu yang dipercayai terlibat dalam rakaman dan penyebaran video kejadian itu. “Beberapa barang kes turut dirampas bagi tujuan siasatan,” katanya. Azmir berkata, pihak polis memandang serius sebarang bentuk perbuatan buli, keganasan serta penyebaran kandungan yang boleh mengaibkan atau mengancam mangsa. “Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan semula video kejadian kerana tindakan itu boleh menjejaskan siasatan serta memberi kesan kepada kebajikan dan emosi mangsa yang masih di bawah umur. – Info X

June 24, 2026

Info X Reporters

Agong kurnia sumbangan RM500,000 kepada mangsa kebakaran Kudat dan Sandakan

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor merakamkan penghargaan bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar mengurniakan sumbangan untuk mangsa kebakaran di Kudat dan Sandakan. Sumbangan berjumlah RM500,000 itu disampaikan Pemegang Amanah Urusan Yayasan Sultan Ibrahim Johor, Tan Sri Avinderjit Singh kepada Ketua Menteri sambil disaksikan sendiri Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, di sini, pada Rabu. Hajiji menyifatkan sumbangan Yang di-Pertuan Agong itu sebagai tanda keprihatinan baginda terhadap rakyat Sabah yang terjejas akibat bencana berkenaan. “Kerajaan Negeri amat menghargai sumbangan dan sokongan yang diberikan, khususnya tragedi kebakaran di Kampung Gumpa, Kudat serta tragedi kebakaran besar di Kampung Bahagia, Sandakan,” katanya. Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri Sabah melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah akan terus memperkukuh usaha penyelarasan bantuan kebajikan, pengurusan pusat pemindahan sementara serta memastikan kebajikan dan kesejahteraan mangsa sentiasa terpelihara. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Awang Shahminan Sahari; Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Datuk Walter Kenson dan Pegawai Daerah Kudat, Charles William Dabbi. Pada 16 April lalu, lapan rumah terbakar membabitkan 67 mangsa di Kampung Gumpa, Kudat manakala pada 18 April, sebanyak 1,050 rumah dijilat api hingga menjejaskan 914 Ketua Isi Rumah (KIR) di Kampung Bahagia, Sandakan. – Info X

June 24, 2026

Info X Reporters

Team Futsal SUKMA Sabah sasar tiga terbaik pada temasya SUKMA 2026

KOTA KINABALU: Pasukan Futsal SUKMA Sabah menyasarkan kedudukan tiga terbaik pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor yang dijangka berlangsung Ogos depan. Ketua Jurulatih SUKMA Futsal Sabah, Azman Soaibah, berkata pasukannya kini berada di landasan tepat dalam mempersiapkan diri menghadapi perlawanan SUKMA dengan sasaran untuk melangkah sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir. Katanya, persiapan rapi mula diatur sejak April lalu, termasuk penyertaan dalam kejohanan pendedahan di Johor bagi menguji tahap kemampuan pemain. “Genap sebulan kita menjalani latihan fizikal dan taktikal bermula dari April hingga Jun. Selepas ini, tiada lagi waktu rehat, kita akan terus fokus di mana tahap kesediaan pasukan kini sudah mencapai 70 hingga 75 peratus,” katanya. Beliau berkata demikian kepada media selepas perlawanan persahabatan di antara pasukan SUKMA Futsal Sabah dan pasukan DMNA FC yang diketuai Ketua Pegawai Operasi Marmaz Group Holdings Sdn Bhd, Datuk Mohamad Nazir Ali, di sini. Azman berkata, sebagai sebahagian daripada fasa terakhir persiapan, skuad futsal SUKMA Sabah dijadual bakal menguji kekuatan menentang pasukan antarabangsa, Brunei Darussalam, pada Julai nanti. Mengulas mengenai senarai akhir pemain, beliau berkata proses senarai pendek sudah dilakukan pada 19 Jun lalu. Bagaimanapun, katanya pihak kejurulatihan masih dalam fasa menilai sama ada mahu membawa konfigurasi dua atau tiga penjaga gol bagi mengelakkan implikasi buruk sekiranya berlaku kecederaan pada saat akhir. “Saya mahu pastikan pasukan kita tahun ini tidak hanya bergantung kepada empat atau lima orang sahaja. Kita akan gunakan sepenuhnya semua pemain yang dibawa, di mana semua orang dalam skuad mempunyai kualiti dan peluang untuk bermain,” katanya. Sementara itu, katanya kehadiran pihak pengurusan Marmaz Group Holdings Sdn Bhd ke sesi itu membuktikan sokongan padu sektor korporat terhadap pembangunan sukan negeri. Ketua Pegawai Eksekutif Marmaz Group Holdings Sdn Bhd, Datuk Jimsbon Unding, yang turut hadir memberikan sokongan moral kepada pasukan Sabah, menyatakan harapan agar lebih banyak syarikat tempatan tampil ke hadapan. – Info X