Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

June 12, 2026

Info X Reporters

Juragan terjun laut, tinggalkan muatan seludup

SEMPORNA: Cubaan menyeludup pelbagai barang kawalan dan keperluan harian menggunakan sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran gagal apabila dipintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan daerah ini, awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 pagi itu, anggota Maritim Malaysia yang menjalankan rondaan menerusi Ops Sejahtera, Op Khas Cegah PATI (OCP) Covid-19 Sektor Timur dan Op Tiris 4.0 mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menghampirinya untuk pemeriksaan. Pengarah Maritim Zon Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, juragan bot berkenaan bertindak memecut laju bagi melarikan diri. Menurutnya, pasukan Maritim Malaysia bagaimanapun berjaya memintas bot itu kira-kira 25 minit kemudian di kedudukan 0.1 batu nautika timur laut Kampung Bangau-Bangau. “Bagaimanapun, juragan bot terbabit nekad terjun ke laut sebelum melarikan diri ke kawasan perumahan atas air berhampiran bagi mengelak ditahan. “Modus operandi sindiket dipercayai menggunakan waktu awal pagi untuk bergerak aktif bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa, namun hasil risikan dan kesiapsiagaan anggota berjaya menggagalkan cubaan itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Amir berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot berwarna kelabu itu menemukan tujuh tong gas, lima tong ‘jerry can’ berisi petrol, 10 beg beras seberat 10 kilogram pelbagai jenama, 14 tin cat bersaiz lima liter, sembilan tin cat bersaiz satu liter serta sebuah tong ikan berwarna merah. “Semua barangan rampasan termasuk bot dan enjin kemudiannya ditunda ke Jeti Kem Azumi, Semporna sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Zon Semporna untuk tindakan lanjut. “Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967,” katanya. Beliau berkata, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melanggar undang-undang negara termasuk kegiatan penyeludupan barang kawalan keluar dari sempadan negara. Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah di laut diminta menyalurkannya kepada pihak Maritim Malaysia bagi membantu usaha penguatkuasaan. – Info X

June 12, 2026

Info X Reporters

Ayu di mana?

KOTA KINABALU: Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang wanita berusia 20 tahun yang dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di kawasan Sinsuran, di sini. Wanita berkenaan dikenali sebagai Ayu Majid, 20, berbangsa Bajau. Polis Daerah Kota Kinabalu menerusi hantaran di Facebook rasminya memaklumkan, Ayu mempunyai susuk badan sedikit berisi dengan ketinggian kira-kira 150 sentimeter dan berat badan sekitar 58 kilogram. Dia juga berambut panjang serta mempunyai anak mata berwarna hitam. Menurutnya, ketika kali terakhir dilihat, wanita terbabit memakai baju hitam berlengan pendek dan seluar panjang berwarna hitam. Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Ayu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Polis (ASP) Muhammad Abu Zar Jali @ Ramli yang juga Ketua Polis Balai Kota Kinabalu di talian 019-3546375 atau Hotline Balai Polis Kota Kinabalu di talian 014-3094800. Sebarang maklumat turut boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu usaha mengesan wanita berkenaan. – Info X

June 12, 2026

Info X Reporters

Ops Pamer: 94 peratus premis di Sabah patuh pamer Perakuan Bomba

KOTA KINABALU: Sebanyak 94 peratus daripada 33 premis yang diperiksa di seluruh Sabah didapati mematuhi keperluan mempamerkan Perakuan Bomba menerusi Ops Pamer 2026 yang dijalankan serentak pada 10 Jun lalu. Bagaimanapun, dua premis atau enam peratus daripada jumlah yang diperiksa didapati gagal mematuhi syarat berkenaan dan dikenakan kompaun oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah. Pengarah JBPM Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, operasi berkenaan memberi tumpuan kepada pasar raya dan pusat beli-belah bagi memastikan Perakuan Bomba dipamerkan di lokasi yang mudah dilihat orang awam. Menurutnya, tindakan itu selaras dengan Peraturan 6(2) Peraturan-Peraturan Perkhidmatan Bomba (Perakuan Bomba) 2001. “Ops Pamer bukan sekadar operasi penguatkuasaan, malah bertujuan meningkatkan kesedaran dan memperkukuhkan budaya pematuhan terhadap peraturan keselamatan kebakaran dalam kalangan pemilik serta pengurusan premis. “Perakuan Bomba adalah bukti sesebuah premis yang ditetapkan telah memenuhi keperluan keselamatan kebakaran yang ditetapkan oleh jabatan. Oleh itu, sijil berkenaan perlu dipamerkan pada setiap masa di lokasi yang mudah dilihat pengunjung dan orang awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, antara kesalahan yang dikesan sepanjang operasi ialah gagal mempamerkan Perakuan Bomba, mempamerkan sijil di lokasi yang sukar dilihat serta menyimpannya di pejabat pengurusan tanpa dipamerkan kepada orang awam. Mohd Pisar berkata, walaupun kadar pematuhan yang direkodkan adalah memberangsangkan, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan khususnya dalam meningkatkan kefahaman pemilik premis mengenai tanggungjawab undang-undang berkaitan keselamatan kebakaran. Menurutnya, JBPM Sabah akan terus melaksanakan pemeriksaan berkala, operasi penguatkuasaan dan program advokasi bagi memastikan tahap pematuhan terus meningkat di seluruh negeri. “Premis yang gagal mematuhi peruntukan berkaitan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan lebih tegas mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341),” katanya. Beliau berkata, kejayaan Ops Pamer 2026 mencerminkan peningkatan kesedaran dalam kalangan pengusaha premis mengenai kepentingan pematuhan aspek keselamatan kebakaran sekali gus membantu mewujudkan persekitaran yang lebih selamat kepada orang awam. – Info X

June 12, 2026

Info X Reporters

Ops Tiris 4.0: Tiga individu disabit kesalahan seleweng diesel bersubsidi

KOTA KINABALU: Tiga individu mengaku bersalah atas pertuduhan berasingan terbabit dalam urusan barang kawalan berjadual tanpa lesen yang sah, iaitu diesel, ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Khamis. Bagi kes pertama, tertuduh, Dickson Yii Hung Tie, 30, didenda RM30,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen 3 Kota Kinabalu, Zaini Fishir @ Fisal. Tertuduh bagaimanapun membayar denda yang dikenakan. Di mahkamah berasingan, Yii Hung sekali lagi mengaku bersalah bersama seorang lagi tertuduh, Abdul Rahman Muluk, 35 di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen 4 Kota Kinabalu, Marlina Ibrahim. Hakim menjatuhkan hukuman denda RM8,000 setiap seorang atau penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda, namun kedua-dua tertuduh membayar denda yang dikenakan. Dalam kes ketiga, seorang lagi tertuduh Aznan Abd Rahim, 41, didenda RM3,000 atau penjara empat minggu jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang sama. Tertuduh turut membayar denda yang diperintahkan mahkamah. Secara keseluruhannya, jumlah denda yang dikenakan mahkamah ialah sebanyak RM49,000. Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. Mahkamah turut memerintahkan hasil jualan diesel yang terlibat dijadikan hasil Kerajaan Malaysia, manakala kenderaan yang digunakan dalam pelakuan kesalahan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk pelucutan hak. Pendakwaan bagi ketiga-tiga kes dikendalikan PPP TK Gunasegaran A/L Krishnan dan PMP TK Malai Rosidi Malai Muhamad, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. Sementara itu, Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin, dalam satu kenyataan berkata ketiga-tiga kes berkenaan adalah sabitan pertama di mahkamah hasil tindakan penguatkuasaan menerusi OPS TIRIS 4.0 Bersepadu di negeri ini. Kejayaan itu, katanya membuktikan komitmen KPDN Sabah dalam membanteras ketirisan dan penyelewengan diesel bersubsidi serta memastikan setiap kes yang mempunyai bukti dan keterangan mencukupi dibawa hingga ke peringkat pendakwaan dan sabitan di mahkamah. – Info X

June 12, 2026

Info X Reporters

PM ke Sipitang dan KK esok

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali lagi melakukan lawatan kerja sehari ke Sabah esok (Sabtu) selepas lawatan kerja sempena sambutan Kaamatan pada 31 Mei lalu. Kali ini, jadual beliau agak padat dengan empat program dijadual dihadirinya bermula di Sipitang pada pagi, disusuli tiga program di ibu negeri pada petang dan malam. Perdana Menteri dijadual terus ke Sipitang dengan menaiki helikopter setibanya di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) menggunakan pesawat khas pada kira-kira jam 10 pagi dari Kuala Lumpur. Di Sipitang, Anwar dijadual memyempurnakan Majlis Peluncuran Projek Sabah Southern Madani Link di Kompleks Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah yang dijadual bermula jam 11 pagi. Pelancaran projek meningkatkan bekalan elektrik Sabah itu turut dijadual dihadiri Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Pengerusi Sabah Electricity, Datuk Saadiah Aziz turut dijadual hadir. Selesai majlis di Sipitang, Perdana Menteri dijadual kembali ke ibu negeri dengan menaiki helikopter dan dijangka tiba di Terminal 2 KKIA pada jam 1.20 tengah hari. Beliau kemudian dijadual menghadiri Program Melangkah Bersama MADANI: Wanita Beriman, Wanita Bertahan Peringkat Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada jam 2.30 petang. Setelah itu, Anwar seterusnya bergerak ke Kompleks Sukan Likas bagi merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 pada jam 4 petang. Pada sebelah malam pula, Perdana Menteri dijadual menghadiri Majlis Santapan Malam Bersama TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu yang bermula jam 7.30 malam. Program itu mengakhiri lawatan seharinya ke Sabah sebelum pulang ke Kuala Lumpur dengan menaiki pesawat khas dari Terminal 2 KKIA pada jam 9 malam. – Info X

June 11, 2026

Info X Reporters

Lelaki maut dipercayai jatuh dari tingkat 26 kondominium

PENAMPANG: Seorang lelaki ditemukan maut berhampiran lobi sebuah kondominium di Jalan Bundusan, di sini selepas dipercayai terjatuh dari unit kediaman di tingkat 26 bangunan berkenaan, petang tadi. Dalam kejadian itu, mangsa warga tempatan berusia 34 tahun ditemukan terbaring di atas jalan dalam keadaan parah sebelum disahkan meninggal dunia. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sebelum menjalankan siasatan di lokasi. Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari sebuah unit kediaman di tingkat 26 kondominium berkenaan. “Pemeriksaan di lokasi kejadian dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang bersama pasukan Forensik D10, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah. “Hasil pemeriksaan mendapati tiada unsur jenayah dikesan yang boleh dikaitkan dengan kejadian ini,” katanya dalam kenyataan media, malam ini. Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian. Katanya, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat dan siasatan lanjut. “Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis. “Kami juga meminta orang ramai menghentikan penyebaran gambar atau video kejadian bagi menghormati sensitiviti keluarga dan waris mangsa,” katanya. Terdahulu, beberapa rakaman video kejadian itu tular di media sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen. Berdasarkan rakaman yang dikongsikan kepada Info X, mangsa dilihat terbaring berhampiran lobi kondominium dalam keadaan mengalami kecederaan parah dipercayai akibat impak kejatuhan. – Info X

June 11, 2026

Info X Reporters

86 PATI dicekup dalam operasi sekitar KK

KOTA KINABALU: Seramai 86 pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini, semalam. Operasi yang dilaksanakan hasil maklumat dan aduan awam itu menyasarkan kawasan yang dipercayai menjadi tumpuan warga asing tanpa dokumen sah. JIM Sabah dalam kenyataan berkata, operasi berkenaan dijalankan pada 10 Jun lalu membabitkan seramai 24 pegawai penguat kuasa dari Bahagian Penguatkuasaan JIM Sabah. Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap 125 individu, seramai 86 orang ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. “Kesemua yang ditahan terdiri daripada warganegara Filipina dan Indonesia. “Hasil siasatan awal mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negeri ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurut kenyataan itu, semua tahanan kini disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. JIM Sabah menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi mengesan dan menahan PATI di seluruh negeri ini. Katanya, tindakan tegas turut akan diambil terhadap mana-mana individu atau majikan yang didapati melindungi atau menggaji PATI. “Tiada sebarang kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen, khususnya yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam. “Orang ramai juga diseru menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin bagi membantu usaha penguatkuasaan yang dijalankan,” katanya. – Info X

June 11, 2026

Info X Reporters

Warga emas ditahan, pelbagai hasil hidupan liar dilindungi dirampas

TAWAU: Tembelang seorang warga emas yang dipercayai menyimpan pelbagai hasil hidupan liar dilindungi terbongkar selepas serbuan pihak berkuasa menemukan daging rusa, kijang, landak serta seekor tenggiling di sebuah rumah di Kampung Kalumpang, Jalan Tawau – Semporna, hari ini. Dalam operasi bersepadu yang dijalankan Unit Perisikan Siasatan Khas (WCB) bersama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dan Batalion 22, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak itu, lelaki tempatan berusia 86 tahun berkenaan ditahan bagi membantu siasatan. JHL Sabah dalam kenyataan berkata, pemeriksaan di rumah suspek menemukan sebuah peti sejuk yang dipercayai menyimpan pelbagai bahagian haiwan liar dilindungi. Menurutnya, antara yang dirampas ialah daging rusa, kijang dan landak selain seekor tenggiling serta seekor monyet yang masih hidup. “Suspek dipercayai memiliki hidupan liar dan hasil hidupan liar tanpa dokumen atau permit yang sah. “Siasatan awal turut mendapati suspek dipercayai terbabit dalam aktiviti penjualan hidupan liar dilindungi secara haram kepada pelancong di daerah Semporna,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Katanya, semua rampasan dibawa ke Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan lanjut manakala suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997. Menurut kenyataan itu, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 serta penjara antara satu hingga lima tahun. JHL Sabah menegaskan pemilikan, perdagangan dan penyimpanan hidupan liar dilindungi tanpa kebenaran merupakan kesalahan serius di bawah undang-undang. Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pemburuan atau perdagangan hidupan liar secara haram diminta menyalurkannya kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha pemuliharaan serta penguatkuasaan. – Info X