Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

June 8, 2026

Info X Reporters

Tiada kejadian luar biasa susulan gempa bumi kuat Mindanao

KOTA KINABALU: Tiada sebarang kejadian luar biasa, kerosakan struktur atau peningkatan paras air laut yang membahayakan dilaporkan di kawasan pantai timur Sabah susulan gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 yang melanda Mindanao, Filipina, pagi tadi. Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, hasil pemantauan yang dijalankan di beberapa kawasan terjejas setakat ini mendapati keadaan adalah terkawal dan selamat. Katanya, pemantauan dilaksanakan susulan kejadian gempa bumi yang berlaku pada jam 7.37 pagi serta nasihat tsunami yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia). Katanya, berdasarkan nasihat berkenaan, ombak tsunami dijangka melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari. “Sehubungan itu, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, BBP Tawau, BBP Kunak dan BBP Semporna telah menjalankan pemantauan di kawasan pesisir pantai, penempatan penduduk serta lokasi berisiko di kawasan jagaan masing-masing. “Hasil pemantauan setakat jam laporan ini mendapati tiada sebarang kerosakan struktur, kejadian luar biasa, peningkatan paras air laut yang membahayakan atau insiden kecemasan dilaporkan di kawasan terlibat,” menurut kenyataan itu. Terdahulu, gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 dilaporkan berlaku di Mindanao, Filipina pada jam 7.37 pagi dengan pusat gempa berada kira-kira 97 kilometer selatan Koronadal City pada kedalaman 50 kilometer. Gegaran akibat gempa bumi itu turut dilaporkan dirasai di beberapa kawasan di pantai timur Sabah termasuk Tawau, Semporna dan kawasan sekitarnya. Menurut PGO JBPM Sabah, pasukan bomba akan terus melaksanakan pemantauan berterusan dan berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa berkaitan. Katanya, sebarang perkembangan baharu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – Info X

June 8, 2026

Info X Reporters

Gempa bumi kuat di Mindanao, gegaran dirasai hingga Tawau dan Semporna

KOTA KINABALU: Gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 yang melanda Mindanao, Filipina pagi ini turut menyebabkan gegaran dirasai di beberapa kawasan di pantai timur Sabah termasuk Tawau dan Semporna. Dalam kejadian jam 7.37 pagi itu, gempa bumi berkenaan dikesan berlaku pada koordinat 5.7 darjah Utara dan 125.1 darjah Timur, kira-kira 97 kilometer (km) selatan Koronadal City, Filipina pada kedalaman 50 km. Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) memaklumkan, pihaknya sedang memantau perkembangan susulan kejadian berkenaan. “Setakat ini gegaran dilaporkan dirasai oleh penduduk di Tawau, Semporna serta beberapa kawasan sekitarnya. “MET Malaysia sedang memantau perkembangan kejadian ini dan akan mengemas kini maklumat dari semasa ke semasa sekiranya terdapat perkembangan baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini. Sehubungan itu, orang ramai yang merasai gegaran akibat gempa bumi berkenaan diminta mengisi borang soal selidik yang disediakan MET Malaysia bagi membantu proses pengumpulan maklumat dan penilaian kesan gempa bumi. Terdahulu, beberapa pengguna media sosial di Tawau dan Semporna berkongsi pengalaman merasai gegaran selama beberapa saat. Bagaimanapun, setakat ini tiada laporan rasmi diterima mengenai kerosakan atau kecederaan akibat kejadian berkenaan. – Info X

June 8, 2026

Info X Reporters

Isteri orang, lelaki bujang dicekup dalam Ops Cegah Maksiat

KUNAK: Seorang penjawat awam yang masih berstatus isteri orang antara individu yang ditahan dalam Operasi Cegah Maksiat dijalankan penguat kuasa Pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Kunak, pada Ahad lalu. Wanita itu ditahan bersama seorang lelaki bujang dalam serbuan di sebuah rumah sewa di daerah ini hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan pihak penguat kuasa. Pejabat JHEAINS Daerah Kunak dalam kenyataan memaklumkan, operasi yang bermula jam 1.30 petang dan berakhir kira-kira sejam kemudian itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan membanteras gejala maksiat serta memastikan pematuhan terhadap peruntukan undang-undang syariah. Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati wanita terbabit yang masih berstatus isteri orang berada bersama seorang lelaki bujang di dalam rumah sewa berkenaan. “Kedua-dua individu itu kemudian ditahan dan dibawa ke Pejabat JHEAINS Daerah Kunak untuk tindakan serta siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang syariah yang berkuat kuasa. “Operasi seperti ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi mengekang aktiviti yang bertentangan dengan hukum syarak dan memelihara kesejahteraan masyarakat,” katanya. Dalam pada itu, JHEAINS Kunak turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga batas pergaulan, mematuhi tuntutan syariat Islam dan mengelakkan sebarang perlakuan yang boleh membawa kepada kesalahan jenayah syariah. Katanya, kerjasama serta keprihatinan masyarakat amat penting dalam membantu pihak berkuasa membanteras gejala maksiat dan mengekalkan keharmonian sosial. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti menyalahi hukum syarak boleh menyalurkannya kepada Pejabat JHEAINS Kunak bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil. – Info X.

June 7, 2026

Info X Reporters

Projek SMK Langkon terbengkalai 16 tahun, pelajar menumpang di sekolah lain

KOTA MARUDU: Projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkon, di sini terbengkalai sejak 16 tahun lalu menyebabkan pelajarnya terpaksa menumpang di bangunan sekolah lain. Isu itu mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi negeri, Datuk James Ratib ketika melawat tapak sekolah menengah berkenaan, di sini. Dalam lawatan itu, beliau dimaklumkan seramai kira-kira 650 pelajar SMK Langkon terpaksa menumpang di Sekolah Kebangsaan (SK) Langkon sejak 2010 bagi meneruskan sesi persekolahan mereka. Lawatan itu turut disertai Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kota Marudu, Halim Bidin; Pengetua SMK Langkon, Johari Bahatong dan serta pegawai dari PPD Kota Marudu. James berkata, keadaan yang berlarutan lebih satu dekad itu bukan saja memberi kesan kepada aspek kemudahan dan keselesaan pembelajaran, malah menjejaskan usaha mewujudkan persekitaran pendidikan yang lebih kondusif dan berkualiti kepada pelajar. “Adalah amat mendukacitakan apabila sebuah projek sekolah yang begitu penting kepada masyarakat setempat masih belum dapat disiapkan selepas 16 tahun. “Anak-anak di Langkon berhak menikmati kemudahan pendidikan yang sempurna seperti pelajar lain di negeri ini. “Seramai 650 pelajar telah menunggu terlalu lama. Mereka tidak seharusnya terus berdepan dengan situasi menumpang untuk mendapatkan pendidikan yang menjadi hak asas setiap anak,” katanya. Beliau berkata, isu itu memerlukan perhatian dan tindakan segera semua pihak berkaitan memandangkan pendidikan adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi. Sehubungan itu, beliau memberi jaminan akan membawa isu itu terus kepada perhatian Menteri Pendidikan bagi mendapatkan penyelesaian segera serta tindakan susulan yang sewajarnya demi memastikan projek itu dapat diteruskan dan disiapkan dalam kadar segera. James turut berharap kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dapat diperkukuhkan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap projek berkenaan demi kepentingan pelajar, guru dan komuniti setempat. “Setiap anak Sabah berhak mendapat akses kepada kemudahan pendidikan yang selamat, selesa dan berkualiti. Kita tidak mahu generasi muda terus menanggung kesan kelewatan projek yang sepatutnya telah lama diselesaikan. “Sudah tiba masanya penyelesaian konkrit dilaksanakan agar warga SMK Langkon dapat menikmati kemudahan sekolah yang sewajarnya selepas 16 tahun penantian,” katanya. Beliau menegaskan Kementerian Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah (KPSTI) akan terus memantau perkembangan isu itu dan memberikan kerjasama penuh kepada mana-mana pihak yang terbabit dalam usaha mempercepatkan penyelesaian projek SMK Langkon. – Info X

June 7, 2026

Info X Reporters

Kerajaan tetapkan hala tuju baharu pembangunan sektor pelancongan Sabah

TUARAN: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri sedang merangka Pelan Pembangunan Pelancongan Sabah sebagai panduan jangka panjang bagi membangunkan sektor pelancongan negeri. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pelan komprehensif itu dijangka siap sebelum penghujung tahun ini. Beliau berkata, pelan tindakan itu akan menetapkan hala tuju baharu bagi pertumbuhan sektor pelancongan dengan arah yang jelas, menangani aspek kemampanan dan cabaran seperti hubungan penerbangan, mencerminkan aspirasi rakyat tempatan serta menyediakan kerangka pembangunan yang melangkaui pelan induk terdahulu. “Dengan pelbagai program yang sedang dilaksanakan ketika ini, saya yakin Sabah berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran empat juta ketibaan pelawat sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 serta membuat persediaan bagi Tahun Melawat Sabah 2027. “Tahun lalu, Sabah mencatat prestasi memberangsangkan dengan menerima 3.79 juta ketibaan pelawat, meningkat 20.8 peratus berbanding tahun sebelumnya. “Pencapaian ini menjana pendapatan sebanyak RM8.74 bilion dan mewujudkan hampir 400,000 peluang pekerjaan,” katanya. Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Hilton Garden Inn Kota Kinabalu Tuaran di Kampung Pulau Simpangan, Kuala Matinggi, di sini pada Ahad. Sementara itu, Ketua Menteri berkata Hilton Garden Inn adalah sebahagian daripada komitmen pelaburan berterusan yang lebih besar dengan nilai dianggarkan sekitar RM500 juta. “Ini akan terus memperkukuh keyakinan pelabur terhadap sektor pelancongan dan hospitaliti negeri, selain selaras dengan usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk memperkukuh industri pelancongan Sabah. “Yang lebih penting, pembangunan seperti ini menyokong beberapa teras utama strategi pertumbuhan pelancongan Sabah, iaitu memperkukuh pilihan penginapan premium dan mampan, mewujudkan peluang pekerjaan bermakna serta pembangunan kemahiran untuk penduduk tempatan, memperkasa perusahaan berasaskan komuniti melalui rantaian bekalan, dan mempromosikan pelancongan yang menghormati serta memelihara alam sekitar,” katanya. Hajiji berkata walaupun terdapat faktor luaran yang boleh mempengaruhi sektor pelancongan Sabah, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pelancongan terus berusaha mengimbangi aspek kemampanan, memperkukuh kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti, serta memanfaatkan inovasi digital bagi membina industri pelancongan yang berdaya tahan dan bernilai tinggi. “Pendekatan ini akan memastikan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar dan budaya,” katanya. Beliau percaya kehadiran jenama Hilton akan terus mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan pilihan, bukan saja di Malaysia malah di peringkat serantau dan global. Katanya, pembukaan Sheraton Kota Kinabalu pada awal bulan lalu, bersama hotel lain yang bakal dibina atau kini berada pada pelbagai peringkat pembinaan di negeri ini seperti Avani, Fairfield by Marriott, Club Med, InterContinental dan Wyndham memberi isyarat jelas bahawa Sabah kekal sebagai destinasi yang kompetitif dan menarik bagi pelaburan berkualiti, khususnya dalam sektor pelancongan dan perkhidmatan hospitaliti. “Ia juga membuktikan daya tahan serta keyakinan rakan industri kita walaupun berdepan ketidaktentuan semasa,” katanya. Hajiji turut gembira kerana hartanah yang kini dibangunkan semula sebagai Hilton Garden Inn Kota Kinabalu itu terletak di kampung halamannya, Tuaran, sebuah daerah yang berkembang pesat sehingga mencapai tahap pembangunan yang ada hari ini. “Dengan kedudukannya yang strategik serta tarikan semula jadi yang melimpah ruah, daerah ini mempunyai potensi besar untuk berkembang lebih jauh, khususnya sebagai hab pelancongan. “Pembangunan seperti ini akan melengkapi tarikan sedia ada di Tuaran, menggalakkan lebih banyak ketibaan pelawat serta memberi manfaat kepada perniagaan sekitar, usahawan tempatan dan komuniti secara keseluruhannya,” katanya. Ketua Menteri juga gembira Hilton Garden Inn Kota Kinabalu menyumbang secara langsung kepada pembangunan ekonomi tempatan menerusi penciptaan peluang pekerjaan. “Lebih menggembirakan apabila majoriti pekerjanya terdiri daripada penduduk daerah Tuaran sendiri. Ini merupakan perkembangan yang amat positif kerana mencerminkan aspirasi bersama kita untuk memastikan komuniti tempatan menerima manfaat secara langsung daripada pelaburan yang dilaksanakan di kawasan mereka. “Sesungguhnya, Hilton Garden Inn melambangkan visi bersama kita untuk membangunkan sektor pelancongan bernilai tinggi dan mampan yang memberi manfaat kepada ekonomi serta komuniti tempatan,” katanya. – Info X

June 7, 2026

Info X Reporters

‘Umur 20 tahun belum ada MyKad’

‎KOTA BELUD: Ada penduduk tempatan dikesan tidak memiliki dokumen pengenalan diri walaupun sudah berumur 20 tahun akibat kurang kesedaran mengenai undang-undang yang mewajibkan dokumentasi diri setiap individu. Perkara itu didedahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari berdasarkan masalah dokumentasi dikemukakan penduduk daerah ini pada Program Mahkamah Bergerak di Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk, di sini, pada Sabtu. “Ada juga kes penduduk tempatan yang sudah mencecah usia 19 hingga 20 tahun tetapi masih belum memiliki dokumen pengenalan diri yang sah kerana kurang kesedaran mengenai undang-undang pengenalan diri sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan. Program itu dihadiri kira-kira 600 penduduk dari sekitar daerah ini yang berdepan pelbagai masalah dokumentasi dan memerlukan pengesahan mahkamah untuk menyelesaikan masalah dihadapi. Selain tiada kesedaran undang-undang, Arsad berkata masalah lain yang dikesan menerusi program itu ialah kesukaran penduduk ke hospital untuk mendapatkan dokumen pengesahan kelahiran awal, terutama bagi kes melahirkan anak di rumah, menyebabkan anak tiada dokumen. “Terdapat juga masalah membabitkan perkahwinan yang tidak teratur atau tidak didaftarkan secara sah sama ada melalui jabatan agama bagi penganut Islam, atau tanpa pengesahan adat yang lengkap bagi bukan Islam, termasuk isu perkahwinan campur, contohnya antara warga Cina dengan penduduk tempatan,” katanya. Sementara itu, Arsad berkata kehadiran kira-kira 600 orang pada program itu menandakan signifikan program berkenaan kepada penduduk kampung yang menghadapi masalah dokumen pengenalan diri disebabkan jarak dan kekangan kewangan untuk mendapatkan akses perkhidmatan agensi kerajaan.‎‎”Saya percaya masih ramai penduduk di Sabah khususnya di kawasan luar bandar seperti Kota Belud mengalami masalah dokumen pengenalan diri yang menghalang kepada akses pendidikan, kesihatan dan bantuan daripada kerajaan.‎‎”Setiap rakyat berhak mendapat akses kepada perkhidmatan kerajaan dan sistem keadilan tanpa halangan, termasuk mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.‎‎”Angka yang hadir pada hari ini menandakan signifikan program ini terhadap penduduk Kota Belud,” katanya.‎‎Dalam pada itu, Arsad menzahirkan harapan agar Mahkamah Syariah turut menyertai program berkenaan pada masa depan bagi menyelesaikan isu perkahwinan yang tidak berdaftar sehingga menjejaskan peluang kanak-kanak Islam mendapatkan dokumen kelahiran.‎‎”Dalam konteks umat Islam, peranan Mahkamah Syariah amat penting kerana sering kali perkahwinan yang tidak teratur ataupun tidak berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) menjejaskan peluang kanak-kanak Islam mendapatkan sijil kelahiran”, katanya.‎‎Program Mahkamah Bergerak Fasa 4 Kota Belud yang diadakan di Pusat Khidmat Rakyat DUN Tempasuk itu disertai agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Mahkamah Anak Negeri, JHEAINS, Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS), Jabatan Kesihatan Kota Belud, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ia turut menyediakan perkhidmatan pengesahan sijil lahir, daftar lewat, urusan Surat Akuan dan Pesuruhjaya Sumpah serta nasihat perundangan. – Info X

June 7, 2026

Info X Reporters

700 berjalan kaki sempena 14th Morther’s Day Walk Abreast 2026

KOTA KINABALU: Kira-kira 700 peserta menjayakan program berjalan kaki 14th Morther’s Day Walk Abreast 2026 di Taman Awam Teluk Likas, di sini, pada Ahad. Program tahunan bertemakan ‘Step by Step, Side by Side’ anjuran Sabah Kinabalu Pink Ribbon itu disempurnakan isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag. Antara pesertanya ialah ahli Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) dan ahli keluarga serta pemandiri kanser payudara (breast cancer survivor) selain komuniti setempat. Acara bermula dengan senamrobik pada jam 7 pagi, sebelum peserta meneruskan acara berjalan kaki sejauh kira-kira 4.8 kilometer. – Info X

June 6, 2026

Info X Reporters

Tragedi Double Six: Masa depan Sabah dipandu keberanian, perpaduan dan komitmen pertahan negeri – Donald Mojuntin

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Datuk Donald Mojuntin menyifatkan Tragedi Double Six bukan sekadar satu peristiwa yang perlu dikenang. Sebaliknya, beliau berkata ia adalah peringatan bahawa masa depan Sabah mesti sentiasa dipandu oleh keberanian, perpaduan dan komitmen untuk mempertahankan hak serta kepentingan negeri ini. Katanya, semangat itulah yang terus menjadi asas perjuangan Sabah First dalam usaha mempertahan dan mendapatkan semula hak negeri ini. “Bagi saya, Tragedi Double Six bukan sekadar peristiwa yang perlu dikenang. Bukan untuk memisahkan Sabah daripada Malaysia, tetapi untuk memastikan hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan dihormati, dilaksanakan dan dipertahankan sepenuhnya. “Perjuangan menuntut hak 40 peratus, kuasa-kuasa yang dijamin kepada Sabah, pembangunan yang adil serta penghormatan terhadap kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia adalah sebahagian daripada tanggungjawab generasi hari ini untuk meneruskan legasi perjuangan mereka yang telah mendahului kita,” katanya dalam satu kenyataan sempena memperingati ulang tahun ke-50 Tragedi Double Six pada Sabtu. Donald adalah waris Datuk Peter Mojuntin, iaitu antara pemimpin Sabah yang terkorban dalam nahas pesawat dekat pantai Sembulan pada 6 Jun 1976 yang turut dikenali sebagai Tragedi Double Six. Katanya, tragedi itu membawa kesan yang mendalam dalam sejarah Sabah berikutan kehilangan ramai pemimpin termasuk ayahnya dan Ketua Menteri pada masa itu, Tun Fuad Stephens. “Hari ini, kita memperingati 50 tahun Tragedi Double Six, satu peristiwa yang meninggalkan kesan mendalam dalam sejarah Sabah dan rakyatnya. “Pada 6 Jun 1976, Sabah kehilangan pemimpin-pemimpin yang telah mengabdikan hidup mereka untuk berkhidmat kepada negeri dan rakyat. Walaupun lima dekad telah berlalu, jasa, pengorbanan dan semangat perjuangan mereka tetap hidup dalam ingatan kita,” katanya. Donald menegaskan, dalam menghadapi cabaran semasa, rakyat Sabah tidak boleh berpecah, sebaliknya perlu terus bersatu dalam memperkukuhkan suara negeri. “Kita mesti berdiri bersama sebagai satu keluarga besar, melangkaui perbezaan kaum, agama dan fahaman politik. Hanya melalui perpaduan kita mampu memperkukuhkan suara Sabah dan memastikan masa depan yang lebih baik untuk anak-anak kita. “Sempena ulang tahun ke-50 Tragedi Double Six ini, marilah kita memperbaharui tekad untuk terus mempertahankan hak, maruah dan masa depan Sabah,” katanya. – Info X