June 6, 2026
Info X Reporters
Ulang tahun ke-50 Tragedi Double Six
KOTA KINABALU: Tragedi Double Six yang menyaksikan sebahagian anggota Kabinet Sabah, termasuk Ketua Menteri, Allahyarham Tun Fuad Stephens terkorban dalam nahas pesawat di pantai Sembulan, di sini, pada 6 Jun 1976, sudah berlalu selama setengah abad. Hari ini, 6 Jun 2026 adalah ulang tahun ke-50 tragedi sedih itu dan ia masih diingati sebagai peristiwa penting dalam sejarah Sabah kerana membabitkan ramai pemimpin negeri terkorban dalam satu nahas pesawat. Ia sebagai tanda penghormatan kepada pemimpin negeri yang terkorban dalam tragedi itu, selain penghargaan terhadap pengorbanan mereka sepanjang berkhidmat untuk rakyat negeri ini. Pada tahun ini, upacara memperingati tragedi itu sekali lagi diadakan di Tugu Peringatan Double Six di Sembulan atas inisiatif Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan dihadiri waris dan kenalan mangsa serta wakil kerajaan negeri, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun. Upacara itu bagi mengenang jasa mereka yang terkorban dalam tragedi berkenaan: Mandela dalam kata-katanya sempena upacara itu berkata, generasi hari ini mungkin tidak mengenali mereka secara peribadi, tetapi hasil daripada visi, keberanian dan pengorbanan mereka dapat dirasai hingga sekarang. “Sebagai anak-anak Sabah, menjadi tanggungjawab kita untuk meneruskan usaha yang pernah mereka mulakan dan memastikan negeri yang mereka cintai terus maju, bersatu dan makmur untuk generasi akan datang. “Sempena ulang tahun ke-50 ini, marilah kita bukan saja mengenang cara mereka pergi, tetapi lebih penting, mengingati apa yang mereka perjuangkan semasa hayat mereka,” katanya. – Info X
June 6, 2026
Info X Reporters
Isu kekurangan doktor di Hospital Lahad Datu: Pastikan khidmat kesihatan tidak terjejas – Julita
KOTA KINABALU: Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat menegaskan keutamaan untuk memastikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat di Hospital Lahad Datu tidak terjejas. Menterinya, Datuk Julita Majungki, berkata pihaknya memahami kebimbangan yang dibangkitkan berhubung kekurangan Pegawai Perubatan di hospital itu dan tidak akan membiarkannya menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat. Katanya, beliau dimaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sedang mengambil tindakan segera bagi memastikan perkhidmatan kritikal hospital dapat diteruskan tanpa menjejaskan keselamatan dan kebajikan pesakit. “Apa yang penting ketika ini ialah memastikan gangguan kepada perkhidmatan kesihatan dapat diminimumkan, khususnya bagi pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan dan penjagaan rapi. “Pada masa yang sama, isu tenaga kerja kesihatan perlu dilihat secara menyeluruh kerana ia bukan saja melibatkan penempatan pegawai, tetapi juga keperluan mengekalkan tenaga kerja berpengalaman di fasiliti yang berdepan tekanan perkhidmatan yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan. Julita berkata Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan JKNS bagi memastikan keperluan perkhidmatan kesihatan di Sabah, khususnya di kawasan pantai timur, terus diberi perhatian dan diperkukuhkan dari semasa ke semasa. Terdahulu, JKNS dalam satu kenyataan mengambil serius isu kekurangan Pegawai Perubatan yang dihadapi di Hospital Lahad Datu pada masa kini. “Bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan dan keselamatan pesakit di daerah itu terus terpelihara, beberapa langkah proaktif merangkumi beberapa strategi telah dan akan segera dilaksanakan. “Strategi ini menumpukan kepada pelaksanaan mobilisasi Pegawai Perubatan melalui pendekatan kluster yang melibatkan bantuan hospital di bawah Hospital Kluster Kota Kinabalu dan Hospital Kluster Tawau. “Tindakan pantas ini adalah mustahak bagi menjamin kelangsungan operasi klinikal dan perkhidmatan teras di Hospital Lahad Datu agar tidak terjejas,” katanya. JKNS berkata, kapasiti perkhidmatan akan diperkukuh melalui penempatan tiga Pegawai Perubatan tetap dan dua secara sementara dengan semua pegawai dijadualkan memulakan tugas secara rasmi pada Julai 2026. “Jabatan ini akan memberi keutamaan agihan Pegawai Perubatan kontrak kepada fasiliti yang mengalami kekurangan kritikal pada pengambilan terdekat serta memperkasakan kawalan perpindahan keluar bagi menjamin kestabilan tenaga kerja dan kelangsungan perkhidmatan kepakaran. “Pihak JKNS sentiasa meletakkan kebajikan pesakit dan kelancaran operasi hospital di seluruh Sabah sebagai keutamaan tertinggi, sekali gus memastikan mutu penjagaan kesihatan yang terbaik dapat diberikan kepada masyarakat di Sabah,” katanya. Ends
June 6, 2026
Info X Reporters
Dua warga asing ditahan disyaki buat bom ikan
SEMPORNA: Taktik dua warga asing menjadikan dua rumah di Kampung Hidayat, Pulau Bum Bum sebagai lokasi menghasilkan bom ikan terbongkar apabila diserbu polis, semalam. Serbuan kira-kira jam 11 pagi itu membawa kepada penahanan seorang lelaki dan seorang wanita berusia 25 dan 24 tahun serta rampasan pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan. Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah serta Balai Polis Pulau Bum Bum hasil maklumat dan risikan berhubung aktiviti pembuatan bom ikan. Menurutnya, pemeriksaan di kedua-dua rumah terbabit menemui pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan bahan letupan bagi tujuan menangkap ikan secara haram. “Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan serbuan menahan dua suspek warga asing dan merampas pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk membuat bom ikan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, kedua-dua suspek turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana dipercayai tidak memiliki pas atau permit sah untuk tinggal di Malaysia. Katanya, jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, selain boleh dikenakan sebatan. Tan berkata, pihaknya menghargai maklumat yang disalurkan orang awam dan meminta kerjasama masyarakat terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengeboman ikan kepada balai polis berhampiran. “Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan ini kerana ia bukan sahaja membahayakan nyawa, malah merosakkan ekosistem marin serta mengancam keselamatan,” katanya. – Info X
June 6, 2026
Info X Reporters
Kilang ais blok diserbu, aset RM2.1 juta dirampas
TAWAU: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan kegiatan sebuah premis pengeluaran ais blok dipercayai beroperasi tanpa kelulusan dan lesen dalam operasi bersepadu bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tawau dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT), pada Khamis. Menurut kenyataan Batalion 14 PGA Tawau, operasi yang dijalankan kira-kira jam 8 pagi itu disasarkan ke atas premis Fresh Ice Enterprise hasil maklumat dan risikan yang diperoleh pihaknya. Katanya, operasi diketuai Pegawai Risik Cawangan Risik Batalion 14 PGA Tawau, Asisten Komisioner Mohd Rafail Rabbahil bersama sembilan anggota, lima pegawai KKM yang diketuai Pegawai Kesihatan Persekitaran, Mohd Rafi Osman serta wakil MPT. “Hasil pemeriksaan ke atas premis dan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun dipercayai pengurus kilang berkenaa menemukan sebuah peti sejuk jenis ‘chiller’ yang mengandungi sejumlah ais blok dipercayai untuk pasaran sekitar Tawau dan Semporna. “Pemeriksaan lanjut, menemukan dua mesin penghasilan ais blok, sebuah mesin penghancur ais, dua unit cooling tower serta tangki simpanan air yang digunakan dalam proses pengeluaran ais blok,” menurut kenyataan itu, hari ini. Menurut kenyataan itu lagi, semakan mendapati lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan serta Lesen Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan masih sah dan berkuat kuasa. Bagaimanapun, katanya, pengusaha didapati gagal mengemukakan sebarang lesen atau kelulusan yang membenarkan aktiviti penghasilan dan penjualan ais blok. “Selain itu, premis berkenaan juga didapati gagal memaparkan papan tanda perniagaan sebagaimana yang dikehendaki mengikut peruntukan undang-undang pihak berkuasa tempatan. “Jumlah keseluruhan nilai rampasan melibatkan aset dan peralatan yang digunakan dalam operasi pengeluaran ais blok tersebut dianggarkan sebanyak RM2.1 juta,” katanya. Dalam pada itu, KKM Cawangan Tawau telah mengambil tindakan lanjut dan menjalankan siasatan di bawah Peraturan 394(A)(4) Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Sebagai tindakan awal, KKM mengeluarkan kompaun berjumlah RM2,500 serta mengarahkan sitaan operasi kilang dan peralatan berkaitan. MPT turut mengeluarkan notis amaran pertama kepada pemilik premis kerana gagal memaparkan papan tanda perniagaan mengikut Undang-Undang Perlesenan (Iklan) MPT 1968. – Info X
June 5, 2026
Info X Reporters
Operator kilang didakwa rogol adik kandung
LAHAD DATU: Seorang lelaki dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan merogol adik kandung sehingga hamil pada Disember tahun lalu. Operator kilang berumur 31 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suhailla Selag. Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram dengan merogol adik kandung perempuannya berusia 17 tahun. Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara jam 2 petang hingga jam 5 petang di sebuah rumah pekerja ladang di Kunak pada Disember tahun lalu. Berikutan itu, tertuduh berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara antara lapan tahun hingga 30 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shearil Aizad Murnizam, manakala tertuduh diwakili peguam Sylyester Kuan. Mahkamah menetapkan 3 Julai depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia (DNA) dan laporan perubatan mangsa. Tiada jaminan ditawarkan terhadap mangsa. – Info X
June 5, 2026
Info X Reporters
675 liter petrol dirampas, lelaki ditahan di jeti
SEMPORNA: Cubaan menyimpan dan memiliki sejumlah besar petrol tanpa kebenaran gagal apabila seorang lelaki ditahan dalam operasi penguatkuasaan di Jeti Kampung Air, Pekan Semporna, di sini, semalam. Dalam operasi yang dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 22 Kunak itu, sebanyak 675 liter petrol bersama sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran dan sebuah enjin sangkut Yamaha 40 kuasa kuda (HP) dirampas. Kes berkenaan kemudian diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. Menurut KPDN, lelaki yang hanya memiliki sijil kelahiran itu ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan bagi memiliki atau menyimpan barang kawalan berkenaan. Nilai rampasan petrol dianggarkan RM2,646, manakala keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dan enjin sangkut dianggarkan RM5,244.40. Susulan itu, satu kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk tindakan lanjut. KPDN berkata, operasi berkenaan dilaksanakan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) yang diperhebatkan bagi membanteras aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan bersubsidi di daerah Semporna termasuk kawasan perairan sekitarnya. Menurutnya, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau syarikat yang didapati melanggar peruntukan undang-undang berkaitan barang kawalan. “Mana-mana individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. “Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya,” katanya. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan diminta menyalurkannya kepada KPDN melalui saluran aduan rasmi bagi membantu usaha penguatkuasaan. – Info X
June 5, 2026
Info X Reporters
Lebih 20,000 petak parkir di pusat bandar raya, DBKK galak orang ramai guna kemudahan disediakan
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memaklumkan bahawa kemudahan tempat letak kereta di pusat bandar adalah mencukupi dengan lebih 20,000 petak parkir disediakan bagi memastikan kelancaran trafik, keselamatan pengguna jalan raya serta keselesaan pengunjung. DBKK menjelaskan, ketika ini kira-kira 4,005 petak parkir awam disediakan di kawasan pusat bandar dan sekitarnya, selain beberapa kemudahan parkir bertingkat seperti di KK Plaza (452 petak), Menara Jubli (276 petak) dan KK Sentral (499 petak) dengan kadar caj RM1 sejam. Selain kemudahan oleh pihak berkuasa tempatan itu, lebih 19,000 petak parkir tambahan turut disediakan oleh bangunan komersial dan premis persendirian di sekitar pusat bandar, antaranya The Shore, Wisma Sabah, Wisma Merdeka, Warisan Square, Suria Sabah, Riverson, Plaza Shell, Oceanus, KK Times Square, Jesselton Quay, Jesselton Mall, Imago, Kompleks Asia City, Centre Point dan Api-Api Centre. DBKK turut memaklumkan bahawa caj parkir di premis swasta adalah berpatutan iaitu antara RM2 hingga RM4 untuk beberapa jam pertama. Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan itu mendapati masih terdapat pengguna jalan raya yang memilih untuk meletakkan kenderaan di lokasi tidak dibenarkan seperti bahu jalan, laluan keluar masuk premis, kawasan larangan parkir, persimpangan jalan, laluan pejalan kaki, hadapan premis perniagaan serta kawasan yang boleh menghalang aliran trafik. Menurut DBKK, perbuatan itu bukan sahaja melanggar peraturan, malah boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas, meningkatkan risiko keselamatan serta menjejaskan aktiviti harian orang awam dan perniagaan setempat. Dalam sesetengah keadaan, kenderaan yang diletakkan secara tidak teratur turut menyebabkan kerosakan kepada kemudahan awam seperti landskap bandar, pokok hiasan, kaki lima, pembahagi jalan dan infrastruktur lain. DBKK menegaskan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara berperingkat mengikut prosedur operasi standard (SOP), termasuk hebahan awal menggunakan siren atau pembesar suara sebelum notis kompaun dikeluarkan kepada pemilik kenderaan yang ingkar. Bagi kes tertentu yang mengganggu aliran trafik, melibatkan risiko keselamatan awam atau kesalahan berulang, tindakan menunda kenderaan akan diambil sebagai langkah terakhir selepas semua prosedur dipatuhi. DBKK turut mengingatkan orang ramai bahawa berjalan kaki dalam jarak munasabah dari kawasan parkir ke destinasi adalah amalan biasa di bandar utama, selain menggalakkan penggunaan kemudahan parkir di bangunan berhampiran bagi mengurangkan kesesakan di pusat bandar. Sehubungan itu, DBKK menyeru semua pengguna jalan raya agar sentiasa menggunakan petak parkir yang sah, mematuhi peraturan serta merancang perjalanan dengan lebih baik ketika berurusan di pusat bandar. Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan Kota Kinabalu kekal sebagai bandar raya yang lebih teratur, selamat, bersih dan mesra pengguna. – Info X
June 5, 2026
Info X Reporters
Dituduh ceroboh tanah, dua individu mengaku tidak bersalah
TAWAU: Dua individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menceroboh tanah milik sebuah syarikat dengan niat mengganggu operasi pekerja syarikat itu, bulan lalu. Tertuduh, masing-masing seorang penyelia dan juruukur kanan sebuah syarikat perlombongan emas bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum. Kedua-dua tertuduh, Chok Kat Leong, 65, dan Romuald Peter, 36, membuat pengakuan itu selepas mendengar pertuduhan terhadap mereka. Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan tanah milik Southsea Gold Sdn Bhd pada dengan niat mengganggu operasi pekerja syarikat berkenaan pada 22 Mei lalu. Mereka didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama kerana melakukan perbuatan itu secara bersama. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali. Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM2,000 setiap seorang dengan dua penjamin tempatan yang berasingan. Majistret menetapkan 7 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu serahan dokumen berkaitan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wildan Firdaus Ahmad Fazly, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Chen Wen Jye. – Info X