May 31, 2026
Info X Reporters
Kerajaan alu-alukan bayaran interim RM1.5 bilion, berharap dapat disalurkan cepat
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri berharap bayaran interim pemberian khas RM1.5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu dapat disalurkan secepat mungkin demi manfaat rakyat Sabah. Sambil mengalu-alukan pengumuman itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia membuktikan kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Anwar adalah kerajaan yang bertanggungjawab dan menunaikan janji. Menerusi satu kenyataan, beliau turut mengalu-alukan jaminan Perdana Menteri ketika merasmikan sambutan Pesta Kaamatan di Hongkod Koisaan, Penampang bahawa Kerajaan Persekutuan akan terus menghormati dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). “Ini membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan menunaikan apa yang dijanjikan. “Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan semua peruntukan di bawah MA63, khususnya pemberian khas 40 peratus, dapat direalisasikan,” katanya. – Info X
May 31, 2026
Info X Reporters
Pembiayaan sewa beli lebih adil di bawah Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang berkuatkuasa mulai 1 Jun – Armizan
KOTA KINABALU: Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 secara rasmi akan dikuatkuasakan bermula 1 Jun 2026 sebagai langkah memperkukuh perlindungan pengguna dan memastikan sistem pembiayaan sewa beli lebih adil, telus dan berdaya saing. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata bagi fasa awal bermula 1 Jun 2026, sebanyak 11 institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli akan menawarkan pinjaman sewa beli berdasarkan pindaan peruntukan yang termaktub dalam Akta 212 itu dan peraturan subsidiari di bawahnya sebelum disusuli fasa kedua yang disasar bermula pada September 2026. Katanya, sejajar dengan pindaan itu, Peraturan-Peraturan Sewa Beli (Caj Terma) 2026 [PU(A) 171/2026] akan turut berkuat kuasa. “Penguatkuasaan ini adalah susulan daripada pindaan kepada Akta Sewa Beli 1967 yang telah diluluskan di Parlimen pada 2025 sebagai sebahagian daripada ikhtiar memperkukuh kerangka perundangan berhubung ekosistem kredit pengguna. “Sebelum pindaan ini, antara isu yang sering menjadi keluhan rakyat adalah berkaitan transaksi sewa beli dalam pembelian kenderaan, khususnya melibatkan beban caj faedah tersembunyi serta baki pinjaman yang masih tinggi walaupun pengguna membuat penyelesaian awal pinjaman. “Keadaan ini menyebabkan peminjam yang ingin menyelesaikan pinjaman lebih awal terpaksa menanggung baki pinjaman yang tinggi dan tidak mencerminkan kos sebenar pinjaman,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. Armizan berkata, antara intipati utama pindaan yang telah dibuat ialah pemansuhan penggunaan Kadar Faedah Tetap Sama Rata (flat rate) dan kaedah Peraturan 78 (Rule of 78). Di bawah kaedah itu, katanya sebahagian besar bayaran ansuran pada peringkat awal tempoh pinjaman digunakan untuk membayar faedah, manakala hanya sebahagian kecil diperuntukkan kepada bayaran prinsipal. “Peruntukan baharu melalui pindaan yang telah dibuat memperkenalkan Kaedah Pengurangan Baki (reducing balance method) dan Kadar Faedah Efektif (effective interest rate) bagi pinjaman sewa beli berkadar tetap. “Melalui kaedah ini, faedah dikiraberdasarkan baki pinjaman semasa, sekali gus menjadikan penyelesaian awal pinjaman lebih telus dan adil kepada pengguna,” katanya. Katanya, pindaan akta itu turut memasukkan penggunaan teknologi dalam perjanjian sewa beli sejajar dengan transformasi digital, termasuk kebenaran untuk menggunakan tandatangan dan penyerahan dokumen secara digital serta elektronik bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan proses perjanjian. Di samping itu, katanya pindaan itu turut memperkenalkan keperluan dua pelaksanaan usaha wajar (due diligence) untuk pengesahan identiti peminjam sebagai langkah mengurangkan risiko penipuan. “Pengguna yang ingin mendapat manfaat di bawah peruntukan undang-undang baharu ini dinasihatkan untuk membuat semakan berkaitan sebelum memuktamadkan perjanjian sewa beli. “Pada masa yang sama, institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli yang masih dalam proses persediaan termasuk integrasi dan pengubahsuaian sistem diberikan tempoh peralihan (grace period) sehingga 31 Mac 2027. “Institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli digalakkan untuk menawarkan perkhidmatan berdasarkan kerangka undang-undang baharu ini pada kadar segera dan memaklumkan kementerian sebaik memuktamadkan proses peralihan,” katanya. Armizan berkata, reformasi undang-undang itu menunjukkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan ekosistem kredit yang lebih telus dan berintegriti, meningkatkan tadbir urus industri, serta melindungi hak dan kepentingan rakyat sebagai pengguna di seluruh negara. – Info X
May 31, 2026
Info X Reporters
Untung ketum tak sempat merasa
RANAU: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penjualan air ketum dalam serbuan di belakang sebuah rumah di Kampung Kinapulidan, di sini, malam tadi. Dalam operasi kira-kira jam 10 malam itu, polis turut merampas lapan botol air ketum serta puluhan paket serbuk ketum dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM3,940. Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, suspek berusia 23 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) serta Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDKA) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau. Katanya, pemeriksaan dijalankan selepas polis menerima maklumat dan menjalankan risikan awal. “Hasil pemeriksaan di kawasan berkenaan menemukan sebuah bekas polisterin mengandungi lapan botol mineral 1.5 liter berisi air ketum. “Turut dirampas dua bungkusan plastik mengandungi serbuk ketum membabitkan 37 paket seberat satu kilogram setiap satu,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, suspek kemudiannya dibawa ke pejabat BSJN IPD Ranau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. Mursalin berkata, pihak polis akan terus mempergiatkan usaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran bahan terlarang termasuk air ketum di daerah ini. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis supaya tindakan sewajarnya dapat diambil. “Kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu pihak berkuasa mengekang kegiatan jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya. – Info X
May 30, 2026
Info X Reporters
‘Bayaran interim RM1.5 bilion bukti jalan rundingan dipilih GRS bukan lemah’ – Nizam
KOTA KINABALU: Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenaikan bayaran interim untuk Sabah kepada RM1.5 bilion membuktikan pendekatan melalui rundingan dibuat kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor membuahkan hasil yang diharapkan. Perkara itu dinyatakan Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan ketika mengulas peningkatan bayaran interim pemberian khas untuk Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion seperti diumumkan Perdana Menteri di Penampang pada Sabtu. Jelasnya, pendekatan kerajaan negeri yang memilih jalan rundingan, kebijaksanaan dan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan, akhirnya membawa hasil yang nyata kepada rakyat Sabah. Katanya, pengumuman itu juga sekali gus menolak dakwaan tidak berasas yang menuduh kerajaan negeri di bawah GRS tidak memperjuangkan hak rakyat negeri ini. “Saya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung peningkatan bayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sementara pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah dimuktamadkan dalam tempoh terdekat. “Pengumuman ini membuktikan bahawa pendekatan Kerajaan Negeri Sabah di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang memilih jalan rundingan, kebijaksanaan dan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan, akhirnya membawa hasil yang nyata kepada rakyat Sabah. “Peningkatan pembayaran ini juga menolak dakwaan tidak berasas kononnya Kerajaan Negeri Sabah tidak memperjuangkan hak-hak Sabah. “Hakikatnya, perjuangan hak Sabah bukan hanya diukur melalui laungan kuat di pentas politik atau kenyataan beremosi di media sosial tetapi melalui hasil yang dapat dibawa pulang kepada negeri dan rakyat,” katanya dalan satu kenyataan. Nizam berkata, proses menuntut dan memuktamadkan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang dikutip dari negeri ini, bukan proses mudah. Jelasnya, ia melibatkan perincian undang-undang, fiskal, pentadbiran dan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri. “Rundingan memerlukan kesabaran, ketelitian dan rasa hormat antara kedua-dua pihak. Kita tidak boleh memilih jalan yang berkonfrontasi secara berlebihan atau membakar sentimen rakyat, tetapi akhirnya tidak membawa apa-apa hasil konkrit kepada Sabah. “GRS memilih pendekatan yang lebih matang. Kita tegas dalam mempertahankan hak Sabah, tetapi pada masa yang sama bijak menjaga hubungan kerja dengan Kerajaan Persekutuan. “Pendekatan inilah yang membolehkan rundingan terus berjalan, ruang penyelesaian dibuka dan hasil interim yang lebih besar dapat diperoleh sementara formula muktamad dimuktamadkan,” katanya Peningkatan bayaran interim kepada RM1.5 bilion, katanya bukan penyelesaian akhir, tetapi ia adalah satu perkembangan penting. “Bayaran ini menunjukkan bahawa tuntutan Sabah terus didengar, dipertimbangkan dan diterjemahkan kepada komitmen kewangan yang lebih besar oleh Kerajaan Persekutuan. “Gagasan Rakyat juga mengambil maklum penegasan Perdana Menteri bahawa pelaksanaan hak 40 peratus kepada Sabah bukan lagi persoalan sama ada ia perlu dilaksanakan atau tidak, sebaliknya hanya menunggu perincian mekanisme dan kaedah pelaksanaan. “Ini adalah perkembangan yang amat penting dalam sejarah perjuangan MA63. “Oleh itu, rakyat Sabah perlu melihat perkara ini secara adil. Kerajaan Negeri tidak pernah berdiam diri. Rundingan terus berjalan, tuntutan terus dibawa dan hasilnya semakin dapat dilihat secara berperingkat,” katanya. Beliau berkata, kerajaan memahami rakyat Sabah mahu penyelesaian yang segera terhadap isu 40 peratus, namun dalam isu besar seperti itu, kerajaan yang bertanggungjawab tidak boleh bertindak secara tergesa-gesa atau hanya mengejar tepukan politik jangka pendek. Apa yang lebih penting, katanya ialah memastikan keputusan yang dibuat benar-benar kukuh, boleh dilaksanakan dan memberi manfaat jangka panjang kepada Sabah. “Gagasan Rakyat akan terus menyokong usaha Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk memuktamadkan pelaksanaan hak 40 peratus ini dengan segera, telus dan adil sebagaimana semangat MA63. “Perjuangan hak Sabah mesti diteruskan dengan keberanian dan kebijaksanaan. Kita tidak menolak ketegasan tetapi ketegasan mesti disertai strategi. Kita tidak menolak suara rakyat tetapi suara rakyat mesti diterjemahkan kepada hasil, bukan sekadar slogan. “Pengumuman RM1.5 bilion ini membuktikan bahawa jalan rundingan yang dipilih oleh GRS bukan jalan lemah, tetapi jalan yang membawa hasil. Inilah politik matang yang diperlukan Sabah, politik yang bukan sekadar lantang tetapi berkesan,” katanya. – Info X
May 30, 2026
Info X Reporters
Remaja hilang dibawa ombak masih belum ditemui
KUALA PENYU: Seorang remaja lelaki yang hilang selepas dipercayai dibawa ombak ketika mandi – manda di Pantai Batu Linting, Jalan Mansut, Menumbuk, di sini, masih belum ditemui walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah memasuki hari kedua, hari ini. Sehingga operasi ditangguhkan pada jam 6.30 petang tadi, mangsa berusia 15 tahun masih belum ditemui walaupun pelbagai usaha pencarian dilakukan pasukan penyelamat di daratan, laut dan udara. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu, Penolong Penguasa Bomba Zulhalim Abidin berkata, operasi SAR hari kedua dimulakan pada jam 9.15 pagi dengan kerjasama beberapa agensi penyelamat. Katanya, pasukan SAR meneruskan pencarian secara intensif di kawasan pesisir pantai dan perairan sekitar lokasi kejadian menggunakan kaedah Water Surface Search and Rescue (WSSAR). “Pasukan bomba menjalankan pencarian di sepanjang pesisir pantai sejauh kira-kira lima kilometer, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membantu menerusi pencarian udara menggunakan helikopter bagi memperluaskan kawasan operasi. “Usaha pencarian dilakukan secara bersepadu membabitkan rondaan permukaan air, pemeriksaan di kawasan berpotensi serta pemantauan berterusan di daratan dan udara,” katanya. Menurutnya, operasi SAR ditangguhkan pada jam 6.30 petang dan akan disambung semula esok bagi meneruskan usaha mengesan mangsa. Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang Jumaat lalu, dua beradik dipercayai lemas ketika mandi-manda di pantai berkenaan. Seorang mangsa berusia 13 tahun berjaya diselamatkan oleh ahli keluarga, manakala abangnya yang berusia 15 tahun dipercayai dihanyutkan ombak dan masih belum ditemui. Difahamkan, kedua-dua remaja itu berasal dari Tuaran dan berada di pantai berkenaan bersama beberapa ahli keluarga ketika kejadian berlaku. Operasi pencarian kini diteruskan dengan kerjasama JBPM, PDRM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – Info X
May 30, 2026
Info X Reporters
Ewon alu-alukan komitmen PM laksana hak 40 peratus Sabah, bayaran interim naik RM1.5 bilion
PENAMPANG: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick mengalu-alukan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk melaksanakan hak 40 peratus hasil Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk peningkatan pembayaran interim kepada negeri itu daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion. Ewon berkata, pengumuman berkenaan mencerminkan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam memenuhi tuntutan berkaitan hak hasil Sabah secara berperingkat sementara rundingan pemuktamadan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terus dilaksanakan. Katanya, keputusan menaikkan bayaran interim itu merupakan langkah positif yang menunjukkan komitmen kerajaan dalam menangani isu berkaitan hak kewangan Sabah yang sekian lama diperjuangkan. “Bagi pihak UPKO, saya mengalu-alukan komitmen Perdana Menteri untuk melaksanakan hak 40 peratus Sabah serta keputusan meningkatkan bayaran interim kepada RM1.5 bilion,” katanya. Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, di Penampang, yang dirasmikan Perdana Menteri, pada Sabtu. Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah berkata, UPKO akan terus menyokong segala usaha yang menjurus kepada pemulihan hak-hak Sabah berdasarkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perlembagaan Persekutuan. Menurutnya, pelaksanaan hak 40 peratus itu amat penting dalam memastikan Sabah memperoleh hak yang sewajarnya selaras dengan kedudukannya dalam Persekutuan Malaysia. Mengulas mengenai sambutan Pesta Kaamatan pula, beliau berkata perayaan itu bukan sahaja mencerminkan warisan budaya masyarakat Kadazandusun dan kaum-kaum lain di Sabah, malah menjadi platform penting untuk memperkukuhkan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negeri ini. “Kaamatan bukan sekadar perayaan kebudayaan, tetapi juga simbol kesyukuran, perpaduan dan identiti rakyat Sabah yang perlu terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya. Terdahulu, Anwar dalam ucapan perasmiannya menegaskan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan hak 40 peratus Sabah sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan MA63. Beliau berkata, rundingan yang sedang dijalankan ketika ini bertujuan memuktamadkan mekanisme pelaksanaan termasuk aspek perundangan dan kewangan yang berkaitan dengan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah. Sementara proses rundingan itu diteruskan, Perdana Menteri turut mengumumkan peningkatan pembayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sebagai langkah sementara bagi memenuhi keperluan kewangan negeri berkenaan. – Info X
May 30, 2026
Info X Reporters
KPDN lancar Ops Kesan 6.0 bendung pencatutan susulan krisis bekalan global
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal melancarkan Ops Kesan 6.0 mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 bermula 1 Jun hingga 31 Ogos depan bagi membendung aktiviti pencatutan susulan krisis bekalan global. Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata, pelaksanaan operasi susulan krisis bekalan global pada awal tahun ini yang mencetuskan lonjakan harga minyak mentah dunia sehingga memberi kesan kepada rantaian bekalan, kos penghantaran serta harga barangan asas di Malaysia. “Langkah proaktif ini diambil bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan daripada kenaikan kos bahan mentah, operasi dan perniagaan untuk memperoleh keuntungan tinggi tidak munasabah. “Tindakan penguatkuasaan ini selaras dengan peruntukan Akta 723 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018. “Ops Kesan 6.0 turut menggunakan data sedia ada yang dipungut secara berkala oleh KPDN sejak tercetusnya krisis di Asia Barat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini. Menurutnya, skop pemeriksaan merangkumi keseluruhan rantaian bekalan termasuk pengilang, penternak, peladang, pengedar, pemborong dan peruncit. “Antara sektor utama yang menjadi fokus operasi termasuk sektor petrokimia melibatkan pembungkusan dan plastik seperti polietilena dan polipropilena serta baja pertanian seperti urea dan ammonia. “Bagi sektor pertanian pula, pemeriksaan tertumpu kepada bekalan sayur sawi, kailan, timun, tomato dan cili merah. “Dalam sektor penternakan, operasi membabitkan makanan asas ayam pedaging dan penelur, ayam standard serta semua jenis telur ayam gred A, B dan C,” katanya. Bercakap lanjut beliau berkata, sektor pengangkutan turut diberi perhatian khusus membabitkan caj penghantaran logistik selain pemeriksaan berkala berdasarkan aduan semasa pengguna. “Sepanjang operasi berlangsung, pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara akan menyerahkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) mengikut Seksyen 21 Akta 723 kepada premis diperiksa bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai harga jualan dan kos operasi. “KPDN menegaskan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi atau memberi maklum balas terhadap notis berkenaan. “Notis berkenaan menjadi instrumen penting untuk mengarahkan pengemukaan dokumen perniagaan, maklumat kos dan invois bagi membolehkan analisis terperinci terhadap sebarang aktiviti pencatutan dijalankan. “Kegagalan mematuhi arahan atau mengemukakan maklumat palsu menjadi satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan di bawah seksyen berkaitan tanpa perlu menunggu keputusan akhir analisis margin keuntungan perniagaan,” katanya. Beliau berkata, sekiranya hasil analisis mendapati wujud kenaikan keuntungan semasa yang melebihi nilai keuntungan tahun sebelumnya dan siasatan lanjut membuktikan berlaku pencatutan, tindakan undang-undang akan diambil mengikut Seksyen 14(1) AKHAP 2011. “Bagi syarikat, kesalahan pertama boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 manakala kesalahan kedua atau seterusnya membawa denda sehingga RM1 juta. “Bagi peniaga individu pula, kesalahan pertama boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali. “Kesalahan kedua dan seterusnya pula membawa hukuman denda sehingga RM250,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. Beliau menegaskan komitmen kementerian untuk terus mengesan dan mengekang aktiviti pencatutan bagi memastikan kestabilan kos sara hidup rakyat terus terpelihara. – Info X
May 30, 2026
Info X Reporters
RM1.5 bilion pemberian khas untuk Sabah, hak 40 peratus tetap dilaksanakan – PM
PENAMPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan bayaran interim pemberian khas untuk Sabah kepada RM1.5 bilion, berbanding RM600 juta sebelum ini. Peningkatan itu diumumkan Perdana Menteri ketika merasmikan sambutan Kaamatan di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini, pada Sabtu. Pada masa yang sama, Anwar turut mengulangi komitmen Kerajaan Madani pimpinannya untuk melaksanakan hak 40 peratus Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Katanya, hak yang dimiliki Sabah melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu tetap dilaksanakan setelah rundingan mengenai kaedah pelaksanaannya dimuktamadkan menerusi rundingan di antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam beberapa bulan lagi. Perdana Menteri menegaskan, beliau tidak mahu disamakan seperti kepimpinan kerajaan terdahulu yang tidak melaksanakan hak untuk Sabah dan menyerangnya atas apa yang berlaku sebelum ini. “Sekarang ditakdirkan saya di tampuk kekuasaan, saya tidak mahu abaikan. Saya tidak mahu dikenali orang yang tidak merasa prihatin dan tidak menunaikan janji atau mengkhianati amanah. Jadi sebab itu kerajaan Persekutuan, saya bawa Jemaah Menteri, saya lafazkan di Parlimen bahawa Kerajaan MADANI tetap akan melaksanakan janji 40 peratus itu. “Jangan ungkit pemerintahan yang lalu dan serang saya akibat masalah-masalah kecuaian lama. Kerana terbiasanya banyak yang terbabas, jadi kita mula sekarang. Sebab itu saya berterima kasih kepada wakil-wakil dari Sabah ini dengan sopan dan terutamanya sahabat saya Datuk Seri Hajiji. Dia tidak lantang suaranya, tapi dalam, tiap pertemuan dia cakap halus budi bahasanya tapi menikam. “Sebab itu saya beritahu rakan-rakan dalam Jemaah Menteri, kita kena cari jalan. Jadi sebab itu saya segera minta Ketua Setiausaha Perbendaharaan bicara secara terperinci dengan Setiausaha Kerajaan Negeri. “Maka soalnya bukan soal dasar. Dasar hari pertama hanya Kerajaan MADANI pimpinan saya yang meletakkan ‘no argument, it is a policy that must be implemented, period’,” katanya. Beliau berkata, perkara yang perlu diselesaikan ketika ini adalah soal pelaksanaan hak 40 peratus yang memerlukan rundingan lanjut di antara kerajaan negeri dan Persekutuan. “Sekarang cabarannya bagaimana kaedah pelaksanaan. Bila bincang soal hak negeri, perjanjian persekutuan, itu tidak boleh kita pakai runding satu dua hari selesai. Kena faham setiap keputusan yang saya buat, itu implikasinya langsung ke Sarawak dan negeri-negeri lain. “Betul saudara katakan 1963 keadaannya lain tetapi dia akan mengundang perbincangan. Saya bukan guna ini alasan untuk menolak, saya hanya ceritakan ini dia Malaysia, ini kepelbagaiannya, ini hubungan negeri-negeri. “Sabah, Sarawak itu agak istimewa kerana 1963 perjanjian tetapi negeri-negeri lain pun ada hak mereka masing-masing. Mereka tidak mahu terasa terpinggir dan tertinggal. Jadi yang saya sebut di sini ialah rundingan itu harus teliti. “Tiap keputusan kita ini keputusan terkait dengan perjanjian sebenarnya. Jadi tiap keputusan kita jumlahnya itu harus dicerakin dengan terperinci. Ini yang saya minta bawa amanahkan kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan bersama dengan Menteri Kewangan II dan saya juga minta Ketua Setiausaha Perbendaharaan bersama Menteri Kewangan II untuk teliti. “Ia mengambil masa sedikit, tetapi ia tidak akan menolak kenyataan bahawa dana harus diberikan. Itu juga tidak harus dipersoalkan,” katanya,” katanya. Anwar berkata, walaupun berlaku isu geopolitik global disebabkan krisis di Asia Barat yang menjejaskan harga bahan api dunia dan perbelanjaan untuk subsidi di negara ini, ia tidak dijadikan alasan untuk melengahkan pelaksanaan hak 40 peratus Sabah. “Jadi, bagaimana kita tangani untuk sekarang sebelum dimuktamadkan? Sekarang belum dimuktamadkan dalam perbincangan yang lebih teliti. Apakah dia tunggu sehingga dimuktamadkan untuk salurkan dana? Saya tidak fikir saudara Hajiji atau rakan-rakan di Sabah akan sabar. Berapa lama perbincangan itu berlaku, saya fikir tidak munasabah, mesti selesai dalam beberapa bulan. “Kerana sebaik saja draf awal di sini dibawa kepada Finance Committee dan kepada Kabinet dan dalam rangka itu mesti ada perbincangan yang lebih teliti selain daripada aspek perlembagaan. Tetapi saya tidak mahu dianggap sengaja melengah-lengahkan. Saya tekankan sekali lagi soal 40 peratus walaupun dikatakan ada kekangan 112 bagi saya tutup. Jangan orang pertikai keputusan kita untuk melaksanakan janji. “Sama ada bulan Jun atau Disember itu soal yang harus diputuskan oleh dua-dua jawatankuasa dan kemudian dibawa kepada kerajaan negeri di peringkat tertinggi dan rundingan di antara Persekutuan dan negeri. “Tapi untuk sekarang hari ini interimnya dulu RM600 juta. Jadi untuk hari ini saya umumkan interim ini meningkat kepada RM1.5 bilion ringgit,” katanya. – Info X