Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

May 30, 2026

Info X Reporters

Kaamatan satukan masyarakat berbilang kaum, agama dan latar belakang di Sabah – Tun Musa

KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, berkata Kaamatan telah berkembang menjadi perayaan yang menyatukan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang seiring peredaran zaman. Menerusi perutusan Kaamatan sempena sambutan kemuncak perayaan itu pada 30 dan 31 Mei, Tun Musa berkata keharmonian dan persefahaman yang dinikmati rakyat Sabah sejak sekian lama terus menjadi contoh kepada negara. “Justeru, kita mesti terus menolak sebarang unsur perpecahan, fahaman ekstrem dan sentimen sempit yang boleh menggugat perpaduan serta muhibah yang telah lama dipupuk bersama. “Ketika Sabah terus melangkah ke arah pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat, adalah penting agar tiada komuniti atau kawasan yang tercicir daripada arus kemajuan. “Penekanan berterusan perlu diberikan kepada aspek pendidikan, latihan kemahiran, pembangunan infrastruktur, capaian digital dan peluang ekonomi khususnya di kawasan luar bandar serta pedalaman,” katanya. Tun Musa berkata, Pesta Kaamatan adalah antara perayaan kebudayaan yang amat bermakna di Sabah. Katanya, perayaan yang berakar daripada rasa kesyukuran atas hasil tuaian yang melimpah ruah serta tradisi yang diwarisi turun-temurun itu, melambangkan kekayaan warisan budaya, semangat kental dan perpaduan rakyat Sabah. “Walaupun peranan penanaman padi dalam kehidupan masyarakat telah berubah seiring arus pemodenan dan perkembangan semasa, intipati Kaamatan sebagai perayaan kesyukuran, kebersamaan dan saling menghormati tetap kekal utuh,” katanya. Beliau berkata, generasi muda juga perlu dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan, disiplin, daya tahan dan nilai-nilai murni agar mampu menyumbang secara bermakna kepada masa depan Sabah. Dalam masa yang sama, katanya rakyat negeri ini mesti terus memelihara dan menghargai tradisi budaya, warisan masyarakat pribumi serta nilai-nilai yang diwariskan oleh nenek moyang. “Tradisi, bahasa, seni dan adat resam masyarakat kita merupakan khazanah yang amat bernilai serta menjadi identiti dan jiwa Negeri Sabah. Menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan warisan ini terus subur, dihargai dan diwariskan kepada generasi akan datang. “Sempena sambutan yang penuh bermakna ini, marilah kita bersama-sama mensyukuri segala nikmat yang dikurniakan serta memperkukuhkan semangat perpaduan, kasih sayang dan keprihatinan sesama kita demi memastikan Sabah terus aman, maju dan makmur untuk semua. “Pada kesempatan ini, saya dan isteri sekali lagi mengucapkan Selamat Menyambut Pesta Kaamatan kepada seluruh rakyat Sabah yang meraikannya. Kotobian Tadau Tagazo Do,” katanya. – Info X

May 30, 2026

Info X Reporters

PM diharap bawa ‘khabar gembira’ untuk rakyat Sabah

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah mengharapkan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sabah hari ini akan membawa ‘khabar gambira’ berhubung status pelaksanaan hak 40 peratus negeri ini. Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah, Datuk Masiung Banah, berkata ealaupun hak Sabah itu dalam proses perundangan di Mahkamah Rayuan, rakyat dan kerajaan negeri ini tetap berpendirian bahawa dua komponen utama cukai semasa yang tidak dipertikaikan perlu dimulakan dengan bayaran segera. “Semakan terkini Perkara 112C dan 112D perlu dilaksanakan tahun ini.Kerana itu, kita mengharapkan Perdana Menteri menghadiahkan berita baik kepada rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan. Anwar dijadualkan hadir merasmikan Perayaan Pesta Kaamatan peringkat negeri di Hongkod Koisaan, Penampang pagi ini. Pada Khamis, semua Wakil Rakyat Kerajaan yang hadir Taklimat Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sepakat agar dua kerangka utama itu harus dilaksanakan segera oleh kerajaan Persekutuan. Masiung berkata, dua kerangka utama yang tidak dipertikaikan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan MA63 baru-baru ini adalah menerusi cukai kastam dan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Katanya, pengumuman Perdana Menteri berhubung perkara berkenaan penting dan ia amat dinantikan pemimpin dan seluruh rakyat negeri ini. Pengerusi Kumpulan SEDCO itu menjelaskan, berdasarkan anggaran semasa 40 peratus bahagian Sabah daripada kutipan itu merangkumi kira-kira RM7.547 bilion. Maka pemberian khas Sabah adalah RM3.019 bilion, tambahnya. Isu tuntutan 40 peratus Sabah kekal menjadi agenda utama rundingan antara kerajaan negeri dan Persekutuan. – Info X

May 30, 2026

Info X Reporters

PM dijangka jelaskan isu 40 peratus di Hongkod Koisaan, Penampang hari ini

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menjelaskan isu 40 peratus ketika hadir merasmikan Pesta Kaamatan di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Penampang, hari ini. Perkara itu disebutnya selepas ditanya wartawan maklum balasnya terhadap kenyataan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali mengenai isu berkenaan di ibu negara pada Jumaat. “Itu saya akan jelaskan esok (hari ini) di Sabah. Saya akan ke Sabah,” katanya. Perdana Menteri bersama isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijadual tiba di Hongkod Koisaan pada jam 11 pagi sebelum menyampaikan ucapan perasmian dan menyaksikan persembahan kebudayaan serta melawat rumah-rumah tradisi pelbagai etnik Kadazandusun di sekitar Kompleks Rumah Tradisi KDCA. Sebelum itu, Perdana Menteri dijadual tiba dari Kuala Lumpur dengan pesawat khas di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada kira-kira jam 10.20 pagi. Selain memeriahkan sambutan Kaamatan yang diraikan masyarakat pelbagai etnik di Sabah, khususnya Kadazandusun dan Murut, kehadiran Perdana Menteri sememangnya dinanti berikutan isu pengembalian 40 peratus hasil bersih Sabah. Isu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu sentiasa menjadi tumpuan setiap kali tibanya Kaamatan, lebih-lebih lagi banyak perdebatan mengenainya di antara pemimpin kerajaan dan pembangkang di Sabah sejak kebelakangan ini. Pada Khamis, Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, menyatakan keyakinan terhadap Kerajaan Persekutuan untuk bersetuju membuat semakan kadar pemberian khas dalam isu 40 peratus kepada Sabah pada tahun ini. Menerusi satu kenyataan, Armizan berkata ia sejajar pendirian tegas kerajaan negeri pimpinan GRS supaya semakan terkini di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan pada tahun ini, meskipun kes berkaitan hak 40 peratus masih dalam proses perundangan di peringkat Mahkamah Rayuan. “GRS telah menyatakan pendirian tegas supaya semakan terkini kadar Pemberian Khas (Special Grant) di bawah Perkara 112C dan 112D perlu dilaksanakan tahun ini juga. “Diyakini Kerajaan Persekutuan akan bersetuju untuk membuat semakan dengan peningkatan kadar baharu pada tahun 2026. “Ini sejajar dengan komitmen yang dizahirkan oleh YAB Perdana Menteri sebelum ini termasuk dalam platform rasmi di Dewan Rakyat (Parlimen) pada 13 November 2025 bahawa Kerajaan Persekutuan mengiktiraf hak 40 peratus Pemberian Khas bagi Sabah sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya. Kenyataan beliau menyusul selepas menyelaraskan Sesi Perbincangan Khas Berhubung Status Perkembangan Pelaksanaan Hak 40 peratus Sabah bersama pimpinan utama GRS dan ahli Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam. Sesi perbincangan itu disertai tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah yang mengetuai delegasi Sabah dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (JT-MTPMA63), iaitu Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Datuk Seri Masidi Manjun dan Datuk Ewon Benedick. Armizan berkata, komitmen dizahirkan Perdana Menteri berhubung isu 40 peratus memaparkan komitmen Kerajaan Persekutuan hari ini untuk membetulkan pendirian rasmi Kerajaan Persekutuan pada pentadbiran-pentadbiran lalu. Katanya, kerajaan Persekutuan terdahulu bukan saja tidak membuat sebarang semakan, malah pernah menjawab secara rasmi di Parlimen bahawa hak 40 peratus Sabah itu telah terhenti berkuat kuasa. Perdana Menteri turut dijangka menjelaskan perkembangan semasa isu global, terutama berkaitan bahan api dan langkah kerajaan menangani isu subsidi serta kenaikan harga yang membebankan rakyat, terutama di Sabah dan Sarawak. Lawatan singkat Perdana Menteri ke Sabah hari ini dijadual berakhir pada jam 1 tengah hari sebelum kembali ke ibu negara dengan pesawat khas dari Terminal 2, KKIA. – Info X

May 29, 2026

Info X Reporters

Remaja 15 tahun hilang dibawa ombak ketika mandi di Pantai Batu Linting

BEAUFORT: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dikhuatiri lemas selepas hilang dibawa arus deras ketika mandi bersama ahli keluarganya di Pantai Batu Linting, Kuala Penyu, petang tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa dikenali sebagai Jason Alexander Jonathan dari Kampung Kiaulu, Tuaran, dilaporkan hilang selepas dihanyutkan ombak kuat ke tengah laut. Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, mangsa ketika itu mandi bersama ahli keluarga sebelum arus kuat tiba-tiba menariknya ke laut. “Adik mangsa cuba membantu menyelamatkannya namun gagal sebelum mangsa terus dibawa arus. “Adik mangsa yang turut mengalami kecederaan kemudian dibawa ke Hospital Kuala Penyu untuk menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi malam ini. Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), penduduk kampung, nelayan serta wakil rakyat kawasan berkenaan. “Orang ramai yang menemui atau mempunyai maklumat mengenai remaja berkenaan diminta segera menghubungi pihak polis atau memaklumkan kepada petugas di Pos Kawalan Tempat Kejadian,” katanya. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu, Zulhalim Abdin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.22 petang sebelum sepasukan sembilan anggota dari BBP Kuala Penyu dikerahkan ke lokasi. “Setibanya di lokasi, pasukan penyelamat dimaklumkan terdapat dua kanak-kanak dipercayai lemas ketika mandi-manda di pantai berkenaan. “Bagaimanapun, seorang mangsa berusia 13 tahun berjaya diselamatkan ahli keluarga, manakala Jason masih belum ditemui. “Operasi pencarian dijalankan di kawasan persisiran pantai menggunakan kaedah water surface search and rescue namun usaha mencari berdepan cabaran akibat keadaan ombak yang kuat. “Sehingga malam ini, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR diteruskan,” katanya. – Info X

May 29, 2026

Info X Reporters

Warga emas maut, pikap bertembung

RANAU: Seorang lelaki warga emas maut manakala seorang lagi lelaki cedera selepas dua kenderaan pacuan empat roda bertembung dalam kejadian di Kilometer 15 Jalan Bongkud – Kota Marudu, di sini, petang tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu, mangsa yang berusia 74 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu membabitkan dua kenderaan pacuan empat roda yang bertembung di lokasi kejadian. Katanya, kenderaan dipandu lelaki berusia 54 tahun itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kampung Tarawas menuju ke pusat timbang kelapa sawit di Kampung Bongkud. “Siasatan awal mendapati kenderaan berkenaan dipercayai terbabas sebelum bertembung secara berhadapan dengan sebuah lagi pikap yang dipandu mangsa dari arah Lohan. “Akibat kemalangan itu, pemandu kenderaan pertama mengalami kecederaan pada tangan kanan, manakala pemandu kenderaan kedua tidak sedarkan diri di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 5.01 petang oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Lohan. “Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Ranau sebelum dirujuk ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu untuk bedah siasat. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Info X

May 29, 2026

Info X Reporters

Kaki tersepit jeriji longkang ketika melintas jalan

TUARAN: Seorang remaja lelaki berdepan detik mencemaskan apabila kakinya tersepit pada jeriji besi longkang ketika melintas jalan di hadapan sebuah premis di Pekan Tuaran, di sini, petang tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa berusia 19 tahun mengalami kecederaan pada kaki sebelum diselamatkan pasukan bomba. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba Kurong AK Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.04 petang. Katanya, sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira satu kilometer dari balai. “Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kaki mangsa tersepit pada jeriji besi longkang ketika melintas jalan. “Pasukan kemudian menjalankan penilaian awal sebelum menggunakan peralatan khas penyelamatan (rescue tool) bagi membuka jeriji besi berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS. “Mangsa kemudiannya dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. “Selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.36 petang,” katanya. – Info X

May 29, 2026

Info X Reporters

Langkah UPKO kukuhkan kesatuan parti tempatan Sabah – Azrul

KOTA KINABALU: Keputusan UPKO memohon menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menunjukkan semakin banyak pihak melihat keperluan untuk parti tempatan bersatu dalam satu kerangka yang lebih kukuh, matang dan berpaksikan kepentingan Sabah. Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Azrul Ibrahim, berkata langkah UPKO itu sejajar hasrat untuk melihat politik Sabah terus bergerak ke arah kerjasama dan penyatuan. Katanya, langkah itu yang sewajarnya diambil, bukan perpecahan yang akhirnya merugikan rakyat dan melambatkan pembangunan negeri. “Kita menyeru semua pihak untuk mengambil sikap yang sama dengan mengutamakan kestabilan, perpaduan dan masa depan Sabah melebihi kepentingan politik sempit. “Masa depan Sabah akan menjadi lebih kuat apabila parti-parti tempatan bersatu suara dan tenaga demi rakyat negeri ini,” katanya mengulas kenyataan UPKO mengenai hasrat untuk menyertai GRS pada Jumaat. Azrul berkata langkah parti itu adalah perkembangan positif ke arah memperkukuh lagi kesatuan politik tempatan demi masa depan negeri yang lebih stabil dan kuat. “GRS telah membuktikan bahawa kestabilan politik adalah asas penting kepada pembangunan negeri. “Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Sabah berjaya bergerak lebih baik melalui pelbagai agenda pembangunan, pelaburan, penyelesaian isu asas rakyat serta perjuangan hak-hak Sabah di bawah MA63,” katanya. – Info X

May 29, 2026

Info X Reporters

UPKO mohon sertai GRS

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) hari ini mengemukakan permohonan menjadi parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Permohonan itu diserahkan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick ketika mengetuai delegasi partinya mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS, hari ini. Ewon berkata, UPKO mahu menyumbang kepada penyatuan dan kerjasama parti tempatan Sabah bagi memperkukuh usaha membangunkan masa depan negeri dan memperjuangkan hak-hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perlembagaan Persekutuan. “Wawasan Sabah First yang diperjuangkan UPKO bersesuaian dengan perjuangan GRS melalui Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang mesti diperkukuh melalui kerjasama lebih erat dan penyatuan parti-parti tempatan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini. Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata mesyuarat Majlis Tertinggi UPKO pada 25 Mei yang lalu sebulat suara bersetuju untuk memohon menjadi parti komponen GRS. Ketika ini GRS dianggotai lima parti tempatan Sabah, iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Cinta Sabah, Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP). GRS sebelum ini dianggotai lapan parti komponen, namun dua parti iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) keluar dari gabungan itu sebelum Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada November tahun lalu. Ia kemudian diikuti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) pimpinan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada April lalu. – Info X