Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

May 29, 2026

Info X Reporters

Warga asing ditahan bersama syabu 50 gram

SEMPORNA: Kegiatan seorang lelaki warga asing yang dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah di daerah ini terbongkar apabila ditahan polis bersama syabu seberat 50.08 gram dalam operasi di Kampung Selamat, awal pagi tadi. Dalam operasi kira-kira jam 2 pagi itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Semporna turut merampas satu bungkusan plastik mengandungi ketulan hablur jernih disyaki syabu dengan nilai anggaran sekitar RM5,000. Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, tangkapan dilakukan hasil maklumat dan risikan berhubung kegiatan pengedaran dadah di kawasan berkenaan. Katanya, sepasukan anggota BSJND yang menjalankan pemerhatian mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menahannya untuk pemeriksaan lanjut. “Hasil pemeriksaan menemui satu bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 50.08 gram. “Suspek warga asing berusia 38 tahun itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Tan berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah di daerah ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti berkenaan. “Kerjasama masyarakat amat penting dan orang ramai diseru terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah serta penyalahgunaan dadah bagi membantu pihak polis mengekalkan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya. – Info X

May 29, 2026

Info X Reporters

Lelaki Indonesia hilang ketika tarik pasir ditemui lemas

KOTA BELUD: Seorang lelaki warga Indonesia yang dilaporkan terjatuh ke dalam sungai ketika menjalankan aktiviti menarik pasir menggunakan bot penarik di Kampung Paka-Paka, di sini, ditemui lemas hari ini. Mangsa, Vinsensius Sare Tukan, 42, ditemukan oleh Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah pada jam 11.20 pagi di lokasi sama dia dilaporkan terjatuh. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua dimulakan pada jam 8 pagi dengan kerjasama pelbagai agensi penyelamat. “Pencarian dijalankan menggunakan kaedah pencarian permukaan air di sepanjang persisiran sungai selain operasi selaman oleh Unit PPDA. “Mangsa berjaya ditemui pada kedalaman kira-kira lapan meter sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Operasi yang turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Unit PPDA Zon Kudat dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.30 tengah hari. Terdahulu, mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam sungai kira-kira jam 6 petang ketika menjalankan aktiviti menarik pasir menggunakan bot penarik di Kampung Paka-Paka. Kejadian itu disedari rakan sekerja sebelum pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 8.58 malam dan segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian. – Info X

May 29, 2026

Info X Reporters

Penyelidik UMS sahkan penemuan spesies baharu tumbuhan di Tawau

KOTA KINABALU: Spesimen tumbuhan misteri yang ditemukan di Taman Bukit Tawau pada 2014 akhirnya disahkan sebagai spesies baharu selepas melalui kajian saintifik mendalam oleh penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS). Spesies baharu itu dikenali sebagai Ardisia condensiflora dan diterbitkan secara rasmi pada 26 Mei lalu dalam jurnal taksonomi botani antarabangsa, Phytotaxa (Vol. 758, No. 3). Penemuan dan pengesahan spesies berkenaan dilakukan penyelidik Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), UMS, Dr Avelinah Julius bersama Dr Timothy M.A. Utteridge dari Singapore Botanic Gardens dan IBTP, UMS. Menurut kenyataan IBTP, tumbuhan itu ditemukan di kawasan hutan dipterokarpa pamah campuran yang teduh serta di sepanjang tebing sungai dalam kawasan perlindungan Taman Bukit Tawau, di Tawau. Katanya, bagi mengesahkan status spesies berkenaan, kajian taksonomi dan herbarium secara terperinci dijalankan menggunakan spesimen yang dipinjam daripada Herbarium Taman Sabah. “Proses ini membuktikan kepentingan koleksi herbarium dan kerjasama institusi secara berterusan dalam usaha merekodkan biodiversiti yang masih tersembunyi,” menurut kenyataan itu. Hasil kajian mendapati Ardisia condensiflora setakat ini hanya ditemukan di Taman Bukit Tawau sekali gus menjadikannya spesies endemik Sabah. Berdasarkan dua rekod koleksi yang ditemukan, spesies nadir itu dinilai secara awal sebagai Rentan (Vulnerable – VU D2) mengikut kriteria Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) berikutan taburan habitatnya yang sangat terhad. Bagaimanapun, spesies berkenaan masih belum menerima penyenaraian rasmi daripada badan antarabangsa itu. Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata hutan Sabah kekal menjadi antara “makmal hidup” paling berharga di dunia. “Penemuan seperti ini membuktikan masih banyak lagi yang perlu diterokai, didokumentasikan dan dilindungi,” katanya. Dr Avelinah pula berkata, penemuan itu menjadi peringatan bahawa Borneo masih menyimpan banyak spesies yang belum direkodkan oleh sains. “Penerokaan saintifik, penyelidikan herbarium dan usaha pemuliharaan berterusan amat penting bagi memastikan spesies-spesies ini tidak pupus sebelum sempat dikenali,” katanya. Kenyataan itu turut memaklumkan penerbitan berkenaan adalah antara hasil kerjasama menerusi Surat Niat (LoI) antara UMS dan Singapore Botanic Gardens selain sokongan penyelidikan berterusan daripada Taman Sabah melalui Memorandum Persefahaman (MoU) bersama IBTP, UMS. Sejak 2017, Dr Avelinah dilaporkan sudah menyumbang kepada penemuan dan pengesahan sekurang-kurangnya lima spesies baharu Ardisia di rantau ini. – Info X

May 29, 2026

Info X Reporters

Lelaki hilang selepas terjatuh sungai ketika tarik pasir

KOTA BELUD: Seorang lelaki warga Indonesia dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Kampung Paka-Paka, di sini, semalam. Mangsa Vinsensius Sare Tukan, 42, dipercayai terjatuh ke sungai kira-kira jam 6 petang ketika menjalankan aktiviti menarik pasir menggunakan bot penarik. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.58 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi. Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula pada jam 8 pagi tadi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). “Operasi pencarian dijalankan di lokasi terakhir mangsa dipercayai terjatuh menggunakan teknik pencarian permukaan air (water surface search and rescue) serta pemeriksaan di sepanjang persisiran sungai. “Setakat ini mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR diteruskan,” katanya ketika dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, sebarang perkembangan berkaitan operasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – Info X

May 29, 2026

Info X Reporters

Dua rumah, sebuah Myvi musnah dalam kebakaran

SANDAKAN: Dua buah rumah jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Gum-Gum Batu 16, di sini, tengah malam tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 12.08 tengah malam itu, sebuah kereta jenis Perodua Myvi turut hangus terbakar. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum sepasukan anggota bersama jentera dikerahkan ke lokasi kejadian. Menurutnya, pasukan bomba dari BBP Sandakan tiba di lokasi pada jam 12.30 tengah malam selepas menempuh perjalanan sejauh 23 kilometer. “Kebakaran melibatkan dua rumah jenis tidak kekal berkeluasan 25×30 kaki persegi setiap satu dan kedua-duanya telah terbakar 100 peratus semasa ketibaan pasukan bomba. “Turut terbakar sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang musnah sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan menggunakan sumber air daripada tangki jentera. Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.51 tengah malam dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden itu. “Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.22 pagi,” katanya. – Info X

May 28, 2026

Info X Reporters

Polis tahan tujuh pelajar kes belasah pelajar perempuan

KOTA KINABALU: Seramai tujuh pelajar sekolah menengah ditahan bagi membantu siasatan susulan video tular melibatkan kes membelasah pelajar perempuan, sejak semalam. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, semua pelajar berkenaan ditahan kira-kira jam 3 petang tadi. “Tangkapan melibatkan enam pelajar perempuan dan seorang pelajar lelaki berusia lingkungan 15 hingga 17 tahun. “Pelajar lelaki ditahan dipercayai bertindak sebagai individu merakam keseluruhan kejadian berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Terdahulu, pihak polis menjalankan siasatan berhubung insiden berkenaan selepas menerima laporan polis yang dibuat mangsa sendiri pada sehari selepas kejadian. Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku pada kira-kira jam 8 pagi, 22 Mei lalu apabila mangsa dipercayai dipukul menggunakan tangan oleh lima orang pelajar perempuan. Akibat kejadian itu, mangsa mengalami lebam pada kedua-dua bahu dan kaki, lebam pada telinga kiri serta luka kecil pada lutut kiri. Semua pelajar yang terlibat dipercayai mengenali antara satu sama lain dan berhubung melalui kumpulan di aplikasi WhatsApp dikenali sebagai “Angel”. – Info X

May 28, 2026

Info X Reporters

Tergelincir ketika memancing, kanak-kanak ditemukan lemas

KUDAT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam tali air ketika memancing bersama rakannya di Kampung Masangkong, di sini, petang tadi. Mangsa dikatakan memancing di kawasan tali air yang terletak kira-kira 300 meter dari rumahnya sebelum dipercayai tergelincir dan jatuh ke dalam air. Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada pihak bomba pada jam 6 petang. Katanya, siasatan awal mendapati mangsa keluar memancing bersama rakannya kira-kira jam 5 petang sebelum kejadian berlaku. “Rakan mangsa kemudian berlari pulang ke rumah untuk memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarga mangsa. “Bapa saudara mangsa kemudian pergi ke lokasi kejadian sebelum berjaya menarik mangsa naik ke darat dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi, malam ini. Menurutnya, pasukan perubatan Hospital Kudat tiba di lokasi kejadian sebelum menjalankan bantuan pernafasan kecemasan (CPR), namun mangsa tidak memberikan sebarang tindak balas. “Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia. “Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kesan kecederaan ditemui pada tubuh mangsa,” katanya. Mohd Haris berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kudat untuk tindakan lanjut. “Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – Info X

May 28, 2026

Info X Reporters

‘Putrajaya diyakini setuju semak semula, naikkan pemberian khas kepada Sabah tahun ini’

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yakin Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk membuat semakan kadar pemberian khas kepada Sabah sejajar pendirian tegas kerajaan negeri supaya semakan terkini di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan dilaksanakan pada tahun ini. Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata ketegasan itu tetap disuarakan meskipun kes berkaitan hak 40 peratus masih dalam proses perundangan di peringkat Mahkamah Rayuan. “GRS telah menyatakan pendirian tegas supaya semakan terkini kadar Pemberian Khas (Special Grant) di bawah Perkara 112C dan 112D perlu dilaksanakan tahun ini juga. “Diyakini Kerajaan Persekutuan akan bersetuju untuk membuat semakan dengan peningkatan kadar baharu pada tahun 2026. “Ini sejajar dengan komitmen yang dizahirkan oleh YAB Perdana Menteri sebelum ini termasuk dalam platform rasmi di Dewan Rakyat (Parlimen) pada 13 November 2025 bahawa Kerajaan Persekutuan mengiktiraf hak 40 peratus Pemberian Khas bagi Sabah sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menyelaraskan Sesi Perbincangan Khas Berhubung Status Perkembangan Pelaksanaan Hak 40 peratus Sabah bersama pimpinan utama GRS dan wakil ahli-ahli yang berhormat Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, pada Khamis. Turut bersama pada sesi perbincangan itu ialah ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah yang mengetuai delegasi Sabah dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (JT-MTPMA63). Armizan berkata, komitmen dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memaparkan komitmen Kerajaan Persekutuan hari ini untuk membetulkan pendirian rasmi Kerajaan Persekutuan pada pentadbiran-pentadbiran lalu. Katanya, kerajaan Persekutuan terdahulu bukan saja tidak membuat sebarang semakan, malah pernah menjawab secara rasmi di Parlimen bahawa hak 40 peratus Sabah itu telah terhenti berkuat kuasa. Tegasnya, GRS dan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor akan terus menggunakan platform dan wadah perundingan yang diwujudkan untuk memastikan semakan kadar baharu Pemberian Khas dibuat tahun ini dan dapat mencapai angka yang jauh lebih tinggi sejajar hak negeri. “Syor ini telah dikemukakan secara rasmi. Sabah menuntut hak dan tambahan hasil ini untuk memperbesarkan ruang fiskal negeri untuk kesejahteraan rakyat dan lonjakan pembangunan negeri. “Sebagai contoh, dengan peningkatan Special Grant dari hanya RM26.7 juta dari tahun 1974-2021, kadar yang diterima kini RM600 juta setahun telah membolehkan beberapa inisiatif baharu dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri,” katanya. Ahli Parlimen Papar itu berkata, pada peringkat awal peningkatan kadar itu, kerajaan pimpinan Hajiji telah memutuskan beberapa inisiatif yang memanfaatkan secara langsung kepada rakyat supaya hak itu dapat didengar, dilihat dan dirasai serta-merta oleh rakyat dimulai dengan kumpulan rentan dalam kategori miskin. “Antaranya, pelaksanaan inisiatif Rumah Mesra SMJ. Setakat 2022 hingga 30 April 2026, sebanyak 6,634 rumah telah siap dibina dan telahpun diduduki isi rumah miskin. “Sementara itu, inisiatif Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang telah bermula dua tahun lalu pula telah menyalurkan bantuan tunai bulanan kepada 140,000 ketua isi rumah miskin di seluruh Sabah,” katanya. Sehubungan itu, Armizan berkata dengan jangkaan peningkatan Pemberian Khas pada tahun ini, Kerajaan Negeri disasar memberi fokus kepada inisiatif tambahan seperti menaik taraf rangkaian sistem perpaipan air untuk menangani isu non-revenue water (NRW) dan pembinaan jambatan-jambatan seluruh negeri khususnya kawasan luar bandar. – Info X