May 28, 2026
Info X Reporters
‘Geng Angel’ bergaduh, seorang lebam dikeroyok lima rakan
KOTA KINABALU: Seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun dipercayai menjadi mangsa pukul beramai-ramai oleh lima pelajar perempuan lain dalam kejadian di sekitar bandar raya ini, minggu lalu. Kejadian itu terbongkar selepas rakaman video memaparkan mangsa dipukul tular di media sosial sejak semalam sebelum menerima perhatian ramai. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu pada 23 Mei lalu kira-kira jam 7.51 pagi yang dibuat sendiri oleh mangsa. Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 22 Mei lalu kira-kira jam 8 pagi di sekitar kawasan Kota Kinabalu. “Mangsa dipercayai dipukul menggunakan tangan oleh lima pelajar perempuan sehingga mengalami lebam pada kedua-dua bahu dan kaki, selain lebam pada telinga kiri serta luka kecil pada lutut kiri. “Siasatan lanjut mendapati mangsa dan semua suspek adalah pelajar daripada beberapa sekolah berbeza di sekitar Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, semua mereka dipercayai saling mengenali menerusi satu kumpulan WhatsApp dikenali sebagai “Angel”. Menurutnya, siasatan juga mendapati mangsa dibawa ke lokasi kejadian oleh dua suspek sebelum semua pelajar terbabit bertindak mengepung dan memukul mangsa dipercayai akibat salah faham serta rasa tidak puas hati. “Mangsa turut mendakwa diugut supaya tidak memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarga atau pihak polis. “Kejadian itu disaksikan beberapa pelajar dan orang awam sebelum dirakam dan tersebar di media sosial,” katanya. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. Terdahulu, tular di media sosial satu video berdurasi satu minit, satu saat memaparkan seorang pelajar perempuan dipukul beramai-ramai dipercayai berlaku di luar kawasan sekolah sehingga mengundang kecaman orang ramai. – Info X
May 27, 2026
Info X Reporters
Seorang lagi ‘pusher’ dadah Telipok Ria dicekup JSJN Sabah
TUARAN: Seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah diberkas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dalam serbuan di kawasan Taman Telipok Ria, di sini, Ahad lalu. Suspek warga Filipina berusia 52 tahun itu ditahan kira-kira jam 8 malam ketika berada di kawasan parkir hadapan sebuah premis di taman perumahan berkenaan. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, tangkapan dibuat hasil maklumat dan risikan berkaitan aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan dadah di kawasan terbabit. Menurutnya, ketika serbuan dijalankan, suspek yang menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis. “Bagaimanapun suspek berjaya ditahan sebelum pemeriksaan lanjut menemui 12.6 gram dadah dipercayai syabu dianggarkan bernilai RM700. “Turut dirampas dua telefon bimbit dan sebuah motosikal yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pengedaran dadah,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine. Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah secara kecil-kecilan di sekitar kawasan Telipok Ria. “Operasi dan risikan bagi mengesan saki-baki individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di daerah ini akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa. “Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Info X
May 27, 2026
Info X Reporters
Lelaki kena cekup kes tipu
TAWAU: Seorang lelaki tempatan dicekup polis ketika berada di kawasan tempat letak kereta Kampung Melati Burut, di sini, selepas disyaki terbabit dalam kes penipuan. Suspek berusia 47 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai menerusi operasi dijalankan kira-kira jam 8.20 malam semalam hasil maklumat dan risikan berkaitan kes berkenaan. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan dibuat bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. “Ketika operasi dijalankan, anggota polis memperkenalkan diri serta menunjukkan kad kuasa PDRM sebelum menahan suspek. “Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut dan siasatan lanjut sedang dijalankan pegawai penyiasat kes,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, tiada sebarang rampasan dibuat ketika tangkapan dilakukan. Beliau berkata, pihak polis memandang serius kes penipuan dan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati serta tidak mudah percaya dengan mana-mana tawaran mencurigakan terutama membabitkan urusan kewangan. – Info X
May 27, 2026
Info X Reporters
Ketua Menteri serah lembu korban di IPD Tuaran
TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyempurnakan Majlis Penyerahan Lembu Korban sempena sambutan Aidiladha di Ibu Pejabat Polis Daerah Tuaran, di sini, pada Rabu. Beliau bersama Ahli Parlimen Tuaran yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Madius Tangau; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri yang juga ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai; ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya dan ADUN Dilantik, Datuk Abdul Kassim Razali secara simbolik menyerahkan lembu korban kepada Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin. Terdahulu, Ketua Menteri menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Haji Noor di Kampung Serusup, di sini, bersama penduduk dari sekitar kampung berkenaan. Hajiji turut mengambil peluang beramah mesra dengan jemaah selepas menunaikan solat sunat Aidiladha. – Info X
May 27, 2026
Info X Reporters
MyDesa ResQ latih 120 wakil komuniti hadapi bencana
KOTA KINABALU: Seramai 120 wakil komuniti termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah menyertai Kursus MyDesa ResQ anjuran Institut Kemajuan Desa (INFRA) Cawangan Sabah. Kursus dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu diadakan di sebuah hotel di Inanam, di sini, baru-baru ini. Antara kawasan DUN yang terbabit ialah Inanam, Bandau, Penampang, Pitas, Sepanggar, Kota Marudu dan Kepayan. Kursus berlangsung selama tiga hari bermula 20 hingga 22 Mei itu bertujuan memperkukuh kesiapsiagaan komuniti luar bandar dalam menghadapi bencana seperti banjir, kebakaran, tanah runtuh dan ribut. Peserta turut didedahkan dengan pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS), tindakan awal menyelamat, peranan komuniti ketika bencana serta penyelarasan bersama agensi penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Turut hadir, wakil Pengarah Kebangsaan INFRA, Abd Jalil Ismail, Pengarah INFRA Sabah, Ruran Balang serta pegawai daripada pelbagai agensi berkaitan. Ceramah JBPM pula disampaikan oleh Penguasa Kanan Bomba, Riki Mohan Singh Ramday yang berkongsi berkaitan pengendalian kebakaran serta tindakan kecemasan di peringkat komuniti. Program berkenaan dilihat sebagai langkah proaktif KKDW menerusi INFRA dalam melahirkan komuniti desa yang lebih bersedia, peka dan berdaya tahan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana. – Info X
May 26, 2026
Info X Reporters
Muzik Kaamatan kembali bersinar menerusi karya baharu terbitan AJ Productions
KOTA KINABALU: Syarikat penerbitan muzik tempatan, AJ Productions kembali memeriahkan industri hiburan Sabah menerusi penerbitan beberapa karya istimewa yang dikumandangkan khusus sempena sambutan Kaamatan tahun ini. Dengan mengetengahkan identiti budaya, semangat perpaduan dan keunikan warisan masyarakat Borneo, lagu berentak tradisi yang disesuaikan dengan sambutan Pesta Kaamatan itu pasti menggamit minat penggemar muzik tempatan Sabah. AJ Productions yakin deretan lagu yang diterbitkan khas sepanjang musim Kaamatan kali ini bukan saja tampil sebagai hiburan kepada pendengar, malah menjadi platform penting dalam memperkukuhkan lagi kedudukan muzik tempatan Sabah di persada industri muzik semasa. Sandaran pertamanya untuk Kaamatan kali ini, lagu ‘Montok Tadau Kaamatan’ nyanyian Nic O’ Niel, mengetengahkan alunan melodi ciptaan Kaynizam Maskor manakala liriknya ditulis sendiri oleh Nic, satu cubaan untuk tampil menghangatkan sambutan Kaamatan kali ini. Dikenali dengan debut ‘Hadirmu Kasih’ bersama Asmi Andi Yakin, Nic tampil dengan single Kaamatan yang menggambarkan kegembiraan masyarakat Sabah meraikan perayaan itu bersama keluarga, sahabat-handai dan komuniti setempat. Dengan irama yang mudah melekat dan dekat dengan jiwa pendengar di Sabah, AJ Productions yakin lagu itu bakal menjadi antara karya yang cukup sinonim dengan suasana Kaamatan masa kini. Menghangatkan lagi kemeriahan sambutan Kaamatan kali ini, AJ Productions turut tampil menerusi penerbitan ‘Guyang Kaamatan’ yang dibawakan Rich, sebuah karya berentak agak rancak yang menghiburkan. “Selari dengan tajuknya, lagu ini membawa mesej kegembiraan dan mengajak masyarakat untuk sama-sama menikmati kemeriahan sambutan Kaamatan. “Gabungan elemen muzik moden bersama sentuhan identiti tempatan menjadikan karya ini antara lagu yang berpotensi menjadi pilihan utama sepanjang musim perayaan tahun ini,” ulas AJ Productions mengenai lagu baharu Rich itu. Dalam pada itu, Clarice John Matha bersama Andrew Poninting turut tampil dengan versi baharu lagu malar segar ‘Tondu Unduk Ngadau’ yang diterbitkan AJ Productions sempena Kaamatan tahun ini. Lagu ciptaan Jasnie Mohd Yaakub dan lirik oleh Datuk Illyas Ibrahim itu sebelum ini pernah dipopularkan oleh Donna Masidah yang sememangnya cukup dekat di hati peminat muzik tempatan. Versi terkini itu diberikan susunan muzik yang lebih moden dan menarik tanpa menghilangkan keindahan serta nilai sentimental karya asalnya. AJ Productions menyifatkan gabungan vokal Clarice dan Andrew itu berjaya membawa elemen nostalgia serta penghormatan terhadap budaya Kadazandusun yang sinonim dengan sambutan Kaamatan. Tidak ketinggalan, AJ Productions turut menerbitkan sebuah lagu nyanyian bekas juara Sugandoi 2023, Jill Gaisah untuk sama-sama memeriahkan musim Kaamatan kali ini menerusi lagu ‘Kaubasanan Kaamatan’. Lagu hasil karya Jasnie Mohd Yaakub dan Lydia Kalidin itu sebelum ini pernah dipersembahkan Auni Nabilla, namun versi baharu yang dibawakan Jill Gaisah tampil dengan sentuhan lebih segar menerusi vokal yang lembut dan penuh emosi. “Lagu ini mengetengahkan elemen kerinduan terhadap kampung halaman, budaya dan memori Kaamatan yang sentiasa dirindui setiap kali tibanya bulan Mei,” ulas AJ Productions mengenai mesej yang dibawa ‘Kaubasanan Kaamatan’. AJ Productions menjelaskan, penerbitan karya-karya itu bukan sekadar bertujuan memberikan hiburan kepada masyarakat, malah sebagai usaha berterusan dalam mengangkat martabat muzik tempatan Sabah agar terus berkembang, relevan dan mampu menembusi pasaran yang lebih luas. Pada masa sama, jelasnya karya-karya lama yang mempunyai nilai sentimental turut diberikan nafas baharu menerusi susunan muzik lebih kontemporari bagi memastikan ia terus dekat dengan generasi muda masa kini. “Dengan kehadiran pelbagai karya baharu daripada artis-artis tempatan Sabah, sambutan Pesta Kaamatan tahun ini pasti lebih meriah dan berwarna-warni. “Diharapkan lagu-lagu terbitan khas musim Kaamatan ini akan terus mendapat tempat di hati pendengar serta menjadi antara soundtrack utama sepanjang sambutan perayaan ini,” katanya. AJ Productions seterusnya mengucapkan Selamat Menyambut Pesta Kaamatan dan Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan. – Info X
May 26, 2026
Info X Reporters
Lori diubah suai jadi ‘stor diesel’, lelaki diberkas dalam Op Tiris
PENAMPANG: Tindakan seorang lelaki tempatan dipercayai membeli dan mengumpul minyak diesel bersubsidi menggunakan lori yang diubah suai membawa padah apabila dia diberkas dalam Op Tiris dijalankan polis awal pagi tadi. Dalam operasi khas dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu, pasukan operasi turut merampas lebih 300 liter minyak diesel bersubsidi bersama sebuah lori rigid satu tan yang diubah suai menggunakan tangki minyak kanvas. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, suspek berusia 46 tahun itu ditahan hasil risikan dan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan tanpa permit atau kelulusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (BKDNKA) IPD Penampang terlebih dahulu menjalankan pemantauan di sebuah stesen minyak di daerah berkenaan sebelum menahan suspek. “Pemeriksaan mendapati suspek dipercayai menjalankan kegiatan pembelian dan pengumpulan minyak diesel secara tidak sah menggunakan lori yang sudah diubah suai. “Turut dirampas dalam operasi itu ialah sekeping kad bank, sebuah telefon bimbit dan beberapa barangan lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, malam ini. Beliau berkata, jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM68,645. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan suspek bersama barang kes sudah diserahkan kepada KPDN Sabah untuk tindakan lanjut. “Polis akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan demi menjaga kepentingan negara serta kesejahteraan masyarakat. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyelewengan barang kawalan diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha penguatkuasaan,” katanya. – Info X
May 26, 2026
Info X Reporters
Perutusan Aidiladha: Jaga silaturahim, elak berpecah dan berbalah – KM
KOTA KINABALU: Rakyat Sabah diingatkan supaya sentiasa menjaga silaturahim, bersatu padu dan mengelakkan daripada berpecah serta berbalah sesama sendiri. Perkara itu ditekankan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam perutusannya sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang disambut pada Rabu. Bagi umat Islam, beliau mengajak agar sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anakandanya, Nabi Ismail AS dijadikan sebagai iktibar yang sentiasa dihayati dalam menghadapi cabaran kehidupan seharian. “Aidiladha adalah hari kebesaran Islam yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia dengan penuh keinsafan dan pengertian yang besar. “Jadikan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anakandanya, Nabi Ismail AS sebagai iktibar yang sentiasa dihayati oleh seluruh umat Islam. “Semangat inilah yang perlu kita hayati dalam mengharungi sebuah perjuangan. Pengorbanan memerlukan ketabahan dan ia harus bermula daripada diri sendiri. “Inilah yang kita pelajari daripada sirah Rasulullah S.A.W yang memberikan inspirasi dan kekuatan dalam perjuangan kita membangunkan negeri tercinta ini,” katanya. Ketua Menteri kemudian mengajak rakyat negeri ini supaya sama-sama mengambil peluang Hari Raya Aidiladha untuk mendoakan kesejahteraan dan keselamatan berterusan bagi rakyat dan negeri ini. Beliau juga berharap agar Aidiladha yang disambut pada tahun ini sebagai satu titik tolak untuk umat Islam terus bermotivasi dan komited meningkatkan mutu serta nilai pengorbanan agar tergolong dalam kalangan hamba Allah SWT yang dirahmati. – Info X