May 12, 2026
Info X Reporters
Lelaki ditahan bersama 265 liter petrol di perairan Semporna
SEMPORNA: Cubaan membawa 265 liter petrol menggunakan bot laju di perairan Pulau Siamil terbongkar selepas diserbu dalam Ops Tiris 4.0 (Bersepadu), semalam. Dalam operasi itu, seorang lelaki warga tempatan turut ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan bagi memiliki barang kawalan terbabit. Rampasan dilakukan hasil serahan kes oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna. Turut disita sebuah bot laju berwarna biru, satu unit enjin sangkut Yamaha Enduro 75HP serta tiga tong simpanan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM11,655.30. KPDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan, satu kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi tindakan lanjut. Menurutnya, KPDN memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat supaya sentiasa mematuhi undang-undang berkaitan barang kawalan. “Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta 122 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama. “Bagi kesalahan berikutnya, denda boleh mencecah RM3 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu,” katanya. Katanya lagi, syarikat yang disabitkan kesalahan pula boleh didenda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya. – Info X
May 11, 2026
Info X Reporters
1,195 jemaah haji Sabah, Labuan berlepas ke Tanah Suci tahun ini
KOTA KINABALU: Seramai 1,195 jemaah dari Sabah dan Labuan bakal menunaikan ibadah haji di Tanah Suci bagi musim haji 1447H/2026M. Daripada jumlah itu, seramai 507 orang terdiri daripada jemaah lelaki, manakala seramai 688 orang jemaah wanita. Penerbangan haji bermula hari ini dengan seramai 142 bakal haji berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menjalani proses Makkah Route sebelum berlepas ke Tanah Suci. Majlis pelepasan jemaah disempurnakan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Haji Aman di Dewan Kinabatangan III, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC). Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan. Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab dan Pengarah Eksekutif Pengalaman Pelanggan, Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Mohamed Ameen Abdul Wahab. Majlis dimulakan dengan alunan zikir Asma’ul Husna dan bacaan doa yang dipimpin Mufti Negeri Sabah, Sahibus Samahah Datuk Ustaz Bungsu @ Aziz Jaafar, sebelum diteruskan dengan ucapan alu-aluan wakil pengurusan TH dan perutusan khas Yang di-Pertua Negeri Sabah kepada jemaah. Majlis kemudian diteruskan dengan sesi bersalaman Yang di-Pertua Negeri bersama jemaah haji selepas laungan azan. – Info X
May 11, 2026
Info X Reporters
Tengku Hassanal tiba di Sabah untuk Ekspedisi Mahkota Borneo
KOTA KINABALU: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tiba di Sabah bagi memulakan Ekspedisi Mahkota Borneo pada Isnin. Ketibaan baginda dengan pesawat TUDM di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) tengah hari tadi disambut Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan Dan Industri Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan. Sejurus tiba, Tengku Hassanal berkenan mengunjungi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu sebelum ke Kundasang, Ranau pada petang tadi untuk misi menawan Gunung Kinabalu, pagi esok. Pada kunjungan di Istana Seri Kinabalu, Tengku Hassanal sempat bertukar-tukar idea dan pandangan bersama Tun Musa. Hadir sama menyambut ketibaan Tengku Hassanal dalam kunjungan hormat itu ialah Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan Dan Industri Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan. Tengku Hassanal dijadual menawan Gunung Kinabalu pada hari kedua ekspedisi esok dengan diiringi anggota Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU) dan pengiring rapat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Sementara itu, Nizam dalam perkongsian di Facebook beliau merafakkan sembah setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT, menyambut keberangkatan tiba Tengku Hassanal di KKIA, tengah hari tadi. “Keberangkatan Duli Tuanku ke Sabah adalah bersempena Ekspedisi Mahkota Borneo yang membawa semangat silaturahim dan mempererat hubungan antara negeri-negeri di Malaysia. “Patik turut beroleh penghormatan mengiringi keberangkatan Duli Tuanku ke Istana Negeri Sabah bagi majlis mengadap Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah. “Patik mendoakan semoga keberangkatan Duli Tuanku sentiasa berada dalam rahmat dan lindungan Allah SWT serta dipermudahkan segala urusan.Daulat Tuanku,” katanya. – Info X
May 11, 2026
Info X Reporters
The Logg terima pengiktirafan antarabangsa, harumkan nama Sabah
KOTA KINABALU: Pembangunan bercampur bersepadu, The Logg, milik KTI Group (KTI Landmark Berhad) mengharumkan nama Sabah di pentas antarabangsa apabila meraih pengiktirafan berprestij pada International Property Awards Asia Pacific 2026-2027. Dalam anugerah itu, The Logg menerima kemenangan lima bintang bagi kategori Best Mixed Use Architecture Malaysia dan Best Mixed Use Development Malaysia. Malah, pembangunan berkenaan turut dicalonkan bagi kategori Best Mixed Use Development mewakili rantau Asia Pasifik di bawah International Property Awards, sekali gus meletakkan KTI Group sebaris dengan beberapa pemaju terkemuka di rantau ini. Anugerah International Property Awards diiktiraf sebagai antara penghargaan paling berprestij dalam industri hartanah dunia yang meraikan kecemerlangan dalam bidang seni bina, pembangunan, reka bentuk dan hartanah di rantau Asia Pasifik. Pengiktirafan lima bintang yang diterima The Logg pula disifatkan sebagai pencapaian tertinggi dalam kategori anugerah peringkat kebangsaan. Kejayaan itu bukan sahaja mencerminkan peningkatan keupayaan industri hartanah dan pembinaan Malaysia di peringkat global, malah membuktikan kemampuan Sabah dalam menghasilkan pembangunan bertaraf antarabangsa. The Logg yang terletak di tengah bandar Luyang, di sini, merupakan pembangunan bercampur bersepadu yang menggabungkan elemen kediaman, hospitaliti, komersial, runcit dan ruang komuniti dalam satu destinasi bandar moden. Pengarah Eksekutif Kumpulan KTI Group, Wilson Loke, berkata pengiktirafan itu amat bermakna bukan sahaja kepada syarikat berkenaan, malah kepada Sabah secara keseluruhannya. “Melihat The Logg, pembangunan oleh KTI Group, diiktiraf bersama beberapa projek terkenal di rantau ini membawa makna besar bukan sahaja kepada kami tetapi juga kepada Sabah. “Ia menunjukkan sejauh mana industri hartanah tempatan telah berkembang sejak beberapa tahun lalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, kejayaan itu turut mencerminkan dedikasi dan kerjasama semua pihak yang terbabit termasuk perunding, arkitek, jurutera, kontraktor serta pasukan projek dalam merealisasikan pembangunan berkenaan. Menurutnya, pencapaian itu juga menjadi simbol evolusi KTI Group daripada sebuah pemaju tempatan Sabah kepada kumpulan pemaju yang mampu menghasilkan pembangunan bertaraf antarabangsa. Katanya, pengiktirafan berkenaan akan terus menjadi pemangkin kepada syarikat untuk meneruskan komitmen dalam menyumbang kepada pembangunan bandar dan kemajuan sektor hartanah di Sabah. – Info X
May 11, 2026
Info X Reporters
Remaja lemas mandi di air terjun Tawau
TAWAU: Kegembiraan sekumpulan remaja mandi di Rainforest Waterfall, Taman Perwira, di sini, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas, petang tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa lelaki berusia 14 tahun dikatakan mandi bersama 13 rakannya di lokasi berkenaan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.45 petang sebelum sepasukan anggota bersama Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dikejarkan ke lokasi. “Seramai lima anggota BBP Tawau bersama seorang anggota PPDA Zon Tawau digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 21 kilometer dari balai. “Setibanya di lokasi, mangsa dipercayai sudah ditemukan oleh orang awam dan penduduk kampung sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi hari ini. Menurutnya, berdasarkan maklumat saksi, mangsa dipercayai tidak pandai berenang ketika mandi di kawasan air terjun berkenaan. Katanya, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada jam 6.38 petang. “Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. Jemishin berkata, pihaknya turut berdepan masalah liputan komunikasi di lokasi kejadian sepanjang operasi dijalankan. – Info X
May 11, 2026
Info X Reporters
156 PATI warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal
TAWAU: Seramai 156 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dipindahkan pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI menggunakan laluan laut di Pelabuhan Tawau, hari ini. Program pemindahan siri keempat itu membabitkan 121 lelaki dewasa, 24 wanita dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan enam kanak-kanak perempuan berusia antara tiga hingga 62 tahun. Semua Orang Yang Dipindahkan (OYD) dihantar pulang ke Nunukan, Indonesia dengan diiringi pihak Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau. Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, sehingga kini seramai 2,662 tahanan PATI berjaya dipindahkan dari negeri ini ke negara asal masing-masing. Menurut kenyataan itu, warga Filipina mencatatkan peratusan tertinggi melakukan pelbagai kesalahan di Sabah iaitu sebanyak 63 peratus, diikuti warga Indonesia 31 peratus, Pakistan tiga peratus, China dua peratus dan lain-lain warganegara satu peratus. “Jabatan Imigresen Negeri Sabah menyeru semua pihak supaya lebih peka terhadap persekitaran komuniti serta tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI. “Orang ramai juga diminta segera melaporkan kegiatan PATI melalui saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah,” menurut kenyataan itu. – Info X
May 11, 2026
Info X Reporters
Kereta langgar peserta maraton ditemui terbabas di Jalan Tuaran
KOTA KINABALU: Sebuah Proton Saga dipercayai terus bergerak sebelum terbabas berhampiran Petronas Jalan Tuaran selepas melanggar peserta Borneo International Marathon (BIM) 2026 di Jalan UMS, awal pagi semalam. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu membabitkan peserta lelaki berusia 40 tahun yang sedang menyertai larian kategori 42 kilometer. Menurutnya, mangsa ketika itu sedang berlari di laluan kiri jalan yang dikhaskan untuk peserta maraton di KM32 Jalan UMS menghala ke arah Likas sebelum dilanggar dari arah belakang. “Hasil siasatan awal mendapati kenderaan jenis Proton Saga dipandu lelaki tempatan berusia 27 tahun melanggar mangsa sebelum dipercayai terus bergerak dan terbabas berhampiran Petronas Jalan Tuaran. “Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan, lutut dan belakang leher sebelum menerima rawatan lanjut di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Katanya, pemandu kenderaan turut mengalami kecederaan ringan di bahagian lengan kanan. Kasim berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati kon keselamatan dipasang di lorong kiri jalan sebagai pemisah laluan peserta maraton dan laluan kenderaan. “Kenderaan terbabit sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk pemeriksaan lanjut oleh PUSPAKOM. “Kes disiasat mengikut Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya. Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial selepas penganjur Borneo International Marathon memaklumkan seorang peserta larian dan petugas RELA cedera dalam insiden dipercayai langgar lari ketika acara berlangsung. – Info X
May 11, 2026
Info X Reporters
11 gajah termasuk anak terperangkap dalam kolam berjaya diselamatkan
KINABATANGAN: Sebanyak 11 ekor gajah termasuk seekor anak gajah diselamatkan selepas terperangkap di dalam sebuah kolam air terbiar berhampiran Hutan Simpan Deramakot di Ladang FGV Cepat Ringgit B, di sini. Menurut kenyataan yang dikongsikan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah di halaman rasmi Facebook iaitu 5R Hidupan Liar, kejadian terbabit dipercayai berlaku minggu lalu akibat keadaan tebing kolam yang curam serta licin, sekali gus menyukarkan haiwan berkenaan keluar dari kawasan itu. Menurut kenyataan itu juga, semua gajah Pygmy Borneo diselamatkan oleh pasukan Jabatan Hidupan Liar (JHL) daerah Kinabatangan yang dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat. “Pasukan bertindak membentuk laluan keluar yang lebih landai dan selamat bagi membolehkan kawanan gajah keluar dari kolam. “Berkat usaha serta kerjasama semua pihak, kesemua gajah berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan serius dilaporkan,” menurut kenyataan itu. Dalam kenyataan itu juga, JHL mencadangkan agar kolam terbiar itu ditutup atau dipasang halangan keselamatan bersesuaian bagi mengelak kejadian sama berulang pada masa depan. JHL turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk pekerja ladang yang menyalurkan maklumat awal sehingga operasi menyelamat dapat dilaksanakan dengan segera. “Ini membuktikan kerjasama antara agensi, pihak ladang dan masyarakat amat penting dalam memastikan keselamatan hidupan liar terus terpelihara, khususnya spesies ikonik Sabah seperti gajah Pygmy Borneo,” menurut kenyataan itu. – Info X