Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

April 26, 2026

Info X Reporters

Kenderaan dinaiki dua beranak terjunam dalam kolam

KINABATANGAN: Dua beranak berdepan saat mencemaskan apabila kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki terjunam ke dalam kolam di Bukit Garam Point, di sini, semalam. Kedua-dua mangsa iaitu pemandu yang berusia 39 tahun dan anak perempuannya berusia enam tahun dilaporkan tidak mengalami kecederaan. Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan D Ravi, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari apabila kereta dipandu mangsa dipercayai bergerak ke hadapan sebelum merempuh pagar dawai dan masuk ke dalam kolam. Berdasarkan siasatan awal, katanya, pemandu dipercayai cuba meletakkan kenderaannya secara mengundur di belakang sebuah kedai. “Pemandu bagaimanapun tersilap menekan gear ‘D’ menyebabkan kenderaan meluncur ke hadapan dan terjunam ke dalam kolam. “Kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan. Mereka dibantu keluar daripada kenderaan berkenaan oleh ahli keluarga yang berada di situ,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Ravi berkata, kes disiasat mengikut Kaedah Lalulintas 1959. – Info X

April 26, 2026

Info X Reporters

Terjun laut gagal, rokok seludup RM70,000 dirampas

SEMPORNA: Cubaan nekad penyeludup meloloskan diri dengan terjun ke laut gagal apabila lebih 100,000 batang rokok seludup bernilai hampir RM70,000 dirampas dalam operasi di perairan Tanjung Sironggol, di sini, awal pagi tadi. Rampasan itu dilakukan hasil kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Semporna bersama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna menerusi rondaan Bot Cenderawasih 09 dalam Op Khas Cegah PATI (OCP) Covid-19 Sektor Timur dan Op Tiris 4.0 (Bersepadu). Dalam operasi kira-kira jam 1.30 hingga 1.40 pagi itu, pasukan operasi mengesan dua bot enjin sangkut bergerak dalam keadaan mencurigakan pada jarak antara 0.5 hingga 0.6 batu nautika tenggara Tanjung Sironggol. Menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri ke kawasan cetek dengan meninggalkan bot bersama muatan. Pemeriksaan kemudian menemukan tujuh kotak mengandungi rokok seludup pelbagai jenama. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM69,800 termasuk dua bot dan enjin sangkut Yamaha 40 kuasa kuda. Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967. Maritim Malaysia menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh kawalan sempadan perairan negara bagi mengekang jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

April 26, 2026

Info X Reporters

Jesselton Choir Festival 2026 perkasa seni koir, Rolou Nulinau juara keseluruhan

KOTA KINABALU: Penganjuran Jesselton Choir Festival (JCF) 2026 edisi ketiga terus memperkukuh kedudukan seni koir sebagai medium penting memartabatkan warisan budaya Sabah, selain mencungkil bakat baharu dalam kalangan penggiat seni tempatan. Festival yang berlangsung selama dua hari pada 23 dan 24 April lalu di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKNS) Sabah itu menghimpunkan 18 pasukan koir dari seluruh negeri, masing-masing dianggotai antara 20 hingga 50 peserta. Program anjuran bersama Kelab Koir The Male-Efficient dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Sabah itu turut mendapat sambutan menggalakkan susulan kejayaan penganjuran edisi sebelumnya pada 2024. Menariknya, setiap pasukan diwajibkan mempersembahkan sekurang-kurangnya satu lagu karya anak jati Sabah sebagai usaha mengangkat serta melestarikan muzik tempatan. Dalam pertandingan itu, kumpulan Rolou Nulinau muncul juara keseluruhan sekali gus merangkul gelaran ‘Grand Winner’ festival berkenaan. Kumpulan sama turut mencatat kejayaan dalam kategori remaja, manakala The Valley Voices menjuarai kategori kanak-kanak, diikuti Semanja Chorale bagi kategori terbuka. Bagi kategori ‘Equal Voices’, UMS Bayu Men’s Ensemble dinobatkan sebagai pemenang, manakala kategori ‘Vocal Ensemble’ dimenangi Rolou Nulinau Ensemble. Sementara itu, Gui Foo Chen dari The Valley Voices dipilih sebagai Konduktor Terbaik, manakala V.O Joe Choir menerima Anugerah Paling Berpotensi dan Anavau Voce meraih Anugerah Khas The Male Efficient. Festival berkonsepkan gabungan bengkel dan pertandingan itu turut menampilkan penyertaan penceramah serta juri dari dalam dan luar negara bagi memperkayakan pengalaman peserta. Antara juri yang terlibat termasuk tokoh muzik tempatan berpengalaman seperti Andrew Poninting @ Apai, Avelyn Chua Poh Zhen, Rhowell Rolland Pagi, Peter Anderson Nianti dan Dunstan Oswald Roland. Selain pertandingan, festival itu turut menyediakan ruang pembelajaran menerusi bengkel bagi meningkatkan kemahiran vokal, teknik persembahan serta pemahaman terhadap seni koir. Penganjuran JCF 2026 juga bertujuan mewujudkan jaringan kerjasama dan persahabatan dalam kalangan penggiat seni koir di seluruh Sabah, sekali gus memperkukuh ekosistem seni budaya negeri. Secara keseluruhan, festival berkenaan dilihat berjaya mencapai matlamatnya dalam mengangkat martabat seni koir, di samping menyemarakkan kecintaan terhadap lagu-lagu budaya Sabah dalam kalangan masyarakat. – Info X

April 26, 2026

Info X Reporters

Kerani wanita antara dicekup Op Mabuk di Tawau

TAWAU: Seorang kerani wanita antara individu ditahan dalam Op Mabuk selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi di sekitar bandar ini, awal pagi semalam. Dalam operasi bermula jam 11 malam hingga 1.30 pagi itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Tawau memeriksa puluhan kenderaan di Jalan Sim Hwa Seng dan Jalan St Patrick. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, seramai 50 individu disaring membabitkan 48 kenderaan pelbagai jenis. “Daripada jumlah itu, enam saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik. “Seorang wanita tempatan berusia 39 tahun ditahan selepas ujian saringan awal alkohol pernafasan mendapati bacaan melebihi had dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini. Menurutnya, suspek kemudian dibawa ke BSPT IPD Tawau untuk ujian lanjut menggunakan Evidential Breath Analyzer (EBA II) yang turut merekodkan bacaan tinggi. “Suspek ditahan untuk tindakan lanjut dan kenderaan dipandunya turut disita,” katanya. Dalam perkembangan sama, beliau berkata, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun turut ditahan dalam operasi berasingan di kawasan One Arena, Kubota kerana menunggang motosikal tanpa lesen selain cukai jalan dan insurans tamat tempoh. Katanya, remaja itu dikeluarkan notis saman dan akan dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat. “Dalam operasi sama, tiga motosikal turut disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. Beliau menegaskan pihak polis akan terus mempergiat operasi bagi membanteras pemandu di bawah pengaruh alkohol. “Orang ramai dinasihatkan supaya tidak memandu selepas mengambil minuman beralkohol demi keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya. – Info X

April 26, 2026

Info X Reporters

7 jam cemas, lelaki kurung isteri dan tiga anak, ugut bunuh ditahan

TAWAU: Detik cemas hampir tujuh jam berakhir apabila seorang lelaki yang mengamuk sambil mengurung isterinya bersama tiga anak serta mengugut untuk membunuh berjaya ditahan polis dalam kejadian di kawasan perumahan pekerja sebuah ladang di Kalabakan, Khamis lalu. Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, suspek bertindak agresif di dalam rumah dengan mengunci ahli keluarganya selain mengugut sesiapa yang cuba masuk. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian. “Suspek mengunci isterinya bersama tiga anak di dalam rumah dan mengugut untuk membunuh mereka selain membaling sabit ke arah individu yang cuba menenangkan keadaan,” katanya dalam kenyataan hari ini. Menurutnya, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau bersama anggota Balai Polis Kalabakan digerakkan ke lokasi sejurus menerima maklumat. Katanya, pemeriksaan mendapati keadaan rumah gelap dan terdapat beberapa senjata berbahaya termasuk parang, sabit serta paip besi. “Polis mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk memujuk suspek yang berada dalam keadaan agresif sebelum bertindak menyerbu masuk bagi menyelamatkan mangsa. “Dalam operasi itu, pasukan polis menggunakan senjata perenjat elektrik (Taser) untuk melumpuhkan suspek sebelum berjaya menahannya,” katanya. Beliau berkata, suspek lelaki tempatan berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira jam 10.30 pagi keesokan hari. “Turut dirampas dua bilah sabit, sebilah parang, pemutar skru, besi ‘loading’ serta empat batang paip besi. “Siasatan juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 342 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Bahan Letupan. Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya berdepan situasi ancaman atau keganasan rumah tangga bagi membolehkan tindakan segera diambil. – Info X

April 26, 2026

Info X Reporters

Pasangan Sabah terkandas di Vietnam, isteri koma diserang sawan

KOTA KINABALU: Percutian pasangan dari Sabah ke Ho Chi Minh, Vietnam bertukar tragedi apabila si isteri diserang sawan sebelum kini masih koma dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di negara itu. Mohd Jamri Herry, 40, dari Kota Kinabalu berkata, isterinya, Rohana Joseph, 34, dimasukkan ke Hospital Nhan Dan Gia Dinh selepas mengalami sawan kira-kira jam 4 pagi, Selasa lalu, iaitu pada hari mereka sepatutnya pulang ke tanah air. Beliau berkata, keadaan isterinya ketika ini masih belum sedarkan diri, namun dilaporkan stabil di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan. “Sepanjang percutian bermula 16 hingga 21 April lalu, isteri tidak menunjukkan sebarang tanda sakit atau mengadu masalah kesihatan. “Namun pada hari kami dijadual pulang ke Malaysia, dia tiba-tiba diserang sawan sebelum Subuh dan terus dikejarkan ke hospital. Kami sepatutnya bergerak ke lapangan terbang jam 8 pagi untuk penerbangan jam 1 tengah hari, tetapi tidak kesampaian,” katanya menurut laporan Harian Metro. Mohd Jamri yang bekerja di Majlis Sukan Negeri Sabah berkata, beliau kini masih berada di Vietnam bagi menguruskan keadaan isterinya, namun hanya dibenarkan melawat sekali sehari mengikut waktu ditetapkan pihak hospital. Katanya, dua anak mereka berusia empat dan tujuh tahun kini berada di bawah jagaan ahli keluarga di Sabah. “Waktu melawat sangat terhad, hanya sejam pada sebelah petang. Saya tidak dapat berada di sisi isteri sepanjang masa, tetapi saya cuba kuatkan diri menghadapi ujian ini. “Lebih merisaukan ialah kos rawatan kerana saya belum dimaklumkan jumlah sebenar bil hospital, namun ia dijangka meningkat memandangkan tempoh rawatan yang berlanjutan dan status kami sebagai warga asing,” katanya. Menurutnya, pihak hospital tidak menghalang sekiranya isterinya mahu dibawa pulang ke Malaysia, namun segala risiko perlu ditanggung sendiri sebagai waris terdekat. “Saya berhasrat membawa isteri pulang untuk meneruskan rawatan di tanah air walaupun sedar risikonya. Apa yang penting, dia dapat dirawat dekat dengan keluarga,” katanya. itu, beliau turut memohon doa serta bantuan orang ramai bagi meringankan beban kewangan yang dihadapinya ketika ini. Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB bernombor 7079522163 atas nama Mohd Jamri Herry. – Info X

April 26, 2026

Info X Reporters

Anak mengamuk, cuba serang bapa guna tukul

TAWAU: Hanya kerana ditegur, seorang lelaki bertindak di luar kawalan apabila cuba menyerang bapa kandungnya menggunakan tukul besi dalam kejadian di Kalabakan, di sini, semalam. Dalam kejadian itu, mangsa bagaimanapun sempat mengelak serangan suspek sebelum membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan diri. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas laporan diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau bersama Balai Polis Kalabakan menjalankan operasi mengesan suspek. Menurutnya, suspek lelaki warga tempatan berusia kira-kira 32 tahun berjaya ditahan di sebuah rumah di Pekan Kalabakan. “Suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan. – Info X

April 26, 2026

Info X Reporters

Suami maut, isteri parah, sepupu cedera pikap terbalik

TENOM: Seorang lelaki maut manakala isterinya parah dan sepupunya cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di Kilometer 7, Jalan Tenom – Enubai berhampiran Kampung Sri Meranti, di sini, malam tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 malam itu, mangsa Victor Chung Yin Tat, 41, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan akibat kecederaan dialami. Isterinya berusia 37 tahun dilaporkan parah termasuk patah rusuk kiri, manakala sepupunya berusia 28 tahun cedera di bahagian kepala sebelum kedua-duanya dihantar ke Hospital Tenom untuk rawatan lanjut. Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kenderaan jenis Toyota Hilux itu dalam perjalanan dari arah Kampung Bunsilon menuju ke Pekan Tenom. Menurutnya, ketika kejadian, keadaan jalan lurus namun permukaan basah selain cuaca hujan dan pencahayaan gelap. “Sebaik tiba di lokasi, pemandu dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan terbabas ke bahu kiri jalan lalu terbalik. “Akibat kemalangan itu, pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya dan sepupu mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tenom sebelum dibawa ke Hospital Keningau untuk bedah siasat. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. – Info X