Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

March 12, 2026

Info X Reporters

Hibiscus Malaysia bawa keceriaan Aidilfitri kepada kanak-kanak rumah kebajikan

KOTA KINABALU: Seramai 99 kanak-kanak daripada empat rumah kebajikan di Sabah berpeluang memilih sendiri pakaian baharu sempena Aidilfitri menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran Hibiscus Malaysia, baru-baru ini. Program itu menyaksikan sukarelawan syarikat minyak dan gas berkenaan menemani kanak-kanak terbabit membeli baju Melayu dan baju kurung bagi memastikan mereka dapat menyambut Aidilfitri dengan pakaian baharu yang dipilih mengikut cita rasa masing-masing. Program berkenaan diadakan pada 7 Mac lalu di sebuah kedai tekstil di sini dengan penyertaan 15 kakitangan Hibiscus Malaysia yang diketuai Ketua Operasi Aset Sabah, Ahmad Fazmee Baharuden. Kanak-kanak yang terlibat adalah dari Rumah Anak Yatim Darul Bakti Kota Belud, Rumah Home Tuaran, Rumah Putera Harapan Ranau dan Rumah Anak Yatim As-Sakinah Papar. Inisiatif itu direalisasikan menerusi sumbangan kakitangan syarikat di bawah dana Zakat Wakalah. Sepanjang program berkenaan, sukarelawan membantu kanak-kanak memilih pakaian yang sesuai dengan personaliti mereka bagi menjadikan pengalaman membeli-belah lebih bermakna. Kakitangan lelaki membantu kanak-kanak lelaki menyelaraskan persalinan Raya termasuk baju Melayu, songkok dan samping, manakala kakitangan wanita membantu kanak-kanak perempuan memadankan baju kurung dengan tudung yang sesuai. Fazmee berkata, syarikat itu kekal komited dalam usaha memperkasa komuniti setempat melalui pelbagai inisiatif kebajikan. “Hari Raya merupakan masa untuk kegembiraan dan perpaduan, dan kami mahu memastikan kanak-kanak ini turut merasai kemeriahan sambutan tersebut. “Melihat senyuman dan keterujaan mereka benar-benar tidak ternilai,” katanya. Sementara itu, semangat memberi itu turut diteruskan apabila sebuah lagi rumah kebajikan, Rumah Anak Yatim Tambunan, menerima sumbangan menerusi inisiatif sama. Dalam satu majlis ringkas di pejabat Hibiscus di sini pada Rabu, Fazmee menyerahkan sumbangan berupa barangan keperluan asas serta kipas berdiri kepada pengetua rumah berkenaan, Noor Jannah Rusinin. Sumbangan itu dijangka memberi manfaat kepada 101 kanak-kanak yang menghuni rumah kebajikan di daerah pedalaman Sabah berkenaan. – Info X

March 12, 2026

Info X Reporters

Bas persiaran disita, LKM tamat tempoh tiada insurans

KOTA KINABALU: Sebuah bas persiaran disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah selepas didapati beroperasi dengan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh selain tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah. Dalam operasi di Jalan Putatan, semalam, kenderaan perkhidmatan awam jenis window van itu ditahan anggota penguat kuasa sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan. JPJ Sabah dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook memaklumkan, pemeriksaan terhadap bas persiaran buatan Golden Dragon X5 3.0TD itu mendapati LKM kenderaan berkenaan telah tamat tempoh selain gagal mengemukakan perlindungan insurans yang sah. “Susulan itu, kenderaan terbabit diambil tindakan sitaan bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang jalan raya yang berkuat kuasa,” kata kenyataan itu. Sementara itu, JPJ menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan semua pemandu serta pengendali kenderaan perkhidmatan awam mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan. “Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan berkaitan kesalahan trafik boleh menyalurkan maklumat melalui aplikasi e-Aduan@JPJ (MyJPJ) atau menerusi sistem SISPAA JPJ,” katanya. – Info X

March 11, 2026

Info X Reporters

Sabah layak ke perlawanan akhir Piala Cabaran 2026

KOTA KINABALU: Sabah FC berjaya ke perlawanan akhir Piala Cabaran 2026 selepas menewaskan Perak FA 1-0 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Likas, di sini, malam ini. Skuad Sang Badak itu melakar agregat yang sama selepas terikat tanpa jaringan pada perlawanan pertama separuh akhir di Manjung, Perak pada 4 Mac lalu. Gol tunggal Sabah itu dijaringkan pemain pertahanannya, Gabriel Peres hasil tandukannya ketika menerima hantaran lintang Muhammad Jafri Firdaus Chew pada minit ke-22. Sang Badak menguasai perlawanan pada separuh masa pertama dan kira-kira 20 minit awal babak kedua dengan beberapa cubaan menarik berjaya dihasilkan namun tersasar dari pintu gawang lawan. Bagaimanapun, pasukan tuan rumah lebih banyak bertahan ketika tempoh perlawanan berbaki kira-kira 25 minit berikutan asakan pasukan Perak yang berusaha menyamakan kedudukan. Skuad Perak juga mencipta beberapa peluang hasil serangan balas pada babak pertama dan kedua, namun gerakan pemainnya dapat dipatahkan pertahanan Sabah, selain dibaca dengan baik penjaga gol, Damien Lim. Penyerang Sabah, Darren Lok memulakan cubaan tepat ke arah gawang Perak pada minit ke-15 namun gerakannya dapat dibaca penjaga gol lawan, Ahmad Shazwan Shazany. Bermula dari cubaan itu, Sabah mengatur strategi serangan sehingga berjaya mencipta gol pada minit ke-22, namun cubaan selepas itu oleh beberapa pemainnya, khususnya melalui Muhammad Jafri dan S Kumaahran gagal menepati sasaran. Memasuki babak kedua, Darren Lok sekali lagi mendapat peluang yang baik untuk menambah gol Sabah ketika hanya berdepan dengan penjaga gol Perak pada minit ke-47, namun malangnya bola melantun ke atas melepasi palang gol. Perak pula mendapat peluang yang baik ketika pengadil memberi sepakan percuma di kawasan petak penalti selepas Damien melakukan kesilapan menangkap bola ketika berlaku kekecohan di hadapan gawang pada minit ke-68. Peluang itu bagaimanapun dapat dipatahkan pemain Sabah yang berkampung di hadapan gawang, sekali gus menggagalkan usaha pasukan lawan menidakkan kemenangan Sabah. Perak berusaha keras menyamakan kedudukan sehingga minit akhir, termasuk lima minit tambahan masa, namun gawang Sabah kekal selamat daripada sebarang gol bolos hingga ke wisel penamat. Sabah kemungkinan besar bertemu Pulau Pinang FC pada siangan akhir Piala Cabaran selepas ini. – Info X

March 11, 2026

Info X Reporters

Warga emas melecur, rumah terbakar 90 peratus

TUARAN: Seorang lelaki warga emas melecur di bahagian tangan kanan selepas rumah didiaminya terbakar dalam kejadian di hadapan Tamparuli Point, Tamparuli, petang tadi. Dalam kejadian itu, rumah jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 64 meter persegi dilaporkan terbakar sehingga 90 peratus. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kurong AK Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.21 petang sebelum sepasukan sembilan anggota bersama tiga jentera digerakkan ke lokasi kejadian. “Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 4.37 petang selepas menempuh jarak kira-kira 14 kilometer. “Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal yang terbakar kira-kira 90 peratus,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 122 meter dengan dua pancutan air daripada jentera serta Water Tanker. Katanya, terdapat seorang mangsa lelaki berusia 67 tahun mengalami kecederaan melecur di bahagian tangan kanan dalam kejadian itu. “Mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan Bomba sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bagi mendapatkan rawatan lanjut. “Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.59 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.41 petang selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya di lokasi,” katanya. – Info X

March 11, 2026

Info X Reporters

UPKO mahu permohonan Kerajaan Persekutuan tangguh pelaksanaan hak 40 peratus Sabah dicabar

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mahu permohonan ‘stay of execution’ yang difailkan Kerajaan Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai hak 40 peratus hasil Sabah dicabar di Sabah. Presidennya, Datuk Ewon Benedick berkata, Jabatan Peguam Negara memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini menetapkan tempoh 180 hari bagi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah mencapai persetujuan berkaitan pembayaran semula hak 40 peratus kepada Sabah. “Saya telah menyampaikan pandangan saya dalam kabinet dan parti saya, UPKO merasakan keputusan ini perlu dicabar. “Ini adalah pendirian UPKO kerana kita tidak mahu melihat sebarang usaha untuk melengah-lengahkan apa yang telah diputuskan oleh mahkamah,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Jabatan Keretapi Negeri Sabah, di sini, pada Rabu. Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata, UPKO berpandangan permohonan yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara itu wajar dicabar bagi memastikan keputusan mahkamah berhubung perkara itu dapat dipertahankan. “UPKO berpandangan permohonan Jabatan Peguam Negara tersebut wajar dicabar oleh kita di Sabah. “Saya percaya Jabatan Peguam Negeri Sabah akan mengeluarkan kenyataan mereka, tetapi UPKO telah menyampaikan pandangan supaya perkara itu dicabar,” katanya. – Info X

March 11, 2026

Info X Reporters

Hina kitab suci perbuatan melampau, tidak bertamadun – Mustapha

KOTA KINABALU: Perbuatan menghina kitab suci al-Quran disifatkan sebagai perbuatan melampau, tidak bertamadun dan melanggar prinsip Rukun Negara. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata ia adalah jenayah dan perbuatan yang kurang ajar lebih-lebih lagi ketika di bulan Ramadan. Katanya, perbuatan itu bertentangan dengan budaya Sabah yang amat menjunjung keharmonian bermasyarakat dalam kepelbagaian kaum dan agama. “Saya mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadab menghina kitab suci umat Islam, al-Quran, sebagaimana yang tular di media sosial baru-baru ini yang memaparkan naskhah al-Quran didakwa dipijak dan diconteng dengan lukisan menghina. “Perbuatan ini amat melampau, tidak bertamadun dan melanggar prinsip Rukun Negara. Ianya adalah jenayah dan perbuatan yang kurang ajar lebih-lebih lagi ketika kita berada dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan. “Malah ianya bukan budaya Sabah yang amat menjunjung keharmonian bermasyarakat dalam kepelbagaian kaum dan agama,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata, sebarang bentuk penghinaan terhadap agama tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan saja menyentuh sensitiviti umat Islam, malah berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di Sabah dan seluruh negara. Katanya, Malaysia dibina atas asas saling hormat-menghormati antara agama dan budaya yang mana bertentangan dengan perbuatan seumpama itu. “Sehubungan itu, saya menyokong penuh tindakan pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan untuk menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat. “Tindakan tegas perlu diambil agar menjadi pengajaran dan memastikan maruah agama sentiasa terpelihara. “Dalam masa yang sama, saya menyeru orang ramai agar tidak mengambil tindakan di luar batas undang-undang. “Kepercayaan sepenuhnya harus diberikan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara adil dan telus demi memastikan kestabilan, keharmonian serta perpaduan masyarakat di Sabah dan di seluruh negara terus terpelihara,” katanya. – Info X

March 11, 2026

Info X Reporters

Kecuaian pemandu punca kemalangan kereta api di Tenom

KOTA KINABALU: Kecuaian pemandu kereta api (railbus) yang gagal menjalankan pemeriksaan jentera sebelum memulakan perjalanan dikenal pasti sebagai punca kemalangan kereta api di Tenom pada 3 Mac lalu. Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) menerusi kenyataan pada Rabu, berkata ia hasil siasatan dalaman yang dijalankan Board of Enquiry (BOE) pada 9 Mac 2026 berhubung insiden perlanggaran Railbus RB8801 dengan motor troli di KM134/4. Kenyataan itu menyebut pemandu juga tidak menutup ‘isolating valve’ pada Tenom End Driving Cab dan tidak menjalankan ujian dinamik bagi memastikan sistem brek berfungsi dengan baik. “Kecuaian ini menyebabkan sistem brek Railbus RB8801 tidak berfungsi sepenuhnya, seterusnya mengakibatkan perlanggaran dengan motor troli,” katanya. JKNS berkata, selepas Railbus berhenti di KM133/8, pemandu telah memeriksa dan membetulkan kedudukan isolating valve dan ujian pandu yang dijalankan selepas itu mendapati sistem brek berfungsi dengan baik, membolehkan Railbus kembali ke Stesen Tenom tanpa perlu diselamatkan atau ditarik oleh jentera lain. “Pemeriksaan oleh Penolong Jurutera sejurus Railbus kembali ke stesen mengesahkan sistem brek beroperasi sepenuhnya,” katanya. Perkhidmatan keretapi, katanya kembali normal pada 4 Mac 2026 menggunakan jentera yang sama dan sehingga kini Railbus RB8801 telah beroperasi tanpa sebarang masalah. Jelasnya, siasatan BOE dijalankan secara menyeluruh meliputi laporan kejadian, keterangan kakitangan Bahagian Kejuruteraan Jentera, rakaman Digital Mobile Video Recorder (DMVR) pada jentera, serta pemeriksaan teknikal dan simulasi di lokasi kejadian. “Berdasarkan keputusan Jawatankuasa Siasatan Badan Penyiasatan Dalaman JKNS, tindakan tatatertib akan disyorkan terhadap pemandu mengikut Peraturan-Peraturan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (PPPANS) 2008 [Tatakelakuan Perkara 208(2)(j)] kerana cuai dalam menjalankan tugas. “JKNS juga akan melaksanakan langkah penambahbaikan yang sewajarnya bagi memperkukuh prosedur operasi dan meningkatkan tahap pematuhan terhadap aspek keselamatan bagi mengelakkan insiden seumpama ini berulang. “Keselamatan penumpang dan perkhidmatan keretapi sentiasa menjadi keutamaan Jabatan Keretapi Negeri Sabah,” katanya. JKNS mengesahkan perkhidmatan keretapi yang beroperasi adalah selamat untuk digunakan oleh orang awam. Selain itu, JKNS turut menjelaskan bahawa berdasarkan Enakmen Keretapi Negeri Sabah 2017, kawasan rezab keretapi adalah kawasan larangan. “Sebarang aktiviti di kawasan landasan perlu mendapat kelulusan Menteri melalui syor Pengarah JKNS. Penggunaan motor troli yang dibina menggunakan motosikal di atas landasan tanpa kebenaran adalah satu kesalahan dan boleh menyebabkan kerosakan rel serta menjejaskan keselamatan operasi keretapi,” katanya. Insiden perlanggaran itu, katanya sudah dimaklumkan kepada Jemaah Menteri pada 11 Mac 2026. – Info X

March 11, 2026

Info X Reporters

Banjir di Kota Marudu, Pitas pulih, situasi di Paitan kekal

KOTA KINABALU: Banjir di Kota Marudu dan Pitas dilapor beransur pulih pada Rabu dengan semua mangsa yang dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) dibenarkan pulang petang ini. Hanya di Paitan keadaan banjir dilapor belum pulih dengan jumlah mangsa dipindahkan ke PPS menunjukkan sedikit peningkatan kepada 270 orang setakat jam 4 petang ini, berbanding 266 orang tengah hari tadi. Mangsa yang ditempatkan di empat PPS sekitar daerah itu membabitkan penduduk di 26 kampung yang terjejas akibat banjir kali ini. Sementara itu, laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Paitan menyatakan banjir kali kedua dalam tempoh kurang sebulan di daerah itu disebabkan hujan lebat berterusan sejak Isnin dan masih berterusan hingga Rabu. Bencana banjir diisytihar jam 11 pagi pada 10 Mac di Paitan selepas ramai penduduk daerah itu terputus hubungan dan rumah mereka terjejas banjir, sekali gus memerlukan pemindahan ke PPS demi keselamatan. – Info X