Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

September 13, 2026

Info X Reporters

Tambah kerusi Parlimen Sabah, Sarawak: Jangan buat gimik, laksanakan segera – Victor

TAMBUNAN: Pengumuman penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu diharap bukan sekadar gimik, sebaliknya diterjemahkan kepada tindakan dan pelaksanaan sebenar. Menyatakan harapan itu, penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) DUN Tambunan, Datuk Victor P Paut, berkata pengumuman berkenaan adalah perkembangan yang sememangnya dinanti-nantikan rakyat di Sabah dan Sarawak. Katanya, selepas sekian lama perkara itu menjadi antara tuntutan berkaitan kedudukan kedua-dua wilayah dalam Persekutuan, baru sekarang kerajaan Pusat menyatakan persetujuan untuk menambah kerusi Parlimen yang diminta. Jelasnya, penambahan kerusi Parlimen perlu dilihat berdasarkan sejarah pembentukan Malaysia serta semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang turut menjadi asas kepada kedudukan Sabah dan Sarawak dalam negara ini. “Ini satu pengumuman yang kita tunggu-tunggu. Sebenarnya penambahan kerusi itu kalau dikaji dari sejarah MA63, apabila Singapura keluar dari Malaysia pada 1965, kuota Singapura itu sepatutnya dibahagikan kepada Sabah dan Sarawak. “Ini kerana satu pertiga daripada kerusi itu adalah untuk Sabah dan Sarawak, manakala satu pertiga lagi dipegang oleh Singapura,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kursus Pertanian Pintar anjuran Sawit Kinabalu, di sini, pada Sabtu. Mengulas lanjut, Victor berkata, selepas Singapura keluar dari Malaysia, isu pembahagian semula kerusi berkenaan sewajarnya diberi perhatian bagi memastikan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Parlimen lebih mencerminkan sejarah pembentukan Malaysia. Beliau menegaskan, tempoh lebih enam dekad menunggu perkembangan itu menunjukkan perkara berkenaan bukan tuntutan baharu, sebaliknya isu yang sudah lama menjadi perhatian rakyat di Sabah dan Sarawak. Pada masa sama katanya, rakyat Sabah tidak mahu pengumuman berkenaan berakhir sebagai sekadar kenyataan politik tanpa susulan yang jelas. “Sudah sampai masanya setelah lebih kurang 61 tahun, kita menunggu saat ini. Kita berharap jangan hanya janji, kita mahu ia dilaksanakan. “Itulah yang rakyat Sabah tunggu-tunggu dan jangan lupa juga tuntutan 40 peratus kita. “Kita juga tidak mahu ini sebagai satu gimik dan berharap PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan menunaikan janjinya kerana bukan saja kita mahu, semua rakyat Sabah mahu kerana perkara itu adal dalam MA63,” katanya. Victor yang juga Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera yakin pelaksanaan penambahan kerusi Parlimen itu dapat memastikan suara Sabah dan Sarawak terus mendapat tempat sewajarnya dalam proses membuat keputusan di peringkat Persekutuan. – Info X

September 13, 2026

Info X Reporters

Isu 40 peratus: Hajiji bawa pendirian tegas kerajaan negeri, hak mesti ditunai – Nizam

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor membawa pendirian tegas kerajaan negeri berhubung penyelesaian tuntutan hak 40 peratus hasil bersih Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan. Menyokong pendirian itu, Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata pendirian yang dibawa Ketua Menteri pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Jumaat lalu, mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi kerajaan negeri. Katanya, komitmen itu untuk memastikan hak-hak Sabah tidak sekadar dibincangkan, tetapi diterjemahkan kepada penyelesaian yang nyata serta memberikan manfaat kepada rakyat. “Tuntutan 40 peratus bukan tuntutan baharu dan bukan juga soal ihsan daripada mana-mana pihak. Ia adalah hak Sabah yang diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan sewajarnya diselesaikan dengan penuh tanggungjawab, adil serta dalam semangat sebenar pembentukan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Beliau berkata, PGRS mengalu-alukan keputusan Kerajaan Persekutuan meningkatkan bayaran interim untuk Sabah kepada RM1.5 bilion bermula tahun ini dan menyifatkannya satu perkembangan positif hasil rundingan berterusan di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. “Namun demikian, bayaran interim ini tidak menutup tuntutan 40 peratus yang masih perlu dimuktamadkan sebagaimana yang terus ditegaskan oleh Ketua Menteri. “Kita juga menyambut baik persetujuan secara prinsip untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat. “Suara Sabah perlu mempunyai kedudukan yang lebih kukuh dalam institusi Parlimen, selaras dengan kedudukan dan semangat Sabah serta Sarawak ketika Malaysia dibentuk pada 1963. “Begitu juga dengan usaha mempercepatkan Borneonisasi perkhidmatan awam Persekutuan serta perkara-perkara lain yang masih belum diselesaikan di bawah MA63. “Semua ini mempunyai kaitan langsung dengan kedudukan Sabah dalam Persekutuan dan kemampuan negeri untuk menentukan serta mengurus kepentingannya dengan lebih berkesan,” katanya. Nizam berkata, PGRS percaya pendekatan yang dibawa Hajiji selama ini adalah jelas, tegas mempertahankan hak Sabah, tetapi pada masa yang sama memilih jalan rundingan, kerjasama dan hubungan kerajaan dengan kerajaan untuk menghasilkan penyelesaian yang konkrit. Jelasnya, pendekatan itu menghasilkan kemajuan dalam beberapa tuntutan MA63 sebelum ini dan perlu diteruskan sehingga perkara-perkara yang masih tertangguh dapat diselesaikan sepenuhnya. “Bagi PGRS, soal hak Sabah mengatasi kepentingan politik kepartian. Apa juga yang menjadi hak negeri dan rakyat Sabah mesti diperjuangkan secara konsisten. “Kita menghargai keterbukaan Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri untuk meneruskan rundingan mengenai perkara-perkara yang belum selesai. “Pada masa yang sama, PGRS berdiri teguh bersama Ketua Menteri dalam pendirian bahawa penyelesaian hak 40 peratus Sabah perlu diberikan keutamaan dan disegerakan,” katanya. Sabah katanya, tidak meminta lebih daripada apa yang menjadi haknya, sebaliknya hanya mahu apa yang dipersetujui dan diperuntukkan dalam Perlembagaan dilaksanakan dengan adil, konsisten dan penuh tanggungjawab. – Info X

September 13, 2026

BERNAMA

Anwar, Prabowo bincang isu kebakaran hutan

Daripada M. Saraswathi NEW DELHI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto berbincang mengenai isu kebakaran hutan serta perkembangan konflik di Asia Barat di sela-sela Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di sini. “Bersama Presiden Prabowo pula, kami sempat menyentuh isu kebakaran hutan serta perkembangan konflik di Asia Barat yang memerlukan kesepakatan dan tindakan bersama,” katanya dalam satu hantaran di media sosial beliau hari ini. Perbincangan itu berlangsung ketika Indonesia berdepan musim kebakaran hutan dan tanah yang serius, dengan asap daripada kebakaran di beberapa kawasan di Kalimantan dan Sumatera turut menjejaskan negara jiran termasuk Malaysia. Anwar, yang berkesempatan berbincang dengan Prabowo ketika Majlis Makan Malam Gala bersempena dengan sidang kemuncak itu semalam, berkata beliau turut sekali lagi mempelawa Presiden Indonesia itu mengadakan lawatan ke Malaysia dalam masa terdekat, bagi membincangkan dan menyelesaikan beberapa perkara dua hala yang masih belum dimuktamadkan. “Saya turut memperbaharui jemputan kepada beliau untuk berkunjung ke Malaysia sesegera mungkin bagi membincang dan menyelesaikan beberapa perkara dua hala yang masih tertangguh,” katanya. Anwar tiba di sini pada Jumaat untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 yang berakhir hari ini. Perdana Menteri akan meneruskan lawatan kerja beliau ke Keralam (nama rasmi baharu bagi Kerala), sebuah negeri terletak di Pantai Malabar, selatan India. Ini merupakan lawatan kedua beliau ke India atas kapasiti sebagai Perdana Menteri, dengan lawatan pertama dilakukan pada Ogos 2024. Perdana Menteri kemudiannya berlepas ke Maldives esok (14 Sept).– BERNAMA

September 12, 2026

BERNAMA

Ibu bapa digesa manfaatkan kawalan digital, jamin keselamatan anak – Fahmi

KUALA LUMPUR: Ibu bapa perlu memanfaatkan sepenuhnya fungsi kawalan ibu bapa yang tersedia pada pelbagai aplikasi digital untuk memantau serta mengehadkan penggunaan Internet oleh anak-anak di rumah. Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata usaha mewujudkan ekosistem digital yang selamat tidak boleh semata-mata bergantung kepada pihak berwajib seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebaliknya memerlukan pengllibatan aktif pengguna dan ibu bapa. Beliau berkata walaupun kerajaan boleh menetapkan had umur serta garis panduan keselamatan, ibu bapa dan pengguna tetap berperanan penting sebagai benteng utama dalam memastikan anak-anak tidak terdedah kepada kandungan negatif dan ancaman dalam talian. “Ini penting kerana untuk melengkapkan aspek keselamatan digital, dengan kita mengharapkan hanya MCMC, polis dan pihak berwajib, itu belum memadai. Kerajaan, pihak berwajib boleh menentukan had tertentu tapi akhirnya pengguna yang menggunakan Internet itu,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat 2026 Peringkat Parlimen Lembah Pantai di Dataran Pantai Ria di sini hari ini. Dalam pada itu, Fahmi turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan taktik penipuan siber yang semakin licik, termasuk yang memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta penapis wajah atau filter untuk memperdaya mangsa. “Macam-macam aplikasi dan cara orang guna untuk menyakinkan yang kita bercakap dengan orang yang tampan, lawa. Dia nak kita jatuh hati dengan dia. Dia nak kita bagi dia duit dan akhirnya kita kehilangan macam-macam perkara,” katanya.– BERNAMA

September 12, 2026

BERNAMA

Penggubalan akta baharu ganti auku dibincang dengan semua pihak berkepentingan – Zambry

KUALA LUMPUR: Penggubalan akta baharu bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) kini dalam proses perbincangan dengan semua pihak berkaitan, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Beliau berkata beberapa siri pertemuan telah diadakan dengan wakil daripada golongan akademik dan pentadbir universiti, manakala perbincangan dengan kumpulan lain, termasuk mahasiswa akan diteruskan dalam beberapa hari akan datang “Saya telah pun berjumpa dengan Majlis Perwakilan Pelajar dan saya minta juga Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan yang mewakili semua universiti, mereka juga akan mengadakan kumpulan mereka sendiri, sama ada dalam kumpulan A, kumpulan B, yang bersetuju, tidak bersetuju, supaya kita gabungkan dan lihat. “Ini kerana saya nak supaya satu akta yang komprehensif,” katanya kepada pemberita semasa melawat Laman Media bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini hari ini. Beliau berkata akta baharu itu bukan sahaja perlu mengambil kira keperluan semasa, malah dirangka dengan melihat kepada cabaran masa hadapan negara. Zambry berkata perkara itu penting memandangkan AUKU yang diperkenalkan pada 1971 merangkumi pelbagai aspek berkaitan Institusi Pengajian Tinggi, termasuk penubuhan universiti dan urus tadbir, selain perkara berkaitan mahasiswa. Sehubungan dengan itu, perubahan dalam landskap pendidikan tinggi dan perundangan semasa perlu diambil kira dalam penggubalan akta baharu berkenaan. “Saya sebutkan berkali-kali bahawa AUKU itu diwujudkan pada 54 tahun yang lepas. Tentunya akan ada perubahan, tentunya ada yang mengatakan bahawa ia sudah tidak sesuai,” katanya. Pada Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memansuhkan AUKU secara keseluruhan, dengan rang undang-undang (RUU) berkaitan perkara itu akan dibawa ke Parlimen tahun ini untuk kelulusan. Anwar berkata cadangan memansuhkan akta itu bagi memberikan kebebasan dan ruang demokrasi yang lebih luas kepada gerakan mahasiswa di negara ini, selepas mengambil kira memorandum serta pandangan yang dikemukakan oleh kepimpinan mahasiswa, yang mahukan perubahan menyeluruh terhadap akta berkenaan.– BERNAMA

September 12, 2026

BERNAMA

SPA percepat pengisian kekosongan jawatan jururawat, lebih 1,000 telah diisi

KUALA KANGSAR: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) telah mengisi lebih 1,000 kekosongan jawatan jururawat dalam perkhidmatan awam setakat ini, dengan pengambilan secara temu duga terbuka dilaksanakan bagi mempercepatkan proses pengisian. Pengerusi SPA Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata langkah berkenaan antara usaha segera pihaknya bagi menangani keperluan pengisian jawatan kritikal, khususnya jururawat yang mendapat permintaan tinggi dalam sektor kesihatan. “Sehingga kini kita memerlukan lebih kurang 1,400 lebih (jururawat) dan kita telah pun membuat pengisian lebih 1,000. Maka kita ada lagi beberapa ratus yang kita perlukan untuk pengisian segera. “Usaha ini berterusan dari semasa ke semasa kerana ada juga jururawat yang perlu menghadiri latihan, dan latihan ini akan mengambil masa,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI SPA Kampung Orang Asli Ulu Chenein di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Muhammad Akmal Ila Ahmad, Setiausaha SPA Datuk Ikhbal Hanam Mukras dan Tok Batin Kampung Orang Asli Ulu Chenein Din Alang. Ahmad Jailani berkata kaedah temu duga terbuka dan walk-in telah dimulakan sejak awal tahun ini menerusi beberapa karnival kerjaya yang dianjurkan SPA di seluruh negara, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai belia yang mempunyai kelayakan untuk menyertai perkhidmatan awam. Beliau berkata calon yang mempunyai kelayakan diploma kejururawatan boleh hadir secara walk-in untuk menjalani proses temu duga, manakala mereka yang belum membuat permohonan secara dalam talian juga boleh mendapatkan kemudahan untuk melengkapkan permohonan SPA di pusat temu duga sebelum menghadiri sesi berkenaan. “Ini juga satu usaha breakthrough yang kita buat untuk menyegerakan proses berkenaan, kalau kita menggunakan proses biasa kadangkala mungkin timbul masalah kelewatan. Selain jururawat, SPA juga memberi tumpuan kepada pengisian beberapa jawatan kritikal lain yang memerlukan pengambilan segera, termasuk Pembantu Kesihatan Awam (PKA). “Bagi jawatan jururawat ini mempunyai permintaan cukup tinggi, khususnya apabila industri penjagaan kesihatan menjadi begitu penting di negara ini. Sasaran biasanya (dibuka) dalam kalangan jururawat di bahagian penjawat awam kerana tawaran yang barangkali lebih baik di pihak swasta menyebabkan sebahagian besar daripada mereka ini menyertai selain di bawah penjawat awam,” katanya. Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) berkata kerajaan tidak menghalang penjawat awam yang mahu mencari peluang pekerjaan lebih baik selepas tamat tempoh kontrak, sebaliknya SPA akan memastikan pelan penggantian dilaksanakan dengan merekrut tenaga kerja baharu secara berterusan. “Mereka memang ada mempunyai kontrak yang telah pun ditetapkan dalam pelantikan, namun apabila telah tamat tempoh kontrak mereka bebas. Kita tidak boleh menyekat mana-mana pegawai kerajaan yang ingin untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik. “Kita yakin pelan penggantian penting dan kita carilah kaedah bagaimana untuk melatih yang baharu dan saya yakin kalau kita pergi ke macam kampung di Felda Chenein, Lenggong ini kita boleh dapat belia yang ingin menyertai perkhidmatan ini,” katanya.– BERNAMA

September 12, 2026

Info X Reporters

Lelaki dipenjara 6 tahun selepas mengaku lakukan amang seksual

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dihukum penjara enam tahun dan dua sebatan selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan di Papar pada November tahun lalu. Tertuduh berumur 23 tahun itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan ketika dihadapkan di mahkamah, semalam (Jumaat). Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di ruang tamu sebuah rumah di Kimanis, Papar pada kira-kira jam 1 pagi, sekitar November tahun lalu. Tertuduh yang tidak bekerja itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dengan cara mencium bibir dan memegang payudaranya bagi tujuan seksual. Berikutan itu, tertuduh berdepan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh penahanannya mengikut Seksyen 26 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Selepas selesai tahanan penjara, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani pemantauan polis selama dua tahun mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim, manakala siasatan kes oleh Pegawai Penyiasat Polis, Inspektor Desmond Tanggapan. – Info X

September 12, 2026

Info X Reporters

Penunggang motosikal maut terbabas di Bulatan 360

PENAMPANG: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer 1.8, Bulatan 360, Jalan Bundusan, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 4.10 pagi itu, mangsa warga tempatan berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan akibat kecederaan parah. Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Asisten Superintendan Arisanti Aziz berkata, mangsa menunggang motosikal bersendirian dari arah Donggongon menuju ke Jalan Bundusan. “Sebaik tiba di lokasi, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui bulatan sebelum terbabas. “Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Sapari Ladoni menerusi talian 019-809 5133 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – Info X