Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

February 15, 2026

Info X Reporters

Mustapha ketuai PH Sabah hadapi PRU16

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah mengumumkan pimpinan baharu gabungan itu yang kini diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud. Pelantikan beliau dan beberapa jawatan lain dalam gabungan itu susulan tindakan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) meninggalkan gabungan berkenaan menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada November lalu. Mengumumkan perkara itu ketika mesyuarat PH Sabah pada Ahad, Mustapha berkata rombakan itu dibuat bagi mengisi jawatan yang kosong, selain sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). “Kita baru bermesyuarat PH Sabah dan yang hadir komponen parti, DAP, PKR dan AMANAH. Setelah berbincang kita putuskan untuk mengisi beberapa jawatan yang kosong selepas UPKO keluar PH. “Mesyuarat bersetuju melantik saya sebagai Pengerusi PH Sabah; Setiausaha Agung, Abdul Razak Jamil dan Ketua Pemuda, Zaidi Jatil dan kita kekalkan Ketua Wanita, Datuk Jannie Lasimbang, manakapa Timbalan Pengerusi kekal dipegang ketua parti komponen,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat. Mustapha yang juga Ketua PKR Sabah, mengakui struktur baharu PH Sabah itu adalah antara persiapan bagi menghadapi PRU16. “Ya, itulah objektifnya, kita bincang apa berlaku pada PRN lalu, itulah sebabkan kita rombak, susun semula untuk kita berdepan PRU akan datang,” katanya. – Info X

February 15, 2026

Info X Reporters

Isu 40 peratus: Luahan PH Sabah akan dibawa ke Kabinet – Mustapha

KOTA KINABALU: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sabah pada Ahad meluahkan permintaan mereka kepada kerajaan Persekutuan supaya mematuhi garis masa ditetapkan Mahkamah Tinggi pada tahun lalu berhubung pengembalian hasil cukai bersih 40 peratus kepada Sabah. Perkara itu disuarakan pemimpin PKR, DAP dan AMANAH Sabah pada mesyuarat PH Sabah yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapa Sakmud. Mustapha yang baru dilantik sebagai Pengerusi PH Sabah, berkata pemimpin gabungan itu di negeri ini mahu isu berkenaan diselesaikan mengikut tempoh yang ditetapkan dalam perintah Mahkamah Tinggi sebelum ini. Susulan itu, katanya beliau akan membawa luahan hati pemimpin PH Sabah ke Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) dan Mesyuarat Kabinet Persekutuan dalam masa terdekat. “Kita bincang dengan panjang lebar isu berkaitan MA63, khususnya 40 peratus dan saya dengar luahan pimpinan parti yang begitu prihatin terhadap isu ini dan minta supaya isu ini dapat diselesaikan mengikut garis masa yang telah dibuat oleh pihak mahkamah. “Saya mendengar sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang ditugas khusus sebagai urusetia Majlis Tindakan MA63 akan bawa luahan hati ini kepada jawatankuasa teknikal dan juga Mesyuarat Kabinet yang akan datang,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan. Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu antara lain memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melebihi kuasa perlembagaannya apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri bagi tempoh 1974 hingga 2021. Berikutan itu mahkamah memerintahkan supaya semakan mengenai perkara itu mesti diadakan dalam tempoh 90 hari dan satu persetujuan mesti dicapai dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan. Mustapha berkata bagi memantapkan lagi proses perundingan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63, Kabinet Persekutuan bersetuju melantik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Arthur. Joseph Kurup ke dalam jawatankuasa MTPMA63 peringkat induk. “Satu mesyuarat jawatankuasa teknikal akan dibuat pada 23 Februari ini membabitkan wakil Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof,” katanya. Mengenai ‘lost years’ yang merujuk kepada ketiadaan bayaran khas atau 40 peratus hasil negeri oleh kerajaan Persekutuan kepada kepada Sabah dari 1974 hingga 2021, Mustapha berkata pihaknya akan mendapatkan perkembangan mengenai perkara itu dari Kementerian Kewangan. “Kita akan kemaskini dengan Kementerian Kewangan dan kita akan dengar laporan mereka untuk perbincangan seterusnya. “Apa berlaku sekarang, setakat ini sudah ada dua mesyuarat peringkat jawatankuasa dipengerusikan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah an Ketua Setiausaha Perbendaharaan untuk bincang isu ini dan mereka membentuk satu jawatankuasa khas bincang perkara berkaitan termasuk ‘lost years’ dan kita akan dengar daripada mereka nanti,” katanya. – Info X

February 15, 2026

Info X Reporters

Masyarakat Cina rakan strategik kerajaan bangunkan negeri – KM

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengajak masyarakat Cina di negeri ini untuk menjadi rakan strategik pembangunan ke arah membina Sabah yang berdaya maju. Dalam perutusannya sempena Tahun Baharu Cina 2026, beliau menggesa masyarakat Cina agar menjadi rakan kemajuan dan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam membangunkan Sabah. Katanya, aspirasi Kerajaan Negeri adalah untuk terus memperkasa Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) bagi memacu pertumbuhan ekonomi, modal insan dan kesejahteraan rakyat. “Melalui SMJ 2.0, kita memastikan kemajuan ini bersifat inklusif untuk semua dan kemakmuran negeri dinikmati secara inklusif tanpa mengira kaum dan latar belakang rakyat kerana perpaduan adalah kunci utama kestabilan dan kemakmuran negeri ini,” katanya. Hajiji berkata Tahun Baharu Cina yang melambangkan nilai kekeluargaan, perpaduan dan harapan baharu bukan sekadar mencerminkan kekayaan warisan budaya masyarakat Tionghua, malah menjadi wadah yang memperkukuh keharmonian dan semangat kebersamaan rakyat berbilang kaum di Sabah. “Tahun 2026 yang disambut sebagai Tahun Kuda Api membawa simbol tenaga, keberanian dan inovasi. “Semangat ini menjadi inspirasi untuk kita terus melangkah maju dengan perancangan tersusun dan kerjasama erat demi pembangunan Sabah yang mampan dan seimbang. “Saya ucapkan Selamat Tahun Baharu Cina, Gong Xi Fa Cai kepada masyarakat Tionghua di Sabah khususnya dan di seluruh negara amnya,” katanya. – Info X

February 15, 2026

Info X Reporters

Penumpang belakang digalak guna tali pinggang keledar – JPJ

KOTA KINABALU: Penumpang belakang digalakkan untuk memakai tali pinggang keledar sebagai langkah keselamatan ya g mampu mengurangkan risiko kemalangan jalan raya maut. Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, aspek keselamatan itu sudah lama dikuatkuasakan namun kesedaran dalam kalangan penumpang masih perlu dipertingkatkan. Katanya, pemakaian tali pinggang keledar bagi penumpang di tempat duduk hadapan dan belakang mampu mengurangkan risiko kemalangan maut sehingga 50 peratus. “JPJ mengingatkan semua penumpang supaya sentiasa memakai tali pinggang keledar demi keselamatan diri. “Pemakaian tali pinggan keledar mampu mengurangkan 50 peratus risiko kemalangan maut,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena operasi khas Tahun Baharu Cina 2026 dan Kempen Keselamatan Jalan Raya di Terminal Bas KK Sentral, di sini, pada Ahad. Dalam perkembangan sama, Mohd Harris berkata, operasi khas keselamatan jalan raya sempena tahun baharu Cina 2026 akan dilaksanakan selama 14 hari bermula 9 Februari hingga 22 Februari ini. Katanya, operasi khas berkenaan bertujuan untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan-peraturan atau undang-undang jalan raya yang berkuat kuasa. “Melalui operasi khas itu, pihak JPJ akan memfokuskan kepada sembilan kesalahan utama mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan kaedah-kaedah di bawahnya. “Antara kesalahan tumpuan adalah tidak mematuhi had laju, isyarat lalu lintas, memotong di garis berkembar, memandu di lorong kecemasan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu. “Kesalahan lain yang turut dipantau termasuk tidak memakai tali pinggang dan topi keledar, membawa lebih muatan serta membawa muatan secara berbahaya,” katanya. – info X

February 15, 2026

Info X Reporters

RM559.85 juta untuk tingkat keterjaminan makanan, tahap sara diri di Sabah – KM

TUARAN: Kerajaan negeri memperuntukkan RM559.85 juta kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) negeri bagi meningkatkan keterjaminan makanan dan tahap sara siri (SSL) tanaman makanan pada tahun ini. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata bahawa di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0), sektor pertanian kekal sebagai salah satu daripada tiga tonggak utama yang memacu pertumbuhan ekonomi negeri. “Ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan keterjakinan makanan kekal kukuh. Seperti yang kita sedia maklum, isu keterjaminan makanan menjadi agenda utama di peringkat global dan nasional. “Namun, perubahan iklim, ketidaktentuan ekonomi, gangguan rantaian bekalan dan peningkatan kos sara hidup memerlukan pendekatan baharu yang lebih praktikal, berdaya tahan dan inklusif. “Oleh itu, sektor pertanian, perikanan dan industri makanan akan terus menjadi nadi kepada pembangunan sosio ekonomi Sabah,” katanya. Beliau berkata demikian pada pelancaran Jelajah Kebun Dapur MAFFI di Padang Istiadat, di sini pada Ahad. Ketua Menteri berkata beberapa inisiatif sedang dilaksanakan Jabatan Pertanian Sabah, sebagai agensi utama bertanggungjawab terhadap pembangunan sub sektor tanaman. “Antaranya Pembangunan Zon Pengeluaran Tanaman Makanan Kekal di 15 Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di negeri ini. “Selain itu, sebanyak RM3 juta diperuntukkan kepada Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM15 juta lagi untuk perolehan jentera menuai dan pembajakan padi. “Inisiatif ini adalah untuk menjadikan Sabah sebagai pengeluar padi dan beras yang mampan serta berdaya saing untuk menjamin sekuriti makanan dengan sasaran 60 peratus SSL menjelang 2030,” katanya. Hajiji yakin tiga tonggak pembangunan ekonomi negeri iaitu perindustrian, pertanian dan pelancongan akan meningkat dalam tempoh lima tahun di bawah Hala Tuju SMJ 2.0. Namun, beliau berkata keterjaminan makanan bukanlah tanggungjawab ladang -ladang atau projek berskala besar semata-mata. “Ia juga bermula di peringkat akar umbi iaitu di laman rumah kita sendiri dan dalam konteks ini, inisiatif Kebun Dapur di bawah program Revolusi Ekonomi Luar Bandar adalah salah satu strategi yang bukan saja berfokus kepada pengeluaran makanan, tetapi turut menekankan aspek pengurangan kos sara hidup serta pembentukan komuniti yang lebih berdikari dan mampan,” katanya. Jelajah Kebun Dapur, yang akan dilaksanakan di seluruh Sabah, bertujuan memastikan inisiatif itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat, termasuk mereka di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman. “Oleh itu, saya mahu melihat Tuaran muncul sebagai ‘Daerah Kebun Dapur Model’, di mana inisiatif ini bukan saja dilaksanakan, tetapi benar-benar menjadi sebahagian daripada cara hidup komuniti. “Saya berharap setiap kampung, kawasan perumahan dan komuniti akan mengambil peluang ini untuk mengusahakan kebun dapur mengikut kemampuan dan kreativiti masing-masing,” katanya. Hajiji berkata Jelajah Kebun Dapur mengguna pakai pendekatan mentor–mentee, di mana usahawan yang berjaya dan berpengalaman akan membimbing serta menasihati komuniti setempat. “Pendekatan ini bukan saja memastikan pemindahan pengetahuan dan amalan terbaik secara berterusan, tetapi juga memperkukuh pelaksanaan di peringkat akar umbi serta membina rangkaian sokongan berasaskan komuniti,” katanya. Beliau juga menggesa golongan belia di negeri ini, khususnya di Tuaran, supaya merebut peluang yang ditawarkan melalui siri jelajah itu untuk mempelajari teknik pertanian pintar yang menggabungkan inovasi dan teknologi, yang dapat menjana pendapatan tambahan. – Info X

February 15, 2026

Info X Reporters

Bapa nekad redah api, selamatkan isteri dan tiga anak

KOTA BELUD: Seorang bapa melecur pada muka dan badan selepas nekad meredah kebakaran bagi menyelamatkan isteri serta tiga anaknya dalam kejadian membabitkan deretan sembilan kedai di hadapan SMK Narinang, di sini, awal pagi tadi. Mangsa berusia 32 tahun mengalami kecederaan ketika membawa keluar ahli keluarganya sebelum api marak dan memusnahkan hampir keseluruhan bangunan berkenaan. Isterinya yang berusia 32 tahun serta empat anak mereka masing-masing berusia 11, lapan dan lima tahun serta seorang bayi lelaki berusia sebulan dilaporkan selamat dalam kejadian itu. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai pada jam 5.32 pagi. Beliau berkata, tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) kemudian digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 22 kilometer dari balai. “Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan deretan kedai jenis separuh kekal satu blok sembilan pintu dengan keluasan kira-kira 557 meter persegi dan terbakar 95 peratus. “Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan dua pancutan. Sumber air diperoleh daripada jentera dan pili bomba di luar kawasan kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, pili bomba berhampiran sekolah bagaimanapun tidak mempunyai tekanan air menyebabkan pasukan bomba terpaksa bergerak kira-kira tiga kilometer ke kawasan Tag Valley bagi tujuan pengisian semula air menggunakan pili bomba di tepi jalan. Beliau berkata, semua mangsa menerima rawatan awal daripada pasukan EMRS dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mangsa yang melecur dihantar ke Hospital Kota Belud untuk rawatan lanjut. “Operasi berjaya dikawal pada jam 7.13 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.55 pagi selepas kerja-kerja overhaul dan pemeriksaan keselamatan selesai dijalankan bagi memastikan tiada lagi bahaya. “Operasi turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), KKM serta Bomba Sukarela Pangkalan Abai,” katanya. Tambahnya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. – Info X

February 15, 2026

Info X Reporters

1,910 kebakaran di Sabah tahun lalu, kerugian cecah RM145 juta

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah merekodkan 1,910 kes kebakaran dengan 13 kematian sepanjang tahun lalu, membabitkan kerugian harta benda dianggarkan mencecah RM145 juta. Pengarah JBPM Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, daripada jumlah itu, kebakaran bangunan struktur menyumbang 42 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan. Menurutnya, kebakaran berpunca daripada elektrik merekodkan 692 kes, sekali gus menjadi penyumbang terbesar insiden kebakaran di negeri ini sepanjang 2025. “Data ini menunjukkan kesedaran mengenai risiko kebakaran khususnya berpunca daripada penggunaan elektrik di rumah amat penting. “Langkah pencegahan awal dan pemeriksaan berkala seperti memastikan suis elektrik serta peralatan rumah dalam keadaan selamat sebelum meninggalkan rumah mampu mengurangkan risiko kebakaran,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran sempena Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri 2026 di Palm Square, Center Point Shopping Complex, di sini, pada Sabtu. Majlis itu dirasmikan Setiausaha Politik kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Abdul Wahid Abd Razak yang mewakili menteri berkenaan, Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif. Mohd Pisar berkata, kempen berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai keselamatan kebakaran selain memupuk budaya bertanggungjawab dan proaktif dalam mengurus risiko di rumah serta komuniti. Katanya, inisiatif itu juga memastikan kesiapsiagaan anggota bomba sentiasa berada pada tahap optimum bagi membolehkan tindak balas kecemasan dilaksanakan secara pantas, cekap dan selamat. “Keselamatan kebakaran bukan sekadar isu teknikal, tetapi tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama erat antara pihak berkuasa, komuniti dan keluarga. “Kesedaran ini diperkukuhkan melalui pelbagai inisiatif termasuk penubuhan Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK), Pasukan Bomba Komuniti, Bomba Sukarela, Kadet Bomba, Bomba Junior dan Kelab Bomba Cilik,” katanya. Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan seperti memastikan suis elektrik dimatikan sebelum meninggalkan rumah, tidak meninggalkan lilin atau dapur tanpa pengawasan serta tidak bermain mercun atau bunga api tanpa kawalan. “Langkah ini bukan sahaja mampu menyelamatkan nyawa dan harta benda, malah membantu membentuk budaya keselamatan sebagai amalan harian dan tanggungjawab bersama,” katanya. Terdahulu, Abdul Wahid bersama Mohd Pisar menyempurnakan gimik pelancaran kempen berkenaan yang diadakan bersempena musim perayaan bagi meningkatkan kesedaran keselamatan kebakaran dalam kalangan masyarakat. – Info X

February 15, 2026

Info X Reporters

Tulis lebih banyak karya sejarah Sabah untuk kefahaman rakyat – KM

KOTA KINABALU: Sabah memerlukan lebih banyak penulisan atau karya sejarah berkaitan apa yang pernah berlaku di negeri ini supaya rakyat memahami dengan lebih jelas perkara itu. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata penulisan mengenai peristiwa penting pada masa lalu juga penting, khususnya ketika isu besar seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kerap dibincangkan. “Masih banyak peristiwa lampau yang perlu difahami dengan lebih jelas, kerana kesan peristiwa-peristiwa itu masih dirasai hingga ke hari ini,” katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis pelancaran buku ‘Apa Yang Rakyat Sabah Harus Tahu’ berdasarkan perspektif wartawan terkemuka Sabah, Allahyarham Datuk Mohd Fauzi Patel. Ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai di Perpustakaan Negeri Sabah, di sini, pada Sabtu. Buku itu memuatkan pandangan, pemerhatian dan catatan Allahyarham Fauzi Patel mengenai pelbagai isu dan kontroversi yang melibatkan Sabah, sebelum dan selepas pembentukan Malaysia. Fauzi menjadi wartawan sepenuh masa pertama Sabah pada 1954, ketika negeri ini masih dikenali sebagai Borneo Utara British dan pernah beliau berkhidmat dengan Sabah Times, Sabah Times – North Borneo News, Kinabalu Times dan Kinabalu Sabah Times, selain turut menulis ruangan Ahad untuk Daily Express. Hajiji menyifatkan buku ‘Apa Yang Rakyat Sabah Harus Tahu’ menawarkan pemahaman yang bernilai mengenai sejarah politik Sabah dari perspektif Fauzi Patel. “Saya percaya penulisan buku sejarah adalah suatu usaha yang amat bernilai kerana ia membolehkan kita melihat peristiwa daripada pelbagai perspektif dan menyediakan konteks yang diperlukan untuk mentafsir pemerhatian kita. “Oleh itu, buku ini tepat pada masanya kerana menawarkan perspektif yang dituturkan oleh Allahyarham Datuk Mohd Fauzi Patel, seorang tokoh kewartawanan yang terkenal dalam sejarah Sabah. “Tajuk buku ini dengan sendirinya mengajak kita berfikir secara kritis. Ia menyarankan bahawa masih banyak aspek sejarah politik Sabah yang belum difahami sepenuhnya oleh orang ramai dan menekankan keperluan untuk dokumentasi yang lebih menyeluruh serta wacana awam yang lebih meluas,” katanya. Beliau juga yakin buku itu akan menjadi rujukan penting, sama ada sebagai bacaan tambahan atau sebagai perspektif alternatif mengenai sejarah politik Sabah. – Info X