Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

February 5, 2026

Info X Reporters

Bekas Pengarah JBPM Labuan dituduh terima rasuah RM10,000

LABUAN: Bekas Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Labuan pada Khamis atas satu pertuduhan membabitkan rasuah berjumlah RM10,000 yang didakwa berlaku pada Mei 2020. Tertuduh, Ismaidi Ismail, 56, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elsie Primus. Berdasarkan kertas pertuduhan, Ismaidi sebagai seorang penjawat awam iaitu Pengarah JBPM Wilayah Persekutuan Labuan didakwa menerima suapan dalam bentuk wang tunai berjumlah RM10,000. Suapan itu didakwa diterima daripada sebuah syarikat yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi di JBPM Labuan. Kejadian didakwa berlaku sekitar Mei 2020 ketika kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih kuarters JBPM Labuan membabitkan syarikat berkenaan. Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan RM10,000 sebagai deposit dan seorang penjamin. Tertuduh turut diperintah melaporkan diri di Pejabat SPRM terdekat setiap dua bulan sekali. Mahkamah menetapkan 13 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, PPs Joe Randy Juster, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X

February 5, 2026

Info X Reporters

Sabah tiada kuasa keluar IC sendiri – KDN

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan kad pengenalan sendiri walaupun terdapat peruntukan khas berkaitan negeri ini di bawah Perkara 161E(4) Perlembagaan Persekutuan. Perkara itu dijelaskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam jawapan bertulis kepada soalan lisan yang dikemukakan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau pada sidang Dewan Rakyat di Kuala Lumpur pada Rabu. Madius dalam soalannya meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan sama ada Perkara 161E(4) Perlembagaan Persekutuan membolehkan Kerajaan Negeri Sabah mengeluarkan kad pengenalan sendiri. KDN menjelaskan, Perkara 161E(4) Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan kuasa sedemikian kepada Kerajaan Negeri Sabah. Sebaliknya, kata KDN, peruntukan itu hanya bertujuan melindungi kuasa Imigresen negeri, khususnya berkaitan kemasukan ke Sabah dan kemastautinan, seperti yang diberikan oleh undang-undang Persekutuan, supaya kuasa itu tidak boleh dipinda atau ditarik balik. “KDN menegaskan bahawa peruntukan ini tidak memberi kuasa atau memperluaskan bidang kuasa Kerajaan Negeri Sabah untuk mewujudkan atau mengeluarkan kad pengenalan sendiri,” kata jawapan bertulis itu. Jelasnya, urusan kewarganegaraan dan pendaftaran penduduk adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan selaras dengan Perkara 14 hingga 15 Perlembagaan Persekutuan serta Jadual Kesembilan, Senarai I (Persekutuan). Urusan itu, kata KDN, dilaksanakan melalui Akta Pendaftaran Negara 1959 [Akta 78] dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang dengan jelas memperuntukkan bahawa pendaftaran penduduk dan pengeluaran kad pengenalan adalah tanggungjawab Ketua Pengarah Pendaftaran Negara di bawah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Tambah KDN, akta dan peraturan sedia ada tidak memperuntukkan sebarang kuasa kepada Kerajaan Negeri untuk mengeluarkan kad pengenalan atau dokumen identiti yang membawa implikasi kewarganegaraan. “Oleh itu, sebarang pengeluaran kad pengenalan mestilah dilaksanakan secara berpusat oleh Kerajaan Persekutuan bagi memastikan keseragaman pentadbiran, kedaulatan undang-undang serta keselamatan negara,” katanya. Kerajaan Persekutuan turut menegaskan bahawa walaupun Sabah mempunyai peruntukan perlindungan khas di bawah Perkara 161E(4), hak dan tanggungjawab untuk mengeluarkan kad pengenalan kekal sebagai kuasa eksklusif Kerajaan Persekutuan dan tidak boleh dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan negeri. – Info X

February 5, 2026

Info X Reporters

Warga asing mengamuk di Kampung Titingan, positif dadah

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki dipercayai warga asing yang mengamuk dan menimbulkan kekecohan di kawasan Kampung Titingan, di sini, malam tadi. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata pihaknya menerima maklumat awam berhubung kejadian itu kira-kira jam 10.30 malam. Katanya, sepasukan anggota dari Pondok Polis Kawasan (PPK) Titingan, Balai Polis Tawau digerakkan ke lokasi kejadian untuk mengesan suspek dan menjalankan siasatan lanjut. “Suspek berjaya ditahan dan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tawau bagi menjalani ujian saringan awal air kencing. “Hasil ujian saringan awal mendapati lelaki berusia lingkungan 30-an itu positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan dipercayai warga asing. Jasmin berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. “Polis akan terus meningkatkan rondaan dan pemantauan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terpelihara di daerah ini. “Orang ramai digesa agar segera melaporkan sebarang kejadian mencurigakan kepada pihak berkuasa,” katanya. – Info X

February 5, 2026

Info X Reporters

Hamparan sampah terapung semakin teruk, jejas imej Semporna

SEMPORNA: Pencemaran sampah di perairan daerah ini dilaporkan bertambah buruk berikutan pemandangan sampah terapung terutama botol plastik yang banyak kelihatan di beberapa kawasan. Perkara itu mendapat perhatian seorang instruktor selam skuba, Aquila Chu yang berkongsi gambar hamparan botol plastik terapung yang mengotori keindahan laut Semporna di Facebook sebelum viral. “Melawat Semporna? Pergi terus ke pulau kalau kamu tidak mahu melihat tempat ini di pekan,” katanya dalam tulisannya di Facebook beliau dengan merujuk kepada hamparan sampah terapung di laut. Chu, 41, dari Kota Kinabalu sering membawa pelancong dari negara lain sejak 2023 untuk merasai pengalaman menyelam di lokasi terkenal, khususnya Pulau Sipadan. Beliau bagaimanapun merasa geram terhadap keadaan kebersihan yang semakin teruk di pekan Semporna. “Semakin ramai manusia, semakin banyak sampah juga,” katanya. Beliau yang juga ahli Sabah Diving Squad Club (DDC), berkata ramai penduduk yang tinggal di perkampungan atas air dan di pulau tiada akses terhadap kemudahan kutipan sampah. “Orang sering bercakap mereka tidak dididik mengenai pengurusan buangan dan ia sebahagiannya benar. “Mereka yang tiada dokumen tidak akan peduli mengenai alam sekitar kerana air minuman yang bersih pun sudah menjadi satu masalah kepada mereka. “Tapi, isu utama ialah tiada tempat untuk membuang sampah,” katanya. Sementara itu, Pengarah Program Sabah DDC, Yong Lip Khiong, berkata perairan di ibu negeri juga berdepan isu pencemaran yang sama, iaitu buangan domestik dengan botol plastik paling berleluasa. “Malah ada botol plastik yang menjadi ‘rumah’ kepada hidupan marin. Plastik ini bukan saja mencemari lautan, tapi juga menyebabkan ancaman yang tidak dapat dipulihkan terhadap hidupan marin dan burung laut. “Sekali lautan dicemari, kedua-dua hidupan marin dan manusia menjadi mangsa kepada pencemaran ini,” katanya. Yong yang juga seorang divemaster, berkata sampah marin bukan saja tanggungjawab kerajaan tetapi juga tanggungjawab setiap warga negara. “Kita boleh mulakan dengan mengurangkan penggunaan produk plastik, buat pengasingan dan kitar semula buangan serta mengelakkan membuang sampah merata-rata. “Jika setiap orang bekerjasana, lautan akan menjadi bersih dan generasi masa depan akan dapat terus menikmati keindahannya,” katanya. – Info X

February 5, 2026

Info X Reporters

27 tan paha ayam sejuk beku tanpa permit import sah dirampas

KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah (DVS Sabah) merampas 27 tan paha ayam sejuk beku bernilai RM268,410 menerusi satu operasi di Pelabuhan Sepanggar dan Inanam Laut, di sini, baru-baru ini. Pengarah DVS Sabah, Dr Zul Bahar, berkata rampasan dilakukan penguatkuasa DVS setelah risikan dan pemeriksaan mendapati produk import itu tidak mempunyai permit yang sah dari jabatan berkenaan. Katanya, operasi pada 30 Januari lalu itu yang diketuai DVS Kota Kinabalu membabitkan pemeriksaan sebuah kontena 40 kaki di Pelabuhan Sepanggar sebelum tindakan susulan diambil di sebuah premis bilik sejuk beku di Kampung Inanam Laut. “Pemeriksaan mendapati pemilik gagal mengemukakan sebarang permit atau lesen import yang dikeluarkan oleh DVS. “Susulan itu, tindakan sitaan diambil ke atas 27,000 kilogram (kg) produk paha ayam sejuk beku dengan nilai anggaran RM268,410, selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. Katanya, operasi itu dilaksanakan secara terancang dan berperingkat berdasarkan maklumat risikan sebelum serbuan dilakukan di lokasi yang dikenal pasti. “Operasi ini dilaksanakan dengan kerjasama antara Unit Penguatkuasaan DVS Wilayah Kota Kinabalu, Unit Pemeriksa Veterinar dan Unit Kuarantin DVS KKIA Kargo, selaras dengan komitmen berterusan DVS Sabah dalam memperkukuh keselamatan makanan dan biosekuriti negeri,” katanya. Operasi itu, katanya mendapat kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). “DVS Sabah berterima kasih kepada semua yang terbabit dalam operasi ini. Sinergi antara agensi inilah yang membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dengan berkesan dan berintegriti,” katanya. Sementara itu, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, menzahirkan penghargaan kepada pasukan DVS Sabah atas kejayaan operasi itu. “Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada DVS Sabah atas tindakan pantas, berkesan dan profesional dalam melindungi keselamatan makanan serta kepentingan rakyat Sabah. “Kerajaan negeri memandang serius sebarang cubaan membawa masuk produk makanan tanpa kelulusan yang sah kerana ia boleh menjejaskan kesihatan awam, biosekuriti serta kepercayaan rakyat terhadap sistem kawalan makanan negara. “Operasi ini jelas membuktikan ketegasan dan komitmen berterusan Sabah dalam memastikan hanya produk yang mematuhi piawaian dan undang-undang dibenarkan berada di pasaran,” katanya. – Info X

February 4, 2026

Info X Reporters

Lelaki warga emas diselamatkan daripada banjir di Lahad Datu

LAHAD DATU: Seorang lelaki warga emas berjaya diselamatkan selepas terperangkap akibat banjir di Kampung Wawasan 2, di sini, petang tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 4.01 petang. Katanya, sepasukan 10 anggota bersama beberapa jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai. “Setibanya di tempat kejadian, pasukan mendapati seorang mangsa lelaki warga emas terperangkap di kawasan yang dinaiki air akibat banjir. “Pasukan operasi bertindak pantas dan berhati-hati bagi memastikan keselamatan mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, mangsa, Mohd Tahir Sappelani, 72, berjaya dikeluarkan dengan selamat menggunakan tali penyelamat oleh pasukan bomba. “Selepas berjaya dikeluarkan, mangsa didapati berada dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada pihak keluarga. “Operasi menyelamat berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 5.30 petang dan ditamatkan kira-kira 5.46 petang selepas memastikan tiada lagi risiko bahaya di lokasi,” katanya. Sementara itu, beberapa kawasan lain di sekitar Lahad Datu turut dilanda banjir susulan hujan berterusan dan orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada. Dalam kejadian berasingan pada hari sama, seorang mangsa lumpuh berjaya dipindahkan ke tempat selamat selepas terperangkap akibat banjir di Kampung Indah Jaya, di sini. Sumsoa berkata, sepasukan 10 anggota digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 3.45 petang. “Mangsa dipindahkan menggunakan pengusung ke kawasan selamat dan diserahkan kepada pihak keluarga selepas disahkan berada dalam keadaan stabil,” katanya. – Info X

February 4, 2026

Info X Reporters

Lelaki ditemui meninggal dunia di garaj rumah di Penampang

PENAMPANG: Penduduk Kampung Nosoob Baru di sini, dikejutkan dengan penemuan seorang lelaki yang tidak sedarkan diri di garaj hadapan sebuah rumah, pagi tadi, sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Lelaki tempatan berusia 43 tahun itu ditemui terbaring di kawasan garaj rumah berkenaan sebelum pihak polis dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan, jam 8.15 pagi. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, berdasarkan pemeriksaan awal di lokasi mendapati tiada sebarang kesan pergelutan, pecah masuk ataupun unsur jenayah lain. “Pihak polis juga tidak menemui sebarang kecederaan luaran yang mencurigakan pada tubuh mangsa. “Mayat mangsa sudah dihantar ke unit Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, pihak polis akan menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa. “Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sementara menunggu laporan rasmi proses bedah siasat,” katanya. Sehubungan itu, Sammy menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam. Katanya, polis juga memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan. – Info X

February 4, 2026

Info X Reporters

Video tular rosak papan tanda jalan, dua lelaki ditahan polis

KENINGAU: Perbuatan dua lelaki merosakkan papan tanda jalan di tepi Jalan Sinaron – Tongod, di sini, membawa padah apabila mereka akhirnya ditahan polis susulan rakaman video kejadian itu tular di media sosial. Insiden yang berlaku lewat malam, pada 2 Februari itu dirakam oleh rakan mereka sendiri sebelum dimuat naik ke status WhatsApp dengan tetapan awam, sebelum disunting dan disebarkan semula di Facebook sehingga mengundang perhatian ramai serta mencetuskan kemarahan orang awam. Bertindak pantas susulan penularan video berdurasi 22 saat itu, polis berjaya mengesan dan menahan dua lelaki tempatan berusia 17 dan 19 tahun di Kampung Sinaron. Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penularan video berkenaan kira-kira jam 12.08 tengah malam, 2 Februari lalu. “Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kejadian itu dan mendakwa perbuatan berkenaan dilakukan atas alasan bergurau, memandangkan mereka menyedari aksi tersebut sedang dirakam oleh rakan mereka di lokasi kejadian. “Rakaman video itu pada awalnya dimuat naik ke status WhatsApp dengan tetapan awam sebelum disunting dan dimuat naik semula oleh individu tidak dikenali ke laman sosial Facebook sehingga menjadi tular,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, susulan tangkapan berkenaan, polis memperoleh perintah tahanan reman selama tiga hari terhadap kedua-dua suspek bagi membantu siasatan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat dengan cara merosakkan dan menyebabkan kerugian ke atas harta benda milik Kerajaan Malaysia. “Polis memandang serius sebarang perlakuan jenayah dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang. “Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta digalakkan menyalurkan maklumat yang boleh membantu siasatan kepada pihak polis,” katanya. – Info X