February 4, 2026
Info X Reporters
Orang kuat KupiKupi FM antara ahli panel bincang isu kewartawanan anjuran MPI di UMS
KOTA KINABALU: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KupiKupi FM Sabah, Lester Calvin Miol bersama dua lagi tokoh media bakal membincangkan isu berkaitan kewartawanan pada satu forum mini di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Khamis. Forum Mini Kewartawanan: Viral, Kepantasan & Ketepatan – Cabaran Media Era Digital itu dianjurkan Malaysian Press Institute (MPI) dengan kerjasama strategik UMS. Dua lagi ahli panel pada forum itu ialah Ketua Pengarang Vanakkam Malaysia, M Thiaga Rajan dan CEO MPI, Dr Ainol Amriz Ismail, manakala Pensyarah Kanan Program Komunikasi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS, Dr Cyril Modili sebagai moderator. Forum yang bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari itu terbuka kepada pelajar Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS. Selain itu, menerusi jemputan daripada MPI, program itu turut dibuka kepada wartawan untuk mengikuti dan membuat liputan mengenai perbincangan yang dibuat. MPI berkata, penganjuran forum itu bertujuan memperkukuh jalinan kerjasama strategik di antara badan itu dan UMS, khususnya dalam memperkasa literasi kewartawanan, etika media serta kefahaman terhadap cabaran landskap media digital dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat umum. – Info X
February 4, 2026
Info X Reporters
Helah bawa petrol kuantiti kecil terbongkar, ‘runner minyak’ ditahan
TAWAU: Taktik membawa bahan api dalam kuantiti kecil bagi mengelak dikesan berakhir apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot kargo tempatan disyaki ‘runner minyak’ di perairan Tawau, pagi semalam. Pengarah APMM Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot berkenaan dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan dari arah Tawau menuju ke Pulau Sebatik sebelum dipintas kira-kira 0.8 batu nautika utara Muara Sungai Aji Kuning. Katanya, pemeriksaan ke atas bot yang dikendalikan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun menemui 40 gelen petrol dianggarkan berjumlah 1,200 liter serta tiga tong gas LPG berisi yang dipercayai cuba diseludup keluar tanpa permit sah. “Juragan bot juga gagal mengemukakan lesen pendaftaran bot yang sah ketika pemeriksaan dijalankan. “Bot, enjin dan semua muatan dirampas sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau bagi siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM46,000. Beliau berkata, modus operandi membawa bahan api dalam kuantiti kecil tetapi dilakukan secara berulang merupakan antara taktik sindiket penyeludupan bagi mengaburi pihak berkuasa. “Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan tanpa mengira kuantiti barangan yang dibawa, khususnya di perairan Tawau yang sering menjadi laluan rentas sempadan,” katanya. Dalam pada itu Ariffin berkata, Maritim Malaysia memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti jenayah di laut dan memastikan aset rondaan sentiasa bersedia digerakkan pada bila-bila masa. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim diminta menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera,” katanya. – Info X
February 4, 2026
Info X Reporters
Datang marah-marah di tapak jualan, bekas suami ditahan buat ugutan
TAWAU: Niat seorang wanita mencari rezeki di tapak jualan bertukar cemas apabila dia tiba-tiba didatangi bekas suaminya yang datang dalam keadaan marah di kawasan Bandar Sri Indah, di sini, semalam. Tanpa disangka, lelaki berusia 32 tahun berkenaan didakwa mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap wanita itu sehingga menyebabkan mangsa ketakutan dan berasa keselamatannya terancam. Tidak mahu keadaan menjadi lebih buruk, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas laporan itu, polis menahan lelaki terbabit di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau bagi membantu siasatan. “Suspek dipercayai terbabit dalam kes ugutan jenayah terhadap bekas isterinya. “Suspek disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. – Info X
February 4, 2026
Info X Reporters
Gagal kemuka dokumen sah, 10 warga China dicekup Imigresen di Labuan
LABUAN: Seramai 10 warga China ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Labuan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah dalam satu Operasi Sapu di empat lokasi kediaman sekitar kawasan taman perumahan di sini, pada Selasa. Pengarah JIM Wilayah Persekutuan Labuan, Raymond Entalai berkata, operasi yang bermula kira-kira jam 12 tengah malam hingga 1.30 pagi itu, hasil maklumat awam serta risikan yang dijalankan JIM Labuan. “Operasi berkenaan diketuai Ketua Timbalan Penolong Pengarah (KTPP) Fatrick James bersama 18 pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Penguatkuasaan. “Seramai 20 individu diperiksa membabitkan 15 lelaki dan lima wanita, kesemuanya warganegara China. Hasil pemeriksaan mendapati 10 individu gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah sebelum ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, ketika pemeriksaan dijalankan, beberapa individu cuba melarikan diri melalui pintu belakang rumah. “Keadaan itu menyebabkan berlaku aksi kejar – mengejar, namun semua individu terbabit berjaya ditahan tanpa sebarang insiden tidak diingini. “Selain tangkapan, sebanyak empat saman kepada saksi turut dikeluarkan bagi membantu siasatan,” katanya. Raymond berkata, semua individu yang ditahan dibawa ke Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. Sementara itu, beliau berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara berterusan bagi mengesan, menangkap, mendakwa serta mengusir warganegara asing yang melanggar undang-undang negara. “Sehubungan itu, orang ramai dan majikan diingatkan supaya tidak melindungi atau menggaji pendatang tanpa izin (PATI) kerana tindakan tegas boleh diambil di bawah undang-undang sedia ada. “Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan PATI atau aktiviti melanggar undang-undang imigresen diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa,” katanya. – Info X
February 4, 2026
Info X Reporters
Program Smart Care UMS perkasa asuhan kanak-kanak
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkukuhkan lagi peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang prihatin terhadap pembangunan komuniti melalui penganjuran Program Smart Care: Asuhan Selamat, Komuniti Sejahtera. Program yang dilaksanakan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Teluk Sepanggar, di sini, baru-baru ini dianjurkan Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK), Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS) UMS. Seramai 105 peserta termasuk mahasiswa UMS dan 50 peserta komuniti yang terdiri daripada ibu-ibu Ahli BAKAT Laut menjayakan program itu. Inisiatif berimpak komuniti itu memberi penekanan terhadap aspek penjagaan kanak-kanak secara holistik merangkumi kesihatan, pemakanan, teknik pengajaran serta pengurusan tingkah laku kanak-kanak. Ketua Program PAKK FPPS, Dr Zafaren Zakaria berkata aspek itu selaras dengan usaha bagi memperkukuh kesejahteraan keluarga dan masyarakat. Katanya, program itu memberi manfaat besar kepada ibu bapa, pendidik dan mahasiswa melalui perkongsian ilmu dan pengalaman secara langsung. “Program ini memberi peluang kepada peserta meningkatkan kefahaman berkaitan asuhan dan didikan kanak-kanak, termasuk teknik penyusuan eksklusif, amalan pemakanan sihat serta pendedahan kepada asas pertolongan cemas seperti resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebagai persediaan menghadapi situasi kecemasan. “Melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti yang dijalankan, peserta memperoleh pengalaman bermakna yang menyumbang kepada perkembangan holistik kanak-kanak serta kesejahteraan keluarga dan komuniti,” katanya. Program itu turut dijayakan menerusi kerjasama strategik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan komuniti Ahli BAKAT. Zafaren berkata, kerjasama itu sekali gus memperkukuh jaringan kolaborasi di antara universiti dan agensi luar dalam memperkasakan pendidikan masyarakat. Sepanjang program berlangsung, peserta turut menyertai aktiviti pertandingan berkumpulan yang menggabungkan ibu-ibu Ahli BAKAT dan mahasiswa UMS bagi menghasilkan kit pengajaran ringkas yang boleh digunakan di rumah. Bagi memastikan pendekatan program bersifat inklusif dan mesra keluarga, aktiviti khas bersama kanak-kanak turut diadakan oleh mahasiswa PAKK UMS melalui pendekatan pembelajaran berasaskan permainan yang merangkumi aktiviti kreatif, sensori dan sosial mengikut tahap perkembangan kanak-kanak. Majlis perasmian dan penutupan program disempurnakan Timbalan Panglima Armada Timur TLDM, Laksamana Pertama Erman Shahril Adlan. Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada penyelaras program, Saturia Amiruddin atas komitmen menjayakan penganjuran program berkenaan. Sementara itu, Pengarah Program, Nurul Fatin Fasiha Norhambe, menyifatkan sambutan menggalakkan daripada komuniti sebagai bukti keperluan program seumpama itu dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan asuhan kanak-kanak yang berkualiti. Katanya, penganjuran Program Smart Care itu mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam menyumbang kepada pembangunan awal komuniti, memperkukuh agenda pembelajaran sepanjang hayat dan melahirkan graduan yang berpengetahuan, berkemahiran serta berjiwa masyarakat. – Info X
February 4, 2026
Info X Reporters
Ketua Menteri ambil alih jawatan Pengerusi TAED
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor kini mengambil alih jawatan Pengerusi Tanjung Aru Eco Development (TAED). Bekas pengerusinya, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, menyerahkan tugas itu kepada Ketua Menteri dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Menara Kinabalu pada Selasa. Majlis itu disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Peguam Besar Negeri, Datuk Brenndon Keith Soh dan Setiausaha Tetap Kewangan, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair. Hadir sama Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman; Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah; Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Datuk Bernard Liew dan Pengarah Jabatan Kerja Raya, Datuk Philemon Lajawai. – Info X
February 3, 2026
Info X Reporters
Mohd Arifin dilantik Profesor Adjung UIS
KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Bertanggungjawab Hal Ehwal Agama Negeri Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dilantik sebagai Profesor Adjung Universiti Islam Selangor (UIS), sekali gus memperkukuh hubungan keilmuan dan dakwah antara Sabah dan Semenanjung. Pelantikan itu disempurnakan menerusi Majlis Serahan Watikah Pelantikan yang disampaikan oleh Naib Canselor UIS, Datuk Profesor Dr Mohd Farid Ravi Abdullah, bertempat di Pejabat Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), di sini, hari ini. Mohd Arifin berkata, pelantikan berkenaan diharap dapat menjadi jambatan penghubung antara Sabah dan Semenanjung, khususnya Selangor, dalam memperkukuh ukhuwah, dakwah serta keilmuan Islam. “Kerjasama strategik ini penting bagi memperkasakan bidang pendidikan dan keilmuan Islam serta dakwah. “Usaha ini turut memberi penekanan kepada kesinambungan kemasukan anak-anak Sabah ke Universiti Islam Selangor yang telah berlangsung sejak sekian lama,” katanya. Menurutnya, hubungan erat antara institusi pendidikan Islam dan kepimpinan negeri mampu memberi manfaat besar dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak serta berdaya saing. Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat Naib Canselor UIS Selangor yang turut membincangkan hala tuju serta bentuk kerjasama berterusan dalam memperkasa pembangunan pendidikan Islam dan dakwah di peringkat nasional. – Info X
February 3, 2026
Info X Reporters
Lelaki hilang ketika cari hasil hutan ditemui lemas di sungai
KIMANIS: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar mencari hasil hutan berhampiran Kampung Mandugi, di sini, ditemui meninggal dunia akibat lemas di sungai, petang tadi. Mangsa berusia 58 tahun ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bersama penduduk kampung jam 4.12 petang di kawasan sungai, kira-kira 300 meter dari Pos Kawalan Bomba (PKB). Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 10.02 pagi bagi membantu mencari mangsa yang dipercayai hilang di kawasan hutan Kampung Mandugi. “Menurut laporan PDRM, mangsa keluar dari rumahnya di Kampung Langkawit, Papar pada 1 Februari lalu kira-kira jam 3 petang untuk berjumpa rakannya di Kampung Mandugi. “Mangsa kemudian dipercayai masuk ke kawasan hutan berhampiran bagi mencari hasil hutan, namun tidak pulang ke rumah sehingga laporan kehilangan dibuat kepada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, operasi SAR dimulakan pada jam 12.21 tengah hari dengan penglibatan 10 anggota bomba bersama PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan kira-kira 25 orang penduduk kampung. “Operasi pencarian dibahagikan kepada empat sektor iaitu kawasan kampung, kebun, sungai dan hutan, dengan bantuan unit dron PDRM bagi mempercepatkan usaha mengesan mangsa. “Mangsa berjaya ditemui di kawasan sungai (section C) oleh pasukan penyelamat bersama penduduk kampung, pada jarak kira-kira 300 meter dari PKB,” katanya. Menurutnya, selepas mangsa ditemui di sektor sungai, mayat dibawa keluar menggunakan bot penduduk kampung sebelum diusung ke PKB menggunakan pengusung (stretcher) oleh pasukan penyelamat. “Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak PDRM sebelum dibawa ke hospital untuk pengesahan kematian serta proses bedah siasat. “Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.26 petang,” katanya. – Info X