February 3, 2026
Info X Reporters
Inkues Zara: Arwah tidak dituduh mencuri – ibu pelajar A
KOTA KINABALU: Seorang pelajar yang berdepan pertuduhan di Mahkamah Kanak-Kanak berkaitan insiden menimpa Allahyarham Zara Qairina Mahathir tidak pernah menuduh atau mengesyaki arwah Zara mencuri barangan miliknya. Ibu pelajar berkenaan yang memberi keterangan sebagai saksi ke-62 pada inkues kematian arwah Zara di Mahkamah Koroner, di sini, pada Selasa menjelaskan perkara itu selepas ditanya peguam ibu arwah, Shahlan Jufri. Pelajar terbabit yang dirujuk sebagai ‘A’ adalah antara lima pelajar yang didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak, selain turut menjadi saksi di Mahkamah Koroner dalam inkues kematian Zara. Saksi membuat kesimpulan bahawa tuduhan itu yang disifatkannya sebagai fitnah berkemungkinan disebabkan keadaan arwah Zara yang didakwanya dikelilingi musuh yang menikam belakang. “Tidak, dia menyatakan tidak syak Zara. Dia pernah cerita kepada saya tidak pernah syak Zara yang mencuri dan tidak pernah tuduh Zara yang curi sebab dia rapat dengan Zara. “Tempoh masa itu, mereka berkawan baik, tapi Zara dikelilingi musuh yang menikam dari belakang, itu kesimpulan saya daripada cerita pelajar A,” katanya ketika menjawab soalan Shahlan pada prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan. Sebelum itu, Shahlan bertanya mengenai ‘spot check’ berikutan aduan kehilangan barang seorang pelajar di bilik asrama pada 14 Julai 2025, selain mengenai kehilangan dompet pelajar A. Sementara itu, saksi berkenaan menyifatkan keterangan yang diberikan anaknya kepada polis sebelum ini sebagai ‘killer statement’ yang tidak boleh dinafikan dengan sewenang-wenangnya. Perkara itu disebutnya selepas Shahlan meminta penjelasan berhubung jawapannya apabila ditanya bahawa mesej Whatsapp yang dihantar ibu arwah Zara adalah ‘diforwardkan’ dan bukan ditulis oleh ibu arwah sendiri. Ia berkaitan hantaran mesej Whatsapp oleh ibu arwah Zara kepada saksi yang didakwanya meminta beliau membuat penafian terhadap kenyataan pelajar A yang didakwa ibu arwah diputar belit. Dalam jawapannya, ibu pelajar A mempersoalkan tujuan ibu arwah menghantar mesej itu kepadanya yang dianggapnya lebih mempercayai pihak lain, sekali gus membahayakan anaknya. Sebelum itu, Shahlan bertanya sama ada ibu pelajar A kurang memahami mesej dihantar ibu Zara sebelum ini yang hanya mahu ibu pelajar A membuat penafian dengan membuat laporan polis jika benar keterangan anaknya diputar belit. Ia berkaitan keterangan anaknya yang ada menyebut bahawa arwah Zara pernah memberitahunya ingin membunuh diri. Bagaimanapun, saksi bertegas memahami maksud mesej ibu arwah itu sebagai memintanya membuat penafian terhadap kenyataan anaknya dan beliau enggan melakukannya. Saksi juga mendakwa ibu arwah marah kepadanya berdasarkan beberapa mesej Whatsapp yang dihantar ibu arwah selepas itu, namun tidak dibalasnya. – Info X
February 3, 2026
Info X Reporters
Inkues Zara: Isu barcode selesai, Zara tiada masalah disiplin – ustazah
KOTA KINABALU: Allahyarham Zara Qairina Mahathir tidak pernah berdepan sebarang masalah disiplin ketika di Sekolah Agama Negeri (SAN) Kampung Naluyan Sipitang. Perkara itu disahkan bekas usatazahnya, Nur Ain Jabah, 38, yang memberi keterangan sebagai saksi ke-63 inkues kematian arwah Zara di Mahkamah Koroner, di sini, pada Selasa. Beliau bagaimanapun mengakui arwah bersama beberapa pelajar sekelas pernah diadu membuat ‘barcode’ ketika berada di Tahun Lima. Namun, jelasnya isu itu selesai setelah beliau memarahi pelajar terbabit dan mengingatkan mereka supaya tidak mengulanginya dan tidak lagi berlaku selepas itu. “Saya tahu ini sebab arwah Zara dan rakan lain pernah buat di sekolah dan ada pelajar lain mengadu dengan saya. “Jadi, saya sendiri datang ke kelas mereka dan tengok, saya memang marah, mereka kata ‘inikan trend dalam TikTok’, tapi saya kata jangan buat dan jangan diulang. “Selepas itu tidak berlaku lagi kes itu dan ia terhenti di situ,” katanya. Beliau sebelum itu ditanya peguam ibu arwah Zara, Shahlan Jufri sama ada tahu mengenai perkara berkenaan. Nur Ain yang mengajar di SAN Naluyan sejak Julai 2023 berkata seramai lapan pelajar dikesan terbabit dengan isu ‘barcode’ itu yang semuanya di tahun lima, bersama-sama dengan arwah Zara. Sementara itu, beliau menyifatkan arwah Zara seorang murid yang suka menegur guru dan bercerita menjadikan suasana kelas dan sekolah sentiasa ceria sepanjang dia bersekolah di SAN Naluyan. “Dia memang suka bercerita dengan kami, tapi bukan cerita yang tidak baik dan dia juga jenis yang suka bercakap dan bermain dengan kawan apabila di kelas,” katanya. – Info X
February 3, 2026
Info X Reporters
Penunggang motosikal maut digilis lori 10 tan
TUARAN: Seorang penunggang motosikal maut selepas digilis lori dalam kejadian di Jalan Berungis Tenghilan, berhampiran Hospital Tuaran, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa lelaki berusia lingkungan 40-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di perut. Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, kemalangan melibatkan sebuah motosikal Yamaha Y15ZR dan lori 10 tan. Katanya, berdasarkan siasatan awal, pemandu lori dipercayai mengubah haluan dari lorong kanan ke lorong kiri bagi memberi laluan kepada Ambulans yang sedang melalui jalan sama. “Bagaimanapun, mangsa dipercayai cuba memotong laluan sehingga menyebabkan berlaku pergeseran antara kedua-dua kenderaan. “Akibat pergeseran berkenaan, penunggang motosikal terjatuh ke bawah lori sebelum digilis pada bahagian perut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dan proses bedah siasat akan dijalankan pada Selasa di Unit Forensik Hospital Tuaran. Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. “Sehubungan itu, mana-mana saksi kejadian tampil ke Pejabat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran untuk membantu siasatan. “Selain itu, pengguna jalan juga dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati semasa memandu dan melintas jalan. “Masyarakat juga digesa supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta memastikan kenderaan sentiasa dalam keadaan baik,” katanya. – Info X
February 3, 2026
Info X Reporters
Wanita maut, kereta rempuh pokok di Sandakan
SANDAKAN: Seorang penumpang wanita maut selepas kereta dinaiki terbabas sendiri sebelum merempuh sebatang pokok dalam kejadian di Jalan Utara berhampiran Hotel Livingston, di sini, pagi tadi. Mangsa Siti Madina Hassan, 51, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah manakala dua lagi individu dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan susulan kejadian berkenaan pada jam 6.01 pagi. Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu. “Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan Proton Saga yang terbabas sebelum melanggar pokok. “Terdapat tiga orang mangsa tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, seorang mangsa penumpang perempuan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. “Manakala pemandu dan penumpang hanya mengalami kecederaan ringan dan telah diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS. “Kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sandakan menggunakan jentera EMRS dan ambulans KKM bagi mendapatkan rawatan lanjut. “Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.10 pagi,” katanya. – Info X
February 3, 2026
Info X Reporters
Dua sahabat edar dadah, dicekup bersama hampir lebih kurang 400 gram syabu
KUDAT: Aktiviti gelap dua sahabat yang dipercayai baru kira-kira sebulan berjinak-jinak dalam pengedaran dadah berakhir apabila mereka diberkas bersama hampir lebih kurang 400 gram syabu dalam satu serbuan lewat malam, pada Sabtu. Dalam operasi kira-kira jam 11.30 malam, hasil maklumat awam, Pasukan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat menyerbu sebuah bilik sewa atas kedai di Pekan Tomburungus sebelum menahan dua lelaki berusia 29 dan 17 tahun yang berada di dalam bilik berkenaan. Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pemeriksaan menyeluruh di bilik berkenaan menemukan pelbagai bungkusan dadah yang disorok secara licik di beberapa lokasi. “Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan hablur kristal disyaki dadah jenis syabu dengan berat keseluruhan lebih kurang 394.16 gram dan dianggarkan bernilai RM43,357.60. “Ujian saringan awal mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine/amphetamine,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, polis turut merampas sebuah kenderaan, dua telefon bimbit, wang tunai serta sebuah beg galas dalam serbuan berkenaan. “Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan punca bekalan dadah yang diperoleh oleh kedua-dua suspek terbabit. “Kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai khususnya golongan remaja dan belia supaya tidak terpengaruh dengan aktiviti penyalahgunaan dadah yang bukan sahaja memusnahkan masa depan, malah membawa hukuman berat di sisi undang-undang. “Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam jenayah dadah dan orang awam diminta menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti berkaitan dadah di kawasan masing-masing,” katanya. – Info X
February 3, 2026
Info X Reporters
Suspek pecah kedai dobi diberkas, syabu dan senjata tajam dirampas
SANDAKAN: Kegiatan seorang lelaki yang aktif memecah masuk kedai dobi sekitar daerah ini berakhir apabila dia berjaya diberkas polis dalam satu serbuan awal pagi tadi. Suspek berusia 31 tahun itu ditahan kira-kira jam 1 pagi di Bandar Leila, hasil maklumat awam yang membawa sepasukan anggota polis dari Balai Polis Sandakan ke lokasi berkenaan. Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, ketika tangkapan dilakukan, polis turut menemui senjata tajam serta beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah. Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut menemukan wang tunai dan dadah jenis syabu yang berada dalam simpanan suspek. “Siasatan awal mendapati lelaki terbabit disyaki terlibat dengan beberapa kes pecah kedai dobi di sekitar daerah Sandakan. “Ujian saringan awal air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Sementara itu, beliau menegaskan polis akan terus komited membanteras jenayah harta benda bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di daerah Sandakan sentiasa terpelihara. – Info X
February 2, 2026
Info X Reporters
Empat lelaki ditahan curi enjin bot di resort
SEMPORNA: Polis menahan empat lelaki yang disyaki terbabit dalam kes kecurian enjin bot di Sea Star Resort, di sini, dengan nilai kerugian dianggarkan RM7,500. Kejadian itu disedari pemilik resort berkenaan, pada 27 Januari lalu kira-kira jam 7.30 pagi apabila mendapati sebuah enjin bot Yamaha 15 kuasa kuda (hp) yang disimpan di dalam stor resort hilang dipercayai dicuri. Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendsn Tan Hiap Wah berkata, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tiga lelaki datang ke lokasi menggunakan sebuah bot kecil jam 12.37 tengah malam. “Rakaman menunjukkan seorang suspek masuk ke dalam stor sebelum melarikan enjin bot berkenaan menggunakan bot sama. “Susulan laporan dibuat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dengan bantuan Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan seorang lelaki warga asing di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bangau-Bangau, kira-kira jam 10.55 malam, 28 Januari lalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, hasil tangkapan itu membawa kepada rampasan sebuah bot kayu serta enjin bot Yamaha 40hp. “Soal siasat lanjut kemudian membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki di Kampung Pulau Lumanggas. “Polis turut merampas sebuah lagi enjin bot Yamaha 15hp yang dipercayai berkaitan dengan kes berkenaan, selain mendapati kesemua suspek gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya. Menurutnya, semua suspek kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. Dalam pada itu, beliau berkata polis akan terus mempergiat usaha membanteras jenayah harta benda di daerah ini dan menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan tahap keselamatan harta masing-masing. “Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah diminta tampil menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X
February 2, 2026
Info X Reporters
SDB penting bantu rancakkan ekonomi, wujudkan peluang kerja – Masidi
KOTA KINABALU: Sabah Development Berhad (SDB) memainkan peranan yang penting dalam menyokong usaha kerajaan negeri melalui pelaksanaan projek berimpak ekonomi. Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata pada masa yang sama, syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) itu juga berperanan dalam membantu merancakkan aktiviti ekonomi setempat dan mewujudkan peluang pekerjaan. “SDB berperanan penting dalam menyokong usaha kerajaan negeri melalui pelaksanaan projek yang bukan saja berimpak ekonomi, malah berupaya membantu merancakkan aktiviti ekonomi setempat dan mewujudkan peluang pekerjaan, khususnya kepada rakyat Sabah,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat pengurusan SDB yang diketuai pengerusi baharunya, Datuk Dr Yusof Yacob pada Isnin. Pada pertemuan itu, Masidi yang juga Menteri Kewangan negeri turut menekankan kepentingan tanggungjawab institusi dan keperluan membina asas pengurusan serta perancangan yang kukuh bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan, berdaya tahan dan memberi manfaat jangka panjang kepada negeri. Selain itu, pertemuan berkenaan turut membincangkan hala tuju strategik dan peluang kerjasama merangkumi sektor pelaburan, pembangunan hartanah dan inisiatif ekonomi strategik yang sejajar dengan agenda pembangunan negeri. Sementara itu, SDB menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan tanggungjawab secara berintegriti dan profesional, serta memperkukuh peranannya sebagai pemangkin pembangunan ekonomi berteraskan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0. Pertemuan itu diadakan sebagai platform strategik untuk SDB memperkukuh kerjasama di antara kerajaan negeri dan syarikat berkenaan. Selain pengurusan SDB, Masidi turut menerima kunjungan hormat Pengerusi Koperasi Kakitangan Kerajaan Negeri Sabah Berhad (KOPEKS), Datuk Dr Saat Ag Damit dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Buvil Angkui bersama rombongan. Pada pertemuan itu, Masidi memberi cadangan strategik kepada KOPEKS bagi memperkukuhkan usaha koperasi menjana pendapatan dan meningkatkan keberkesanan operasi. Beliau menekankan agar koperasi terus memanfaatkan peluang perniagaan sedia ada dan berinovasi dalam aktiviti ekonomi bagi memastikan kesejahteraan ahli serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sabah. – Info X