February 2, 2026
Info X Reporters
SDB penting bantu rancakkan ekonomi, wujudkan peluang kerja – Masidi
KOTA KINABALU: Sabah Development Berhad (SDB) memainkan peranan yang penting dalam menyokong usaha kerajaan negeri melalui pelaksanaan projek berimpak ekonomi. Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata pada masa yang sama, syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) itu juga berperanan dalam membantu merancakkan aktiviti ekonomi setempat dan mewujudkan peluang pekerjaan. “SDB berperanan penting dalam menyokong usaha kerajaan negeri melalui pelaksanaan projek yang bukan saja berimpak ekonomi, malah berupaya membantu merancakkan aktiviti ekonomi setempat dan mewujudkan peluang pekerjaan, khususnya kepada rakyat Sabah,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat pengurusan SDB yang diketuai pengerusi baharunya, Datuk Dr Yusof Yacob pada Isnin. Pada pertemuan itu, Masidi yang juga Menteri Kewangan negeri turut menekankan kepentingan tanggungjawab institusi dan keperluan membina asas pengurusan serta perancangan yang kukuh bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan, berdaya tahan dan memberi manfaat jangka panjang kepada negeri. Selain itu, pertemuan berkenaan turut membincangkan hala tuju strategik dan peluang kerjasama merangkumi sektor pelaburan, pembangunan hartanah dan inisiatif ekonomi strategik yang sejajar dengan agenda pembangunan negeri. Sementara itu, SDB menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan tanggungjawab secara berintegriti dan profesional, serta memperkukuh peranannya sebagai pemangkin pembangunan ekonomi berteraskan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0. Pertemuan itu diadakan sebagai platform strategik untuk SDB memperkukuh kerjasama di antara kerajaan negeri dan syarikat berkenaan. Selain pengurusan SDB, Masidi turut menerima kunjungan hormat Pengerusi Koperasi Kakitangan Kerajaan Negeri Sabah Berhad (KOPEKS), Datuk Dr Saat Ag Damit dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Buvil Angkui bersama rombongan. Pada pertemuan itu, Masidi memberi cadangan strategik kepada KOPEKS bagi memperkukuhkan usaha koperasi menjana pendapatan dan meningkatkan keberkesanan operasi. Beliau menekankan agar koperasi terus memanfaatkan peluang perniagaan sedia ada dan berinovasi dalam aktiviti ekonomi bagi memastikan kesejahteraan ahli serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sabah. – Info X
February 2, 2026
Info X Reporters
40 rumah setinggan musnah terbakar di Tawau
TAWAU: Sebanyak 40 buah rumah setinggan jenis tidak kekal musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Titingan, di sini, pagi tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.15 pagi. Katanya sepasukan 28 anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai. “Jentera bomba tiba pada jam 10.35 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan kawasan rumah setinggan dengan keluasan kira-kira 177 x 60 kaki persegi. “Operasi pemadaman berdepan cabaran susulan tekanan air rendah, namun anggota bomba menggunakan sumber air terbuka dan dari jentera bomba bagi memastikan kebakaran dapat dikawal,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 11.55 pagi dan maklumat akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. “Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan atau kehilangan nyawa dalam kejadian itu. “Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta jumlah kerugian yang dialami mangsa,” katanya. – Info X
February 2, 2026
Info X Reporters
Kerajaan rancang bina SMAN berkonsep AI, perkukuh pendidikan Islam
TAWAU: Kerajaan negeri merancang membangunkan sebuah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) berkonsepkan kecerdasan buatan (AI) bersebelah Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung, di sini. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, ia sebagai langkah strategik memperkasa pendidikan Islam yang seimbang antara kekuatan rohani, ilmu dan kemajuan teknologi. Katanya, perancangan itu melibatkan baki tanah seluas 20 ekar di kawasan SAN Apas Balung dan akan diselaraskan melalui kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS). Beliau berkata, komitmen itu mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menyokong usaha pemerkasaan pendidikan Islam dan pembangunan institusi agama secara berterusan. “Kerajaan Negeri akan terus komited menyokong usaha-usaha pemerkasaan pendidikan Islam dan pembangunan institusi agama melalui kerjasama pelbagai pihak,” katanya ketika merasmikan Majlis Ihya Ramadhan-Malam Mencari Kekasih di Dewan Masyarakat Tawau, di sini, pada Ahad. Hajiji menegaskan, kekuatan sesebuah negeri tidak boleh diukur semata-mata melalui pembangunan fizikal, bangunan tinggi atau pencapaian ekonomi, sebaliknya perlu berpaksikan kepada akhlak rakyat, kekuatan iman dan kesuburan ilmu yang berteraskan nilai agama. Jelasnya, pembangunan pendidikan Islam bukan sekadar penyediaan infrastruktur tetapi pelaburan jangka panjang dalam pembinaan modal insan yang seimbang dari segi rohani, intelek dan sahsiah. Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri memberi perhatian serius terhadap pembangunan SAN sebagai sebahagian daripada usaha melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing. Hajiji berkata, usaha berkenaan selari dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang meletakkan pembangunan modal insan sebagai teras utama kemajuan negeri. Terdahulu, beliau turut melawat dan merasmikan SAN Apas Balung yang mencatat sejarah tersendiri sebagai SAN pertama di Malaysia di bawah kelolaan JHEAINS yang memperkenalkan pendekatan pembelajaran berasaskan AI. Katanya, inisiatif itu diperkukuh dengan pemasangan kemudahan Smart White Board di bilik darjah bagi menyokong kaedah pengajaran yang lebih interaktif, dinamik dan selari dengan keperluan pendidikan abad ke-21. Beliau menegaskan pendekatan berkenaan membuktikan pendidikan agama tidak ketinggalan dalam arus kemajuan teknologi, malah mampu bergerak seiring dengan inovasi semasa tanpa mengorbankan nilai adab, akhlak dan jati diri Islam. “Di sinilah anak-anak kita bukan sahaja diasuh dengan ilmu agama dan al-Quran tetapi turut dipersiapkan dengan kemahiran teknologi serta pemikiran kritis untuk menghadapi cabaran masa depan,” katanya. Hajiji berkata, pembangunan negeri yang mampan perlu berpaksikan keseimbangan antara kemajuan material dan kekuatan rohani bagi menjamin kestabilan sosial, keharmonian masyarakat serta kemajuan Sabah secara menyeluruh. Pada masa sama, beliau mengajak umat Islam menjadikan bulan Ramadan yang bakal tiba sebagai medan muhasabah diri dan titik perubahan untuk meningkatkan amal ibadat kepada Allah SWT. – Info X
February 2, 2026
Info X Reporters
Bot pam bawa 2,000 liter petrol tanpa kebenaran dirampas
KUDAT: Tindakan mencurigakan sebuah bot pam yang ditinggalkan di perairan Damaran, Pulau Banggi membawa kepada rampasan kira-kira 2,000 liter petrol tanpa dokumen sah oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), semalam. Pengarah APMM Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, rampasan itu dibuat hasil maklumat risikan sebelum sepasukan bot peronda APMM digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan. “Sebaik pasukan operasi tiba, bot pam berkenaan didapati ditinggalkan tanpa pengendali dipercayai telah melarikan diri bagi mengelak ditahan pihak berkuasa. “Hasil pemeriksaan mendapati bot itu membawa beberapa tong drum berwarna biru yang mengandungi petrol tanpa sebarang dokumen kebenaran, dengan jumlah muatan dianggarkan kira-kira 2,000 liter dan nilai rampasan sekitar RM5,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, bot pam bersama muatan bahan api berkenaan kemudian dibawa ke jeti APMM untuk tindakan lanjut dan siasatan. Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki membawa serta menyimpan barang kawalan tanpa kebenaran pihak berkuasa. Dalam pada itu, Hasbullah menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyeludupan dan akan terus memperketat kawalan serta pemantauan di perairan Kudat dan Pulau Banggi bagi mengekang aktiviti menyalahi undang-undang. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau penyeludupan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya. – Info X
February 1, 2026
Info X Reporters
Sabah berpotensi jadi lokasi pelabuhan angkasa pertama Asia Tenggara
KOTA KINABALU: Penyedia perkhidmatan pelancaran angkasa dari Rusia, Glavkosmos, kini sedang mengadakan perbincangan dengan syarikat pelaburan kerajaan negeri, Qhazanah Sabah, berhubung cadangan pembangunan sebuah tapak pelancaran roket atau pelabuhan angkasa (spaceport) di Sabah. Pengerusi Qhazanah Sabah, Datuk Seri Anifah Aman, berkata kajian awal yang dijalankan oleh Glavkosmos merumuskan bahawa Sabah merupakan lokasi paling sesuai di Asia Tenggara untuk pelancaran roket ke angkasa. Menurutnya, kedudukan geografi Sabah membolehkan pelancaran ke orbit bumi rendah (Low Earth Orbit, LEO) dan orbit suria segerak (Sun-Synchronous Orbit, SSO) dilaksanakan dengan selamat,tanpa risiko kepada kawasan daratan, kerana sisa roket dijangka jatuh ke perairan laut di bahagian utara dan timur negeri itu. “Pembinaan pelabuhan angkasa ini dijangka membuka peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada lebih 2,000 orang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook. Semalam, Anifah menerima kunjungan delegasi Glavkosmos yang diketuai Timbalan Pengarah Urusannya, Vitaly Safonov, dalam satu pertemuan di Kota Kinabalu. Cadangan daripada syarikat Rusia itu dibuat susulan pengumuman kerajaan Malaysia tahun lalu untuk membangunkan pad pelancaran roket sendiri, dengan tiga lokasi disenarai pendek iaitu Pahang, Sarawak dan Sabah. Kerajaan Pahang sebelum ini, pada April tahun lalu, memaklumkan bahawa satu kajian kebolehlaksanaan sedang dijalankan bagi cadangan projek pelabuhan angkasa di Nenasi, Pekan. Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Azlikamil Napiah, pada September lalu berkata Malaysia berpotensi menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang memiliki pad pelancaran roket sendiri menjelang 2029. Beliau turut memaklumkan bahawa tiga pihak telah menyatakan minat untuk melaksanakan projek berkenaan, yang merangkumi pembinaan satelit pemerhatian bumi milik Malaysia, pembangunan bandar angkasa serta penawaran perkhidmatan pelancaran roket secara komersial. Glavkosmos merupakan anak syarikat kepada agensi angkasa Rusia, Roscosmos, dan bertindak sebagai pengendali pelancaran komersial roket Soyuz-2 dari pelabuhan angkasa Vostochny, Baikonur dan Plesetsk. Syarikat itu juga diberi kebenaran untuk mengendalikan penerbangan pelancongan angkasa. Tahun lalu, Glavkosmos mencatat rekod dengan melaksanakan 51 pelancaran satelit Rusia secara serentak ke orbit. – Info X
February 1, 2026
Info X Reporters
Warga emas ditahan guna dokumen individu lain
TAWAU: Seorang wanita warga asing berusia sekitar 80 tahun ditahan polis selepas disyaki menggunakan dokumen pengenalan individu lain bagi mendapatkan rawatan di sebuah hospital, di sini, semalam. Kes berkenaan terbongkar apabila seorang penjawat awam hospital membawa pesakit wanita itu ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk tujuan semakan cap jari (biometrik) MyKad, sebelum hasil semakan mendapati dokumen yang digunakan bukan milik suspek. Susulan penemuan itu, satu laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan. Bertindak atas laporan diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan suspek di perkarangan IPD Tawau. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan dokumen pengenalan milik individu lain, dan sekeping MyKad turut dirampas bagi membantu siasatan. Menurutnya, suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – Info X
February 1, 2026
Info X Reporters
Warga asing ditahan kes ugutan jenayah melalui WhatsApp
TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing kerana disyaki mengugut seorang remaja lelaki melalui aplikasi WhatsApp di Kampung Haji Sundu, Batu 2 Jalan Apas, di sini, pada Sabtu. Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai menerima mesej berbaur ugutan daripada seorang kenalan selepas permintaan suspek tidak dituruti, sekali gus menimbulkan ketakutan terhadap keselamatan dirinya. Difahamkan, ugutan berkenaan diterima ketika mangsa berada di rumah sebelum dia bertindak membuat laporan di balai polis bagi mendapatkan perlindungan serta tindakan lanjut. Susulan laporan diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau segera menjalankan siasatan dan risikan bagi mengesan suspek yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil risikan membawa kepada penahanan suspek berusia 18 tahun di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau. “Suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki berada di negara ini tanpa dokumen sah,” katanya. Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak memandang ringan sebarang ugutan, khususnya yang dibuat melalui aplikasi pesanan dan media sosial, sebaliknya segera tampil membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan pantas diambil sebelum ugutan bertukar menjadi ancaman sebenar. – Info X
February 1, 2026
Info X Reporters
Kerajaan negeri pantau kesan kenaikan tarif elektrik terhadap pengguna – KM
TAWAU: Kerajaan negeri akan memantau kesan kenaikan tarif elektrik kepada pengguna berikutan pelaksanaan semakan semula kadar sedia ada di Sabah dan Labuan bermula 1 Februari 2026. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bagaimanapun berkata kenaikan yang dialami pengguna hanya sedikit dan tidak membebankan mereka. “Kita akan sentiasa melihat kesannya, tapi saya ingat kesannya cuma sedikit. Kalau sekarang seorang itu membayar RM100, dia cuma tambah mungkin RM15 saja. “Jadi, tidaklah membebankan sangat kalau RM15 kita dapat elektrik yang bagus, jadi ini rasionalnya (kenaikan tarif),” katanya ditemui pemberita selepas merasmikan Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung, di sini, pada Ahad. Beliau ditanya mengenai pelaksanaan semakan semula tarif elektrik Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) bermula 1 Februari 2026 yang menyaksikan pelarasan kadar tarif daripada kadar purata asas 34.52 sen/kWj kepada 39.70 sen/kWj. Ketua Menteri menjelaskan kadar baharu itu telah diluluskan oleh Jemaah Menteri dengan mengambil kira keperluan yang ada di Sabah sekarang. “Tarif di Sabah agak rendah berbanding di Semenanjung, kita cuma naik lima sen atau 15 peratus saja dan ianya tidak begitu membebankan kepada rakyat biasa yang mungkin sekitar 70 peratus hingga 80 peratus di Sabah ini. “Perkara ini tidak dapat dielak kerana kita menanggung kos yang tinggi bermacam-macam sekarang ini. Jadi ianya perlu untuk kita mengatasi semua ini,” katanya. Hajiji memaklumkan, ketika ini kerajaan Persekutuan memberi subsidi untuk bekalan elektrik di Sabah yang berjumlah lebih kurang RM700 juta setahun atau RM3.5 bilion dalam tempoh lima tahun. “Jadi kita tidak boleh berterusan begini. Kalau naik sedikit begitu hanya lima sen, itu boleh mengurangkan subsidi yang diberi oleh kerajaan Persekutuan,” katanya. Beliau berkata, Kabinet Negeri bersetuju atas cadangan dikemukakan Energy Commission of Sabah (ECoS) dan SE selepas mengambil kira peningkatan kos operasi janaan tenaga di negeri ini. Sementara itu, mengenai SAN Apas Balung, Ketua Menteri berkata beliau tertarik atas usaha membina sekolah itu yang siap dalam masa tiga bulan hasil sumbangan pelbagai pihak sebagai permulaan untuk pembinaan sekolah berkenaan sebelum disusuli bantuan kerajaan untuk membesarkannya. Katanya, beliau juga tertarik dengan inisiatif pengurusan sekolah berkenaan menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) sejajar perkembangan semasa dalam bidang pendidikan. “Saya tertarik hati ini sekolah agama yang pertama menggunakan AI, ia sangat menarik. Inilah zaman yang kita hadapi pada masa akan datang ini, teknologinya serba canggih dan bukan saja di sekolah biasa, tapi di sekolah agama juga. “Jadi saya ucapkan terima kasih kepada pengurusan sekolah agama ini. Kita akan membantu mana yang boleh dari pihak kerajaan negeri,” katanya. Katanya kerajaan negeri juga menyokong cadangan pengurusan sekolah itu untuk mewujudkan sekolah menengah agama sebagai kesinambungan pendidikan agama yang diikuti oleh pelajarnya. “Ianya satu cadangan yang cukup baik kerana bagi kita sekolah menengah agama perlu diperluaskan lagi atau ditambah lagi bilangan di Sabah kerana keperluan masyarakat Islam amat tinggi untuk belajar di sekolah menengah agama. “Jadi perancangan itu cukup baik, sekolah menengah dan seterusnya mungkin universiti Islam dan sebagainya,” katanya. Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap EXCO Agama negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk James Ratib dan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan. Sementara itu, Hajiji yang menunaikan solat Zohor di Masjid Al-Ansar, Taman Sawit Balung, turut menyampaikan sumbangan daripada Bahagian Zakat kepada asnaf yang layak. – Info X