Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

January 31, 2026

Info X Reporters

Kenaikan tarif elektrik perlu disertai kualiti bekalan kepada pengguna

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) diingatkan supaya memastikan kualiti perkhidmatannya dan bekalan elektrik ditingkatkan selaras peningkatan tarif yang diumumkan syarikat utiliti itu. Peringatan itu ditekankan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang mahu sebarang kenaikan tarif elektrik disertai peningkatan kualiti bekalan elektrik. Pemangku ketuanya, Azrul Ibrahim, menegaskan sebarang gangguan bekalan, ketidakstabilan voltan dan isu kebolehpercayaan sistem tidak boleh lagi dianggap sebagai perkara biasa, lebih-lebih lagi apabila pengguna diminta membayar kadar yang lebih tinggi. Tegasnya, SE perlu memastikan tahap kecekapan operasi, kebolehpercayaan sistem dan respons perkhidmatan pelanggan berada pada standard yang setimpal dengan pelarasan tarif diumumkan syarikat itu. “Pemuda Gagasan Rakyat juga menggesa agar perlindungan kepada pengguna diperluaskan melalui mekanisme diskaun, rebat atau bantuan bersasar, khususnya kepada golongan B40, isi rumah berpendapatan sederhana, peniaga kecil serta sektor-sektor kritikal yang menyokong ekonomi rakyat. “Pendekatan bersasar dan berfokus amat penting supaya pelarasan tarif ini tidak memberi tekanan kepada kumpulan rentan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu. Selain itu, katanya setiap sen tambahan hasil daripada pelarasan tarif itu mesti dibelanjakan secara berhemah, telus dan bertanggungjawab, dengan keutamaan kepada penambahbaikan infrastruktur, pengurangan kadar gangguan bekalan serta pelaburan dalam sumber tenaga yang lebih mampan dan cekap. Tegasnya, rakyat berhak melihat pulangan yang jelas dan ketara daripada apa yang mereka bayar. “Pemuda Gagasan Rakyat berharap semua pihak berkepentingan mengambil pendekatan yang seimbang antara keperluan kewangan utiliti, tanggungjawab kerajaan serta kesejahteraan rakyat Sabah. “Semakan tarif ini bukan semata-mata soal kenaikan harga, tetapi sepatutnya langkah ke hadapan untuk memastikan sistem elektrik Sabah lebih terjamin, mampan dan boleh dipercayai untuk generasi kini dan masa depan,” katanya. Azrul berkata Pemuda Gagasan Rakyat mengambil maklum pengumuman SE berhubung semakan dan pelarasan tarif elektrik di Sabah yang akan berkuat kuasa bermula 1 Februari 2026. Secara prinsipnya, beliau berkata Pemuda Gagasan Rakyat memahami semakan tarif elektrik adalah langkah yang tidak dapat dielakkan bagi memastikan bekalan elektrik di Sabah terus stabil, berkualiti dan mencukupi untuk keperluan semasa serta masa depan. Jelasnya, pihaknya juga mengakui pelarasan itu penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada subsidi kerajaan secara berperingkat, di samping menampung peningkatan kos bahan api, penyelenggaraan sistem serta keperluan menaik taraf infrastruktur grid elektrik yang semakin usang. Terdahulu, SE mengeluarkan kenyataan mengenai pelaksanaan semakan semula tarif elektrik di bawah kerangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) bermula 1 Februari 2026. SE menyatakan semakan akan dilaksanakan secara berhemah dan bertanggungjawab bagi memastikan bekalan elektrik yang stabil, berkualiti dan mampan, sambil terus mengambil kira kesejahteraan pengguna. Semakan di bawah IBR itu dilakukan bagi menampung kospembekalan elektrik, selaras dengan peruntukan Seksyen 39, Enakmen Bekalan Elektrik 2024. SE berkata, perubahan kadar tarif elektrik melibatkan semakan struktur dan kadar tarif baharu elektrik bagi penggunanya yang mana kadar purata tarif asas 34.52 sen/kWj telah diselaraskan kepada 39.70 sen/kWj. – Info X

January 31, 2026

Info X Reporters

Semakan semula tarif elektrik dilaksanakan mulai 1 Februari

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) akan melaksanakan semakan semula tarif elektrik di bawah kerangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) bermula 1 Februari 2026. Menerusi satu kenyataan pada Sabtu, SE menyatakan semakan akan dilaksanakan secara berhemah dan bertanggungjawab bagi memastikan bekalan elektrik yang stabil, berkualiti dan mampan, sambil terus mengambil kira kesejahteraan pengguna. Katanya, semakan di bawah IBR dilakukan bagi menampung kospembekalan elektrik, selaras dengan peruntukan Seksyen 39, Enakmen Bekalan Elektrik 2024. “Pelaksanaan semakan tarif ini dibuat susulan peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan sistem, keperluan pelaburan infrastruktur serta selaras dengan dasar kerajaan mengenai pengurangan subsidi secara berperingkat. “Langkah ini penting bagi kelangsungan dan kemampanan syarikat utiliti dalam memastikan sistem pembekalan elektrik terus berdaya tahan dan mampu memenuhi keperluan semasa serta masa hadapan,” kata kenyataan itu. SE berkata, perubahan kadar tarif elektrik melibatkan semakan struktur dan kadar tarif baharu elektrik bagi penggunanya yang mana kadar purata tarif asas 34.52 sen/kWj telah diselaraskan kepada 39.70 sen/kWj. Bagi tempoh kawal selia kedua (Regulatory Period 2 – RP2), katanya kadar purata kos pembekalan elektrik atau tarif sebenar diperlukan ialah 45.08 sen/kWj berbanding dengan semakan tarif yang diluluskan iaitu 39.70 sen/kWj. Jelasnya, kerajaan Persekutuan masih komited memberikan bantuan subsidi bagi menampung jurang perbezaan tersebut, yang mana jumlah subsidi bagi dua tahun (2026–2027) adalah sebanyak RM849 juta. “Pengguna elektrik di Sabah dan WP Labuan telah menikmati kadar tarif terkini sejak 2014 di mana semakan terakhir dilaksanakan dan kos pembekalan elektrik telah meningkat, namun tarif elektrik tidak diselaraskan mengakibatkan kebergantungan bantuan subsidi yang tinggi daripada Kerajaan,” katanya. Dalam pada itu, SE berkata semakan tarif ini juga mengambil kira kepentingan pengguna domestik, peniaga kecil dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). “Sebanyak 85 peratus pengguna domestik dengan penggunaan sehingga 600 kWj (amaun bil semasa RM5 hingga RM206) hanya mengalami kenaikan minima hingga RM27. “Bagi pengguna domestik miskin tegar, rebat e-Kasih sehingga maksimum RM40 sebulan akan terus diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar dalam sistem e-kasih. “Bagi pengguna komersil kecil pula, blok penggunaan elektrik yang dilindungi dilanjutkan sehingga 500kWj sebulan (bagi amaun bil semasa RM15 hingga RM199). “Dianggar lebih separuh pengguna komersil berada dalam kategori ini dan hanya akan mengalami kesan kenaikan yang minimum kenaikan RM4 hingga RM24 termasuk kedai runcit dan perniagaan kecil,” katanya. SE menjelaskan Off-Peak Tariff Rider (OPTR) iaitu diskaun 20 peratus bagi penggunaan waktu bukan puncak juga diteruskan kepada pengguna Komersil dan industri voltan rendah untuk mengurangkan beban peniaga kecil-kecilan. Sementara itu, SE berkata sebagai tanda keprihatinan terhadap kesejahteraan sosial dan pembangunan komuniti, diskaun 10 peratus kepada rumah kebajikan, rumah ibadat dan institusi pendidikan berdaftar (Welfare, Worship & Education) diteruskan sepanjang tempoh pelaksanaan semakan tarif. “Kerajaan Negeri juga memperkenalkan diskaun 10 peratus yang baharu kepada sektor pertanian, akuakultur dan perikanan (Agriculture, Aquaculture & Aquamarine – AAA) sebagai langkah menyokong keterjaminan makanan dan kestabilan rantaian bekalan. “Melalui semakan tarif ini, pelaburan dapat diteruskan bagi penyelenggaraan dan naik taraf rangkaian elektrik, sekali gus mengurangkan gangguan bekalan serta menyokong pembangunan infrastruktur baharu termasuk sistem grid yang lebih kukuh dan mampan,” katanya. Langkah itu, katanya penting bagi memastikan bekalan elektrik yang lebih stabil dan boleh dipercayai untuk kegunaan rakyat dan sektor perniagaan. Dalam pada itu, SE berkata pengguna adalah digalakkan untuk menggunakan tenaga lebih cekap dan berhemah serta menyertai program tenaga yang dikelola oleh Energy Commission of Sabah (ECoS) bersama Sabah Electricity bagi mengurangkan impak kenaikan bil dan menyokong penggunaan tenaga boleh baharu. Katanya, maklumat berkaitanboleh didapati melalui laman sesawang ECoS di https://ecos.gov.my. SE menjelaskan, pengguna boleh mendapatkan maklumat terperinci mengenai jadual tarif melalui laman sesawang Sabah Electricity www.sesb.com.my serta membuat anggaran kos bil elektrik bulanan akan datang menggunakan Kalkulator Bil Elektrik yang boleh diakses mulai 1 Februari 2026. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, SE menggalakkan pengguna menghubungi Sabah Electricity di talian 15444, 088-515000 atau melalui aplikasi Sabah Electricity. – Info X

January 31, 2026

Info X Reporters

Bonet, tempat duduk ‘penuh’ rokok seludup dirampas

SEMPORNA: Sekilas pandang kelihatan seperti kenderaan biasa berhenti di hadapan pondok bas. Namun pemeriksaan lanjut mendapati bonet dan tempat duduk penumpang belakang dipenuhi kotak serta bungkusan rokok pelbagai jenama, sekali gus membongkar cubaan penyeludupan yang disorok rapi. Menerusi hantaran di Facebook (FB) Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak, operasi berkenaan dilaksanakan menerusi Operasi Intra/Inter Agensi (Op Taring Alpha 1) pada Sabtu. Menurutnya, dalam operasi itu, pasukan risikan Task Force Batalion 22 PGA Kunak dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna menahan sebuah Proton Waja warna emas bersama seorang pemandu lelaki di hadapan pondok bas Amin Jaya Express. “Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu membawa kepada penemuan rokok seludup yang disimpan di dalam bonet serta tempat duduk penumpang belakang. “Pegawai risikan yang memperkenalkan diri memaklumkan tujuan pemeriksaan sebelum menemui rokok pelbagai jenama disimpan padat di bonet serta tempat duduk penumpang belakang, dipercayai bagi mengaburi pandangan dan memaksimumkan muatan,” katanya. Tambahnya, suspek ditahan bersama barang kes sebelum diserahkan kepada Cawangan Jenayah IPD Semporna untuk siasatan lanjut. “Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM95,320, manakala kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967. “Pihak berkuasa memaklumkan, risikan akan diteruskan bagi mengesan rangkaian serta pihak lain yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan rokok di daerah ini. – Info X

January 31, 2026

Info X Reporters

Dalang curi tong gas, beras, guna wang palsu diberkas di Kota Marudu

KOTA MARUDU: Tiga lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam beberapa kes kecurian serta penggunaan wang palsu berjaya ditahan hasil serbuan yang dijalankan, semalam. Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, kes pertama dilaporkan pada 14 Januari lalu berhubung kecurian 10 tong gas di sebuah kedai runcit di Jalan Goshen, di sini. Katanya, semua tong gas berkenaan yang diletakkan di kaki lima premis itu dipercayai dilarikan oleh kumpulan suspek berkenaan. “Kes kedua dilaporkan berlaku pada 28 Januari lalu berkaitan insiden seorang penjaga kaunter stesen minyak yang mendakwa menerima wang palsu RM100 daripada seorang pemandu kenderaan Perodua Axia untuk pengisian minyak petrol. “Manakala kes ketiga melibatkan kumpulan sama pula melibatkan kejadian kes kecurian lima kampit beras di sebuah kedai runcit di Jalan Goshen. “Suspek yang menggunakan kenderaan Perodua Axia itu dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) premis telah melarikan barangan tersebut tanpa membuat sebarang pembayaran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, rakaman berkenaan kemudiannya tular di media sosial dan berdasarkan laporan polis mangsa, siasatan dijalankan untuk memburu suspek terlibat. “Bertindak atas maklumat risikan, sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 29 hingga 30 tahun. “Serbuan dijalankan di tiga lokasi berasingan iaitu di Kampung Marudu Laut, Kampung Ranau dan Kampung Radu. “Hasil serbuan dan pandu arah suspek, pihak polis berjaya merampas semula tujuh tong gas serta lima kampit beras yang dipercayai hasil kegiatan curi. “Selain itu, sebuah kenderaan Perodua Axia berwarna gelap yang digunakan semasa kejadian turut dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya. Sementara itu, Simiun berkata, semakan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod kesalahan lampau dan salah seorang juga merupakan orang dikehendaki bagi kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan pada tahun 2024. “Dalam serbuan sama, polis turut menemui satu tiub berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dalam simpanan salah seorang suspek. “Ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif terhadap amphetamin dan methamphetamin,” katanya. Sehubungan itu, Simiun berkata, semua suspek ditahan reman dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 489B akta sama. “Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. Sehubungan itu, Simiun merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kerjasama awam yang membantu dalam usaha membanteras dan menangani kegiatan jenayah di daerah ini. “Orang ramai dinasihatkan supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kejadian jenayah kepada pihak polis bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara,” katanya. – Info X

January 31, 2026

Info X Reporters

Lelaki warga asing ditahan ugut sebar video peribadi

TAWAU: Menjadikan video dan gambar peribadi sebagai alat ugutan, seorang lelaki warga asing akhirnya diberkas polis kurang 24 jam selepas laporan dibuat berhubung kes pemerasan terhadap seorang wanita di Merotai Besar, di sini, semalam. Suspek berusia 30-an itu ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai, jam 5.45 petang di kawasan tepi Gerai Kampung Merotai Besar, di sini. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan dibuat susulan laporan seorang wanita berusia 20-an yang mendakwa menerima ugutan daripada bekas kenalannya melalui beberapa nombor telefon. Menurutnya, suspek mengancam untuk memviralkan video dan gambar peribadi mangsa sekiranya gagal menyerahkan sejumlah wang, kira-kira jam 10.35 pagi. “Suspek juga dipercayai kerap menghubungi mangsa pada waktu malam dengan tujuan mengganggu dan merosakkan keharmonian rumah tangga mangsa. “Disebabkan takut bahan peribadi itu disebarkan, mangsa mendakwa terpaksa memberikan sejumlah wang,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Sementara itu, beliau berkata pihaknya turut menemui sebilah pisau sepanjang kira-kira 16 sentimeter serta dua telefon bimbit di dalam sebuah beg sandang dipercayai digunakan semasa kejadian berkenaan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. “Polis memandang serius sebarang bentuk ugutan dan pemerasan, khususnya melibatkan ancaman penyebaran bahan peribadi dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya. – Info X

January 30, 2026

Info X Reporters

PPM Tawau gagalkan seludup diesel, rampasan hampir RM650,000

TAWAU: Cubaan menyeludup minyak diesel ke negara jiran berjaya digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau selepas menahan sebuah kapal kargo di perairan Sungai Selipar, Pulau Sebatik, di sini, semalam. Dalam kejadian jam 5.21 petang itu, bot ronda PPM Tawau menahan kapal berkenaan untuk pemeriksaan ketika menjalankan rondaan pencegahan jenayah maritim. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abdul Rahman berkata, kapal terbabit yang bergerak dari Pulau Sebatik menuju ke Nunukan, Indonesia, dijuragani seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun. Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kapal berkenaan membawa sebanyak 11,600 liter minyak diesel yang disimpan di dalam tiga tangki minyak berlainan kapasiti serta tiga tong drum berwarna biru di ruangan kargo kapal. “Tangki pertama mengandungi 4,600 liter, tangki kedua 4,000 liter dan tangki ketiga 2,000 liter minyak diesel, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak 11,600 liter. “Pemeriksaan mendapati juragan kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen sah daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia berkaitan pemilikan dan pengangkutan minyak diesel berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Ahmad berkata, minyak terbabit dipercayai diesel bersubsidi yang cuba diseleweng dan diseludup ke Indonesia bagi tujuan pasaran luar negara. “Susulan itu, kapal bersama minyak diesel berkenaan telah dirampas untuk siasatan lanjut, manakala kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967. “Anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk kapal kargo bunga sawit dan minyak diesel itu dianggarkan berjumlah RM647,850,” katanya. Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan di perairan Sabah bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta penyelewengan bahan api bersubsidi yang bukan sahaja merugikan negara, malah boleh menjejaskan keselamatan perairan. – Info X

January 30, 2026

Info X Reporters

Pembangunan infrastruktur, Ekonomi Biru dan kesejahteraan rakyat teras SMJ 2.0 – KM

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menekankan pembangunan aspek modal insan, kesejahteraan rakyat, infrastruktur dan kelestarian hijau sebagai teras utama SMJ 2.0. Beliau berkata, pembangunan modal insan diberi keutamaan dengan peruntukan sebanyak RM164.01 juta, termasuk peluasan biasiswa dan bantuan pendidikan, TVET, STEM, latihan pertanian dan literasi kecerdasan buatan (AI). Jelasnya, SMJ 2.0 juga meneruskan bantuan pendidikan, termasuk 14 jenis bantuan pendidikan bernilai RM203.4 juta dan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) yang meningkat daripada RM55 juta pada 2021 kepada RM145 juta pada 2025. Katanya, seramai 480,000 pelajar menerima manfaat bantuan pendidikan kerajaan, termasuk pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) untuk permohonan biasiswa dan kemasukan perkhidmatan awam. “Program Rumah Mesra SMJ telah dapat dimanfaatkan oleh seramai 7,482 penerima dan diteruskan dengan 50 unit setiap kawasan DUN tahun ini, khusus untuk golongan miskin, miskin tegar dan pasangan muda baru berkahwin. “Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) diperluas daripada 100,000 kepada 140,000 penerima dengan peruntukan sebanyak RM339.16 juta pada tahun ini, selari bantuan kerajaan persekutuan seperti Sumbangan Asas Rahmah,” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Ketua Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sabah dan Pelancaran SMJ 2.0 di Sabah International Convention Centre (SICC), pada Jumaat. Hajiji berkata, di bawah teras Infrastruktur dan Kelestarian Hijau, sejumlah RM6.8 bilion diperuntukkan di bawah RMKe-13 bagi pembangunan infrastruktur, utiliti dan tenaga lestari, termasuk projek strategik seperti Lebuh Raya Pan Borneo, pembinaan dan naik taraf loji rawatan air, pengukuhan grid elektrik dan projek OTEC, hidroelektrik serta penjanaan tenaga biru. Jelasnya, kerajaan turut memperluas infrastruktur digital melalui Pusat e-Desa, VSAT dan Starlink, selari agenda kerajaan digital berteraskan AI. Dalam aspek kelestarian hijau, beliau berkata, sejumlah RM672.05 juta diperuntukkan bagi perlindungan biodiversiti, pemuliharaan alam sekitar dan tindak balas perubahan iklim, dengan sasaran 30 peratus Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) menjelang 2030. Katanya, Ekonomi Biru diangkat sebagai pemacu strategik SMJ 2.0, merangkumi pembangunan bioteknologi marin, perikanan pintar, marikultur moden, logistik dan pelancongan lestari, serta pemanfaatan sungai sebagai nadi ekonomi luar bandar. Hajiji berkata, Kerajaan memperkenalkan Blue Financing melalui memorandum persefahaman (MoU) dengan Maybank untuk penerbitan Sukuk Biru bernilai RM1 bilion, dengan jumlah permulaan RM300 juta, bagi memudahkan syarikat terlibat mendapat kemudahan kewangan. Beliau menegaskan kejayaan SMJ 2.0 bergantung kepada penjawat awam sebagai nadi utama pelaksanaan dasar. “Kecekapan, integriti dan disiplin menentukan sejauh mana pembangunan diterjemah kepada hasil yang dirasai rakyat,” katanya. Beliau juga menegaskan kerajaan negeri tidak akan kembali kepada pendekatan lama, malah keputusan yang diambil adalah demi kepentingan jangka panjang Sabah walaupun kadangkala tidak popular. “Kejayaan SMJ 2.0 adalah amanah bersama, memastikan peluang pekerjaan diwujudkan, pelaburan strategik diteruskan dan pendapatan negeri diurus secara cekap, telus dan bertanggungjawab kepada rakyat sekarang dan generasi akan datang,” katanya. – Info X

January 30, 2026

Info X Reporters

Maklumkan pihak atasan jika tidak mampu jalankan tanggungjawab – KM

KOTA KINABALU: Pegawai atau kakitangan negeri yang merasakan tidak mampu melaksanakan tugas yang dipertanggungjawab secara berkesan wajar memaklumkan kepada pihak atasan atau Ketua Menteri sendiri bagi pertimbangan penempatan semula. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia demi membuka ruang kepada penambahbaikan, memperkasa keupayaan perkhidmatan awam dan memastikan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan. Beliau berkata, pejawat awam bukan sekadar pelaksana arahan tetapi menjadi rakan strategik kepada kepimpinan kerajaan dalam menterjemahkan dasar dan program kerajaan negeri. “Penjawat awam bukan sekadar ‘Saya Yang Menurut Perintah’ semata-mata tetapi juga adalah rakan strategik kepada kepimpinan kerajaan dalam menterjemahkan dasar dan program kepada hasil yang memberi impak langsung terhadap kehidupan rakyat dan kemajuan tanah air tercinta. “Ingin saya tegaskan bahawa perkhidmatan awam merupakan tulang belakang kepada kestabilan dan keberkesanan pentadbiran kerajaan. Kerajaan boleh bertukar ganti dan dasar boleh berubah atau diubah sesuai, namun perkhidmatan awam mesti kekal profesional, neutral serta berorientasikan rakyat,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada Pejawat Awam negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Jumaat. Ketua Menteri berkata penjawat awam perlu padu dan teguh dengan semangat ingin sentiasa berkhidmat serta teguh dengan disiplin dan integriti. Beliau berkata Kerajaan Negeri komited untuk mewujudkan sebuah pentadbiran yang lebih kemas, tersusun dan berdisiplin kerana implikasi perlakuan tidak berintegriti bukan saja mencemarkan nama baik individu, malah memberi kesan besar kepada keluarga, institusi yangdiwakili, serta boleh mengakibatkan kerugian besar kepada negeri dan negara. Bagi memperkukuhkan lagi tahap integriti perkhidmatan awam, Hajiji berkata Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri kini sedang berusaha untuk mendapatkan pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti (MS ISO 9001:2015) dan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS 37001:2025) secara bersepadu. “Ia bakal memperkukuhkan tadbir urus organisasi, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta menzahirkan komitmen yang berterusan terhadap integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan dan pentadbiran. “Saya ingin mengingatkan bahawa perkhidmatan awam mesti terus diperkasa untuk menjamin sistem penyampaian yang efektif dan efisien secara konsisten. “Seruan ini tidak hanya kepada agensi perkhidmatan awam, tetapi juga kepada semua kakitangan Badan-Badan Berkanun dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC),” katanya. Dalam pada itu, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat Sabah atas mandat untuk Kerajaan terus memerintah bagi penggal kedua pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-17 lalu dan meletakkan Sabah dalam situasi yang sangat baik. “Malah jauh lebih baik berbanding semasa Kerajaan GRS mengambil alih kuasa lima tahun lalu. Kita telah berjaya meletakkan Sabah pada landasan yang tepat; kita kukuhkan kestabilan dan mantapkan pentadbiran. “Kita kukuhkan ekonomi dan pertingkatkan kesejahteraan rakyat. Sabah kini bersiapsiaga untuk terus mara ke hadapan dan bersedia untuk mengecapi kemajuan dan pembangunan yang berterusan. “Keberadaan Sabah pada landasan yang tepat ini menuntut pihak Kerajaan untuk memperketatkan pemantauan, bagi memastikan keberkesanan pentadbiran,” katanya. “Saya percaya, dengan kerjasama padu antara kepimpinan negeri dengan anggota penjawat awam, kita pasti mampu dan berupaya mengekalkan momentum kejayaan seperti yang telah kita capai lima tahun yang lalu,” katanya. Hajiji berkata perkembangan politik negeri mutakhir ini telah memperkukuhkan kedudukanKerajaan Negeri sehingga mencapai penguasaan dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri, sekali gus menjamin kestabilan politik yang amat penting bagi kesinambungan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat untuk tempoh jangka panjang. “Kestabilan ini juga membuka ruang kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan penggubalan serta meminda perlembagaan negeri selaras dengan keperluan semasa. “Ini termasuklah cadangan menghadkan tempoh jawatan Ketua Menteri kepada maksimum dua penggal atau 10 tahun, penambahan beberapa anggota kabinet negeri bagi menepati keperluan pentadbiran yang semakin kompleks, selain penjenamaan semula jawatan Pembantu Menteri kepada Timbalan Menteri agar lebih relevan dan selari dengan amalan pentadbiran semasa,” katanya. Hajiji berkata Kerajaan negeri pada hari ini akan memastikan jentera pentadbiran terus diperkukuh dan diperhebatkan agar lebih responsif, cekap dan berkesan. “Untuk itu, penstrukturan semula beberapa kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, termasuk GLC sedang kita lakukan sebagai langkah penambahbaikan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan serta prestasi dalam setiap entiti kerajaan ini, benar-benar efisien dan berkesan, lebih penting, tidak merugikan rakyat dan kerajaan. “Langkah ini selaras dengan aspirasi rakyat serta agenda pembangunan kerajaan di bawah kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya. Jelasnya, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh hubungan serta kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan secara berterusan dan konstruktif, demi memastikan kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah sentiasa terpelihara. Ends