Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

August 31, 2026

Info X Reporters

KM serah bantuan RM3,000 kepada KIR mangsa kebakaran Kg Numbak

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini melawat mangsa kebakaran Kampung Numbak dan menyerahkan bantuan RM3,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) warga negara bagi meringankan beban keluarga yang terjejas. Bantuan itu membabitkan RM1,000 dari Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, RM1,000 dari Kerajaan Persekutuan dan RM1,000 dari Yayasan Kebajikan Sabah (YKS). “Saya ingin umumkan bahawa kerajaan memberi bantuan sebanyak RM3,000 kepada setiap KIR warga negara untuk meringankan bebanan mereka, RM1,000 dari Kerajaan Negeri, RM1,000 dari Kerajaan Persekutuan dan RM1,000 dari YKS,” katanya ditemui pemberita selepas melawat mangsa kebakaran Kampung Numbak di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Likas, di sini, pada Isnin. Seramai 110 KIR warga negara Malaysia terjejas akibat kebakaran Kampung Numbak, dengan 73 KIR ditempatkan di PPS Dewan Damai dan 37 lagi di PPS Dewan Serbaguna Likas. Hajiji turut mengumumkan kerajaan akan membantu mangsa warga negara dengan menyediakan peralatan yang diperlukan bernilai RM20,000 untuk setiap KIR warga negara yang terjejas bagi membina semula rumah yang musnah akibat kebakaran itu. Katanya, urusan pembinaan semula rumah akan dikendalikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), termasuk menentukan sama ada rumah berkenaan dibina di kawasan lain atau di lokasi asal. Beliau berkata, bantuan peralatan untuk membina rumah akan diberikan kepada setiap KIR warga negara sebagaimana pendekatan bantuan yang diberikan kepada mangsa kebakaran di kawasan lain seperti di Kudat baru-baru ini. Sementara itu, Hajiji berkata atas dasar kemanusiaan, kerajaan juga akan menyalurkan bantuan RM1,000 kepada setiap KIR bukan warga negara yang terjejas, selain bantuan makanan dan keperluan lain. Dalam perkembangan lain, beliau berkata, rancangan Filipina menaik taraf Pulau Balabac bagi tujuan ketenteraan Amerika Syarikat tidak mempunyai kaitan dengan Malaysia dan tidak seharusnya menimbulkan kebimbangan kepada Sabah. “Jangan timbul isu itu. Amerika membuka kem tenteranya di kawasan Filipina, di Pulau Balabac. Itu kawasan negara Filipina. Ia tidak ada kaitan dengan negara Malaysia ataupun siapa,”katanya. Beliau berkata, pihaknya tidak mengetahui matlamat pembinaan kem tentera berkenaan, namun rakyat perlu melihat perkembangan itu secara positif kerana ia mungkin berkaitan keperluan Amerika Syarikat mengadakan kem tentera di rantau timur. Hajiji turut menegaskan Sabah tidak akan terkesan dengan perkembangan di pulau berkenaan. – Info X

August 31, 2026

Info X Reporters

Calantha cipta sejarah tiga tahun berturut-turut, Danial, Zanna karateka terbaik

PENAMPANG: Atlet Sabah Karate Association Penampang (SKA Penampang), Calantha, mencipta pencapaian membanggakan apabila disenaraikan dalam NBO Hall of Fame selepas meraih tiga pingat emas dalam tempoh tiga tahun berturut-turut dalam acara kumite individu bawah 40 kilogram (kg). Kejayaan itu dicapai pada North Borneo Open Karate-Do Championship 2026 yang berlangsung di Dewan Kebudayaan Penampang dari 27 hingga 30 Ogos lalu. Selain Calantha, dua lagi atlet SKA Penampang turut mencuri tumpuan apabila masing-masing dinobatkan sebagai Best Male Karatekas dan Best Female Karatekas kejohanan. Danial Henry Saimpon dinobatkan sebagai Best Male Karatekas selepas memenangi pingat emas dalam acara kata individu dan kumite individu bawah 40kg, selain menyumbang pingat gangsa dalam acara kata berpasukan bawah 15 tahun. Sementara itu, Zanna Mae Marius pula dipilih sebagai Best Female Karatekas selepas cemerlang meraih dua pingat emas menerusi acara kata individu dan kumite individu bawah 42kg. Lebih membanggakan, pengiktirafan itu adalah kali kedua buat Zanna selepas turut dinobatkan sebagai Best Female Karatekas pada edisi 2024. Kejohanan anjuran Shitoryu Sabah itu turut mendapat penyertaan atlet dari Hong Kong, Nepal, Brunei dan Filipina, selain peserta dari dalam negara. Majlis perasmian kejohanan berkenaan turut disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ewon Benedick. Pencapaian tiga atlet SKA Penampang itu menyerlahkan prestasi membanggakan karate Penampang, selain menjadi suntikan semangat kepada mereka untuk terus mengukir kejayaan di peringkat lebih tinggi.-Info X

August 31, 2026

Info X Reporters

Sembilan pelajar cedera bas terbabit kemalangan

TUARAN: Sembilan pelajar Sekolah Menengah (SM) Sains Sabah cedera ringan selepas bas yang dinaiki mereka terbabit kemalangan di Simpang Tiga Jalan Kota Belud – Kundasang, di sini, hari ini. Bas berkenaan disewa untuk membawa 35 pelajar bersama seorang guru sebelum terbabit dalam kemalangan itu. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Kanan Penguasa Bomba Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11 pagi. Katanya, dua anggota bersama jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi sejauh 39 kilometer dan tiba pada 11.40 pagi. “Seramai sembilan pelajar mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Kota Belud bagi mendapatkan rawatan lanjut. “Mereka dibawa menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tuaran dan Kota Belud serta ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM). “Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan bagi memastikan keadaan di lokasi selamat serta terkawal sebelum operasi ditamatkan pada 12.32 tengah hari. “Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya. – Info X

August 31, 2026

Info X Reporters

TYT, KM hadiri sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah di Dataran Bandaraya

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengiringi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pada sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah 2026 di Dataran Bandaraya, Jalan Tun Fuad Stephens, di sini, pada Isnin. Beliau bersama isteri, Datin Seri Juliah Salag, tiba pada jam 7.25 pagi dan menerima tabik hormat daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Utama sebelum menyambut ketibaan Tun Musa bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin. Sambutan dimulakan dengan lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku, diikuti Istiadat Hormat Diraja serta pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah. Upacara menaikkan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah, lafaz Ikrar Rukun Negara serta persembahan koir, turut mewarnai sambutan. Acara berjalan lalu kemudian menyaksikan perarakan Jalur Gemilang, Bendera Negeri Sabah, bendera semua negeri di Malaysia dan bendera tema Kebangsaan 2026, diikuti kontinjen perbarisan serta kategori kenderaan. Sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan khas Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan Persembahan Aneka Warna sebelum majlis selesai pada kira-kira jam 10.30 pagi. – Info X

August 31, 2026

Info X Reporters

Parti tempatan Sabah perlu bersatu perjuang hak negeri

KOTA KINABALU: Parti-parti tempatan Sabah perlu mengetepikan perbezaan politik dan bersatu bagi memperjuangkan hak serta kepentingan rakyat negeri itu, kata Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STARSabah), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan. Beliau berkata, kesatuan parti tempatan penting bagi memastikan perjuangan berkaitan hak Sabah, termasuk tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dapat dilakukan dengan lebih berkesan. “Kita mahu parti-parti tempatan sehati sejiwa dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah. “Sudah tiba masanya kita bersatu dan memperkuatkan perjuangan demi masa depan Sabah,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun STARSabah Ke-10 di sini, malam Sabtu. Turut hadir Timbalan Presiden STARSabah, Datuk Kenny Chua; Pemangku Timbalan Presiden, Datuk Lawrence Gimbang dan Datuk Mohd Ishak Ayub; serta Setiausaha Agung STARSabah, Senator Datuk Edward Linggu. Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, perjuangan mempertahankan hak negeri perlu diteruskan, termasuk memastikan MA63 dilaksanakan sepenuhnya. Katanya, sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan melaksanakan semua tuntutan MA63 selepas 63 tahun Sabah bersama dalam Persekutuan Malaysia. “Inilah naratif baharu perjuangan kita. Kita mahu Kerajaan Persekutuan melaksanakan tuntutan MA63 bulat-bulat. “Kita sudah 63 tahun dalam Malaysia tetapi masih banyak perkara berkaitan MA63 yang belum selesai,” katanya. Jeffrey berkata, sekiranya tuntutan berkenaan terus gagal dilaksanakan sepenuhnya, STARSabah tidak menolak kemungkinan membawa isu itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebagai langkah terakhir. Beliau turut menegaskan bahawa hak Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati, termasuk tuntutan 40 peratus hasil Persekutuan yang dikutip dari negeri itu. Pada masa sama, Jeffrey mengingatkan rakyat Sabah mengenai sejarah pembentukan Malaysia yang menyaksikan Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu membentuk Malaysia sebagai rakan kongsi yang setara. “Rakyat Sabah wajar tahu sejarah ini. Di bawah MA63, status kita setara dengan Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu. “Kita dalam STARSabah akan terus berjuang mempertahankan status samarata ini,” katanya. Mengenai hala tuju STARSabah, Jeffrey berkata pencapaian kurang memberangsangkan parti itu pada pilihan raya negeri (PRN) lalu tidak akan mematahkan semangat mereka untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat dan Sabah. Katanya, STARSabah perlu melupakan episod PRN lalu dan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh parti di semua peringkat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. “Perjuangan kita belum selesai. Misi kita ialah mahu melihat Sabah maju, makmur dan merdeka. “Ada pemimpin parti kita yang sabar dan ada yang tidak. Ini perkara biasa dalam politik. Ada masanya kita di bawah dan ada masanya kita bangkit. “Kita tinggalkan episod PRN lepas dan bergerak ke hadapan. Marilah kita tingkatkan usaha memperkuatkan parti di semua peringkat dan bersedia menghadapi PRU akan datang,” katanya.-Info X

August 30, 2026

Info X Reporters

JAS tingkatkan penguatkuasaan di lokasi berpotensi berlaku pembakaran terbuka

KOTA KINABALU: Jabatan Alm Sekitar (JAS) Sabah memberi amaran meningkatkan penguatkuasaan dan rondaan harian ke kawasan berpotensi berlaku pembakaran terbuka dan memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berikutan cuaca panas dan kering ketika ini. Pengarahnya, Nor Rashidah Mohd Ghazali, berkata setakat ini sebanyak 474 rondaan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) telah dijalankan. Berikutan itu, JAS menasihatkan orang ramai merujuk bacaan IPU terkini setiap jam melalui laman web JAS di laman sesawang, http://apims.doe.gov.my/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar rasmi MyIPU di ‘Play store’. Katanya, orang ramai juga boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (www.moh.gov.my) bagi mendapatkan nasihat kesihatan dan langkah-langkah pencegahan semasa jerebu. “Orang ramai diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbukaatau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja. “Menurut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak kurang RM25,000 dan tidak melebihi RM 1,000,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. “Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 atau tidak melebihi RM500,000 juga boleh dikenakan atas kesalahan melakukan pembakaran terbuka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Beliau turut meminta orang ramai bekerjasama untuk memadam kebakaran kecil dan melaporkan kes pembakaran terbuka ataukebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) di talian 999 dan JAS di talian bebas tol, 1-800-88-2727. Sementara itu, katanya setakat hari ini, IPU yang direkodkan di laman sesawang JAS Sabah pada jam 5 petang menunjukkan satu stesen mencatat bacaan tidak sihat iaitu 142 dan lima kawasan pada tahap sederhana iaitu stesen Kota Kinabalu (97), Kimanis (95), Keningau (93), Sandakan (78) dan Tawau (79). Jelasnya, keadaan itu berpunca daripada jerebu rentas sempadan akibat kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan yang menyebabkan asap tebal daripada kebakaran dibawa tiupan angin ke wilayah Borneo, termasuk Sabah. “JBPM Sabah juga melaporkan kebakaran 202 rumah setinggan atas air di Kampung Numbak, Kota Kinabalu pada awal pagi 30 Ogos yang turut menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara setempat. “Tiada sebarang kejadian kebakaran besar lain di sekitar Kota Kinabalu yang dilaporkan oleh JBPM Sabah. “Berdasarkan laporan oleh ASMC yang berpusat di Singapura pada 29 Ogos 2026, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, mengesan dua titik panas (hotspot) di Tuaran dan Kota Belud. “Titik panas ini dikesan di kawasanbelukar dan kebakaran telah padam sepenuhnya dengan tiada hotspot dikesan di lokasi sama bagi cerapan 30 Ogos 2026,” katanya. Beliau berkata, paparan ASMC pada 30 Ogos 2026 menunjukkan dua titik panas dikesan di Kampung Numbak yang melibatkan kebakaran rumah setinggan atas air. Sementara itu, katanya sebanyak 1,107 titik panas dikesan di Kalimantan bagi cerapan pada 29 Ogos 2026. Sementara itu, katanya Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan menetapkan beberapa tahap amaran dengan berpandukan nilai bacaan IPU semasa. Secara umum, katanya bacaan IPU dari 101-200 memberi petunjuk kesan kesihatan Tidak Sihat; IPU 201-400 Sangat Tidak Sihat dan 400-500> adalah Sangat Bahaya. “Apabila IPU mencecah bacaan 200, sekolah, tadika dan taska akan ditutup SERTA MERTA,” katanya. – Info X

August 30, 2026

Info X Reporters

Projek LPB Serusup – Pituru berjalan lancar

TUARAN: Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Serusup – Pituru sepanjang 20.8 kilometer berjalan lancar, manakala jambatan sepanjang 682 meter yang merentasi Sungai Sulaman dijangka siap pada Disember tahun depan. Perkembangan itu dimaklumkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, ketika lawatannya ke projek WP09 itu pada Ahad. Beliau diberi taklimat mengenai projek itu oleh wakil Pegawai Penguatkuasa Theodora Thomas George, di tapak projek berkenaan. Projek berkenaan bernilai RM465 juta dan dijangka siap pada Julai 2028. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Dilantik, Datuk Kassim Razali; Pegawai Daerah Tuaran, Ibrahim Terki dan Kontraktor Projek Joseph Yu Sin Kong. – Info X

August 30, 2026

Info X Reporters

Jerebu tambah kebimbangan nasib mangsa kebakaran Numbak

KOTA KINABALU: Keadaan jerebu yang semakin ketara di Sabah menambah kebimbangan terhadap kesihatan mangsa kebakaran Kampung Lok Buta, Numbak, khususnya kanak-kanak dan warga emas yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS). Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kebajikan dan kesihatan golongan mudah terjejas itu perlu diberi perhatian sewajarnya susulan keadaan cuaca serta kualiti udara ketika ini. “Kehilangan rumah dan harta benda sudah cukup berat untuk mereka. Dalam keadaan jerebu sekarang, kita harap kebajikan dan kesihatan mereka turut diberi perhatian. “Apa yang penting sekarang ialah kita membantu mereka melalui waktu sukar ini,” katanya ketika meninjau kawasan kebakaran, hari ini. Dalam kunjungan itu, Mohd Shafie turut menyampaikan bantuan bagi meringankan beban penduduk, terutama mereka yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda. Antara bantuan disalurkan termasuk 100 kilogram beras, 1,000 karton air mineral berkapasiti 1.5 liter, makanan dan pelbagai barangan keperluan harian. Sumbangan berkenaan diharap dapat memenuhi keperluan asas mangsa dalam tempoh awal pascakebakaran ketika sebahagian besar mereka masih berdepan kehilangan kediaman serta barangan harian. Kebakaran kira-kira 1.30 pagi itu memusnahkan 202 rumah atas air dan mengorbankan tiga kanak-kanak. Susulan kejadian, Kampung Lok Buta, Numbak diisytiharkan sebagai kawasan bencana. Dua PPS dibuka di Dewan Serbaguna Likas dan Dewan Damai yang menempatkan 134 mangsa daripada 40 ketua isi rumah (KIR). – Info X