August 27, 2026
Info X Reporters
Jeffrey desak PMX tunaikan segera hak 40 peratus Sabah
KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan, mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, segera melaksanakan hak Sabah menerima 40 peratus hasil negeri seperti diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan. Beliau berkata, hak berkenaan bukan budi bicara Kerajaan Persekutuan, sebaliknya hak perlembagaan yang termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan serta ditegaskan menerusi keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025. Katanya, Anwar perlu bertindak selaras dengan kenyataan terdahulu bahawa isu 40 peratus berkenaan sudah selesai. “Perdana Menteri mesti bertindak berdasarkan kata-katanya dan mengambil peluang keemasan ini untuk melaksanakan hak Sabah sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Jeffrey berkata, kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melengahkan pembayaran kerana hasil berkenaan adalah bahagian yang menjadi hak Sabah. “Ini bukan soal kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan. Wang itu bukan wang kerajaan Persekutuan, sebaliknya bahagian kita. “Sabah amat memerlukan hasil ini untuk menyelesaikan masalah yang masih berlarutan dan sedang dihadapi negeri, termasuk bekalan air, gangguan elektrik, kemiskinan dan kemunduran,” katanya. Beliau berkata, pemberian khas interim RM1.5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri ketika sambutan Kaamatan masih jauh lebih rendah berbanding jumlah yang sepatutnya diterima Sabah. Katanya, hak Sabah bagi 2026 sahaja dianggarkan tidak kurang daripada RM5 bilion. “Saya menggesa Kerajaan Persekutuan menghentikan pembayaran interim dan mula membayar sepenuhnya 40 peratus berkenaan, bermula dari 2024,” katanya. Pada masa sama, Jeffrey mencadangkan supaya sistem MA63 Revenue Tracking System (MARTS) diwujudkan di Sabah bagi membolehkan kutipan hasil Persekutuan yang diperoleh dari negeri itu dijejaki dan diklasifikasikan secara masa nyata. “Kita memerlukan sistem untuk menjejak dan mengklasifikasikan hasil yang dikutip dari Sabah secara masa nyata supaya pengagihan boleh dibuat setiap tahun,” katanya. Kitingan berkata, pelaksanaan hak 40 peratus itu bukan sahaja memberi manfaat kepada kerajaan Madani, malah berpotensi mengukuhkan sokongan politik daripada blok Borneo. “Pelaksanaan 40 peratus akan memberi manfaat kepada kerajaan Madani dan mungkin mengukuhkan sokongan politik blok Borneo,” katanya. Bagaimanapun, beliau memberi amaran kegagalan Perdana Menteri bertindak boleh mencetuskan reaksi seperti referendum pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. “PMX (Perdana Menteri Ke-10) perlu bertindak kerana kegagalan berbuat demikian mungkin mencetuskan reaksi seperti referendum dalam PRU yang bakal diadakan,” katanya. Jeffrey mendakwa Sabah menyumbang sehingga RM50 bilion setahun kepada Kerajaan Persekutuan, dengan bahagian 40 peratus berpotensi mencecah RM20 bilion setahun. Dalam pada itu, beliau mengingatkan supaya pemberian subsidi tidak disamakan dengan hak perlembagaan Sabah. Katanya, subsidi adalah bentuk bantuan, manakala hak 40 peratus adalah hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Beliau turut mempersoalkan status rayuan Kerajaan Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak 40 peratus berkenaan dan meminta Perdana Menteri menjelaskan sama ada beliau memberikan kebenaran untuk rayuan itu dibuat. “Jika tidak, Perdana Menteri perlu mengarahkan Peguam Negara menarik balik rayuan berkenaan,” katanya. Jeffrey menegaskan hak 40 peratus hasil Sabah adalah hak kekal negeri itu selagi Malaysia wujud.-Info X
August 27, 2026
Info X Reporters
Stor perabot terbakar di Papar
PAPAR: Sebuah stor penyimpanan perabot milik Seri Jati Perabot Baru terbakar dalam kejadian di sini, petang ini. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Ronny Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.58 petang sebelum jentera tiba di lokasi dua minit kemudian. Katanya, kebakaran membabitkan bahagian stor penyimpanan perabot dan operasi pemadaman sedang giat dijalankan. “Seramai 21 anggota dari BBP Papar dibantu BBP Kimanis, BBP Putatan dan BBP Penampang terbabit dalam operasi berkenaan. “Pasukan menggunakan satu aliran dengan dua pancutan sepanjang kira-kira 61 meter bagi memadam kebakaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, operasi turut membabitkan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Compact Fire Rescue Tender (CFRT), sebuah lori tangki air dan dua kenderaan utiliti. Katanya, setakat ini tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan, manakala operasi pemadaman masih diteruskan. “Maklumat lanjut mengenai keluasan stor yang terbakar serta punca kejadian akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X
August 27, 2026
Info X Reporters
SKM Sabah bawa Jualan Madani Koperasi ke Pulau Sebatik
TAWAU: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sabah menganjurkan Program Jualan Madani Koperasi (JMK) Sempena Bulan Kemerdekaan 2026 di perkarangan Kampung Sungai Tongkang, Pulau Sebatik, Tawau, pada Khamis. Program yang disempurnakan Pengarah SKM Sabah, Awg Ruslli Mohammad itu membolehkan penduduk setempat membeli barangan keperluan harian pada harga diskaun sehingga 20 peratus, merangkumi minyak masak, tepung gandum, gula, beras, sardin, mi segera dan telur. SKM Sabah dalam kenyataannya berkata, JMK adalah inisiatif berterusan SKM dengan kerjasama gerakan koperasi bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat, di samping memperluas peranan koperasi sebagai penggerak ekonomi komuniti setempat. Katanya, pemilihan Pulau Sebatik sebagai lokasi penganjuran kali ini mencerminkan komitmen SKM untuk memastikan manfaat program turut dinikmati oleh komuniti di kawasan pedalaman dan sempadan negara. “Penganjuran JMK adalah selari dengan hasrat Dasar Koperasi Negara 2021-2030 (DKN 2030) dan aspirasi Malaysia MADANI yang meletakkan koperasi sebagai teras pembangunan ekonomi rakyat secara inklusif dan mampan,” katanya. Turut hadir pada majlis itu ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sebatik, Abdul Karim Tompong; Pengerusi Koperasi Emas Tawau Berhad, Kamariah Ahmad; selain Ketua Kampung, Imam dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari kampung-kampung sekitar Pulau Sebatik. SKM berkata, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai program dan aktiviti SKM boleh melayari laman web www.skm.gov.my atau mengikuti media sosial rasmi SKM di Facebook (SuruhanjayaKoperasiMalaysia), Instagram dan TikTok (suruhanjayakoperasi) serta X (skm_malaysia). – Info X
August 27, 2026
Info X Reporters
Limau manis Beaufort, rumbia akan dikembangkan semula – Ruslan
BEAUFORT: Imej daerah ini sebagai pengeluar limau manis terkenal di Sabah satu ketika dahulu, selain memiliki tanaman rumbia yang luas akan dipulihkan menerusi usaha mengembangkan semula kedua-dua tanaman itu. Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Ruslan Muharam, berkata ketika ini pihaknya dengan kerjasama Jabatan Pertanian Daerah sedang mengenal pasti tanah yang sesuai untuk limau manis dan rumbia. Katanya, perbincangan awal mengenai perkara itu turut membabitkan Pegawai Daerah Beaufort dan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) dengan tumpuan projek itu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan. “Langkah pertama adalah mengenal pasti tanah kerajaan yang sesuai dan berpotensi untuk dibangunkan dengan tanaman rumbia dan limau manis. “Apabila kawasan yang sesuai sudah dikenal pasti, saya akan turun sendiri ke lapangan bersama agensi berkaitan untuk melihat keadaan serta potensi kawasan itu “Kita mahu melihat perkara ini bukan sekadar di atas kertas, tetapi ada tindakan susulan di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, berkata tanaman rumbia mempunyai nilai ekonomi yang besar, khususnya penghasilan sagu, selain berpotensi menyumbang kepada sektor agro-pelancongan dan peningkatan pendapatan masyarakat. Beliau berkata, usaha menghidupkan semula rumbia juga penting bagi memastikan tanaman berkenaan tidak terus berkurangan akibat perubahan kepada tanaman lain seperti kelapa sawit. “Rumbia adalah sebahagian daripada tanaman yang mempunyai nilai ekonomi dan warisan kepada masyarakat kita. Kita mahu melihat tanaman ini dihidupkan semula dan dikembangkan secara terancang,” katanya. Dalam pada itu, Ruslan berkata tanaman limau manis turut mempunyai potensi untuk dikembangkan di kawasan yang bersesuaian, sekali gus membuka peluang baharu kepada petani tempatan. Beliau berkata, hasil perbincangan awal bersama agensi berkaitan akan dibawa ke Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) untuk pertimbangan serta tindakan selanjutnya. “Matlamat kita adalah untuk memanfaatkan tanah yang sesuai, memperkukuh keterjaminan makanan dan pada masa sama mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada rakyat, khususnya di Lumadan,” katanya. – Info X
August 27, 2026
Info X Reporters
Pastikan pertahanan, pengawasan maritim, kawalan sempadan Sabah cukup – Shafie
KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan perkembangan di Pulau Balabac, selatan Filipina perlu dipandang serius berikutan kedudukannya yang begitu hampir dengan Sabah. Ia berkaitan kerjasama ketenteraan Amerika Syarikat – Filipina di kawasan selatan negara jiran itu, termasuk perkembangan di Pulau Balabac yang dibangunkan sebagai tapak ketenteraan Filipina. Bagaimanapun, bekas Ketua Menteri itu berkata, rakyat Sabah tidak perlu panik terhadap perkembangan yang berlaku di negara jiran itu. Katanya, Malaysia sejak sekian lama mengamalkan dasar luar yang bebas dan berkecuali serta mempunyai hubungan yang baik dengan Amerika Syarikat dan China. “Hubungan ini perlu terus dipelihara. Kita tidak seharusnya terheret dalam persaingan antara kuasa-kuasa besar. “Setiap keputusan mesti berpandukan kepentingan Malaysia sendiri, kedaulatan negara dan keselamatan rakyat. “Apa yang berlaku di Balabac mengingatkan kita bahawa keadaan keselamatan di sekitar Sabah sedang berubah. “Dengan peningkatan aktiviti ketenteraan begitu hampir dengan perairan kita, kita mesti memastikan pertahanan, pengawasan maritim dan kawalan sempadan Sabah benar-benar mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. Ahli Parlimen Semporna itu berkata, Sabah tidak seharusnya terperangkap dalam persaingan antara kuasa-kuasa besar serta menyokong usaha memperkukuh keselamatan dan pertahanan Sabah. “Ini bukan soal politik. Kerajaan Persekutuan mesti memastikan Angkatan Tentera Malaysia, ESSCOM dan agensi keselamatan lain mempunyai aset, teknologi dan sumber yang mencukupi, khususnya di utara dan pantai timur Sabah. “Pada masa yang sama, Malaysia mesti terus menggunakan saluran diplomasi dengan Filipina, Amerika Syarikat, China dan negara-negara ASEAN. Kita mahu rantau ini kekal aman dan stabil,” katanya. Beliau mengingatkan, Sabah bersama-sama membentuk Malaysia pada 1963 dan atas sebab itu keselamatan Sabah adalah keselamatan Malaysia, manakala kedaulatannya tidak boleh dikompromi. “Rakyat Sabah tidak perlu takut, tetapi kita mesti sentiasa berwaspada dan bersedia. Sempadan kita mesti dilindungi, sementara keamanan terus diusahakan melalui diplomasi,” katanya. Sebelum ini, pandangan sama turut disuarakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan yang antara lain mahu kerajaan Pusat memandang serius perkembangan di selatan Filipina dan memastikan kedaulatan Sabah terus terpelihara. – Info X
August 27, 2026
BERNAMA
Amaran ribut petir, hujan lebat di tiga negeri hingga 3 petang
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di tiga negeri hingga 3 petang ini. MetMalaysia memaklumkan amaran itu melibatkan Pulau Pinang (Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan). Amaran sama turut dikeluarkan di Kedah bagi kawasan Yan, Kuala Muda dan Kulim. Sementara itu di Sabah, kawasan terjejas ialah Pantai Barat (Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang, Putatan dan Papar), Pedalaman (Membakut dan Pensiangan) serta Tawau (Kalabakan, Semporna dan Tawau).
August 27, 2026
BERNAMA
Azmin dipelawa sertai semula PKR? Saya tidak dimaklumkan – Anwar
KUALA LUMPUR: Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak pernah dimaklumkan mengenai sebarang pelawaan kepada bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menyertai semula parti itu. “Ada orang jemput ke? Ada pelawaan? Saya tidak dimaklumkan,” kata Perdana Menteri ringkas ketika ditemui media selepas merasmikan Expo Inovasi dan Pengkomersialan Kebangsaan (NICE) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini. Selasa lepas, Mohamed Azmin yang kini Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilaporkan berkata beliau tidak akan sesekali kembali menyertai PKR meskipun terdapat pelawaan kepada bekas ahli parti itu untuk berbuat demikian. Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Kamarudin Jaffar dan bekas Ahli Parlimen Nibong Tebal Datuk Mansor Othman, dilaporkan dijangka menyertai semula PKR. Bekas Naib Presiden PKR Datuk Dr Xavier Jayakumar turut mengesahkan kembali menyertai parti itu. – BERNAMA
August 27, 2026
Info X Reporters
Pemandu tertidur, penumpang maut kereta terbalik dalam parit
TAWAU: Seorang wanita warga Indonesia maut selepas kereta Proton Saga dinaiki terbabas, melanggar pokok sebelum terbalik ke dalam parit di Batu 16, Jalan Apas, di sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 3.26 petang itu, mangsa berusia 24 tahun tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.20 malam ketika menerima rawatan di Hospital Tawau. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kemalangan berlaku ketika Proton Saga terbabit dipandu seorang wanita warga Indonesia berusia 26 tahun dari Semporna menuju ke Tawau. Katanya, siasatan awal mendapati pemandu dipercayai tertidur ketika memandu sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan. “Kenderaan itu kemudian melanggar sebatang pokok sebelum terbalik ke dalam parit. “Pemandu mengalami kecederaan pada bahagian muka dan tengkuk, manakala penumpang mengalami kecederaan pada muka, badan dan dada serta tercampak keluar dari kenderaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Rosdi berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan, namun penumpang berkenaan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.20 malam. Menurutnya, siasatan awal turut mendapati pemandu tidak memiliki lesen memandu yang sah, manakala kereta berkenaan adalah milik rakannya. “Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan siasatan serta mengenal pasti keseluruhan keadaan yang membawa kepada kejadian,” katanya. Beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya memastikan diri cukup rehat sebelum memulakan perjalanan. “Sekiranya berasa mengantuk ketika memandu, berhenti di lokasi selamat dan berehat terlebih dahulu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. “Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Joseph Jelian di talian 016-806 7272,” katanya. – Info X