March 26, 2026
Info X Reporters
Samun wanita: Tiga termasuk warga asing diberkas
SANDAKAN: Tiga lelaki termasuk seorang warga asing ditahan polis bagi membantu siasatan kes samun terhadap seorang wanita di sebuah rumah di kawasan Batu 7, di sini, pada 21 Mac lalu. Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa diserang seorang lelaki tidak dikenali yang menceroboh masuk ke rumah melalui tingkap sebelum bertindak menyamun. Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintenden Ramasamy A/L Kuppan berkata, suspek kemudian melarikan diri bersama beberapa barangan berharga termasuk telefon bimbit dan barang kemas dengan anggaran kerugian kira-kira RM20,000. Menurutnya, bertindak atas maklumat dan siasatan lanjut, polis menjalankan beberapa operasi sebelum berjaya menahan tiga suspek termasuk seorang penjaga premis pajak gadai di sekitar Sandakan pada 24 hingga 25 Mac lalu. “Suspek utama yang ditahan adalah warga asing yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah. “Hasil soal siasat membawa kepada penahanan dua lagi suspek serta penemuan beberapa barang kes termasuk telefon bimbit, barang kemas dan pakaian yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap keselamatan diri dan kediaman selain menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis. Sebelum ini, video dan gambar suspek tular di media sosial memaparkan lelaki terbabit memecah masuk rumah mangsa dengan memakai topi, baju lengan panjang dan seluar pendek. – Info X
March 26, 2026
Info X Reporters
Bomba bantu tanggalkan cincin tersekat di jari
KENINGAU: Seorang pesakit menahan kesakitan apabila cincin tersekat pada jari manis hingga menyebabkan bengkak dalam kejadian di Hospital Keningau, awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 3.12 pagi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan daripada doktor sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dikejarkan ke lokasi. Pasukan tiba dalam tempoh lima minit dan mendapati jari mangsa membengkak akibat cincin yang terlalu ketat. Cincin berkenaan berjaya dipotong menggunakan peralatan khas pada jam 3.25 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya jam 3.36 pagi. – info X
March 26, 2026
Info X Reporters
Pelan Induk Taman Perindustrian Kota Belud dibentang di Kabinet – Ewon
KOTA BELUD: Pelan Induk Taman Perindustrian Kota Belud akan dibentangkan kepada Kabinet Negeri pada mesyuarat Jemaah Menteri Sabah akan datang. Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick, berkata pembentangan itu selaras pengumuman Kerajaan Negeri sebelum ini mengenai pembangunan taman perindustrian baharu di Kota Belud dan Kudat sebagai usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi di negeri. Katanya, pelaksanaan pembangunan Taman Perindustrian Kota Belud akan dikendalikan oleh Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) iaitu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan. “Selaku agensi yang diberi mandat untuk melaksanakan taman perindustrian ini, kita akan mengangkat kertas Kabinet ini dan saya amat yakin Ketua Menteri dan ahli-ahli jemaah menteri yang lain dapat memberi sokongan terhadap cadangan ini, seterusnya membolehkan kita memulakan usaha pemasaran dan menarik pelabur,” katanya. Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan negeri berkata demikian selepas menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya di Kampung Tegudon, di sini, pada Rabu. Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat besar, sama ada dari dalam atau luar negara, bagi menggalakkan mereka mempertimbangkan pelaburan serta membuka operasi di taman perindustrian berkenaan. “Sebagai salah seorang ADUN di kawasan Kota Belud, sudah semestinya ini satu kebanggaan kerana kita bakal menyediakan peluang ekonomi kepada masyarakat setempat sama ada kepada usahawan sedia ada untuk menyertai aktiviti rantaian perkhidmatan ataupun kepada graduan warga Kota Belud untuk bekerja dengan perusahaan-perusahaan di Taman Perindustrian Kota Belud ini kelak,” katanya. Katanya, beliau juga akan mengetuai misi perdagangan ke luar negara serta mengiringi Ketua Menteri, khususnya ke China bagi bertemu dengan pelabur berpotensi. “Inisiatif ini dilaksanakan bersama agensi kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memperkasa ekonomi Sabah, menyediakan peluang pekerjaan kepada graduan serta membuka ruang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan untuk terlibat dalam rantaian perkhidmatan industri,” katanya. Ewon berkata, secara keseluruhannya kira-kira 13,000 ekar telah dikenal pasti bagi pembangunan taman perindustrian itu yang akan dilaksanakan secara berfasa tertakluk kepada keputusan Kabinet Negeri. “Dari segi lokasi, secara spesifiknya kawasan yang dicadangkan terletak di DUN Pintasan bersempadan dengan daerah Kota Marudu dan Kota Belud serta berhampiran kawasan pesisir pantai Kota Belud. “Mudah-mudahan ia mendapat sokongan daripada masyarakat setempat karena sudah tiba masanya Kota Belud mempunyai aktiviti ekonomi yang lebih besar seperti taman perindustrian yang boleh menjana ekonomi, selain Pekan Kota Belud,” katanya. – Info X
March 25, 2026
Info X Reporters
Datuk ditemui lemas, cucu masih hilang
KENINGAU: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika keluar mencuba bot bersama cucunya di Sungai Pagalan berhampiran Taman Bersatu, Sook, di sini semalam, ditemui lemas petang tadi. Mangsa, Fredoline Yariki, 60, ditemui orang awam kira-kira jam 5.21 petang pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR), sekitar tujuh kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang. Bagaimanapun, cucunya, Muhammad Aidan Ridwan, 10, masih belum ditemui setakat ini. Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Desmon Al Mickey berkata, operasi SAR hari kedua bermula seawal jam 6.10 pagi melibatkan pasukan bomba bersama agensi lain. “Operasi dijalankan menggunakan kaedah ‘surface searching’ di sepanjang Sungai Banjar dan Sungai Mempikit. “Mangsa pertama iaitu datuk ditemui oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, sebelum kejadian, kedua-dua mangsa dipercayai ke sungai untuk mencuba bot baharu dibeli. Katanya, kehilangan mereka disedari selepas mangsa tidak pulang, manakala hanya beg serta barangan peribadi ditemui di lokasi terakhir mangsa dilihat. “Operasi SAR hari ini ditangguhkan pada jam 6.37 petang dan akan disambung semula esok bagi mengesan mangsa kedua yang masih hilang,” katanya. Operasi berkenaan membabitkan sembilan anggota bomba bersama agensi lain termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta orang awam. – Info X
March 25, 2026
Info X Reporters
Kerajaan negeri sokong keperluan polis
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan terus menyokong keperluan anggota polis sejajar peranan mereka sebagai rakan strategik utama keselamatan dan pembangunan negeri. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata keselamatan negeri adalah asas kepada kestabilan pembangunan, kesejahteraan rakyat dan keyakinan pelabur. Sehubungan itu, beliau mengulangi penekanan kerajaan negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) yang menggariskan keselamatan sebagai pemudah cara utama pertumbuhan ekonomi serta teras usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat. “Malah, tanpa kestabilan sudah tentu ia turut memberi kesan kepada pelaksanaan pembangunan SMJ 2.0,” katanya pada majlis perasmian Galeri Polis Negeri Sabah di Kepayan, dekat sini, pada Rabu. Beliau memuji inisiatif menjadikan sebuah bangunan lama di kawasan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah sebagai Galeri Polis. Hajiji menyifatkan galeri itu bukan sekadar tempat untuk pameran semata-mata, tetapi arkib hidup yang mengabadikan sejarah, jerih perih dan komitmen PDRM di Sabah. “Galeri ini juga adalah saksi perjuangan, pengorbanan dan dedikasi warga polis dalam mengekalkan keamanan negara. “Ia adalah sebuah wadah bagi menzahirkan penghargaan atas pengorbanan, jasa dan bakti yang tidak terbalas daripada seluruh warga PDRM, baik yang masih berkhidmat mahupun yang sudah bersara,” katanya. Antara pameran utama di galeri itu ialah insiden pencerobohan penganas di Tanduo, Lahad Datu pada 2013 yang kini menjadi ingatan dan lipatan sejarah kepada rakyat di negeri ini. Katanya, kewujudan galeri itu amat signifikan dan bertepatan padamasanya sebagai wadah untuk memastikan pengorbanan wira negara terus terpahat dalam ingatan atas jasa mereka sebagai benteng utama kedaulatan negara. Di samping itu, katanya galeri berkenaan juga boleh menjadi pusat pendidikan iaitu sebagai medium rujukan sejarah untuk generasi muda agar mereka menghargai nilai keamanan yang dinikmati hari ini. “Ia mendidik generasi muda dan mengingatkan kita semua akan erti keselamatan, keamanan serta disiplin tinggi yang dipegang teguh oleh pasukan polis,” katanya. Dalam pada itu, sempena Hari Memperingati Polis Ke-219, Ketua Menteri meminta seluruh anggota PDRM terus meningkatkan semangat dan iltizam untuk berkhidmat dengan penuh komited demi menjaga keselamatan, kesejahteraan dan keamanan negara. Katanya, bagi mengekalkan tahap integriti dalam perkhidmatan, semua anggota polis perlu terus berkhidmat dengan disiplin dan integriti yang tinggi. “Jadikan paparan di galeri ini sebagai pembakar semangat untuk terus memelihara maruah pasukan,” katanya. – Info X
March 25, 2026
Info X Reporters
Cuba seludup masuk perairan, empat PATI termasuk tekong ditahan
KUDAT: Cubaan sebuah bot tempatan menyeludup masuk ke perairan negara terbongkar apabila empat lelaki termasuk tekong dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), hari ini. Bot berkenaan dipintas kira-kira tujuh batu nautika di barat Tanjung Simpang Mengayau ketika rondaan Op Sejahtera dan Op Khas Pagar Laut dijalankan. Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, bot itu dikesan menerusi Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah sebelum dipintas oleh bot ronda. “Hasil pemeriksaan mendapati bot itu berdaftar di Malaysia, namun lesen operasinya sudah tamat tempoh, sekali gus melanggar Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah. “Pemeriksaan lanjut turut mendapati empat kru termasuk tekong berusia antara 27 hingga 50 tahun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, kesemua individu berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63. Katanya, semua kru bersama bot itu ditahan sebelum diiring ke jeti untuk tindakan dan siasatan lanjut oleh pihak berkuasa berkaitan. Dalam perkembangan sama, beliau berkata pihaknya akan terus mempergiat rondaan serta penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara. “Orang ramai khususnya komuniti maritim diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858,” katanya. – Info X
March 25, 2026
Info X Reporters
Peralihan monsun mulai 29 Mac, pantai barat dijangka hujan lebat
KOTA KINABALU: Hujan lebat berserta angin kencang dalam tempoh yang singkat diramal berlaku sepanjang peralihan monsun yang dijangka bermula pada 29 Mac ini. Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (Met Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata peralihan monsun dijangka berlarutan sehingga Mei depan. Katanya, permulaan fasa itu menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut 2025/2026 yang bermula sejak 13 November 2025. “Semasa fasa Peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah. “Keadaan ini boleh menggalakkan pembentukan awan ribut petir yang lazimnya membawa kepada kejadian hujan lebat berserta angin kencang dalam tempoh masa yang singkat, terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung serta barat Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. Beliau berkata, fenomena cuaca itu berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh. “Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan. “Orang ramai juga bolehmenghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya. – Info X
March 25, 2026
Info X Reporters
Pulau Sebatik diisytihar kawasan bencana kemarau
KOTA KINABALU: Pulau Sebatik diisytihar dilanda bencana kemarau susulan cuaca panas dan kering di Tawau, ketika ini. Pengisytiharan bencana itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau, Joseph Pang pada jam 10 pagi Rabu. “Saya selaku Pengerusi JPBD Tawau dengan ini mengisytiharkan bencana kemarau Daerah Tawau (Pulau Sebatik),” katanya. Difahamkan, kemarau yang melanda pulau itu menyebabkan bekalan air terjejas berikutan penurunan paras air empangan. Ketika ini, pengeluaran air dari empangan dikatakan merosot hingga 80 peratus sejak 22 Mac lalu. Situasi itu menyebabkan bekalan air kepada penduduk dari loji rawatan air (LRA) di pulau itu sangat terhad iaitu hanya 0.3 juta liter sehari (JLS) berbanding kapasiti sebenar 1.5 JLS Antara kawasan terjejas termasuk Kampung Wallace Bay, Mentadak, Sungai Tamang, Sungai Selipar, Sungai Laba, Sungai Lahi, Sungai Tongkang, Mentadak Baru serta kawasan sekitarnya. Ketika ini, dilaporkan penghantaran air menggunakan lori tangki diusahakan melalui Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sebatik. – Info X