Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

August 23, 2026

Info X Reporters

Tiga lelaki ditahan curi tayar kereta di Beaufort

BEAUFORT: Belum sempat polis mendapatkan semula tayar yang dicuri, tiga lelaki dipercayai terbabit dalam dua kes kecurian tayar kereta di Kampung Bingkul dan Kampung Binunuk, di sini, berjaya ditahan. Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, suspek pertama ditahan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort di kawasan tempat letak kereta Bandar Minggo selepas menerima maklumat. Menurutnya, lelaki itu disyaki terbabit dalam kejadian kehilangan tiga tayar berserta rim di Kampung Bingkul. “Siasatan awal mendapati suspek mengaku terbabit dalam kes berkenaan. “Hasil maklumat diperoleh daripadanya, polis kemudian menahan dua lagi lelaki bagi membantu siasatan kes kecurian tayar di Kampung Binunuk,” katanya. Beliau berkata, usaha mendapatkan semula barang kes masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri. Sebelum ini, IPD Beaufort memandang serius dua kes kecurian tayar yang dilaporkan berlaku di Kampung Bingkul dan tepi jalan Kampung Binunuk. Susulan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya meletakkan kenderaan di kawasan selamat serta mempunyai pencahayaan mencukupi, khususnya pada waktu malam. Champin turut menyeru anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan penduduk setempat meningkatkan rondaan serta pemantauan di kawasan kampung masing-masing. – Info X

August 23, 2026

Info X Reporters

Bomba selamatkan 70 rumah daripada terbakar

KOTA KINABALU: Tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan kira-kira 70 rumah daripada turut terbakar dalam kebakaran di Kampung Inanam Laut, Inanam, malam ini. Kebakaran itu memusnahkan dua rumah separuh kekal, tiga bilik sewa dan tiga kenderaan, manakala sebuah lagi kereta terbakar kira-kira 10 peratus. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.23 malam sebelum jentera tiba enam minit kemudian. Menurutnya, seramai 45 anggota daripada BBP Lintas, Kota Kinabalu dan Penampang terbabit dalam operasi berkenaan. “Rumah pertama berkeluasan kira-kira 335 meter persegi, manakala rumah kedua seluas kira-kira 242 meter persegi musnah sepenuhnya. “Tiga bilik sewa tidak kekal yang setiap satunya berkeluasan kira-kira 21 meter persegi turut musnah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. Beliau berkata, sebuah Perodua Kancil serta dua motosikal jenis Yamaha Y16 dan Honda EX5 turut musnah, manakala Perodua Kenari terbakar kira-kira 10 peratus. Menurutnya, seorang mangsa mengalami sesak nafas dan diberikan rawatan awal oleh Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian. “Operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 91 meter dengan tiga pancutan, manakala bekalan air diperoleh daripada jentera, lori tangki dan sungai berhampiran. “Kebakaran berjaya dikawal pada 8.19 malam dan tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan kira-kira 70 rumah di kawasan berhampiran daripada turut terjejas,” katanya. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – Info X

August 23, 2026

Info X Reporters

AWCL: Sabah FA tersingkir selepas tewas 2-0 di tangan East Bengal FC

KOTA KINABALU: Sabah FA gagal melayakkan diri ke peringkat seterusnya dalam saingan Liga Juara-Juara Wanita AFC 2026/27 apabila tewas 2-0 pada perlawanan penentuan Kumpulan A Peringkat Awal AWCL di Stadium Likas, di sini, malam ini. Perlawanan malam ini menyaksikan lawan Sabah, East Bengal FC dari India muncul pemenang bagi Kumpulan A dan layak ke peringkat seterusnya selepas berjaya mengutip mata penuh menerusi dua jaringan. East Bengal mengecewakan Sabah selepas dua pemainnya, Olivia Anokye dan Soumya Guguloth berjaya menjaringkan gol, masing-masing pada minit ke-67 dan minit ke-86. Jaringan 2-0 itu membolehkan pasukan dari India itu mendahului dengan sembilan mata setelah tanpa kalah dalam tiga perlawanan Kumpulan A, sekali gus mewakili kumpulan ke aksi seterusnya dalam saingan AWCL kali ini. Pada perlawanan ini, Sabah perlu menang untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya, sedangkan East Bengal hanya perlu keputusan seri kerana memiliki kelebihan jaringan. East Bengal sebelum ini menewaskan Rajshahi Stars FC 4-0 dari Bangladesh dan Rovers FC dari Guam 12-0. Berikutan itu, aksi Sabah FA dalam saingan AWCL 2026/2027 berakhir setakat perlawanan Kumpulan A, setelah memenangi dua perlawanan, masing-masing menewaskan Rovers FC 13-0 dan Rajshahi Stars 2-1. – Info X

August 23, 2026

Info X Reporters

Sabah atasi kutipan emas di Sarawak

SUBANG JAYA: Sabah mengatasi kutipan pingat emas SUKMA Sarawak 2024 selepas menuai lima pingat emas disamping enam perak dan lapan gangsa pada hari kedua terakhir SUKMA XXII Selangor 2026 hari ini (Ahad). Tuaian hari ini tersebut menjadikan keseluruhan pencapaian 30 emas, 26 perak dan 35 gangsa (setakat jam 7.00 malam Ahad), mengatasi kutipan 29 pingat emas di samping 36 perak dan 55 gangsa di Sarawak dua tahun lalu. Beberapa acara masih berlangsung malam ini sebelum sukan dwitahun negara itu melabuhkan tirai malam esok (Isnin). Dua daripada pingat emas hari ini dsumbangkan skuad wushu menerusi Amirah Sofea Azlan dan Fyenlly Himon di IDCC Shah Alam. Amirah mengalahkan atlet Johor, See Ke Xin 2-0 pada final sanda 45-48kg wanita manakala Fyenlly mengalahkan peserta Pulau Pinang Terris Thaw Khai Zhe 2-1 dalam kategori sama lelaki. Pasukan karate wanita yang dibarisi Nur Allyssa Audrey Anthony Tinggi, Adeola Fay Robert dan Ameera Jintha Liew serta Nur Radhiah Fathiah dan Chin Xue Yi sebagai atlet simpanan pula merangkul emas selepas menang 2-0 ke atas pasukan Johor. Hanya Nur Allyssa dan Adeola yang bertarung kerana kemenangan mereka cukup mengesahkan pingat emas milik Sabah pada pertarungan yang juga berlangsung di IDCC Shah Alam. Di Arena MBSJ, Puchong pula, skuad sepak takraw wanita Sabah melengkapkan misinya mempertahankan gelaran juara semua acara wanita selepas membuat penamat emas acara regu tiga pemain. Sebelum ini, skuad wanita sepak takraw Sabah merangkul emas acara regu dua pemain, regu empat pemain dan acara berpasukan. Di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Bangi pula menyaksi Marvell Vincent Voo terus menyinar dengan merangkul pingat emas dalam acara palang sejajar lelaki gimnastik artistik. Sebelum ini, Marvell juga telah menyumbang satu emas dan satu perak acara individu serta pingat gangsa dalam cara berpasukan. Pingat perak disumbang pasukan kumite lelaki karate (Xavier Luke, Syahmi Izzan Saharin, Khairil Iman Ahmat, Jude Joseph Johannes dan Jericho Jones Jason) dan regu tiga pemain lelaki takraw (Muhamad Sabarudin, Leo Mariandy Majurin, Irwanizan Seruji, Lye McDye Richo dan Harry Ulin). Dua pingat perak lagi dimenangi dalam acara muaythai menerusi Krystel Angel Jafili (51-54kg wanita) dan Ed Ryan Jefferon (51-54kg lelaki). Sukan tinju juga menyumbang dua perak menerusi Cliff Mijol (lightweight 57-60kg) dan Muhammad Rayyan Haykal (middleweight 71-75kg). Gangsa pula diraih Johanitasyah (tinju featherweight wanita 52-57kg), Mb Mohd Khairul Ariffin (muaythai 63.5-67kg), Kerry Dryan Jafili (muaythai 67-71kg), tiga pesilat wusyu iaitu Rylan Tan Jin Yi (52-56kg), Dione Babyline Fely (48-52kg) dan Brandon Eranel Soriano (56-60kg), pasukan ragbi wanita dan pasukan lawan pedang epee berpasukan lelaki. Dengan masih ada beberapa acara berlangsung pada hari terakhir esok (Ahad), Sabah berpeluang menambah lagi kutipan pingat.

August 23, 2026

Info X Reporters

Mangsa terakhir lemas di Sungai Pagalan ditemukan

KENINGAU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua remaja lelaki yang lemas ketika mandi bersama rakan di Sungai Pagalan berakhir selepas mangsa terakhir ditemukan, petang hari ini. Mangsa, Khend Romel Ponce Caceres, 13, ditemukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada 3.55 petang. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus Nidzam Sainkui berkata, mangsa ditemukan pada jarak kira-kira 80 meter dari lokasi dia dilaporkan lemas. “Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. “Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada 5 petang selepas kedua-dua mangsa berjaya ditemukan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Operasi hari kedua yang bermula pada 9 pagi itu membabitkan 15 anggota dari BBP Keningau dan PPDA Kuala Penyu serta dibantu polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pihak lain. Terdahulu, mangsa pertama, Jastey Goment, 16, ditemukan PPDA pada 10.34 pagi, kira-kira 50 meter dari lokasi dia dilaporkan lemas. Kedua-dua remaja itu dilaporkan lemas ketika mandi bersama beberapa rakan berhampiran Jeti Feri Pagalan, Jalan Bakti Logam, di sini, petang semalam. – Info X

August 23, 2026

Info X Reporters

Seorang ditemukan lemas, seorang lagi masih hilang

KENINGAU: Seorang daripada dua remaja lelaki yang dilaporkan lemas ketika mandi bersama rakan di Sungai Pagalan berhampiran Jeti Feri Pagalan, Jalan Bakti Logam, di sini, ditemukan meninggal dunia, hari ini. Mangsa, Jastey Goment, 16, ditemukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada jam 10.34 pagi, kira-kira 50 meter dari lokasi dia dilaporkan lemas. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Kanan Penguasa Bomba Severinus Nidzam Sainkui berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua dimulakan pada jam 9 pagi. Katanya, operasi dibahagikan kepada dua sektor dengan pasukan pertama melakukan pencarian di permukaan air sejauh tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang. “Pasukan kedua pula menjalankan pencarian di permukaan air menggunakan tali sejauh 500 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat. “PPDA memulakan selaman pertama pada jam 10.30 pagi sebelum menemukan mangsa empat minit kemudian,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. “Operasi diteruskan bagi mengesan seorang lagi mangsa, Khend Romel Ponce Caceres, 13, yang masih belum ditemukan,” katanya. Operasi SAR membabitkan anggota BBP Keningau dan PPDA Kuala Penyu dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Terdahulu, kedua-dua remaja itu dilaporkan lemas ketika mandi bersama beberapa rakan di sungai berkenaan, petang semalam. Pasukan penyelamat melakukan pencarian sejauh dua kilometer sebelum operasi ditangguhkan pada jam 6 petang dan disambung semula hari ini. – Info X

August 23, 2026

Info X Reporters

Pekerja kontraktor maut terkena renjatan, Sabah Electricity beri kerjasama penuh siasatan

SANDAKAN: Sabah Electricity memberi jaminan akan bekerjasama penuh dengan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian yang menyebabkan seorang pekerja kontraktor meninggal akibat terkena renjatan ketika melakukan kerja menukar tiang, semalam. Sabah Electricity dalam kenyataannya berkata, semua kerja berkaitan di lokasi berkenaan sudah dihentikan sementara sehingga siasatan selesai. Menurut kenyataan itu, insiden berkenaan turut menyebabkan seorang lagi pekerja mengalami kecederaan, namun kini berada dalam keadaan stabil. “Sabah Electricity merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban serta simpati kepada pekerja yang cedera. “Kami memandang serius kejadian ini dan akan memastikan aspek keselamatan sentiasa dititikberatkan oleh semua pihak termasuk pekerja kontraktor dalam setiap aktiviti kerja dan operasi,” menurut kenyataan itu. Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 malam tadi, pekerja kontraktor berusia 30 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika melakukan kerja menukar tiang elektrik berhampiran simpang lampu isyarat Taman Mawar, di sini. – Info X

August 23, 2026

Info X Reporters

Perhentian kecil kereta api di laluan Sembulan-Kinarut beroperasi mulai Oktober

KOTA KINABALU: Enam perhentian kecil kereta api yang siap dibina di sepanjang laluan Stesen Sembulan-Kinarut bakal beroperasi mulai Oktober depan bagi memperluas akses rakyat kepada perkhidmatan kereta api di negeri ini. Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan negeri, Datuk Ewon Benedick, berkata enam perhentian itu ialah Perhentian Kecil Lok Kawi, Tombovo, Meruntum, Bukit Vor, Petagas dan Tugu Peringatan Petagas. “Setakat ini, enam perhentian kecil telah siap dibina dan terdapat beberapa lagi perhentian yang sedang dalam pertimbangan untuk dibangunkan. “Penyediaan perhentian-perhentian ini akan memberikan lebih banyak pilihan dan kemudahan kepada masyarakat kerana mereka tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada stesen utama untuk menggunakan perkhidmatan kereta api,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Hari Kereta Api Ke-130 Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS), di Stesen Tanjung Aru, di sini, pada Sabtu. Ewon berkata, pengguna khususnya penduduk yang tinggal berhampiran laluan kereta api boleh menggunakan perhentian yang lebih dekat dengan kawasan kediaman masing-masing untuk meneruskan perjalanan ke pusat bandar atau sebaliknya. Katanya, kemudahan itu juga penting dalam menyediakan alternatif pengangkutan awam kepada rakyat terutama ketika kos penggunaan kenderaan persendirian termasuk harga bahan api menjadi antara cabaran kepada pengguna jalan raya. “Ini akan menambah akses rakyat kepada perkhidmatan kereta api negeri Sabah. Saya mengucapkan terima kasih kepada pengarah dan semua warga kerja Jabatan Keretapi Negeri Sabah kerana melihat keperluan ini dan menyediakan akses yang lebih baik kepada rakyat dengan menambah perhentian di antara Stesen Kinarut dan Sembulan. “Kita mahu perkhidmatan kereta api lebih mudah diakses, praktikal dan dekat dengan rakyat,” katanya. Selepas majlis itu, Ewon turut menaiki kereta api ke Kinarut bagi meninjau sendiri perhentian-perhentian baharu yang telah siap dibina di sepanjang laluan berkenaan. Dalam pada itu, Ewon berkata, beliau juga menantikan hasil kajian cadangan memperluaskan rangkaian perkhidmatan kereta api dari Putatan ke Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), termasuk kawasan Pelabuhan Sepanggar. “Saya ingin melihat hasil kajian bagi memperluaskan perkhidmatan kereta api dari Putatan ke KKIP termasuk ke kawasan Pelabuhan Sepanggar yang saya percaya sedang dilaksanakan. “Mudah-mudahan apabila kajian itu siap dan dibentangkan kepada kementerian atau Kerajaan Negeri, kita boleh melihat hala tuju seterusnya,” katanya. Beliau berkata, peluasan rangkaian kereta api pada masa hadapan bukan sahaja perlu dilihat dari sudut menyediakan kemudahan pengangkutan kepada rakyat, tetapi juga potensinya dalam menyokong perkembangan sektor perindustrian dan logistik Sabah. “Saya percaya bukan sahaja rakyat perlu mendapat akses kepada perkhidmatan kereta api, tetapi sektor industri juga boleh memanfaatkannya untuk mengangkut produk dari taman perindustrian ke pelabuhan. “Pada masa sama, rangkaian kereta api yang lebih luas boleh menghubungkan pusat bandar dengan kawasan perumahan dan kawasan perindustrian dengan lebih baik,” katanya.-Info X