Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

August 23, 2026

Info X Reporters

Perhentian kecil kereta api di laluan Sembulan-Kinarut beroperasi mulai Oktober

KOTA KINABALU: Enam perhentian kecil kereta api yang siap dibina di sepanjang laluan Stesen Sembulan-Kinarut bakal beroperasi mulai Oktober depan bagi memperluas akses rakyat kepada perkhidmatan kereta api di negeri ini. Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan negeri, Datuk Ewon Benedick, berkata enam perhentian itu ialah Perhentian Kecil Lok Kawi, Tombovo, Meruntum, Bukit Vor, Petagas dan Tugu Peringatan Petagas. “Setakat ini, enam perhentian kecil telah siap dibina dan terdapat beberapa lagi perhentian yang sedang dalam pertimbangan untuk dibangunkan. “Penyediaan perhentian-perhentian ini akan memberikan lebih banyak pilihan dan kemudahan kepada masyarakat kerana mereka tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada stesen utama untuk menggunakan perkhidmatan kereta api,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Hari Kereta Api Ke-130 Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS), di Stesen Tanjung Aru, di sini, pada Sabtu. Ewon berkata, pengguna khususnya penduduk yang tinggal berhampiran laluan kereta api boleh menggunakan perhentian yang lebih dekat dengan kawasan kediaman masing-masing untuk meneruskan perjalanan ke pusat bandar atau sebaliknya. Katanya, kemudahan itu juga penting dalam menyediakan alternatif pengangkutan awam kepada rakyat terutama ketika kos penggunaan kenderaan persendirian termasuk harga bahan api menjadi antara cabaran kepada pengguna jalan raya. “Ini akan menambah akses rakyat kepada perkhidmatan kereta api negeri Sabah. Saya mengucapkan terima kasih kepada pengarah dan semua warga kerja Jabatan Keretapi Negeri Sabah kerana melihat keperluan ini dan menyediakan akses yang lebih baik kepada rakyat dengan menambah perhentian di antara Stesen Kinarut dan Sembulan. “Kita mahu perkhidmatan kereta api lebih mudah diakses, praktikal dan dekat dengan rakyat,” katanya. Selepas majlis itu, Ewon turut menaiki kereta api ke Kinarut bagi meninjau sendiri perhentian-perhentian baharu yang telah siap dibina di sepanjang laluan berkenaan. Dalam pada itu, Ewon berkata, beliau juga menantikan hasil kajian cadangan memperluaskan rangkaian perkhidmatan kereta api dari Putatan ke Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), termasuk kawasan Pelabuhan Sepanggar. “Saya ingin melihat hasil kajian bagi memperluaskan perkhidmatan kereta api dari Putatan ke KKIP termasuk ke kawasan Pelabuhan Sepanggar yang saya percaya sedang dilaksanakan. “Mudah-mudahan apabila kajian itu siap dan dibentangkan kepada kementerian atau Kerajaan Negeri, kita boleh melihat hala tuju seterusnya,” katanya. Beliau berkata, peluasan rangkaian kereta api pada masa hadapan bukan sahaja perlu dilihat dari sudut menyediakan kemudahan pengangkutan kepada rakyat, tetapi juga potensinya dalam menyokong perkembangan sektor perindustrian dan logistik Sabah. “Saya percaya bukan sahaja rakyat perlu mendapat akses kepada perkhidmatan kereta api, tetapi sektor industri juga boleh memanfaatkannya untuk mengangkut produk dari taman perindustrian ke pelabuhan. “Pada masa sama, rangkaian kereta api yang lebih luas boleh menghubungkan pusat bandar dengan kawasan perumahan dan kawasan perindustrian dengan lebih baik,” katanya.-Info X

August 23, 2026

Info X Reporters

Lebih 500 bekas ahli STAR, Warisan dan KDM sertai PGRS Tambunan

TAMBUNAN: Lebih 500 bekas ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bertindak keluar parti untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Tambunan pada Sabtu. Daripada jumlah itu, kira-kira 300 adalah bekas ahli dari enam cawangan STAR Tambunan yang diketuai bekas Ketua Kempennya, Patricia Yusuf, diikuti seramai 120 bekas ahli Warisan diketuai Muhadi Amin yang juga antara pejuang awal parti itu di Tambunan, manakala bakinya adalah bekas ahli KDM. Borang keahlian masing-masing diserahkan kepada Ketua Bahagian PGRS Tambunan, Datuk Victor P Paut pada satu majlis di Kampung Tondulu, di sini, pada Sabtu. Mengulas perkembangan itu, Patricia berkata keputusan meninggalkan parti masing-masing dibuat selepas hilang keyakinan terhadap hala tuju dan kepimpinan parti terdahulu. Katanya, mereka juga melihat prestasi baik kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan komitmen kepimpinan PGRS Tambunan sebagai antara faktor mendorong mereka menyertai parti itu. Beliau berkata, rakyat perlukan pemimpin yang sentiasa bertanggungjawab, prihatin dan bersedia bersama masyarakat, terutama ketika berdepan kesukaran serta memerlukan bantuan. “Secara peribadi, saya melihat bagaimana komited dan prihatinnya kepimpinan Kerajaan Negeri serta kepimpinan PGRS Tambunan yang sentiasa ‘turun padang’ untuk bertemu, mendengar keluhan dan keperluan rakyat. “Maksudnya, sanggup bersama masyarakat pada waktu susah dan senang. Ketika masyarakat memerlukan seorang pemimpin untuk hadir bersama mereka, dia ada waktu untuk itu. “Itu yang menarik perhatian saya serta rakan lainnya untuk menyertai parti ini,” katanya. Mengulas sama ada tindakan kumpulan itu akan menjejaskan STAR sebagai parti dominan di Tambunan, Patricia percaya penghijrahan lebih 300 ahli parti itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada STAR dan pada masa sama mengukuhkan kedudukan PGRS Tambunan. Perkembangan itu, katanya dijangka menjadi permulaan kepada lebih ramai ahli STAR dan parti lain untuk menyertai PGRS, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). “Sekiranya semua bersatu hati, saya yakin mungkin ada ‘goncangan’ berlaku dalam STAR selepas ini,” katanya. Beliau turut bertekad akan membantu memastikan GRS menguasai kawasan Parlimen Keningau selepas ini. Sementara itu, Muhadi berkata, beliau dan rakan-rakan memilih PGRS kerana percaya hanya kerajaan yang kukuh mampu memastikan agenda pembangunan Sabah dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan dengan berkesan. Katanya, GRS dilihat mempunyai kemampuan untuk memperjuangkan kepentingan rakyat kerana mempunyai kuasa pentadbiran bagi melaksanakan pembangunan. “Mereka (Warisan) tidak boleh buat apa-apa sama ada untuk memajukan Sabah ataupun membela rakyat kerana tidak ada kuasa. “Kalau sekadar bercakap saja tiada guna kerana apapun perlukan kuasa,” katanya. Beliau turut menegaskan pendekatan kepimpinan PGRS Tambunan yang sentiasa turun padang dan mendekati rakyat turut menarik minatnya menyertai parti itu. Katanya, rakyat kini mahukan pemimpin yang bukan sekadar berada di pejabat, sebaliknya sanggup masuk ke kampung bagi meninjau sendiri masalah dan keperluan masyarakat. “Kita mahu pemimpin yang sentiasa turun padang, bukan sekadar duduk di pejabat tetapi tidak masuk kampung untuk meninjau keperluan rakyat. Mana-mana rakyat pun tidak mahu ada pemimpin seumpama itu,” katanya. Majlis yang berlangsung di Dewan Terbuka Angkangon Tondulu itu menyaksikan penyerahan borang keahlian PGRS dari 12 kampung atau cawangan yang terlibat iaitu Kipaku, Mukim Kirokot, Nupakan, Dalab Lintuhun, Toboh, Bambangan, Lintuhun, Tombotuon, Rompon, Kalasasan Mogong dan Molout Sunsuron.-Info X

August 23, 2026

Info X Reporters

Hajiji iringi Perdana Menteri pada Rundingan Tahunan Malaysia-Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei Darussalam Ke-27 (ALC-27) di Istana Nurul Iman, di sini pada Sabtu. Hajiji turut menghadiri mesyuarat pra-majlis ALC-27 di Hotel Empire yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada Jumaat. Turut bersama Hajiji ialah Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Mengiringi Ketua Menteri dari Sabah ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Arifin Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun dan Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Negeri, Datuk Awang Shahminan Sahari. Selepas ALC-27, pertemuan empat mata diadakan antara Anwar dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah Muiz’zaddin Wad’daulah. Beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dan Instrumen Dua Hala turut ditandatangani, diikuti dengan jamuan tengah hari rasmi bagi meraikan Perdana Menteri.-Info X

August 22, 2026

Info X Reporters

Pekerja maut terkena renjatan elektrik

SANDAKAN: Seorang pekerja kontraktor elektrik maut selepas terkena renjatan ketika melakukan kerja pemasangan tiang elektrik di Bandar Tabin Jaya, di sini, malam ini. Mangsa lelaki berusia 30 tahun ditemukan masih berada di atas tiang elektrik ketika pasukan bomba tiba di lokasi kejadian. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.53 malam. Katanya, tujuh anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi sejauh sembilan kilometer. “Operasi menurunkan mangsa dilakukan menggunakan peralatan khas selepas bekalan elektrik diputuskan oleh Sabah Electricity bagi memastikan keselamatan anggota. “Mangsa kemudian berjaya diturunkan sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi yang turut disertai Sabah Electricity, polis dan KKM tamat sepenuhnya pada jam 9.40 malam selepas lokasi disahkan selamat. – Info X

August 22, 2026

Info X Reporters

Dua remaja dikhuatiri lemas ketika mandi sungai

KENINGAU: Dua remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan-rakan di Sungai Pagalan berhampiran Jeti Feri Pagalan, Jalan Bakti Logam, di sini, petang tadi. Mangsa dikenali sebagai Jastey Goment, 16, dan Khend Romel Ponce Caceres, 13, yang sehingga kini masih belum ditemukan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Kanan Penguasa Bomba Severinus Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.15 petang. Katanya, seramai 10 anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT), Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan van dikerahkan ke lokasi sejauh empat kilometer. “Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 3.20 petang sebelum mendapatkan maklumat awal daripada saksi kejadian. “Menurut saksi, kedua-dua mangsa mandi di sungai bersama beberapa rakan sebelum mereka disedari lemas dan gagal ditemukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diketuai Pegawai Bomba Kanan I Danny Boy Cornelio dengan pencarian di permukaan air dilakukan dari lokasi terakhir mangsa dilihat. Katanya, usaha mengesan kedua-dua remaja berkenaan masih diteruskan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – Info X

August 22, 2026

Info X Reporters

SUKMA XXII : Karate Sabah naik taraf kutipan kepada dua emas, empat gangsa

SUBANG JAYA: Skuad karate Sabah meningkatkan kutipan pingat pada hari kedua saingan apabila meraih dua emas dan dua gangsa pada SUKMA XXII Selangor 2026 di IDCC Shah Alam, hari ini. Pencapaian itu menyaksikan Sabah menambah dua emas dan dua gangsa selepas mengumpul dua perak dan dua gangsa pada hari pertama pertandingan, kelmarin. Dua pingat emas disumbangkan Aedola Fay Robert dalam acara kumite wanita bawah 61 kilogram (kg) dan Mohamad Haznil Henry menerusi kata individu lelaki. Dua gangsa pula diraih Nur Radhiah Fathiah dalam kumite wanita bawah 55kg dan Ivy Olivera Donny bagi acara kata individu wanita. Secara keseluruhan, skuad karate Sabah kini mengumpul dua emas, dua perak dan empat gangsa, dengan beberapa acara masih berlangsung sebelum pertandingan melabuhkan tirai esok. Sementara itu, skuad tinju Sabah menambah dua pingat perak menerusi Arthur Ayyayu Annaraj dan Abraam Doozaeil Rycarl pada saingan di Dewan Tun Abdullah Mohd Salleh, UKM, Bangi. Arthur tewas kepada wakil Johor, Wan Ahmad Dhia Haidar, dalam kategori lelaki 54-57kg, manakala Abraam akur kepada Syed Muhammad Hanafi dari Perak dalam kategori lelaki 60-63.5kg. Pertandingan tinju turut dijadualkan berakhir esok.-Info X

August 22, 2026

Info X Reporters

Skuad pelayaran Sabah kotakan sasaran dua emas

SUBANG JAYA: Skuad pelayaran Sabah menutup tirai saingan SUKMA XXII Selangor 2026 dengan cemerlang apabila mengotakan sasaran dua pingat emas, selain menambah tiga gangsa pada hari terakhir pertandingan di Pusat Latihan Perahu Layar Batu Laut, Kuala Langat, hari ini. Emas pertama disumbangkan Muhammad Aiman Aqeel selepas mengungguli acara ILCA 4 individu lelaki dengan catatan 34 mata. Aiman meninggalkan Muaz Mujahid dari Terengganu yang meraih perak dengan 46 mata, manakala Mohamad Hazim Suwandy dari Sarawak membawa pulang gangsa selepas mengumpul 51 mata. Emas kedua pula diraih Nur Hafizanah Zailan dalam acara ILCA 4 individu wanita selepas mencatat 23 mata. Pingat perak menjadi milik Dhalfina Natalia dari Terengganu dengan 33 mata, manakala Sara Amanda dari Kedah meraih gangsa dengan 35 mata. Tiga lagi gangsa disumbangkan Mohammad Syahierdham dalam acara ILCA 6 individu lelaki, gandingan Bibi Qeesha Mohd Faiz dan Natasha Wong See Kei dalam International 420 wanita serta pasangan Danyal Marczqui Rahmat dan Muhammad Iftittah Andi bagi International 420 lelaki. Presiden Persatuan Pelayaran Sabah, Zainal Madi, berkata pencapaian berkenaan membuktikan sasaran yang ditetapkan sebelum temasya berjaya direalisasikan hasil komitmen tinggi atlet, jurulatih dan pengurusan pasukan. “Tahniah dan syabas kepada semua pemenang. Kejayaan ini juga menunjukkan program pembangunan pelayaran di Sabah berada pada landasan yang baik. “Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada KBSK dan MSN Sabah atas sokongan yang diberikan, selain jurulatih, pegawai kontinjen dan ibu bapa yang sentiasa berada di belakang atlet. “Sokongan mereka amat penting bagi memastikan atlet dapat memberikan fokus sepenuhnya kepada pertandingan,” katanya. Menurutnya, kejayaan pada SUKMA kali ini perlu dijadikan pencetus semangat untuk melahirkan lebih ramai atlet pelayaran berkualiti dari Sabah pada masa depan. “Kejayaan ini bukanlah penamat, sebaliknya satu permulaan untuk kita menetapkan sasaran lebih tinggi. “Kita mahu melihat lebih ramai atlet muda Sabah diketengahkan dan diberikan peluang untuk berkembang sehingga mampu mewakili negara di peringkat antarabangsa. “Kita akan terus bekerja keras dengan sasaran meningkatkan prestasi, memperkukuh pembangunan atlet muda dan memastikan Sabah terus menjadi antara kuasa utama dalam sukan pelayaran negara,” katanya.-Info X

August 22, 2026

Info X Reporters

Lesen tamat tempoh, positif dadah cuba lolos sekatan jalan raya

KOTA BELUD: Tindakan seorang lelaki cuba meloloskan diri daripada sekatan jalan raya sebelum menghalang anggota polis menjalankan tugas membawa padah apabila dia ditahan, hari ini. Pemeriksaan lanjut mendapati lesen memandu lelaki tempatan itu sudah tamat tempoh, manakala ujian saringan air kencingnya positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine. Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Khairul Shah Peri berkata, kejadian berlaku ketika anggota polis menjalankan tugas penguatkuasaan di daerah berkenaan. Menurutnya, suspek dipercayai gagal mematuhi arahan anggota polis supaya memberhentikan kenderaan ketika melalui sekatan jalan raya. “Suspek kemudian bertindak menghalang anggota polis daripada menjalankan tugas sebelum berjaya ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1967 kerana tidak mematuhi isyarat anggota polis untuk memberhentikan kenderaan ketika sekatan jalan raya. Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. Khairul Shah menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berkaitan kejadian itu. Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi arahan polis ketika melalui sekatan jalan raya serta tidak bertindak agresif atau menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas. Terdahulu, tular rakaman berdurasi 21 saat di media sosial memaparkan beberapa anggota polis menahan lelaki berkenaan. – Info X