Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

August 9, 2026

Info X Reporters

Pengedar ekstasi rempuh kereta cuba lolos

PENAMPANG: Seorang lelaki disyaki pengedar dadah nekad merempuh sebuah kereta ketika cuba meloloskan diri daripada polis dalam operasi di Jalan Penampang Baru, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 pagi itu, suspek berusia 26 tahun yang memandu Perodua Axia turut bertindak agresif dan bergelut dengan anggota polis sebelum berjaya diberkas. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah selepas mengesan kenderaan terbabit yang disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah. Katanya, ketika pasukan polis cuba menahan kenderaan berkenaan, suspek bertindak merempuh sebuah Proton Saga yang menghalang laluannya dalam cubaan melarikan diri. “Selepas kenderaan berjaya ditahan, suspek sekali lagi cuba melarikan diri dan bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan dengan anggota polis. “Pasukan serbuan kemudian menggunakan kekerasan minimum sebelum berjaya menahan suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Alhusin berkata, hasil soal siasat awal membawa kepada penemuan sebuah bekas lutsinar yang mengandungi paket plastik disyaki berisi dadah jenis ekstasi. “Pemeriksaan lanjut menemui 11 paket plastik berwarna perak bertulisan ‘PUMPKINS’ dan berlogo labu mengandungi serbuk disyaki ekstasi dengan berat keseluruhan 370.74 gram. “Polis turut merampas sebuah Perodua Axia dan telefon bimbit iPhone 15 Pro untuk siasatan lanjut,” katanya. Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai pemandu bas pelancong dibawa bersama semua barang rampasan ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut. “Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti sumber bekalan dadah berkenaan serta mengesan individu lain yang dipercayai terbabit dalam kegiatan itu. “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Info X

August 9, 2026

Info X Reporters

Terlupa letak gear ‘P’, SUV terbabas masuk balai pelepasan KKIA

KOTA KINABALU: Gara-gara dipercayai terlupa meletakkan gear pada kedudukan ‘P’ (park), sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) bergerak sendiri sebelum terbabas merempuh pintu kaca Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), petang kelmarin. Kejadian kira-kira jam 4.55 petang itu berlaku ketika pemandunya, wanita berusia 66 tahun, berhenti di lorong kedua di hadapan bangunan KKIA untuk menjemput anaknya. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati wanita terbabit dipercayai terlupa meletakkan gear kenderaan pada kedudukan ‘P’ ketika hendak bertukar pemandu. Katanya, ketika cuba keluar, SUV berkenaan mula bergerak perlahan menyebabkan wanita itu panik sebelum secara tidak sengaja menekan pedal minyak. “Keadaan itu menyebabkan kenderaan meluncur laju ke hadapan dan melanggar sebuah kenderaan lain. “SUV berkenaan kemudian terbabas merempuh pintu kaca bahagian pelepasan KKIA sebelum melanggar sebuah tiang bangunan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, wanita berkenaan sempat keluar daripada SUV sebelum pelanggaran berlaku, namun mengalami kecederaan ringan pada bahagian muka akibat terkena serpihan kaca. Katanya, mangsa kemudian dibawa dengan ambulans ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk mendapatkan rawatan lanjut. Shahrudin berkata, kes disiasat mengikut Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 [LN 166/59] di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum ditinggalkan selain memandu secara cermat dan berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. Terdahulu, kejadian SUV terbabas memasuki bangunan KKIA itu menarik perhatian orang ramai selepas rakaman dan gambar keadaan kenderaan di dalam balai pelepasan tersebar di media sosial. – Info X

August 8, 2026

Info X Reporters

Remaja 15 tahun lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Badak

TUARAN: Aktiviti berkelah dan mandi-manda dua remaja perempuan di Pantai Tanjung Badak, di sini, berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan meninggal dunia, petang tadi. Mangsa, Nurul Husna Nurul Ain Amdan, 15, ditemukan pada jam 5.08 petang sebelum dibawa ke kawasan selamat dan diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR), namun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Rakannya, Rabiatul Adawiyah Hamzah, 15, pula berjaya diselamatkan orang awam dan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) untuk rawatan lanjut. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba II Kurong Ak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.59 petang. Katanya, seramai 11 anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan EMRS digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 23 kilometer dari balai. “Menurut maklumat awal, kedua-dua mangsa dikhuatiri hilang di laut ketika menjalankan aktiviti berkelah dan mandi-manda di pantai berkenaan. “Seorang mangsa berjaya ditemui orang awam, manakala seorang lagi masih gagal dikesan menyebabkan operasi mencari dan menyelamat dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, pasukan bomba menjalankan pencarian menggunakan kaedah Water Surface Searching di sekitar kawasan mangsa kali terakhir dilihat. Katanya, mangsa yang hilang akhirnya ditemukan pada jam 5.08 petang sebelum dibawa ke kawasan selamat. “Pasukan penyelamat memberikan bantuan CPR kepada mangsa, namun mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas KKM. “Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. Beliau berkata, operasi yang turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.07 petang. – Info X

August 8, 2026

Info X Reporters

11.45 tan serbuk ketum bernilai RM1.4 juta dirampas

TUARAN: Lebih 11 tan serbuk ketum yang sudah diproses dan dibungkus dipercayai menunggu masa untuk diedarkan terbongkar dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Tuaran, di sini, Khamis lalu. Rampasan seberat 11.45 tan itu dipercayai antara rampasan terbesar membabitkan ketum di Sabah, dengan nilai serbuk berkenaan sahaja dianggarkan RM1.145 juta. Operasi kira-kira jam 6 pagi itu dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran hasil maklumat risikan. Pemeriksaan dilakukan di premis berkenaan termasuk sebuah lori sebelum pasukan operasi menemukan sejumlah besar serbuk daun ketum yang sudah diproses dan dibungkus dipercayai untuk tujuan pengedaran. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, keseluruhan serbuk ketum yang dirampas dianggarkan seberat 11,450 kilogram (kg). Katanya, nilai ketum terbabit dianggarkan RM1.145 juta, manakala jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan mencecah lebih RM1.4 juta. “Empat individu terdiri daripada tiga lelaki berusia antara 23 hingga 46 tahun dan seorang wanita berusia 28 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan. “Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua individu berkenaan negatif dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurut Ahmad Amri, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. Katanya, siasatan lanjut diteruskan bersama JSJN Sabah bagi mengenal pasti baki anggota sindiket yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan. “Siasatan turut diteruskan bagi memastikan penyalahgunaan ketum dalam pelbagai bentuk dapat dibanteras secara menyeluruh. “PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperkasakan risikan dan kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa dalam membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang demi keselamatan serta kesejahteraan masyarakat,” katanya. – Info X

August 8, 2026

Info X Reporters

Ugut bunuh ibu, cekik nenek

TAWAU: Seorang lelaki berusia 20 tahun ditahan selepas disyaki mengugut mahu membunuh ibunya selain mencekik neneknya ketika mengamuk di rumah keluarga mereka di Kampung Sungai Tuda, Kalabakan, Jun lalu. Suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di hadapan sebuah rumah di kampung berkenaan, kira-kira jam 6 petang semalam. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, penahanan itu dibuat susulan laporan polis yang diterima pada 24 Jun lalu. Katanya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11 malam, sehari sebelum laporan dibuat, apabila adik suspek menerima panggilan daripada ibu mereka memaklumkan abangnya sedang mengamuk di rumah. “Suspek dipercayai mengugut mahu membunuh ibunya selain bertindak mencekik leher neneknya ketika kejadian. “Adik suspek yang tiba di rumah kemudian cuba menenangkan dan menahannya bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, tindakan itu bagaimanapun menyebabkan berlaku pergelutan antara dua beradik berkenaan sehingga adik suspek mengalami kecederaan. Katanya, suspek kemudian diarahkan keluar dari rumah kerana dipercayai memegang spanar yang dikhuatiri boleh digunakan untuk mengancam keselamatan ahli keluarganya. Rosdi berkata, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan turut menjalani ujian saringan awal air kencing. “Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. “Polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ugutan atau tindakan agresif yang boleh mengancam keselamatan orang awam termasuk ahli keluarga sendiri,” katanya. Beliau turut meminta orang ramai segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya berdepan atau mengetahui sebarang ancaman keselamatan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil. – Info X

August 8, 2026

Info X Reporters

Delegasi asing tinjau keselamatan di perairan Sandakan

SANDAKAN: Delegasi antarabangsa menyaksikan sendiri realiti semasa di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) menerusi lawatan ke beberapa pulau, di sini, baru-baru ini. Program Menteri Dalam Negeri Security Visit and Engagement with International Delegates itu antara lain melawat Pulau Bakungan Kecil dan Pulau Selingan sambil berinteraksi dengan komuniti setempat. Menerusi program itu, kerajaan berharap dapat memperkukuh keyakinan pengunjung luar terhadap tahap keselamatan, kestabilan dan pembangunan mampan di kawasan ESSZone. Lawatan itu membolehkan duta, pesuruhjaya tinggi dan wakil negara asing menilai sendiri keadaan sebenar di lapangan serta memahami keamanan di ESSZone adalah hasil komitmen berterusan Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Dalam Negeri, khususnya ESSCOM bersama agensi keselamatan lain. Keselamatan yang dinikmati di ESSZone membolehkan pergerakan di perairan selamat, pulau-pulau pelancongan terus dikunjungi dan komuniti pesisir menjalankan aktiviti harian dalam suasana aman. Melalui pengalaman yang diperoleh sepanjang program itu, delegasi diharap dapat berkongsi pemerhatian mereka dengan kerajaan masing-masing dan menyokong penilaian semula nasihat perjalanan (travel advisory) ke ESSZone berdasarkan keadaan semasa, fakta terkini dan penilaian yang objektif, bukan lagi berasaskan persepsi lampau. Semakan terhadap nasihat perjalanan itu dapat meningkatkan keyakinan masyarakat antarabangsa, merancakkan sektor pelancongan, menggalakkan pelaburan mampan, memperkukuh ekonomi komuniti setempat serta mengeratkan lagi hubungan persahabatan antara Malaysia dan negara-negara rakan. Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail menerusi perkongsian di Facebooknya, berkata kali ini adalah tahun ketiga KDN bersama Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) menjemput diplomat dan perwakilan asing ke ESSZone untuk melihat dan menilai sendiri situasi sebenar di lapangan. Karanya, seramai 14 diplomat dan pegawai perwakilan daripada 11 negara menyertai lawatan kali ini, mewakili England, Finland, Itali, Belgium, Austria, Perancis, Republik Czech, Kesatuan Eropah (EU), Switzerland, Slovakia dan Amerika Syarikat. “Seawal pagi lagi kami mulakan dengan melawat ke Pulau Bakungan Kecil dan Pulau Selingan di Sandakan. Di sini, para delegasi diberi penerangan mengenai usaha pemuliharaan penyu, daripada proses penetasan sehinggalah anak-anak penyu dilepaskan semula ke habitat asalnya. “Program seperti ini memberi peluang kepada para delegasi melihat sendiri situasi sebenar di pantai timur Sabah, berbanding hanya bergantung kepada laporan atau persepsi dari luar. “Mereka dapat menyaksikan sendiri keadaan di lapangan, tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan serta kehidupan masyarakat yang berlangsung seperti biasa,” katanya. Ends

August 7, 2026

Info X Reporters

Empat ditahan, 92kg serbuk ketum dirampas

LAHAD DATU: Taktik menyimpan puluhan bungkusan serbuk ketum terbongkar apabila polis menahan empat individu dalam Op Tapis yang dijalankan di sekitar daerah ini, semalam. Dalam operasi itu, polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu merampas 92 bungkusan serbuk ketum seberat 92 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM9,200. Turut dirampas ialah 0.12 gram dadah disyaki syabu bersama beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penyalahgunaan dadah. Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati seorang daripada empat suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine. “Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan dan polis akan memohon perintah reman terhadap mereka untuk tindakan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, BSJND IPD Lahad Datu akan terus memperhebat operasi membanteras penyalahgunaan serta pengedaran dadah dan bahan terlarang bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara. – Info X

August 7, 2026

Info X Reporters

Wanita ditemui maut dipercayai terjatuh dari tingkat 12 kondominium

KOTA KINABALU: Seorang wanita ditemukan maut selepas dipercayai jatuh dari tingkat 12 sebuah kondominium di Jalan Sulaman, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mayat mangsa berusia 57 tahun ditemui di kawasan parkir bangunan berkenaan sebelum polis menerima laporan mengenai kejadian. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, polis menerima laporan berhubung penemuan mayat mangsa sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bergegas ke lokasi. Katanya, pasukan itu turut dibantu Pasukan Forensik dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bagi menjalankan siasatan di lokasi kejadian. “Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari sebuah unit kondominium di tingkat 12 bangunan berkenaan. “Pemeriksaan di lokasi kejadian bagaimanapun tidak menemukan sebarang unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan media, malam ini. Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tindakan bedah siasat. “Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan kerana ia boleh mengganggu siasatan polis. Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar atau video kejadian demi menghormati privasi keluarga mangsa. – Info X