August 8, 2026
Info X Reporters
Remaja 15 tahun lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Badak
TUARAN: Aktiviti berkelah dan mandi-manda dua remaja perempuan di Pantai Tanjung Badak, di sini, berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan meninggal dunia, petang tadi. Mangsa, Nurul Husna Nurul Ain Amdan, 15, ditemukan pada jam 5.08 petang sebelum dibawa ke kawasan selamat dan diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR), namun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Rakannya, Rabiatul Adawiyah Hamzah, 15, pula berjaya diselamatkan orang awam dan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) untuk rawatan lanjut. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba II Kurong Ak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.59 petang. Katanya, seramai 11 anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan EMRS digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 23 kilometer dari balai. “Menurut maklumat awal, kedua-dua mangsa dikhuatiri hilang di laut ketika menjalankan aktiviti berkelah dan mandi-manda di pantai berkenaan. “Seorang mangsa berjaya ditemui orang awam, manakala seorang lagi masih gagal dikesan menyebabkan operasi mencari dan menyelamat dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, pasukan bomba menjalankan pencarian menggunakan kaedah Water Surface Searching di sekitar kawasan mangsa kali terakhir dilihat. Katanya, mangsa yang hilang akhirnya ditemukan pada jam 5.08 petang sebelum dibawa ke kawasan selamat. “Pasukan penyelamat memberikan bantuan CPR kepada mangsa, namun mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas KKM. “Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. Beliau berkata, operasi yang turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.07 petang. – Info X
August 8, 2026
Info X Reporters
11.45 tan serbuk ketum bernilai RM1.4 juta dirampas
TUARAN: Lebih 11 tan serbuk ketum yang sudah diproses dan dibungkus dipercayai menunggu masa untuk diedarkan terbongkar dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Tuaran, di sini, Khamis lalu. Rampasan seberat 11.45 tan itu dipercayai antara rampasan terbesar membabitkan ketum di Sabah, dengan nilai serbuk berkenaan sahaja dianggarkan RM1.145 juta. Operasi kira-kira jam 6 pagi itu dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran hasil maklumat risikan. Pemeriksaan dilakukan di premis berkenaan termasuk sebuah lori sebelum pasukan operasi menemukan sejumlah besar serbuk daun ketum yang sudah diproses dan dibungkus dipercayai untuk tujuan pengedaran. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, keseluruhan serbuk ketum yang dirampas dianggarkan seberat 11,450 kilogram (kg). Katanya, nilai ketum terbabit dianggarkan RM1.145 juta, manakala jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan mencecah lebih RM1.4 juta. “Empat individu terdiri daripada tiga lelaki berusia antara 23 hingga 46 tahun dan seorang wanita berusia 28 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan. “Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua individu berkenaan negatif dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurut Ahmad Amri, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. Katanya, siasatan lanjut diteruskan bersama JSJN Sabah bagi mengenal pasti baki anggota sindiket yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan. “Siasatan turut diteruskan bagi memastikan penyalahgunaan ketum dalam pelbagai bentuk dapat dibanteras secara menyeluruh. “PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperkasakan risikan dan kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa dalam membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang demi keselamatan serta kesejahteraan masyarakat,” katanya. – Info X
August 8, 2026
Info X Reporters
Ugut bunuh ibu, cekik nenek
TAWAU: Seorang lelaki berusia 20 tahun ditahan selepas disyaki mengugut mahu membunuh ibunya selain mencekik neneknya ketika mengamuk di rumah keluarga mereka di Kampung Sungai Tuda, Kalabakan, Jun lalu. Suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di hadapan sebuah rumah di kampung berkenaan, kira-kira jam 6 petang semalam. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, penahanan itu dibuat susulan laporan polis yang diterima pada 24 Jun lalu. Katanya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11 malam, sehari sebelum laporan dibuat, apabila adik suspek menerima panggilan daripada ibu mereka memaklumkan abangnya sedang mengamuk di rumah. “Suspek dipercayai mengugut mahu membunuh ibunya selain bertindak mencekik leher neneknya ketika kejadian. “Adik suspek yang tiba di rumah kemudian cuba menenangkan dan menahannya bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, tindakan itu bagaimanapun menyebabkan berlaku pergelutan antara dua beradik berkenaan sehingga adik suspek mengalami kecederaan. Katanya, suspek kemudian diarahkan keluar dari rumah kerana dipercayai memegang spanar yang dikhuatiri boleh digunakan untuk mengancam keselamatan ahli keluarganya. Rosdi berkata, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan turut menjalani ujian saringan awal air kencing. “Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. “Polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ugutan atau tindakan agresif yang boleh mengancam keselamatan orang awam termasuk ahli keluarga sendiri,” katanya. Beliau turut meminta orang ramai segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya berdepan atau mengetahui sebarang ancaman keselamatan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil. – Info X
August 8, 2026
Info X Reporters
Delegasi asing tinjau keselamatan di perairan Sandakan
SANDAKAN: Delegasi antarabangsa menyaksikan sendiri realiti semasa di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) menerusi lawatan ke beberapa pulau, di sini, baru-baru ini. Program Menteri Dalam Negeri Security Visit and Engagement with International Delegates itu antara lain melawat Pulau Bakungan Kecil dan Pulau Selingan sambil berinteraksi dengan komuniti setempat. Menerusi program itu, kerajaan berharap dapat memperkukuh keyakinan pengunjung luar terhadap tahap keselamatan, kestabilan dan pembangunan mampan di kawasan ESSZone. Lawatan itu membolehkan duta, pesuruhjaya tinggi dan wakil negara asing menilai sendiri keadaan sebenar di lapangan serta memahami keamanan di ESSZone adalah hasil komitmen berterusan Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Dalam Negeri, khususnya ESSCOM bersama agensi keselamatan lain. Keselamatan yang dinikmati di ESSZone membolehkan pergerakan di perairan selamat, pulau-pulau pelancongan terus dikunjungi dan komuniti pesisir menjalankan aktiviti harian dalam suasana aman. Melalui pengalaman yang diperoleh sepanjang program itu, delegasi diharap dapat berkongsi pemerhatian mereka dengan kerajaan masing-masing dan menyokong penilaian semula nasihat perjalanan (travel advisory) ke ESSZone berdasarkan keadaan semasa, fakta terkini dan penilaian yang objektif, bukan lagi berasaskan persepsi lampau. Semakan terhadap nasihat perjalanan itu dapat meningkatkan keyakinan masyarakat antarabangsa, merancakkan sektor pelancongan, menggalakkan pelaburan mampan, memperkukuh ekonomi komuniti setempat serta mengeratkan lagi hubungan persahabatan antara Malaysia dan negara-negara rakan. Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail menerusi perkongsian di Facebooknya, berkata kali ini adalah tahun ketiga KDN bersama Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) menjemput diplomat dan perwakilan asing ke ESSZone untuk melihat dan menilai sendiri situasi sebenar di lapangan. Karanya, seramai 14 diplomat dan pegawai perwakilan daripada 11 negara menyertai lawatan kali ini, mewakili England, Finland, Itali, Belgium, Austria, Perancis, Republik Czech, Kesatuan Eropah (EU), Switzerland, Slovakia dan Amerika Syarikat. “Seawal pagi lagi kami mulakan dengan melawat ke Pulau Bakungan Kecil dan Pulau Selingan di Sandakan. Di sini, para delegasi diberi penerangan mengenai usaha pemuliharaan penyu, daripada proses penetasan sehinggalah anak-anak penyu dilepaskan semula ke habitat asalnya. “Program seperti ini memberi peluang kepada para delegasi melihat sendiri situasi sebenar di pantai timur Sabah, berbanding hanya bergantung kepada laporan atau persepsi dari luar. “Mereka dapat menyaksikan sendiri keadaan di lapangan, tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan serta kehidupan masyarakat yang berlangsung seperti biasa,” katanya. Ends
August 7, 2026
Info X Reporters
Empat ditahan, 92kg serbuk ketum dirampas
LAHAD DATU: Taktik menyimpan puluhan bungkusan serbuk ketum terbongkar apabila polis menahan empat individu dalam Op Tapis yang dijalankan di sekitar daerah ini, semalam. Dalam operasi itu, polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu merampas 92 bungkusan serbuk ketum seberat 92 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM9,200. Turut dirampas ialah 0.12 gram dadah disyaki syabu bersama beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penyalahgunaan dadah. Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati seorang daripada empat suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine. “Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan dan polis akan memohon perintah reman terhadap mereka untuk tindakan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, BSJND IPD Lahad Datu akan terus memperhebat operasi membanteras penyalahgunaan serta pengedaran dadah dan bahan terlarang bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara. – Info X
August 7, 2026
Info X Reporters
Wanita ditemui maut dipercayai terjatuh dari tingkat 12 kondominium
KOTA KINABALU: Seorang wanita ditemukan maut selepas dipercayai jatuh dari tingkat 12 sebuah kondominium di Jalan Sulaman, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mayat mangsa berusia 57 tahun ditemui di kawasan parkir bangunan berkenaan sebelum polis menerima laporan mengenai kejadian. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, polis menerima laporan berhubung penemuan mayat mangsa sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bergegas ke lokasi. Katanya, pasukan itu turut dibantu Pasukan Forensik dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bagi menjalankan siasatan di lokasi kejadian. “Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari sebuah unit kondominium di tingkat 12 bangunan berkenaan. “Pemeriksaan di lokasi kejadian bagaimanapun tidak menemukan sebarang unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan media, malam ini. Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tindakan bedah siasat. “Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan kerana ia boleh mengganggu siasatan polis. Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar atau video kejadian demi menghormati privasi keluarga mangsa. – Info X
August 7, 2026
Info X Reporters
Penghormatan terakhir buat tiga anggota polis
KOTA KINABALU: Tiga jenazah anggota polis yang maut dipercayai akibat renjatan elektrik di luar Balai Polis Weston, Beaufort, semalam, dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing selepas selesai urusan bedah siasat di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, hari ini. Ketiga-tiga jenazah dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik HQE kira-kira jam 2.50 petang sebelum bergerak dalam konvoi diiringi kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menuju ke destinasi masing-masing. Jenazah Koperal Chiu Teck Siong terlebih dahulu dibawa ke Pangkalan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Sabah sebelum diterbangkan ke Sibu, Sarawak menggunakan pesawat PGU pada jam 3.23 petang. Sementara itu, dua lagi jenazah iaitu Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee dibawa ke Masjid Nurul Iman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah untuk disolatkan. Selesai solat jenazah, kedua-dua jenazah dibawa secara konvoi ke kawasan parkir pesawat di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) selepas ketibaan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis Airbus A400M dari Pangkalan Udara Subang. Kedua-dua jenazah kemudian diusung masuk ke pesawat dengan penuh istiadat penghormatan polis oleh anggota PDRM sebelum ditempatkan di ruang kargo pesawat bagi penerbangan pulang ke kampung halaman masing-masing. Turut mengiringi penerbangan itu ialah balu Allahyarham Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim bersama anak mereka bagi mengiringi jenazah pulang ke Kelantan untuk urusan pengebumian. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada ketiga-tiga anggota terbabit sebelum pesawat berlepas. Turut hadir, barisan kepimpinan PDRM Sabah, ahli keluarga serta rakan setugas yang mengiringi penghantaran pulang jenazah. Pesawat A400M itu dijadual berlepas dari Kota Kinabalu pada jam 7.10 malam menuju ke Pangkalan Udara Kuantan bagi menurunkan jenazah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim sebelum meneruskan penerbangan ke Pangkalan Udara Gong Kedak, Terengganu untuk menghantar jenazah Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee. Terdahulu, ketiga-tiga anggota polis terbabit maut dalam kejadian dipercayai akibat renjatan elektrik ketika mengait buah kelapa menggunakan galah besi yang terkena kabel elektrik berhampiran Balai Polis Weston, Beaufort, kira-kira jam 5.45 petang semalam. – Info X
August 7, 2026
Info X Reporters
Potong di garisan berkembar undang tragedi
KENINGAU: Tindakan seorang pemandu pacuan empat roda dipercayai memotong di garisan berkembar mengundang tragedi apabila seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Batu 11, Jalan Keningau – Sook, di sini, hari ini. Dalam kejadian kira-kira jam 12.37 tengah hari itu, mangsa, Wann Samuji, 27, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala selain kaki kanannya putus selepas tercampak ke dalam longkang konkrit. Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux dan sebuah motosikal Honda RS. Katanya, ketika kejadian, pacuan empat roda yang dipandu lelaki berusia 61 tahun itu bergerak dari arah Keningau menuju ke Sook, manakala mangsa datang dari arah bertentangan. “Setibanya di lokasi kejadian yang berada di kawasan selekoh, pemandu pacuan empat roda dipercayai cuba memotong sebuah lori di garisan putih berkembar. “Bagaimanapun, secara tiba-tiba motosikal mangsa muncul dari arah bertentangan sebelum berlaku pelanggaran kerana jarak yang terlalu dekat dan pemandu gagal mengelak,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, akibat rempuhan itu, mangsa tercampak kira-kira 10 meter ke dalam longkang konkrit di tepi jalan, manakala kaki kanannya ditemui terputus kira-kira tiga meter dari lokasi mangsa terbaring. “Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh doktor dari Unit Kecemasan Hospital Keningau, manakala pemandu pacuan empat roda hanya mengalami kecederaan ringan pada tangan,” katanya. Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Keningau untuk bedah siasat yang dijadualkan esok. “Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu pacuan empat roda yang dipercayai memotong di garisan berkembar sehingga menyebabkan kemalangan maut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. – Info X