Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

September 26, 2026

Info X Reporters

Elak buah sawit bertaburan, tiga kenderaan kemalangan di Semporna

SEMPORNA: Tujuh individu cedera selepas tiga kenderaan terbabit dalam kemalangan dipercayai ketika cuba mengelak buah kelapa sawit yang bertaburan di Jalan Simpang 4 Kalumpang, Semporna – Tawau, pagi tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Zainal Sinsin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.52 pagi. Katanya, kejadian dipercayai berlaku selepas muatan buah kelapa sawit yang dibawa sebuah lori dipercayai terjatuh ke atas jalan raya. “Kenderaan jenis Isuzu DMax, Toyota Hilux dan Toyota Avanza yang dalam perjalanan menuju ke Tawau dipercayai cuba mengelak buah kelapa sawit berkenaan sebelum terbabit dalam kemalangan. “Pasukan bomba yang tiba di lokasi pada 10.30 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan tujuh mangsa iaitu tiga lelaki dan empat perempuan. “Seorang lelaki dilaporkan cedera parah selepas tersepit dalam kenderaan, manakala seorang lagi mengalami masalah jantung dan seorang lelaki tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, empat mangsa perempuan pula dilaporkan mengalami kecederaan ringan. “Pasukan EMRS memberikan rawatan awal kepada mangsa lelaki yang cedera parah sebelum membawanya ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut. “Mangsa lelaki yang mengalami masalah jantung turut dibantu anggota bomba dan diserahkan kepada ambulans KKM Tawau,” katanya. Zainal berkata, dua lagi mangsa dibawa ke Hospital Semporna menggunakan ambulans KKM, manakala dua mangsa perempuan turut dihantar ke hospital berkenaan menggunakan EMRS BBP Semporna. Menurutnya, operasi turut membabitkan kerja pembersihan sisa minyak, buah kelapa sawit dan serpihan kaca yang bertaburan di permukaan jalan menggunakan hose reel dan foam. “Operasi tamat pada 12.36 tengah hari selepas memastikan keadaan di lokasi selamat dan tiada bahaya lain,” katanya. – Info X

September 26, 2026

BERNAMA

Amaran ribut petir, hujan lebat di semua negeri kecuali Sarawak sehingga 5 petang ini

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan melibatkan semua negeri kecuali Sarawak, sehingga jam 5 petang ini. MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan cuaca buruk itu dijangka melanda seluruh negeri Perlis dan Pulau Pinang. Di Kedah, kawasan yang terjejas melibatkan Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Yan, Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu, manakala di Perak melibatkan daerah Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak. Kawasan yang diramal terjejas di Kelantan merangkumi Jeli, Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai, manakala di Terengganu melibatkan Besut, Hulu Terengganu dan Dungun. Bagi Pahang, amaran sama dikeluarkan bagi kawasan Cameron Highlands, Lipis, Raub dan Bentong, manakala di Selangor, daerah yang terlibat ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Klang. Sementara itu, di Negeri Sembilan melibatkan kawasan Seremban, Port Dickson, Rembau dan Kuala Pilah, manakala di Johor merangkumi daerah Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Mersing. Bagi Sabah, kawasan yang terlibat ialah Sandakan (Kinabatangan, Paitan dan Sandakan), Tawau (Lahad Datu dan Kunak), Pantai Barat, Pedalaman (Membakut, Tambunan, Keningau, Sipitang, Beaufort dan Tenom) serta Kudat (Kota Marudu).–BERNAMA

September 26, 2026

Info X Reporters

Sabah lokasi pertama lancar Program Literasi Pertahanan Nasional

KOTA KINABALU: Sabah dipilih sebagai lokasi pertama pelancaran Program Literasi Pertahanan Nasional yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peranan mereka dalam memperkukuh keselamatan dan kedaulatan negara. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kedudukan strategik Sabah yang bersempadan dengan dua negara jiran serta terdedah kepada perkembangan keselamatan di Laut China Selatan dan Laut Sulu menjadikan kesedaran masyarakat terhadap pertahanan negara amat penting. Katanya, pemilihan Sabah sebagai lokasi pertama turut mengambil kira keperluan membina daya tahan masyarakat dalam menghadapi ancaman keselamatan yang semakin berkembang. “Pertahanan hari ini bukan lagi sekadar mengenai anggota tentera, aset ketenteraan atau berdepan musuh di sempadan. “Ancaman boleh berada di mana-mana termasuk dalam komputer riba, telefon bimbit, platform digital dan media sosial,” katanya ketika melancarkan program itu di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini. Menurutnya, ancaman keselamatan masa kini turut melibatkan penyebaran maklumat palsu, propaganda dan provokasi yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat serta perpaduan negara. Beliau berkata, pertahanan negara bukan lagi tanggungjawab pasukan pertahanan atau Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semata-mata, sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama seluruh masyarakat. “Pertahanan dan kedaulatan negara sudah dan mesti menjadi tanggungjawab moral yang mesti digalas oleh semua pihak. “Kita mesti memahami apakah itu pertahanan negara, bagaimana ia berkait rapat dengan kita dan bagaimana kita sebagai orang awam boleh serta mesti terlibat dalam menyumbang kepada pertahanan negara,” katanya. Mohamed Khaled berkata, literasi pertahanan perlu dilihat sebagai satu kesedaran, ilmu dan kemahiran yang perlu dimiliki setiap warganegara. Katanya, pertahanan mempunyai sekurang-kurangnya tiga fungsi dalam konteks negara moden iaitu sebagai pagar atau perisai, payung dan pasak kepada sebuah negara berdaulat. “Sebagai pagar atau perisai, pertahanan berperanan memelihara sempadan tanah air daripada pencerobohan menerusi pengawalan batas negara, operasi dan pemantauan berterusan. “Sebagai payung pula, pertahanan memayungi kita daripada anasir luar atau kelekaan dalam membuat keputusan sehingga mengheret kita ke dalam sesuatu konflik. “Diplomasi pertahanan, pendirian dan ketegasan kita dalam sesuatu isu serta kepekaan terhadap perkembangan geopolitik di rantau ini, semuanya memberi kesan kepada kedaulatan negara,” katanya. Beliau berkata, fungsi sebagai pasak atau pancang negara pula berkait rapat dengan penglibatan masyarakat dalam menyemai dan memupuk sistem nilai yang baik. “Patriotisme, perwatakan baik, kasih sayang kepada negara, toleransi dan sikap saling menghormati menjadi asas kestabilan sebuah negara majmuk. “Dalam konteks Sabah, kepelbagaian kaum, budaya dan agama serta kedudukan negeri yang bersempadan dengan dua negara jiran memberi cabaran tersendiri kepada aspek keselamatan,” katanya. Katanya, Sabah turut terdedah kepada perkembangan keselamatan di Laut China Selatan dan Laut Sulu, sekali gus menuntut kepekaan masyarakat. “Di pihak MINDEF dan ATM, kita sememangnya memberi tumpuan kepada Wilayah Sabah, kita tingkatkan kehadiran anggota dan aset, kita bekerjasama dengan agensi berkaitan dan kita sediakan segala keperluan agar ATM dapat beroperasi dan bertindak dengan baik bagi melindungi wilayah ini. “Namun, kita juga sangat memerlukan ketahanan di pihak masyarakat awam,” katanya. Mohamed Khaled berkata, masyarakat boleh menyumbang kepada pertahanan negara tanpa perlu menyertai pasukan tentera atau mengangkat senjata. “Antaranya dengan mengambil peduli isu pertahanan, memahami rasional dasar yang dilaksanakan, mengelakkan penyebaran fitnah serta kandungan yang boleh mencetuskan kepanikan dan ketakutan awam. “Masyarakat juga perlu menjadi warga yang cakna, rasional dan tidak mudah terpengaruh dengan propaganda, provokasi, ideologi ekstrem atau gerakan subversif yang membawa ancaman keselamatan. “Daya tahan masyarakat teruji dengan keupayaan untuk mempunyai kawalan kendiri agar tidak mudah terpengaruh dengan ideologi yang tidak baik, propaganda dan fitnah,” katanya. Tambahnya, daya rintang pula akan kelihatan apabila rakyat kekal sebagai sebuah masyarakat yang bersatu padu, setia dan sedia mempertahankan negara ketika diuji dengan bencana dan konflik. Beliau berkata, MINDEF dan ATM akan mempergiat siri penerangan, pencerahan serta pelbagai program bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu pertahanan. Sementara itu, hampir 700 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat menyertai program Bicara Literasi Pertahanan Nasional yang berlangsung sempena pelancaran berkenaan. Peserta terdiri daripada kakitangan perkhidmatan awam kerajaan negeri dan Persekutuan, pelajar dan pendidik institusi pendidikan, anggota tentera serta veteran ATM. Program itu melibatkan dua pengisian utama iaitu Bicara Ancaman Kognitif dan Bicara Pahlawan Negara. Sesi Bicara Ancaman Kognitif disampaikan Senior Fellow Bait Al-Amanah, Daud Mat Din, dengan memberi fokus kepada dimensi ancaman terhadap pemikiran dan persepsi masyarakat dalam persekitaran keselamatan semasa. Sesi Bicara Pahlawan Negara pula dikendalikan Mej Jen (B) Datuk Dr Radzi Abd Hamid sebagai moderator bersama empat panel khas, iaitu Leftenan Jeneneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd Said SP, Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid PGB, Pegawai Waren 1 (B) Freaddey Yojod dan Lans Koperal (B) Abdul Rahman Maidin. Mereka berkongsi pengalaman dalam mempertahankan negara serta kepentingan masyarakat memahami peranan masing-masing dalam aspek keselamatan dan kedaulatan. Literasi Pertahanan Nasional diterajui Malaysian Institute of Defence and Security (MiDAS) dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Inisiatif itu selaras dengan aspirasi Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang menggariskan pertahanan negara sebagai tanggungjawab bersama melalui penyertaan aktif seluruh lapisan masyarakat menerusi pendekatan Whole-of-Government and Whole-of-Society (WoGoS). Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Azhan Md Othman; Ketua Eksekutif MiDAS, Laksdya Datuk Yusne Mokhtar; Setiausaha Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Awang Shaminan Awang Ashaari serta Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Sabah, Datuk Yahya Sulaiman. – Info X

September 26, 2026

Info X Reporters

Malaysia tidak boleh pasif hadapi peningkatan aktiviti ketenteraan Filipina: Khaled

KOTA KINABALU: Malaysia tidak boleh kekal pasif berdepan peningkatan aktiviti ketenteraan Filipina, khususnya dalam persaingan strategik yang semakin berkembang di Laut China Selatan. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun Filipina mempunyai hak untuk memperkukuh keupayaan pertahanan dan meningkatkan penempatan ketenteraan, Malaysia juga perlu mengambil langkah sewajarnya bagi memperkukuh kedudukan pertahanan di Sabah. “Langkah ini penting bagi memastikan sebarang konflik tidak dijangka berlaku di rantau ini tidak melimpah ke wilayah Malaysia. “Ini adalah hak Filipina dan kita memahaminya. Tetapi kita tidak boleh hanya berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa,” katanya selepas melancarkan Program Literasi Pertahanan Nasional di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini. Mohamed Khaled berkata, kedudukan geografi Sabah menjadikan negeri ini amat penting untuk Malaysia memperkukuh keupayaan pertahanan dan daya tahan masyarakat. “Kedudukan Sabah yang berhampiran Filipina serta terdedah kepada perkembangan di Laut China Selatan dan Laut Sulu memerlukan tahap kesiapsiagaan yang tinggi. “Sebarang konflik membabitkan kuasa besar di rantau ini berpotensi memberi kesan kepada Sabah, terutama disebabkan ruang geografi yang agak sempit untuk perkembangan sedemikian berlaku. “Jika berlaku pertembungan yang tidak kita jangkakan, kita bimbang ia boleh melimpah ke kawasan kita,” katanya. Mohamed Khaled berkata, langkah Malaysia tidak harus dilihat sebagai mempersoalkan hak berdaulat Filipina untuk memperkukuh pertahanan negaranya. Sebaliknya, katanya, ia adalah langkah yang perlu diambil bagi melindungi kepentingan dan kedaulatan Malaysia. “Perkembangan persekitaran keselamatan serantau turut menjelaskan mengapa Sabah dipilih sebagai lokasi pertama Program Literasi Pertahanan Nasional. “Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan negara serta membina daya tahan rakyat dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman,” katanya. Beliau berkata, ancaman moden tidak lagi terhad kepada serangan ketenteraan konvensional membabitkan anggota tentera, kapal perang, pesawat atau aset ketenteraan lain. Sebaliknya, ancaman boleh muncul menerusi serangan siber, penyebaran maklumat palsu, media sosial, bencana alam, kejadian berkaitan perubahan iklim serta pelbagai bentuk gangguan lain. “Pertahanan dan kedaulatan negara adalah tanggungjawab bersama. Rakyat perlu memahami bagaimana cabaran dan ancaman sudah berubah serta mereka juga mempunyai peranan untuk dimainkan,” katanya. Mohamed Khaled berkata, kekuatan angkatan tentera semata-mata tidak mencukupi untuk memastikan daya tahan negara sekiranya masyarakat tidak mempunyai keupayaan menghadapi krisis. Katanya, masyarakat yang berdaya tahan dan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dapat menyumbang kepada pembentukan keupayaan cegah rintang yang diyakini terhadap mana-mana pihak yang mempunyai niat bermusuhan terhadap negara. “Jika mereka melihat rakyat dan angkatan tentera kita bersedia, kuat dan bersatu, mereka akan berfikir dua kali sama ada mahu menyerang kita,” katanya. Info X

September 26, 2026

Info X Reporters

Perjuangan hak Sabah, tuntutan 40 peratus diteruskan – PBS

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) kekal dengan pendirian untuk terus memperjuangkan hak Sabah, termasuk tuntutan 40 peratus hasil bersih negeri ini selagi perkara itu belum ditunaikan Persekutuan. Pemangku Presidennya, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata perkara itu adalah antara perjuangan PBS di bawah MA63 sejak penubuhan parti itu pada 1985 bagi memastikan Sabah mendapat hak yang sewajarnya dari Persekutuan. “PBS tidak akan meninggalkan perjuangan asalnya. Hak Sabah tetap menjadi teras perjuangan kita dan daripada 29 perkara yang dibincangkan melalui platform rasmi MA63, sebanyak 13 sudah diselesaikan sepenuhnya. “Tapi, selagi masih ada perkara yang belum selesai, perjuangan kita belum selesai. Tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah juga mesti terus diperjuangkan melalui kerangka Perlembagaan dan proses perundingan yang tegas. “Hak Sabah bukan hadiah, ia adalah adalah hak yang sudah dipersetujui ketika Malaysia dibentuk,” katanya pada Persidangan Perwakilan Tahunan PBS Ke-41, di sini, pada Sabtu. Beliau berkata, PBS akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Persekutuan apabila kerjasama membawa manfaat kepada Sabah, namun berani menyatakan pendirian apabila kepentingan dan hak Sabah perlu dipertahankan. Sementara itu, bercakap kepada pemberita, Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata gabungan berkenaan akan mengemukakan cadangan kerusi tambahan Parlimen bagi Sabah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas semua cadangan parti komponennya dikumpul. “Kita akan menyerahkan kepada SPR dan SPR yang akan membuat keputusan mengenai kerusi tambahan Parlimen bagi Sabah yang akan dibuat nanti,” katanya. Beliau ditanya mengenai cadangan PBS berhubung kerusi tambahan Parlimen Sabah dan Sarawak bagi mencapai nisbah satu pertiga seperti dipersetujui di bawah tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Bagi PBS, katanya senarai kerusi baharu atau kawasan Parlimen yang boleh dipecahkan sedang diteliti dan akan dikumpul Setiausaha Agung parti. “Kita akan hantar kepada GRS senarai mana-mana kerusi Parlimen yang kita fikir boleh dipecahka dan selepas dibincang dengan GRS barulah dihantar ke SPR dan SPR yang akan memutuskan nanti. “Setakat ini memang sudah ada cadangan dan ia sedang dikumpul oleh Setiausaha Agung PBS untuk disampaikan kepada GRS. Tapi tiada contoh, kita tengoklah nanti,” katanya. – Info X

September 26, 2026

Info X Reporters

Pasang pengesan gempa bumi di Tongod

TONGOD: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) diminta memasang sistem pengesan gempa bumi di semua kawasan berisiko, termasuk di daerah ini susulan gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 pada skala Richter di Kuamut pada jam 5.32 pagi tadi. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata walaupun gempa bumi itu tidak menimbulkan suasana panik di kalangan penduduk tetapi pemasangan sensor Seismik Automatik di kawasan berisiko di Tongod perlu disegerakan berikutan kebimbangan berlaku gempa susulan yang lebih besar. Katanya, MetMalayisa wajar memasang pengesan awal gempa bumi di daerah itu kerana Kuamut pernah digegarkan gempa bermagnitud 3.6 skala Richter di kedalaman 280 kilometer pada 17 Julai tahun ini. Masiung berkata, beliau sudah mengarahkan Pegawai Daerah Tongod, Hadzlan Jablee untuk mengenal pasti kawasan terkesan, termasuk kemungkinan berlaku keretakan pada infrastruktur awam. Bagaimanapun setakat ini katanya, belum ada laporan penuh diterima dari Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Kerja Raya(JKR) dan polis. “Biasanya kejadian gempa akan berulang dan MetMalaysia harus mengambil tanggungjawab segera memasang sensor pengesan awal gempa bumi di Kuamut sebelum bencana itu berulang dengan risiko yang besar,” kata Masiung. Pada 5.32 pagi tadi satu gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 pada skala Richter berlaku di Kuamut, Kinabatangan. Menurut MetMalaysia pusat gempa dikesan pada koordibat 5.1 darjah utara dan 116.8 darjah timur. Gempa bumi itu berlaku di kedalaman 118 kilometer barat laut dari Tarakan, Indonesia dan 34 kilometer di barat daya Tongod. – Info X

September 26, 2026

Info X Reporters

Gerakan Belia dan Beliawanis (GBB) platform baharu golongan muda PBS

KOTA KINABALU: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan pindaan perlembagaan Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk membuka ruang inisiatif baharu memperkukuh organisasi parti dan membangunkan barisan kepimpinan generasi akan datang. Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki berkata, antara lain pindaan itu membolehkan semua bahagian PBS menubuhkan Gerakan Belia dan Beliawanis (GBB) sebagai platform tersusun golongan muda berusia 18 hingga 25 tahun melibatkan diri dalam aktiviti politik yang sihat, membina dan bertanggungjawab. Beliau berkata, penubuhan GBB tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai penambahan struktur organisasi parti, sebaliknya merupakan satu pelaburan untuk masa depan PBS. “Ini memberi ruang kepada anak-anak muda kita untuk belajar, menyumbang idea, menimba pengalaman serta memahami perjuangan dan prinsip parti dari peringkat akar umbi. “Kita mahu ahli muda kita memahami DNA PBS, menghargai sejarah perjuangan parti serta membina integriti, keberanian dan rasa tanggungjawab yang diperlukan untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada Persidangan Perwakilan Tahunan PBS Kali Ke-41 di Hakka Hall, Tanjung Lipat, di sini, pada Sabtu. Julita berkata, mekanisme pelaksanaan GBB akan diperincikan oleh kepimpinan baharu Ahli Majlis Tertinggi yang bakal dipilih oleh perwakilan pada persidangan itu. Katanya, inisiatif itu amat bertepatan ketika PBS memasuki fasa pembaharuan kepimpinan, dengan penekanan yang lebih besar terhadap usaha menyediakan ruang kepada pemimpin muda untuk membangunkan keupayaan dan seterusnya memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam parti. “Masa depan PBS bukan hanya bergantung kepada usaha kita mempertahankan legasi yang telah dibina selama lebih empat dekad, tetapi juga kepada keupayaan kita menyediakan generasi baharu untuk meneruskan legasi tersebut. “Kita perlu memberikan mereka ruang untuk mengambil bahagian, belajar dan memimpin, pada masa yang sama memastikan prinsip serta nilai teras PBS terus menjadi pegangan,” katanya. Julita berkata, pindaan Perlembagaan tersebut mencerminkan usaha berterusan PBS untuk memperkukuh organisasi parti di samping menyesuaikan diri dengan perubahan landskap politik dan sosial semasa. Beliau menambah, platform GBB yang baharu itu akan membolehkan PBS mendekati golongan muda secara lebih tersusun serta menggalakkan penglibatan mereka dalam politik melalui aktiviti yang membina dan bermakna. – Info X

September 26, 2026

Info X Reporters

Menara telekomunikasi ‘dijilat’ api

KOTA KINABALU: Sebuah menara telekomunikasi terbakar sehingga 70 peratus di Kampung Rampayan, Manggatal, di sini, pagi tadi. Kejadian jam 9.20 pagi itu sempat dirakam orang awam dengan api kelihatan marak pada bahagian menara berkenaan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.31 pagi. Katanya, lima anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) digerakkan ke lokasi di AKM Hardware Trading, Kampung Rampayan, Jalan Tuaran Bypass. “Pasukan tiba pada jam 9.40 pagi dan mendapati kebakaran membabitkan sebuah menara telekomunikasi yang dianggarkan terbakar 70 peratus. “Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 30 meter dengan satu pancutan menggunakan sumber air daripada jentera,” katanya. Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.56 pagi dan tiada mangsa dilaporkan terbabit. Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.55 pagi selepas pemeriksaan dilakukan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi. “Punca kebakaran dan jumlah kerugian belum dinyatakan,” katanya. – Info X