September 22, 2026
Info X Reporters
Pesara polis maut Wira bertembung Triton
KOTA MARUDU: Seorang pesara polis maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda Mitsubishi Triton di simpang masuk Kampung Paya, Jalan Langkon – Pitas, di sini, petang tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa, Khir Ahmad, 63, yang memandu Proton Wira disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah. Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, siasatan awal mendapati Mitsubishi Triton berkenaan dalam perjalanan dari Kampung Bangkau – Bangkau, Pitas menuju ke Kudat ketika hujan. Katanya, Proton Wira dipandu mangsa pula datang dari arah bertentangan iaitu Pekan Kota Marudu sebelum membelok ke kanan untuk memasuki simpang Kampung Paya. “Ketika membelok, kereta berkenaan bertembung dengan bahagian hadapan tepi Mitsubishi Triton yang datang dari arah bertentangan. “Akibat kemalangan itu, pemandu Triton tidak mengalami kecederaan, manakala lima penumpangnya mengalami kecederaan ringan,” katanya. Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Hospital Kota Marudu pada jam 2 petang. Katanya, mayat kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Marudu untuk proses bedah siasat. “Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Info X
September 22, 2026
Info X Reporters
Rayuan ditolak, ustaz kekal dipenjara 12 tahun, dua sebatan
KOTA KINABALU: Seorang ustaz kekal menjalani hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki. Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Celestina Stuel Galid membuat keputusan itu terhadap Muhammad Faridzuan Mohamad Yunus selepas mendengar rayuan tertuduh. Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara 12 tahun itu berkuat kuasa mulai hari ini, 22 September 2026, selain mengekalkan hukuman dua sebatan. Pada 23 Januari lalu, Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan terhadap Muhammad Faridzuan selepas dia didapati bersalah dalam perbicaraan penuh. Muhammad Faridzuan didapati salah melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual terhadap mangsa di sebuah apartmen di Penampang, kira-kira jam 12 tengah hari pada 21 Februari 2024. Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan. Mahkamah ketika itu membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan tertuduh di Mahkamah Tinggi. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dana A Wazani, manakala tertuduh diwakili peguam Pg Amli Noraufe Pg Nohin. – Info X
September 22, 2026
BERNAMA
Keselamatan, disiplin dan kawalan prospek sentiasa jadi keutamaan Jabatan Penjara
KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara menegaskan aspek keselamatan, kawalan, disiplin dan kebajikan prospek sentiasa menjadi keutamaan jabatan berkenaan dalam pengurusan institusi penjara di seluruh negara. Jabatan itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya sentiasa melaksanakan operasi berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, termasuk aspek kawalan keselamatan, pemeriksaan, pemantauan serta tindakan terhadap sebarang pelanggaran peraturan. Menurut Jabatan Penjara, pihaknya juga sentiasa melakukan risikan, pemantauan dan semakan secara berterusan bagi mengenal pasti sebarang risiko, ancaman atau pelanggaran peraturan agar tindakan pencegahan dan penguatkuasaan diambil dengan sewajarnya. “Jabatan Penjara tidak menafikan bahawa salah laku atau kejadian terpencil boleh berlaku dalam mana-mana institusi. “Setiap kejadian yang dikenal pasti akan ditangani mengikut peraturan dan SOP yang berkuat kuasa serta berada di bawah kawalan pihak berkuasa penjara,” menurut kenyataan itu. Sementara itu, Jabatan Penjara turut memaklumkan sebarang maklumat, aduan atau dakwaan berkaitan salah laku, pelanggaran undang-undang atau kemasukan artikel larangan ke dalam institusi penjara perlu dilaporkan kepada pihak polis atau saluran rasmi berkaitan agar siasatan dan tindakan sewajarnya dilaksanakan. “Jabatan Penjara sentiasa terbuka terhadap sebarang maklumat yang boleh membantu memperkukuh sistem keselamatan dan pengurusan penjara. Pada masa sama, sebarang dakwaan hendaklah disalurkan melalui saluran yang sewajarnya supaya ia dapat disahkan dan ditangani berdasarkan fakta serta bukti,” menurut kenyataan itu. Kenyataan itu turut memaklumkan Jabatan Penjara sentiasa memperkemas dan menambah baik SOP, kawalan keselamatan, risikan serta mekanisme pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan institusi penjara kekal selamat, terkawal dan kondusif, selaras dengan aspirasi jabatan sebagai “Peneraju Perkhidmatan Korektif” yang berintegriti, profesional dan berteraskan pemulihan. Semalam, Jabatan Penjara menafikan dakwaan penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman bahawa kehidupan dalam penjara bergantung kepada wang dan pengaruh. Yasin, menerusi podcast AididitMyWay mendakwa wujud hierarki dalam kalangan banduan berdasarkan faktor kewangan dan pengaruh.–BERNAMA
September 22, 2026
BERNAMA
Aichi-Nagoya 2026: Sumandak Sabah Adeola hadiah emas pertama Malaysia
Oleh Muhammad Afiff Md Adnan NAGOYA: Penampilan sulung atlet karate wanita negara Adeola Fay Robert di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 ternyata membuahkan hasil apabila menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia pada temasya itu di Gimnasium Toyohashi, hari ini. Atlet berusia 20 tahun dari Sabah itu menampilkan aksi tenang dan bertenaga untuk menewaskan wakil Iran, Fatemehzahra Saeidabadi 6-4 pada final acara kumite bawah 55 kilogram (kg), sekali gus melakar kejayaan bermakna dalam penampilan sulungnya di pentas Sukan Asia. Adeola terlebih dahulu menempah tiket ke final selepas menewaskan Bella Samasheva dari Kazakhstan 5-4 pada aksi separuh akhir. Sebelum itu, beliau mencatat kemenangan 9-1 ke atas Asrar Jasem dari Kuwait dan 8-7 terhadap Sevinch Rakhimova dari Uzbekistan pada pusingan terdahulu. Kejayaan itu meneruskan momentum positif atlet berkenaan selepas meraih pingat gangsa pada Sukan SEA Thailand 2025. Pingat emas berkenaan turut menamatkan penantian karate wanita Malaysia untuk meraih emas Sukan Asia sejak Syakilla Salni melakukannya pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.–BERNAMA
September 22, 2026
Info X Reporters
Cadangan tambah kerusi Parlimen Sabah, Sarawak mula dibincang dengan SPR
KOTA KINABALU: Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memulakan perbincangan mengenai cadangan menambah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak. Pertemuan di Putrajaya pada Selasa itu diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud. Dalam kenyataannya, Mustapha berkata perbincangan dengan SPR menumpukan proses dan pertimbangan perlembagaan, perundangan serta teknikal berkaitan penambahan kerusi Parlimen. Perbincangan itu, katanya termasuk aspek persempadanan bahagian pilihan raya, data yang diperlukan dan bentuk libat urus antara kerajaan, SPR serta pihak berkepentingan. “Saya telah mengetuai BHESS bagi mengadakan kunjungan hormat kepada Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun hari ini bagi membincangkan hala tuju dan mekanisme pelaksanaan cadangan penambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak. “Pertemuan ini susulan perkembangan di peringkat Kerajaan Persekutuan, termasuk Mesyuarat Majlis Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada 11 September lalu yang mengambil maklum bahawa perkara ini sudah dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri. “Perdana Menteri turut menyatakan terdapat kewajaran untuk meningkatkan kadar nisbah Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak, tertakluk kepada perbincangan lanjut bersama SPR,” katanya. Pada masa ini, Sabah dan Sarawak mempunyai 56 kerusi atau 25.3 peratus daripada keseluruhan kerusi Dewan Rakyat. Mustapha berkata, cadangan yang dikemukakan ialah untuk menjadikan keseluruhan jumlah kerusi Parlimen di kedua negeri kepada 35 peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen di seluruh negara. Jelasnya, pelaksanaan perkara itu bukan semata-mata soal menambah kerusi, sebaliknya berkaitan usaha memastikan kedudukan dan suara Sabah serta Sarawak dalam Parlimen terus diperkukuh selaras dengan semangat asal pembentukan Malaysia dan pelaksanaan MA63. “BHESS akan terus bekerjasama dengan SPR supaya sebarang tindakan susulan dapat dilaksanakan secara teratur, berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang serta menghormati bidang kuasa SPR,” katanya. – Info X
September 22, 2026
Info X Reporters
Penoreh getah patah kaki terjatuh gaung
PENAMPANG: Seorang penoreh getah menahan kesakitan akibat patah kaki kiri selepas terjatuh ke dalam gaung ketika melakukan kerja menoreh getah di Kampung Moyong, Jalan Tambunan, di sini, hari ini. Mangsa, Lazaruz Duni, 42, ditemukan penduduk kampung di kawasan gaung kira-kira 700 meter dari jalan utama sebelum menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.48 pagi sebelum enam anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi. Katanya, pasukan mendapati mangsa terjatuh ke dalam gaung ketika menjalankan kerja menoreh getah. “Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba lebih awal memberikan rawatan awal dan mendapati mangsa mengalami kecederaan patah kaki kiri. “Anggota bomba kemudian menggunakan pengusung menerusi sistem ‘hauling’ untuk membawa mangsa keluar dari gaung secara terkawal,” katanya ketika dihubungi. Menurutnya, mangsa berjaya dibawa keluar pada jam 1 tengah hari sebelum diserahkan kepada KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut. Beliau berkata, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Saiful Matlan tamat pada jam 1.09 petang selepas pemeriksaan akhir mendapati tiada lagi bahaya di lokasi. Terdahulu, operasi membabitkan enam anggota BBP Penampang dengan jarak perjalanan kira-kira 24 kilometer dari balai ke lokasi kejadian. – Info X
September 22, 2026
BERNAMA
DUN Melaka bubar berkuat kuasa esok
MELAKA: Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan berkuat kuasa esok, bagi memberi laluan kepada proses Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16. Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan perkara itu pada sidang media di Seri Negeri di sini, pada Selasa. Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam. “Dengan pembubaran ini, maka berakhirlah penggal Dewan Undangan Negeri Melaka dan proses seterusnya akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang serta ketetapan pihak berkuasa yang berkaitan. “Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka atas perkenan serta kebijaksanaannya dalam melaksanakan fungsi sebagaimana yang diperuntukkan,” katanya. Beliau berkata Speaker DUN Melaka Datuk Ibrahim Durum telah menyerahkan notis pembubaran berkenaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini. PRN Melaka ke-15 diadakan pada 20 Nov 2021 selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong kerajaan, menarik sokongan terhadap kepimpinan bekas Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 4 Okt 2021. Empat ADUN berkenaan ialah bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu). Pada PRN tersebut, Barisan Nasional (BN) menang 21 kerusi dengan UMNO menguasai 18 kerusi, MCA (dua) dan MIC (satu) sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti lebih dua pertiga. Pakatan Harapan (PH) pula menang lima kerusi menerusi parti DAP dengan empat kerusi dan Amanah (satu) manakala Perikatan Nasional (PN) dengan dua kerusi. Bagaimanapun, dinamika politik menyebabkan berlaku perubahan kerusi selepas ADUN Rembia daripada BN iaitu Datuk Muhammad Jailani Khamis menyertai PAS manakala ADUN Bemban daripada Bersatu, Dr Mohd Yadzil Yaakub dipecat daripada parti itu dan menjadi ADUN Bebas namun kekal di blok pembangkang. Ia menyebabkan BN kehilangan satu kerusi namun masih menguasai DUN secara majoriti dengan 20 kerusi sekali gus tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri. Penggal DUN Melaka sepatutnya berakhir pada 27 Dis ini.–BERNAMA
September 22, 2026
Info X Reporters
Bayar hak 40 peratus Sabah mulai tahun ini, agihan Belanjawan mesti adil – Jeffrey
KOTA KINABALU: Kerajaan Pusat dicadang supaya mengira dan membayar kelayakan perlembagaan Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih dikutip Persekutuan di negeri ini bermula tahun ini dan seterusnya. Mencadangkan perkara itu, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata bagi kelayakan untuk ‘tahun yang hilang’ dari 1974 hingga 2021, ia boleh dibincang dan dirunding berasingan di antara kerajaan negeri dan Persekutuan. “Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang mempunyai peluang keemasan untuk menjadikan kemahuan politik dan keperluan kepimpinan bagi membuat bayaran kelayakan persekutuan 40 peratus Sabah satu realiti. “Menunaikan bayaran ini bukan hanya memenuhi kewajipan perlembagaan tetapi juga menyediakan Sabah dengan sumber kewangan diperlukan untuk memperbaiki infrastruktur asas, membasmi kemiskinan, merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan keseluruhan rakyat. “Pada masa sama, Sabah akan menyumbang kepada kestabilan ekonomi nasional,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. Ahli Parlimen Keningau itu berkata, keutamaan segera adalah untuk menghentikan kelayakan tidak berbayar daripada terus terkumpul dan mewujudkan mekanisme pengiraan kelayakan 40 peratus Sabah secara telus dan jelas. Katanya, Belanjawan 2027 tidak boleh mengulangi kaedah peruntukan yang dilaksanakan pada masa lalu yang disifatkannya tidak adil kepada Sabah dan Sarawak. “Ia seharusnya menandakan permulaan dasar pembangunan Persekutuan yang adil dan mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai rakan setara dalam Persekutuan serta membolehkan kedua-dua wilayah menikmati pembangunan yang seimbang dengan Malaya,” katanya. Jeffrey berkata, membetulkan ketidakseimbangan wilayah bukan setakat satu soalan mengenai dana, sebaliknya ia satu perkara berkaitan tanggungjawab perlembagaan, keadilan serta kestabilan dan kemakmuran masa depan Malaysia. Dalam kenyataan itu, Jeffrey menggesa supaya Belanjawan 2027 dijadikan titik permulaan untuk membetulkan ketidakseimbangan pembangunan di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak yang sudah sekian lama berlarutan. Beliau berkata selama berdekad peruntukan pembangunan Persekutuan tertumpu di Semenanjung dengan anggaran 86 hingga 87 peratus, manakala Sabah dan Sarawak hanya menerima kira-kira 15 peratus setahun. Katanya, formula agihan itu tidak menggambarkan saiz geografi, keperluan infrastruktur, ketinggalan pembangunan dan potensi ekonomi Sabah serta Sarawak. “Perlu diingatkan bahawa Sabah dan Sarawak dipujuk untuk membentuk Persekutuan Malaysia berasaskan salah satu janji bahawa Sabah dan Sarawak akan dibangunkan setanding dengan Semenanjung. “Malangnya, ini gagal dijadikan kenyataan dan Sabah mungkin ketinggalan 30 hingga 40 tahun di belakang Malaya dari segi pembangunan,” katanya. Bekas Timbalan Ketua Menteri itu menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak boleh berterusan melayan Sabah dan Sarawak masing-masing sebagai satu unit dibandingkan dengan Malaya dengan 11 negeri sebagai 11 unit. Pendekatan itu, katanya mengabaikan kedudukan istimewa negeri Borneo dalam Perlembagaan dan keadaan yang membawa kepada pembentukannya pada 1963. “Sabah mempunyai lima Residensi dan 30 daerah serta daerah kecil, dengan ada antaranya lebih besar berbanding negeri di Malaya. Keningau contohnya lebih besar berbanding gabungan luas Pulau Pinang, Melaka dan Perlis,” katanya. ADUN Tambunan itu berkata Sabah kekal negeri termiskin di Malaysia dengan lapan daripada 10 daerah termiskin di negara ini terletak di negeri ini. Katanya, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) perkapita Sabah kurang separuh daripada purata nasional dengan sedikit dilakukan untuk menangani kemiskinan luar bandar dan kekurangan kemudahan asas, selain masih ramai bergantung kepada air graviti yang tidak dirawat. “Realiti ini menunjukkan formula peruntukan pembangunan sedia ada gagal untuk menutup jurang pembangunan wilayah. “Sabah dan Sarawak mesti menerima perkongsian yang adil dan lebih saksama daripada dana pembangunan Persekutuan bermula pada Belanjawan 2027 dan seterusnya. “Peruntukan mesti mengambil kira saiz geografi, populasi, keperluan pembangunan, defisit infrastruktur dan sumbangan kepada ekonomi nasional. “Ini perlu bagi membolehkan kedua negeri Borneo membangun mengikut potensi yang betul dan mengejar negeri di Malaya yang sudah di hadapan dari segi pembangunan,” katanya. Sebagai alternatif terhadap keadaan tidak seimbang itu, katanya kerajaan Persekutuan perlu mula membayar kelayakan 40 peratus Sabah pada tahun ini. – Info X