July 22, 2026
Info X Reporters
Sidang DUN: Muzium Tamadun dan Warisan Etnik Dusun Ranau dijangka siap Mac 2027
KOTA KINABALU: ProjekMuzium Tamadun dan Warisan Etnik Dusun Ranau kini dalam fasa pelaksanaan semula membabitkan peruntukan RM3.5 juta. Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal, berkata kerajaan melantik kontraktor baharu bagi meneruskan projek itu yang bermula pada 4 Mac 2025. Katanya, tempoh pelaksanaan projek berkenaan mengambil masa selama 24 bulan dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2027. “Kos keseluruhan projek ini adalah sebanyak RM3.5 juta. Sehingga akhir bulan Jun 2026, kemajuan fizikal projek adalah sebanyak 50 peratus dan pelaksanaannya adalah mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya. Beliau menjawab soalan Datuk Rusdin Riman (KDM-Paginatan) pada sesi soal jawab lisan Persidangan DUN, di sini, pada Rabu. Dr Andi Md Shamsureezal, berkata kementeriannya komited dalam memastikan projek itu dilaksanakan dengan lancar sejajar kepentingannya sebagai pusat pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya etnik. “Projek ini juga berpotensi menjadi salah satu tarikan pelancongan berasaskan budaya yang dapat memperkasa ekonomi komuniti setempat. “Sehubungan itu, pelaksanaan projek ini akan terus dipantau secara berkala oleh kementerian bersama Jabatan Muzium Negeri Sabah bagi memastikan kualiti, kemajuan serta pematuhan kepada spesifikasi yang telah ditetapkan,” katanya.- Info X
July 22, 2026
Info X Reporters
Sidang DUN: Kuasa JIM Sabah kawal pintu masuk negeri, keluar notis NTL – pendirian kerajaan
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tetap dengan pendirian untuk mengekalkan kuasa Jabatan Imigresen negeri sebagai agensi mengawal pintu masuk di Sabah dan mengeluarkan notis Not To Land (NTL). Ia punca kerajaan negeri membuat keputusan menangguhkan pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Malaysia 2024 (Akta 860) yang terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan. Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai, berkata pendirian itu sudah dijelaskan melalui surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. “Akta AKPS 2024 adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan. Oleh itu, apa yang telah diputuskan dan dilakukan oleh kerajaan negeri adalah mengemukakan pendirian agar pelaksanaan AKPS di negeri Sabah tidak akan menghakis hak autonomi kerajaan negeri di bawah Akta Imigresen. “Kerajaan Negeri Sabah ingin menegaskan bahawa kuasa imigresen kepada Sabah yang termaktub di bawah Artikel Lima (V) Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah kuasa yang tidak boleh dirunding kerana pelaksanaan penubuhan Malaysia di bawah MA63 tertakluk kepada penggubalan kuasa imigresen Sabah dan Sarawak,” katanya. Beliau menjawab soalan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tamparuli) pada sesi soal jawab Persidangan DUN, di sini, pada Rabu. Madius bertanya sebab sebenar Kerajaan Sabah menangguhkan pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan 2024. Joniston berkata, Kerajaan Sabah juga menekankan jaminan perlindungan bahawa kedudukan dari segi perlembagaan mengenai negeri Sabah hendaklah sentiasa terpelihara dan memastikan tiada sebarang penghakisan kepada hak istimewa serta kuasa autonomi Imigresen Sabah dan pihak berkuasa negeri. Sementara itu, menjawab soalan tambahan Madius sama ada Kerajaan Sabah bersetuju ketika AKPS dibentangkan di Parlimen sebelum ini, Joniston berkata apa yang penting kerajaan negeri akan mempertahankan hak Sabah. “Dalam konteks AKPS ini kerajaan negeri akan mempertahankan jika ada apa-apa perkara yang melanggar hak kita. Ini penting kerana apa saja hak kita harus dipertahankan,” katanya.- Info X
July 22, 2026
Info X Reporters
Sidang DUN: 18 kes kecurian kabel di KK dan Karambunai sejak 2025
KOTA KINABALU: Sebanyak 18 kes kecurian kabel dikesan di sekitar Kota Kinabalu dan DUN Karambunai sepanjang tahun lalu hingga Jun tahun ini. Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Ruddy Awah, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 13 kes dilapor pada tahun lalu, masing-masing tujuh kes di Kota Kinabalu dan enam kes di DUN Karambunai. Bagi Januari hingga Jun tahun ini, katanya sebanyak lima kes direkodkan iaitu satu kes di Kota Kinabalu dan empat kes di DUN Karambunai. “Sabah Electricity memandang serius isu kecurian kabel kerana ia bukan saja mengakibatkan kerugian kewangan, malah boleh menjejaskan kebolehpercayaan bekalan elektrik kepada pengguna,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan DUN, di sini, pada Rabu. Beliau menjawab soalan Datuk Dr Aliakbar Gulasan (PN-Karambunai) jumlah kes kecurian kabel yang berlaku sekitar DUN Karambunai. Ruddy berkata berdasarkan rekod Sabah Electricity, kecurian kabel membabitkan kabel voltan sederhana (11kV dan 33kV). Sehubungan itu, katanya Sabah Electricity telah memperkukuhkan langkah-langkah pencegahan melalui rondaan dan pemantauan secara berkala di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko, termasuk menjalankan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan. Ruddy berkata bagi kawasan DUN Karambunai, dari Januari hingga Jun 2026, sebanyak 35 operasi rondaan dan pemantauan telah dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk mengurangkan kejadian kecurian kabel serta meningkatkan kehadiran penguatkuasaan di lapangan. Di samping itu, katanya Sabah Electricity turut meningkatkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan komuniti setempat bagi mempercepatkan tindakan terhadap sebarang aktiviti mencurigakan. “Kerajaan melalui Sabah Electricity akan terus memperkukuhkan usaha-usaha pencegahan, meningkatkan rondaan di kawasan hotspot serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat bagi memastikan keselamatan aset utiliti dan kesinambungan bekalan elektrik kepada rakyat Sabah,” katanya.- Info X
July 22, 2026
Info X Reporters
Lelaki maut tersepit dalam kemalangan dua kenderaan
BEAUFORT: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di lebuh raya Pan Borneo di Kampung Lumat, di sini, pagi ini. Mangsa berusia 45 tahun yang tersepit di dalam kereta berjaya dikeluarkan anggota bomba menggunakan peralatan khas menyelamat sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.55 pagi sebelum lapan anggota bersama jentera FRT dan EMRS digerakkan ke lokasi. Katanya, sebaik tiba, pasukan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Proton Saga dan Toyota Hilux Double Cab yang masing-masing dipandu seorang lelaki. “Pemandu Proton Saga didapati tersepit di dalam kenderaan dan anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas penyelamatan. “Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, pemandu Toyota Hilux berusia 53 tahun pula tidak tersepit dan berjaya keluar sendiri dari kenderaannya tanpa mengalami kecederaan. Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi yang turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM ditamatkan pada jam 9.38 pagi selepas lokasi dipastikan selamat. – Info X
July 22, 2026
Info X Reporters
Sidang DUN: Perbelanjaan kerajaan ikut kemampuan kewangan negeri – Masidi
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sentiasa mengamalkan dasar fiskal yang berhemat dan berdisiplin dengan memastikan setiap perbelanjaan dibuat berdasarkan kemampuan kewangan negeri. Menegaskan perkara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata Belanjawan Sabah dirangka berasaskan unjuran hasil yang realistik bagi memastikan kerajaan terus mencatat lebihan belanjawan atau surplus budget’. “Jumlah keperluan sebenar bagi menampung perbelanjaan Perbekalan dan Pembangunan untuk tahun 2026 adalah sebanyak RM7.97 bilion, sedangkan hasil yang diunjurkan hanyalah sekitar RM6.4 bilion. “Dalam merangka Belanjawan 2026, Kementerian Kewangan mengambil pendekatan berhemah dengan memastikan perbelanjaan tidak melebihi kemampuanhasil negeri,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan Sabah 2026 bagi Kementerian Kewangan pada Persidangan DUN, Selasa. Masidi yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata prinsip ‘Spend what you have, not what you don’t have’ menjadi pegangan Kerajaan Sabah dalam mengurus kewangan negeri. “Disiplin kewangan inilah yang telah membolehkan kerajaan meningkatkan rizab negeri kepada lebih RM7 bilion pada akhir 2025. “Sebagai perbandingan, pada tahun 1998 baki Akaun Hasil Disatukan hanyalah sekitar RM70 juta. Melalui pengurusan kewangan yang berdisiplin dan berhemah, jumlah tersebut telah meningkat kepada RM7.6 bilion pada akhir 2025,” katanya. Beliau berkata pendekatan yang sama juga digunakan kerajaan negeri dalam menimbangkan permohonan Tambahan Peruntukan, iaitu dengan mengambil kira unjuran hasil terkini sebelum menentukan jumlah tambahan yang wajar disyorkan. Katanya, sebarang peningkatankutipan hasil akan dijadikan asas dalam menentukan tambahan peruntukan sehingga penghujung tahun kewangan, sekali gus membolehkan kerajaan menyediakan anggaran perbelanjaan yang lebih realistik, mengekalkan lebihan belanjawan dan terus memperkukuh rizab negeri. “Hasrat Kerajaan Sabah adalah jelas, iaitu untuk membina sebuah Kerajaan Negeri yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh, berdikari dan berdaya tahan, supaya pembangunan Sabah dapat dilaksanakan secara mampan tanpa terlalu bergantung kepada ihsan Kerajaan Persekutuan,” katanya. – Info X
July 22, 2026
Info X Reporters
Sidang DUN: Aliakbar bangkit isu air, PTI, setinggan di Karambunai
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan menuntut jawapan dan tindakan tegas kerajaan berhubung pelbagai isu yang berlaku di kawasannya, termasuk masalah air, pendatang tanpa izin (PTI) dan setinggan. Beliau membangkitkan perkara itu ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Selasa, sambil menegaskan masalah itu perlu tindakan segera kerajaan. Katanya, masalah air yang serius antaranya dialami penduduk Kampung Suang Parai, di sini dengan 15 hari tidak menerima bekalan baru-baru ini, menyebabkan penduduk berdepan kesukaran yang berpanjangan. Beliau berkata, penempatan itu sah diduduki warganegara, justeru isu air tidak seharusnya dibiarkan berlarutan kerana ia adalah keperluan asas rakyat yang perlu disediakan dengan sebaik mungkin oleh kerajaan. “Saya ingin mendapat satu jawapan pasti daripada pihak kerajaan kerana kita sudah terlalu lama membiarkan isu seumpama ini, termasuk masalah pendatang asing tanpa izin,” katanya. Beliau turut membangkitkan isu koloni setinggan yang semakin berleluasa di Karambunai, termasuk kawasan belakang Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan bersebelahan Kampung Suang Parai yang menurutnya perlu ditangani secara menyeluruh. Selain itu, katanya masalah ketiadaan air turut berkait dengan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) yang terlalu tinggi, manakala kecurian elektrik dan kabel akhirnya menjejaskan penduduk tempatan di kampung terbabit. Aliakbar menegaskan kerajaan perlu memberikan penjelasan menyeluruh serta tindakan konkrit terhadap isu berkenaan supaya rakyat tempatan tidak terus menjadi mangsa kelemahan pengurusan dan masalah berlarutan. Beliau turut mengingatkan kerajaan negeri supaya mengurus setiap ringgit wang rakyat secara amanah. Pesuruhjaya PAS Sabah itu, berkata ukuran sebenar kebijaksanaan kerajaan ialah hikmah mengurus setiap ringgit yang diamanahkan rakyat, dengan memastikan perbelanjaan dibuat berdasarkan keperluan serta memberikan manfaat kepada rakyat. Tambahnya, wang kerajaan bukan sekadar angka dalam penyata kewangan kerana setiap ringgit itu datang daripada keringat petani, nelayan, guru, penjawat awam dan peniaga mencari rezeki. “Setiap sen yang dibelanjakan bukan sahaja akan dipersoalkan oleh rakyat, bahkan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT,” katanya. Beliau berkata, perbekalan tambahan bukanlah lesen untuk kerajaan berbelanja tanpa batas, sebaliknya perlu dilaksanakan dengan penuh disiplin, ketelusan serta keutamaan yang jelas demi kepentingan rakyat. Beliau juga membangkitkan masalah kekurangan tempat letak kenderaan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas sehingga orang awam terpaksa meletakkan kenderaan di bahu jalan. Katanya, sebahagian pengguna hospital turut dikenakan saman dan kompaun ketika berdepan kesukaran mendapatkan tempat parkir yang selamat untuk pesakit serta keluarga mereka. “Saya bukan menyalahkan pihak yang memberikan kompaun, tetapi sekurang-kurangnya perlu ada alternatif tempat meletakkan kenderaan dengan baik bagi mereka yang datang ke hospital ini,” katanya. Beliau berkata, kerajaan perlu mencari penyelesaian praktikal bagi menyediakan kemudahan parkir yang sesuai supaya pesakit dan keluarga tidak terus terbeban ketika mendapatkan rawatan di hospital. – Info X
July 22, 2026
Info X Reporters
Sidang DUN: RM1.6 bilion peruntukan tambahan kerajaan negeri dilulus
KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2026 bernilai RM1.6 bilion pada Selasa selepas dibahas selama dua hari pada Persidangan DUN sejak Isnin lalu. RUU bagi membolehkan peruntukan tambahan yang bertujuan untuk melicinkan operasi pentadbiran Kerajaan Sabah sehingga akhir 2026 itu dibentangkan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun selaku Menteri Kewangan pada Isnin. Dalam pembentangannya, Masidi berkata peruntukan tambahan bagi tahun 2026 itu diperlukan bagi membiayai enam kategori perbelanjaan dengan jumlah terbesar untuk Caruman Kepada Kumpulan Wang Berkanun sebanyak RM856 juta atau 53 peratus. Katanya, ia diikuti kategori kedua untuk Perbelanjaan Operasi sebanyak RM278 juta atau 17 peratus; Kategori ketiga: Perbelanjaan untuk Pelaburan sebanyak RM210 juta atau 13 peratus; Kategori keempat: Perbelanjaan Pentadbiran sebanyak RM162 juta atau 10 peratus; Kategori kelima: Perbelanjaan bagi Pemberian Dalam Negeri sebanyak RM93 juta atau enam peratus; dan Kategori keenam: Peruntukan Khas sebanyak RM13 juta atau satu peratus. Masidi berkata, Caruman Kepada Kumpulan Wang Berkanun sebanyak RM856 juta tidak melibatkan aliran tunai kerana hanya melibatkan pelarasan perakaunan iaitu transaksi yang hanya melibatkan pindahan peruntukan dalaman ‘Book Transfer’ untuk mematuhi keperluan Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 dan Akta Tatacara Kewangan 1957. Jelasnya, daripada jumlah yang disyor untuk Pencaruman KepadaKumpulan Wang Berkanun itu, sebanyak RM700 juta atau 81.8 peratus adalah sebagai tambahan kepada Kumpulan Wang Pembangunan bagi mengurangkan defisit Akaun Pembangunan. Beliau berkata, baki sebanyak RM90 juta atau 10.5 peratus pula adalah caruman kepada Kumpulan Wang Amanah Berkanun bagi Pengendalian serta Penyenggaraan Jalan Raya dan Jambatan di seluruh Sabah. “Selain itu, sebanyak RM66 juta atau 7.7 peratus pula disyor bagi Caruman Kepada Tabung Amanah Khas Kerajaan Negeri untuk pembinaan dan pembaikan infrastruktur asas seperti bekalan air, jalan raya dan utiliti serta Program Pembasmian Kemiskinan seperti pelaksanaan Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR),” katanya. Peruntukan selebihnya, beliau berkata adalah untuk perbelanjaan lain dengan RM264.24 juta disyorkan bagi perbelanjaan di bawah Perkhidmatan Am Perbendaharaan yang melibatkan RM210 juta untuk Pelaburan Ekuiti, RM22 juta untuk Pemberian Dalam Negeri bagi menampung bayaran pemeriksaan perubatan, pemberian kepada badan-badan keagamaan bukan Islam serta sekolah-sekolah jenis kebangsaan. “Sebanyak RM13 juta lagi disyor untuk pembersihan perairan pantai Bandaraya Kota Kinabalu dan Semporna serta bagi membiayai permohonan peruntukan yang diterima dari pelbagai kementerian dan jabatan,” katanya. Selebihnya adalah syor peruntukan tambahan kepada pelbagai kementerian dan jabatan bagi memenuhi keperluan perbelanjaan masing-masing pada tahun ini. Sementara itu, ketika menggulung perbahasan Kementerian Kewangan pada Selasa, Masidi Anggaran Peruntukan Tambahan atau ASP adalah suatu mekanisme kewangan yang diperuntukkan di bawah tatacara pengurusan kewangan kerajaan. Katanya, ia bagi membolehkan keperluan perbelanjaan yang belum dapat ditentukan sepenuhnya semasa penyediaan Belanjawan Tahunan, atau keperluan baharu yang timbul selepas belanjawan diluluskan, dipertimbangkan secara teratur, telus dan tertakluk kepada kelulusan DUN. “Oleh itu, pembentangan ASP pada kali ini tidak seharusnya ditafsirkan sebagai kegagalan atau kelemahan dalam perancangan Belanjawan 2026 yang telah dibentangkan pada bulan Disember 2025. Belanjawan tahunan disediakan selaras dengan dasar, keutamaan, unjuran hasil, keperluan perbelanjaan dan maklumat terbaik yang tersedia pada ketika itu. “Dalam hal ini, setiap permohonan tambahan perlu melalui proses penelitian dan penilaian berdasarkan keperluan sebenar, prestasi perbelanjaan, kemampuan kewangan kerajaan serta kepentingannya kepada penyampaian perkhidmatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya. Atas sebab itu, katanya ASP yang dibentangkan mencerminkan keupayaan kerajaan untuk bertindak secara responsif dan bertanggungjawab terhadap perubahan keperluan semasa tanpa mengetepikan prinsip disiplin fiskal, akauntabiliti dan tatakelola kewangan yang baik. Beliau berharap penjelasan itu dapat memberi pencerahan terhadap persoalan yang dibangkitkan semua ADUN berhubung keperluan peruntukan tambahan berjumlah RM1.612 bilion. – Info X
July 22, 2026
Info X Reporters
Dahan pokok tembusi cermin depan, dua lelaki terselamat
KOTA KINABALU: Perjalanan dua lelaki menuju ke pusat bandar raya bertukar cemas apabila dahan pokok patah lalu menghempap Toyota Avanza yang dinaiki mereka di Jalan Coastal berhampiran Centre Point, di sini, tengah malam tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, dahan berkenaan menembusi cermin hadapan sehingga mencecah bahagian papan pemuka berhampiran tempat duduk pemandu. Bagaimanapun, kedua-dua mangsa berusia 23 dan 27 tahun bernasib baik apabila terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan. Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu, Mejar (PA) Aizex Junior Simon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.45 tengah malam. Katanya, sepasukan enam anggota termasuk seorang pegawai bersama sebuah Light Rescue Vehicle (LRV) dan ambulans digerakkan ke lokasi untuk menjalankan operasi. “Setibanya di lokasi, didapati sebatang pokok tumbang dengan satu dahan menghempap sebuah Toyota Avanza. “Dahan itu menembusi cermin hadapan hingga ke bahagian papan pemuka, namun kedua-dua lelaki yang berada di dalam kenderaan berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini. Menurutnya, anggota APM mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memotong dan mengalihkan pokok yang menghalang laluan serta menghempap kenderaan berkenaan. Beliau berkata, operasi ditamatkan selepas kawasan dipastikan selamat sebelum laluan di Jalan Coastal berhampiran Centre Point dibuka semula kepada pengguna jalan raya. – Info X