July 21, 2026
Info X Reporters
Seleweng peruntukan RM2 juta bina dewan, presiden NGO ditahan SPRM
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana disyaki menyalahgunakan kuasa berkaitan peruntukan kira-kira RM2 juta bagi pembinaan sebuah dewan kebudayaan dan galeri di negeri ini. Suspek lelaki berusia lingkungan 60-an ditahan kira-kira jam 10 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah. Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada 2022 membabitkan peruntukan yang diperoleh daripada Kementerian Kewangan bagi tujuan pembinaan dewan berkenaan. “Suspek dipercayai mengemukakan permohonan dan melaksanakan sendiri pembinaan dewan kebudayaan dan galeri itu tanpa persetujuan Ahli Majlis Tertinggi pertubuhan berkenaan. “Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan transaksi dan perkara berkaitan penggunaan peruntukan terbabit,” katanya. Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan. Menurutnya, suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Khamis ini. – Info X
July 21, 2026
Info X Reporters
SMJE serah sumbangan RM89.461 juta kepada kerajaan negeri
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyaksikan penyerahan sumbangan berjumlah RM89.461 juta dari SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) kepada Kerajaan Negeri. Majlis penyerahan itu berlangsung di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, pada Selasa. Pada majlis ringkas itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SMJE, Datuk Dr Dionysia Kibat menyerahkan replika cek kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair bagi pembayaran dividen berjumlah RM50 juta untuk tahun kewangan berakhir 2025 dan Cukai Jualan Negeri (CJN) berjumlah RM37.96 juta kepada kerajaan negeri untuk tahun lalu. Sejak 2023, SMJE membayar dividen terkumpul berjumlah RM210 juta kepada kerajaan negeri. Pembayaran dividen itu dibuat daripada rizab boleh agih, disokong oleh kedudukan kunci kira-kira yang kukuh, kedudukan tunai yang lebih mantap serta pengurusan kewangan yang berdisiplin secara berterusan di seluruh Kumpulan. Sehingga 31 Disember 2025, jumlah aset Kumpulan SMJE mencecah RM4.82 bilion, manakala syarikat merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM58.7 juta meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi, sosial dan geopolitik yang berterusan. Dr Dionysia turut menyerahkan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berjumlah RM1 juta untuk Tabung Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah kepada Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Sabah, Datuk Norlijah Danin, serta RM500,000 kepada Pengarah Yayasan Kebajikan Sabah (YKS), Datuk Diyanah Abdullah. Ketua Menteri berkata, pembayaran dividen dan penyerahan kutipan CJN itu mencerminkan prestasi kewangan SMJE yang mampan serta membuktikan kejayaan syarikat berkenaan dalam melaksanakan mandat Kerajaan Negeri untuk meningkatkan penyertaan Sabah dalam sektor minyak dan gas. Beliau berkata, sumbangan CSR itu pula menyerlahkan komitmen syarikat milik Kerajaan Negeri itu dalam menyokong pembangunan modal insan serta inisiatif kebajikan sosial di Sabah. Sementara itu, Pengerusi SMJE, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata prestasi syarikat itu membuktikan nilai pengurusan aset strategik Sabah secara berdisiplin, profesional dan berorientasikan jangka panjang. “Tanggungjawab kita adalah mengurus pelaburan strategik negeri secara berhemah agar ia terus memberikan pulangan yang mampan serta manfaat yang berkekalan kepada Sabah, bukan saja untuk hari ini tetapi juga untuk generasi akan datang,” katanya. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman; Peguam Besar Negeri, Datuk Brenndon Soh; Ketua Pegawai Operasi dan Naib Presiden Eksekutif Huluan SMJE, Datuk Albert Lo. – Info X
July 21, 2026
Info X Reporters
Sidang DUN: Bina sekurang-kurangnya laluan motosikal di Saliliran – Abdul Ghani
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri dicadang untuk sekurang-kurangnya membina laluan motosikal bagi memudahkan urusan penduduk kampung terpencil di Nabawan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin, berkata ketika ini dua kampung terpencil di daerah itu, iaitu Saliliran dan Kabu tidak dapat dihubungi dengan jalan raya. “Saya juga ingin menarik perhatian dewan yang mulia ini mengenai isu dua buah kampung terpencil di daerah Nabawan iaitu, Kampung Saliliran dan Kampung Kabu dan beberapa buah kampung yang melaluinya untuk sampai ke dua buah kampung itu yang masih belum mempunyai jalan raya perhubungan sejak Merdeka lagi. “Oleh yang demikian, saya mencadangkan agar Kerajaan Negeri sekurang-kurangnya membina laluan motosikal dari Kampung Sinapar ke Kampung Saliliran sepanjang lebih kurang 10 kilometer dan dari Kampung Saliliran ke Kampung Kabu sepanjang 20 kilometer,” katanya. Beliau membangkitkan perkara itu ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 pada Persidangan DUN, di sini, pada Selasa. Selain itu, beliau mengutarakan mengenai penyelenggaraan jalan di bawah tanggungjawab syarikat konsesi dan kontraktor. Katanya, masih banyak jalan di Nabawan mengalami kerosakan, seperti jalan berlubang, permukaan tidak rata, berlaku runtuhan dan sistem saliran yang kurang diselenggara. “Saya berpandangan bahawa kontraktor yang telah diberikan amanah perlu dipantau dengan lebih tegas. Kerajaan perlu memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan dengan penuh integriti dan menghasilkan kerja yang berkualiti,” katanya. Sementara itu, Abdul Ghani turut membangkitkan status cadangan pembinaan Pekan Baharu Nabawan yang disifatkan perlu sejajar potensi daerah itu dalam sektor pertanian, pelancongan dan perusahaan kecil. Berikutan itu, katanya pembangunan fizikal perlu bergerak seiring dengan pembangunan ekonomi. “Persoalan saya, apakah pihak kerajaan melalui agensi kerajaan ada membuat sebarang perancangan mengenai perkara ini dan apakah status serta tindakan pihak berwajib setakat ini,” katanya. Pada masa yang sama, beliau turut menyuarakan keperluan internet di Nabawan terutama di sekolah, berikutan banyak sekolah terpencil di daerah itu berdepan masalah berkenaan. “Masih terdapat sekolah-sekolah di ceruk kawasan kampung terpencil yang berhadapan dengan masalah capaian internet, kemudahan asas yang daif, bekalan elektrik yang tidak stabil dan kekurangan infrastruktur pembelajaran. “Dalam era digital hari ini, akses internet bukan lagi satu kemewahan tetapi satu keperluan asas pendidikan. “Saya berharap kerajaan dapat memberi keutamaan kepada sekolah-sekolah pedalaman supaya anak-anak Sabahmempunyai peluang pendidikan yang sama rata dan tidak terus ketinggalan,” katanya. – Info X
July 21, 2026
Info X Reporters
Maut terkena renjatan elektrik ketika pasang tiang lampu
NABAWAN: Seorang lelaki warga asing maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja pemasangan tiang lampu di Kampung Malinja A&B, di sini, hari ini. Dalam kejadian itu, mangsa berusia 29 tahun dipercayai terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja pemasangan tiang lampu di tepi jalan sebelum pasukan bomba dipanggil ke lokasi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nabawan, Azran Jull berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.49 pagi. Katanya, seramai enam anggota bersama jentera dari BBP Nabawan digerakkan ke lokasi sejauh empat kilometer dan tiba kira-kira tujuh minit kemudian. “Setibanya di lokasi, pasukan mendapati seorang lelaki dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja pemasangan tiang lampu. “Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dari kawasan berbahaya sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi yang turut disertai KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditamatkan pada jam 12.15 tengah hari selepas keadaan di lokasi dipastikan selamat. – Info X
July 21, 2026
Info X Reporters
Warga emas maut dirempuh pacuan empat roda
PENAMPANG: Seorang warga emas maut selepas dirempuh sebuah pacuan empat roda ketika berjalan kaki di Jalan Bundusan, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian itu, mangsa lelaki berusia 77 tahun tercampak ke dalam longkang di bahu jalan dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati pacuan empat roda berkenaan dipandu lelaki tempatan berusia 52 tahun dari arah Jalan Bundusan menuju ke Taman Adamas. Katanya, kenderaan itu dipercayai terlanggar mangsa yang ketika itu sedang berjalan kaki di kawasan berkenaan. “Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke dalam longkang di bahu jalan dan mengalami kecederaan parah. “Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat. Sammy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Penampang atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Saparia Landon di talian 019-809 5133 bagi membantu siasatan. – Info X
July 21, 2026
Info X Reporters
Sidang DUN: Roadmap perkasa industri hiliran gas dan minyak 2026-2030 akan dibangunkan
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) akan membangunkan roadmap 2026-2030 bagi memperkasa industri hiliran gas dan minyak di Sabah. Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata roadmap itu adalah antara resolusi persidangan Sabah Oil and Gas Services and Equipment (SOGSE) anjuran MINDET pada bulan lalu. “Antara tujuannya untuk mengembangkan industri hiliran di Sabah. Saya akan membentangkan cadangan roadmap ini kepada Kabinet Negeri dan mudah-mudahan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang, selepas mendapat mandat daripada Kabinet, saya akan kembali semula ke Dewan ini,” katanya. Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) pada sesi soal jawab Persidangan DUN Sabah, di sini, pada Selasa. Terdahulu, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Jonnybone Kurum berkata, cadangan penubuhan taman perindustrian di Kimanis dikenal pasti dan dirancang pada peringkat awal sebagai salah satu lokasi berpotensi memperkukuh pembangunan sektor perindustrian di Sabah. Beliau berkata, MINDET dengan kerjasama Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah telah melaksanakan penilaian awal bagi mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk tujuan pembangunan taman perindustrian baharu di kawasan itu. Bagaimanapun katanya, hasil penilaian dan semakan lanjut mendapati kawasan yang dikenal pasti berdepan cabaran utama dari aspek pengambilan tanah. “Berdasarkan semakan awal, dianggarkan lebih daripada 1,500 pemilik geran tanah terlibat sekiranya pembangunan taman perindustrian baharu diteruskan di lokasi tersebut. “Perkara ini sudah tentu akan memberi implikasi kewangan yang besar kepada Kerajaan Negeri, khususnya dari segi kos pengambilan tanah dan kemungkinan kos pemindahan penduduk yang terlibat di kawasan berkenaan,” katanya. Beliau menjawab soalan Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir (GRS-Pantai Manis) sama ada penubuhan taman perindustrian di Kimanis diteruskan serta jenis industri yang dirancang untuk dibangunkan di kawasan itu. Jonnybone berkata, mengambil kira faktor itu, termasuk keperluan memastikan pembangunan taman perindustrian dilaksanakan secara berhemah, mampan dan tidak membebankan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri, Jemaah Menteri pada Februari 2025 telah memutuskan supaya cadangan pembangunan taman perindustrian baharu di lokasi tanah yang dikenal pasti di Kimanis tidak diteruskan. Bagaimanapun, katanya, keputusan itu tidak bermaksud agenda pembangunan perindustrian di Sabah dihentikan, sebaliknya, kementerian mengambil langkah proaktif untuk meneroka kawasan alternatif yang lebih sesuai dan berdaya laksana, termasuk di Beaufort. Beliau berkata, Beaufort sedang diteliti kerana mempunyai potensi dari segi kedudukan strategik serta memerlukan pengambilan tanah yang lebih rendah berbanding lokasi asal di Kimanis, sekali gus dapat mengurangkan kos pembangunan awal dan mempercepatkan proses perancangan serta pelaksanaan. “Pada masa ini, kementerian sedang menyelaras perkara ini bersama agensi-agensi berkaitan bagi menilai kesesuaian kawasan Beaufort sebagai lokasi alternatif pembangunan taman perindustrian, termasuk kos pengambilan tanah. “Pendekatan ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memastikan setiap pembangunan taman perindustrian dilaksanakan secara strategik, berdaya maju dan memberi pulangan ekonomi yang optimum kepada negeri, di samping meminimumkan kos pengambilan tanah serta impak kepada penduduk setempat,” katanya.- Info X
July 21, 2026
Info X Reporters
Bayi perempuan ditemukan dalam semak, polis buru ibu kandung
TAWAU: Seorang bayi perempuan dipercayai ditinggalkan ditemukan di kawasan semak berhampiran sebuah rumah di Kampung Jawa, di sini, pagi tadi. Bayi berkenaan ditemukan seorang lelaki kira-kira jam 6 pagi sebelum dia menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan. Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Tawau bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan menerima rawatan lanjut. Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, pihaknya menerima dua laporan polis berhubung penemuan bayi berkenaan. Katanya, polis kini giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti ibu kandung bayi terbabit serta individu yang bertanggungjawab meninggalkannya di lokasi berkenaan. “Polis sedang mengesan saksi selain mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian sekiranya ada. “Semakan dengan pihak hospital dan klinik kesihatan turut dilakukan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Wilynton berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Robiatul Adawiyah Japri di talian 016-918 9402 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang bertindak pantas membantu menyelamatkan bayi berkenaan serta menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan. – Info X
July 21, 2026
Info X Reporters
Sidang DUN: 25,591 lot tanah Anak Negeri diukur sejak 2020
KOTA KINABALU: Program KhasPengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) berjaya mengukur sebanyak 25,591 lot tanah berstatus Anak Negeri membabitkan keluasan 33,891.181 hektar di seluruh Sabah sejak 2020. Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih, berkata jumlah itu membabitkan tanah yang diukur sehingga tahun ini dengan peruntukan RM83 juta dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri. Beliau berkata, program itu adalah inisiatif kerajaan bagi mempercepatkan kerja pengukuran tanah Anak Negeri yang sudah diluluskan dan memudahkan proses pengeluaran hak milik tanah kepada pemohon yang layak. Katanya, PANTAS akan diteruskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang bermula tahun ini hingga 2030 dengan peruntukan RM10 juta dari Kerajaan Persekutuan. “Bagi tahun 2026, peruntukan berjumlah RM1 juta sudah disalurkan kepada Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) bagi pelaksanaan program itu. “Sebanyak 53 pasukan juruukur ditugaskan untuk menjalankan kerja-kerja pengukuran tanah di seluruh Sabah,” katanya pada sesi soal jawab lisan Pesidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, pada Selasa. Beliau menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Usukan) mengenai peruntukan, bilangan kakitangan teknikal dan keluasan tanah yang berjaya diukur di bawah Program PANTAS di seluruh Sabah. Sementara itu, Isnin berkata sebanyak 26,808 permohonan tanah masih dalam tindakan di peringkat Pejabat Tanah Daerah di seluruh Sabah setakat 30 Jun 2026. “Kerajaan negeri melalui JTU Sabah sentiasa berusaha mempercepat pemprosesan permohonan tanah dan pengeluaran geran tanah kepada pemohon tanah yang layak. “Antara langkah yang sedang danakan terus dilaksanakan termasuk memperkukuh pemantauan permohonan tanah di setiap peringkat pemprosesan dan mempercepatkan tindakan pengukuran permohonan tanah yang diluluskan berdasarkan program pengukuran tanah secara sistematik dan menggunakan peralatan ukur moden,” katanya. Di samping itu, katanya penggunaan sistem pendigitalan jabatan turut diperkasakan bagi meningkatkan kecekapan pemprosesan serta proses berkaitan pengeluaran geran tanah. Bagaimanapun, katanya tempoh penyelesaian setiap permohonan tanah bergantung kepada beberapa faktor, termasuk status tanah yang dipohon, isu pertindihan permohonan tanah, keperluan melaksanakan siasatan dan semakan teknikal. “Ia juga mengambil kira kekangan tenaga kerja untuk pengukuran tanah dan semakan kerja ukur, pematuhan kepada peruntukan perundangan di bawah Ordinan Tanah Sabah Bab 68 serta dasar Kerajaan Negeri yang berkuat kuasa. “Bagi menangani kekangan tenaga kerja dalam pelaksanaan kerja pengukuran tanah, kerajaan negeri melalui JTU Sabah turut mengambil langkah untuk mengisi sebanyak 30 jawatan Penolong Juruukur Gred J5. Jawatan-jawatan itu kini sedang dalam proses pengiklanan bagi tujuan lantikan baharu,” katanya. Kerajaan negeri, katanya kekal komited untuk mempercepatkan penyelesaian permohonan tanah dan pengeluaran geran Anak Negeri kepada rakyat Sabah yang layak secara teratur, telus dan berlandaskan undang-undang. – Info X