June 27, 2026
Info X Reporters
Lelaki maut dalam kebakaran kilang kitar semula, disyaki terkena renjatan elektrik
LAHAD DATU: Seorang lelaki warga asing maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik dalam kejadian kebakaran sebuah kilang kitar semula di Simpang Durian Batu 2, Kampung Durian, di sini, petang tadi. Mangsa, Muhammad Alpian Abdullah, disahkan meninggal dunia selepas diberi rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dihantar ke hospital. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 5.09 petang. Katanya, seramai 21 anggota bersama lima jentera, iaitu Fire Rescue Tender (FRT), Emergency Medical Rescue Services (EMRS), D-Max, Water Tanker dan Fire Rescue Vehicle (FRV), dikerahkan ke lokasi dan tiba kira-kira enam minit kemudian. “Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan sebuah kilang kitar semula jenis tidak kekal berukuran 50 x 100 kaki yang terbakar kira-kira 90 peratus. “Operasi pemadaman dijalankan menggunakan tiga aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan bagi setiap aliran, manakala bekalan air diperoleh daripada pili bomba berhampiran serta sumber air terbuka,” katanya ketika dihubungi hari ini. Beliau berkata, seorang lelaki dipercayai terkena renjatan elektrik ketika kejadian sebelum diberi rawatan awal oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi. “Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM,” katanya. Sumsoa, kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.38 malam, namun operasi diteruskan dengan kerja-kerja memadam bara api dan overhaul bagi memastikan tiada punca kebakaran semula. Beliau berkata, punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. – Info X
June 27, 2026
Info X Reporters
Sembilan gerai, tiga kenderaan musnah terbakar di Sandakan
SANDAKAN: Sembilan gerai jenis separuh kekal di Kampung Pening Lalat, Karamunting, di sini musnah dalam kebakaran yang turut memusnahkan tiga kenderaan dan sebuah motosikal, pagi tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.43 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian. Katanya, operasi membabitkan 16 anggota dari BBP Sandakan dengan bantuan jentera Fire Rescue Tender (FRT), Compressed Foam Rescue Tender (CFRT) dan Water Tanker. “Sebaik tiba pada jam 11.58 pagi, api didapati sedang marak membabitkan deretan gerai berkeluasan kira-kira 80 x 200 kaki dengan kemusnahan dianggarkan sekitar 80 peratus. “Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan air dari jentera serta sumber air dari pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini. Jimmy berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.05 tengah hari sebelum kerja-kerja pemadaman dan pengesanan punca api diteruskan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat. “Setakat ini tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran serta jumlah kerugian sebenar,” katanya. – Info X
June 26, 2026
Info X Reporters
Suami tetak isteri ditahan selepas serah diri
KOTA MARUDU: Lelaki yang dipercayai menetak isterinya menggunakan parang sehingga mengalami 14 kecederaan di Kampung Mangkupa, di sini, semalam, berjaya ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Kota Marudu, hari ini. Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa wanita tempatan berusia 40 tahun ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah sebelum dikejarkan ke Hospital Kota Marudu untuk mendapatkan rawatan. Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Somiun Lomidin berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat daripada orang awam. Beliau berkata, suspek yang juga lelaki warga Indonesia berusia 50 tahun bagaimanapun melarikan diri ke kawasan kebun sawit berhampiran selepas kejadian. “Suspek kemudian menyerah diri di Balai Polis Kota Marudu kira-kira jam 12.15 tengah malamnya sebelum ditahan bagi membantu siasatan. “Hasil siasatan di lokasi bersama Unit Forensik JSJ Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah berjaya menemukan semula parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu selepas disembunyikan di kawasan semak berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, polis turut merampas pakaian yang dipercayai dipakai suspek ketika kejadian dan disembunyikan di kawasan semak berhampiran kebun pisang. Beliau berkata, mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan kini menerima rawatan di wad Hospital Queen Elizabeth, Kotq Kinabalu. “Suspek direman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata berbahaya,” katanya. Terdahulu, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham selepas suspek menuduh mangsa berbual dengan jiran lelaki. Pertengkaran itu dipercayai menyebabkan suspek bertindak mengambil parang sebelum menyerang isterinya. – Info X
June 26, 2026
Info X Reporters
Inkues Zara: Pakar bebas setuju tidak boleh bercanggah dengan dapatan pemeriksa Jabatan Kimia
KOTA KINABALU: Seorang pakar tulisan tangan dan pemeriksa dokumen bersetuju dapatannya tidak boleh bercanggah dengan pakar pemeriksa dokumen lain berhubung tulisan tangan Allahyarham Zara Qairina Mahathir. Perkara itu dijelaskan pakar tulisan tangan dan pemeriksa dokumen, Dr Linthini Gannetion pada prosiding inkues kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner, di sini, pada Khamis. Saksi ke-74 itu yang memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, menjawab pertanyaan peguam Azhier Farhan Arisin berhubung dapatan Pemeriksa Dokumen Jabatan Kimia, Nurul Atiqah Mohd Noh. Pemeriksa kerajaan dengan 21 tahun pengalaman itu adalah antara saksi awal yang memberi keterangan dalam inkues untuk mencari punca kematian Allahyarham Zara Qairina yang bermula pada September tahun lalu. Linthini pula yang berpengalaman lapan tahun berkata, dapatannya tidak boleh bercanggah jika beliau disediakan sampel, namun pada masa yang sama turut mengaku tidak boleh membuat sebarang kesimpulan terhadap Nurul Atiqah. Bagaimanapun, katanya perkara itu tidak semestinya berlaku jika keadaan adalah sebaliknya. “Tidak juga, hanya jika saya diberikan sampel saya tidak boleh bercanggah. Saya tidak boleh membuat sebarang kesimpulan terhadap Nurul Atiqah,” katanya. Azhier sebelum itu meminta kepastian Linthini sama ada betul atau tidak beliau tidak boleh bercanggah dengan kesimpulan pemeriksa kerajaan bahawa dokumen yang diperiksanya adalah tulisan arwah Zara Qairina. Linthini, 34, adalah saksi pakar bebas yang dibawa peguam mewakili ibu Zara Qairina bagi menyediakan laporan untuk inkues berkenaan. Beliau memeriksa dokumen yang ditanda Y1 hingga Y15 bagi menentukan sama ada terdapat tanda gangguan pihak tidak diberi kuasa dalam kandungan dokumen terbabit. Pemeriksaannya mendapati ada muka surat yang dibuka, berlainan jenis dakwat di beberapa bahagian dan tulisan yang dilenyapkan serta berlainan corak tarikh di beberapa muka surat. Dapatan itu, katanya membawa kepada kesimpulan bahawa elemen usikan dalam Y1 hingga Y15 tidak dapat disimpulkan secara muktamad. Beliau juga menjelaskan ada tanda-tanda usikan yang dikesan, namun tidak cukup untuk dibuktikan. Berikutan itu, Linthini menjawab tidak dapat ditentukan apabila Azhier berkata adalah tidak adil bukti yang dikemukakannya memberitahu bahawa tulisan mengenai keadaan minda arwah ‘bukan ditulis oleh Zara’. Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asramanya pada awal pagi 16 Julai 2025, sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan otak traumatik teruk di Hospital Queen Elizabeth sehari selepas itu. Selepas kematiannya, timbul persoalan mengenai punca sebenar kematiannya, termasuk sama ada arwah terjun dari tingkat atas bangunan atau ada unsur lain yang memerlukan siasatan lanjut. Berikutan itu, inkues kematiannya diwujudkan dengan memanggil pelbagai saksi termasuk pelajar, guru, anggota polis, doktor dan pakar perubatan serta pakar lain yang berkaitan bermula pada September 2025. Inkues itu yang dijadual berlanjutan hingga Oktober depan bertujuan mencari punca kematian arwah berdasarkan keterangan semua saksi yang dipanggil Mahkamah Koroner. – Info X
June 26, 2026
Info X Reporters
Bapa penghidap kanser kanak-kanak rayu bantuan tunaikan hajat terakhir anak
RANAU: “Kami sudah berjuang sedaya upaya, tetapi kini kami benar-benar buntu.” Itu luahan hati Brendon Salion, seorang bapa yang kini merayu bantuan orang ramai bagi menunaikan hajat terakhir anak perempuannya, Mikasa Elle Brendon, 6, yang disahkan menghidap kanser neuroblastoma tahap empat sejak 2023. Menurut Brendon, pelbagai ikhtiar sudah dilakukan sepanjang hampir tiga tahun anaknya menjalani rawatan, namun beban kewangan yang semakin menghimpit menyebabkan mereka terpaksa mengetepikan rasa malu demi mendapatkan bantuan. Katanya, sepanjang tempoh rawatan, mereka kehilangan punca pendapatan tetap, kenderaan, tempat tinggal dan beberapa aset lain yang sebelum ini digunakan bagi menampung kos rawatan Mikasa. “Sebagai ibu bapa, kami sudah cuba buat yang terbaik dan bertahan selama ini. Tetapi mungkin perjuangan kami sudah sampai di titik paling sukar. “Saya kini bekerja sebagai buruh binaan dengan pendapatan tidak menentu kerana perlu berulang-alik menghantar anak ke hospital yang terletak kira-kira 144 kilometer dari rumah, manakala isteri menjaga bayi kami yang baru berusia tiga bulan serta anak-anak lain yang masih bersekolah,” katanya. Menurut Brendon, kos rawatan, perjalanan ke hospital, keperluan perubatan, susu, lampin pakai buang, perbelanjaan harian dan persekolahan anak-anak lain semakin menekan kehidupan keluarga mereka. Lebih menyentuh hati, katanya, Mikasa kini hanya menyimpan impian yang cukup sederhana, iaitu mengunjungi beberapa tempat kegemarannya, menikmati makanan yang disukai serta memiliki beberapa permainan yang diinginkan sebelum keadaan kesihatannya semakin merosot. “Kami tidak meminta lebih. Kami hanya berharap sempat menunaikan hasrat terakhirnya dan melihat dia tersenyum. “Jika ada yang sudi membantu walaupun sedikit, kami akan sangat menghargainya. Saya hanya mahu anak saya merasai sedikit kegembiraan dalam waktu yang masih ada,” katanya. Beliau berkata, keluarga terdekat sudah membantu sedaya mampu, namun masing-masing turut mempunyai komitmen sendiri. Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Brendon Salion di talian 017-8288993 untuk mendapatkan maklumat lanjut atau menyalurkan sumbangan secara terus kepada keluarga. Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh juga menyalurkannya ke akaun CIMB Bank 7652453214 atas nama Brendon Salion atau menghubungi beliau di talian 017-8288993 untuk mendapatkan maklumat lanjut. Sumbangan keperluan asas juga boleh dihantar terus ke kediaman keluarga di Kampung Maukab Baru, 89308 Ranau, iaitu di gerai berdinding zink di tepi jalan utama berhampiran simpang Tomporog dan bersebelahan sebuah pusat cuci kereta. – Info X
June 26, 2026
Info X Reporters
Ribuan penyokong dijangka meriahkan Majlis Makan Malam Tahunan United Malaysia
KOTA KINABALU: Ribuan penyokong Manchester United dijangka membanjiri Dewan Hakka, di sini, Sabtu ini, sempena Majlis Makan Malam Tahunan United Malaysia Kali Ke-8, selepas semua tiket rasmi habis dijual. Pengerusi penganjur, Bryan Faurillo, berkata semua tetamu disaran hadir lebih awal bagi mengelakkan kesesakan, khususnya berikutan ruang parkir yang terhad di lokasi majlis. Katanya, sambutan terhadap acara tahunan itu terus meningkat saban tahun hasil semangat yang ditunjukkan ahli dan peminat Manchester United dari seluruh negara. “Setiap tahun majlis ini semakin meriah kerana semangat yang dibawa oleh ahli-ahli kami dan peminat Manchester United. “Tahun ini kami menjangkakan kehadiran ribuan orang dan walaupun kami tidak sabar untuk bertemu semua orang, ruang letak kereta di venue adalah terhad. Hadir awal adalah cara paling bijak untuk memulakan malam tanpa tekanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Faurillo berkata, tetamu yang hadir awal turut berpeluang memenangi cabutan bertuah ‘early bird’ dengan hadiah utama berupa pakej perjalanan ditanggung sepenuhnya ke Old Trafford, gelanggang keramat Manchester United yang dikenali sebagai ‘Theatre of Dreams’. “Anda tidak akan tahu bila pengacara majlis akan mengumumkan cabutan bertuah ‘early bird’. Kami menyediakan sesuatu yang istimewa apabila seorang pemenang bertuah akan membawa pulang hadiah perjalanan ditanggung sepenuhnya ke Old Trafford seawal permulaan majlis. “Jika mahu merebut peluang itu, pastikan anda sudah berada di tempat masing-masing lebih awal,” katanya. Majlis makan malam berkenaan meneruskan tradisi menghimpunkan penyokong Manchester United dari seluruh negara termasuk Kuching, Kuala Lumpur dan Sabah, dengan lebih 1,000 tetamu dijangka hadir. Sebagai sebahagian daripada acara itu, sekurang-kurangnya 10 ahli bertuah akan memenangi pakej perjalanan ditanggung sepenuhnya ke Old Trafford menerusi beberapa siri cabutan bertuah. Pakej berkenaan merangkumi tiket perlawanan, penerbangan dan penginapan, sekali gus merealisasikan impian mana-mana penyokong setia Manchester United untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi di laman sendiri. Faurillo berkata, majlis berkenaan diwujudkan khusus untuk menghargai ahli dan penyokong yang sentiasa memberikan sokongan kepada kelab penyokong rasmi Manchester United di Malaysia. “Kami membina majlis ini untuk ahli dan peminat kami. Merekalah sebab ia menjadi kenyataan, sama seperti di Kuching dan Kuala Lumpur sebelum ini. “Jadi hadirlah awal, datanglah dengan selera dan bersedialah menjadi sebahagian daripada sesuatu yang istimewa. Mari kita jadikan majlis ini yang terbesar dan paling ‘United’ setakat ini,” katanya. – Info X
June 26, 2026
Info X Reporters
351 PATI dihantar pulang ke Indonesia, Filipina
KOTA KINABALU: Seramai 351 tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dan Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI Siri 7/2026 yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, semalam. Program pemindahan itu membabitkan 213 warganegara Indonesia yang dipindahkan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar dan Sandakan melalui Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan menggunakan feri Francis Express dan Labuan Express. Pada masa sama, seramai 138 lagi tahanan PATI warganegara Filipina dari Depot Imigresen Tawau dihantar pulang melalui Pelabuhan Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi menggunakan feri komersial. Menerusi hantaran di Facebook rasmi, JIM Sabah memaklumkan kesemua tahanan yang dipindahkan terdiri daripada 235 lelaki dewasa, 58 wanita dewasa, 30 kanak-kanak lelaki dan 28 kanak-kanak perempuan berusia antara setahun hingga 75 tahun. Katanya, tahanan terbabit dipindahkan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar, Sandakan dan Tawau selepas selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk dihantar pulang ke negara asal. “Sehingga kini, seramai 3,990 tahanan PATI telah dipindahkan ke negara asal, membabitkan 1,207 warganegara Indonesia dan 2,578 warganegara Filipina. “Program pemindahan ini akan diteruskan secara berkala sebagai sebahagian daripada usaha penguatkuasaan undang-undang imigresen serta pengurusan tahanan asing di Sabah,” menurut kenyataan itu. JIM Sabah turut menggesa orang ramai supaya tidak melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) serta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan berkenaan melalui saluran rasmi jabatan. Menurutnya, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana majikan yang menggaji atau melindungi pekerja asing tanpa dokumen sah. Majikan yang didapati melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63, termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan bagi kesalahan melindungi atau bersubahat dengan PATI. – Info X
June 25, 2026
Info X Reporters
Suami tetak isteri akibat cemburu
KOTA MARUDU: Seorang wanita parah akibat ditetak suami yang dikatakan cemburu selepas dituduh berbual dengan jiran lelaki, dalam kejadian Kampung Mangkupa, di sini, pada Khamis. Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa yang berusia 40 tahun dilaporkan terselamat namun mengalami 14 kecederaan termasuk kesan tetakan di leher. Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Somiun Lomidin berkata, hasil siasatan awal, suspek warga Indonesia berusia 50 tahun sudah berkahwin dengan mangsa selama 19 tahun dan mempunyai enam orang anak. Katanya, sebelum kejadian, mangsa yang pergi ke halaman rumah ditegur oleh suspek dan mengarahkannya supaya tidak berbual dengan jiran-jiran lelaki. “Mangsa kemudiannya menafikan ada berbual dengan jiran lelaki sehingga berlaku pertengkaran mulut antara pasangan suami isteri terbabit. “Suspeknyang berang dikatakan bertindak mengambil parang di dapur sebelum memyerang mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, mangsa kemudiannya ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh anak saudara sebelum salah seorang jiran menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan. Katanya, hasil temubual dengan mangsa di Wad Kecemasan Hospital Kota Marudu, wanita terbabit mendakwa kejadian berpunca dari sikap cemburu suspek yang melihatnya bertegur dengan jiran–jiran lelaki. “Malah suspek dikatakan sering menuduh isterinya mempunyai hubungan sulit dengan jiran namun mangsa menafikannya. “Mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan akan dirujuk ke Hospital Queen Elizebeth (HQE) Kota Kinabalu untuk rawatan selanjutnya. “Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X