Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

August 29, 2026

Info X Reporters

Angin kuat mengakibatkan 18 kes pokok tumbang di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Angin kuat yang melanda sekitar bandar raya ini mengakibatkan 18 kejadian pokok tumbang di beberapa lokasi sejak petang hingga lewat malam tadi. Kejadian itu menyebabkan beberapa laluan terhalang, kabel telekomunikasi terjejas, manakala tiga kenderaan tersangkut selepas dihempap pokok tumbang. Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Kinabalu, Mejar (PA) Aizex Junior Simon berkata, pihaknya menerima laporan pertama pada 7.36 malam dan panggilan kecemasan terus diterima sehingga 11 malam. “Sebanyak tiga pasukan digerakkan bagi menangani semua kejadian berkenaan, membabitkan dua pasukan dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kota Kinabalu dan satu pasukan dari Pusat Kawalan Operasi Unit Sulaman. “Operasi keseluruhan membabitkan dua pegawai dan 13 anggota yang ditugaskan memotong serta mengalihkan pokok tumbang,” katanya ketika dihubungi. Menurutnya, antara kawasan terjejas ialah Menggatal, Kepayan, Sembulan, Inanam, Likas, Iramanis, Jalan Damai dan Jalan Gudon. Katanya, dalam kejadian di Pusat Pengembangan Akuakultur Sabah, Menggatal, sebatang pokok tumbang menghempap deretan kenderaan di kawasan parkir sehingga menyebabkan tiga kenderaan tersangkut. “Di Hartamas Heights, Jalan Kepayan Kobusak pula, sebatang pokok mata kucing setinggi bangunan dua tingkat tumbang di hadapan sebuah apartmen. “Pokok berkenaan turut terkena kabel telekomunikasi dan menghalang laluan yang digunakan kira-kira 200 penghuni. “Empat anggota lengkap memakai peralatan perlindungan diri menjalankan kerja pemotongan menggunakan tiga gergaji berantai,” katanya. Beliau berkata, pokok berkenaan berjaya dipotong dan dialihkan sepenuhnya sebelum operasi di lokasi itu selesai pada 9.06 malam. Mengulas lanjut, Aizex berkata, kejadian pokok tumbang turut dilaporkan di hadapan SK Sembulan, Klinik Inanam, Lorong 19 Kampung Warisan, Radiant Tower A di Likas, Iramanis Centre, Sekolah Menengah Sabah Tshung Tsin, Stadium Likas dan Taman Cerah, Jalan Gudon. Katanya, anggota APM bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain bagi mengalihkan pokok tumbang, membuka semula laluan serta memastikan kawasan terjejas selamat untuk orang ramai. “Setakat ini, tiada kecederaan dilaporkan dalam semua kejadian berkenaan,” katanya. – Info X

August 28, 2026

Info X Reporters

Sang Badak belasah Penang 2-0 di Likas

KOTA KINABALU: Sabah FC menepati sasaran untuk mencipta kemenangan kedua Liga Super musim ini apabila menundukkan Penang FC 2-0 di Stadium Likas, malam ini. Meskipun beraksi di padang yang licin akibat hujan lebat ditambah angin kencang, Sang Badak gagal dijinakkan pasukan Penang yang datang dengan misi untuk menidakkan kemaraan tuan rumah. Gol kemenangan Sabah masing-masing dijaringkan pada separuh masa pertama dan kedua oleh penyerangnya, Gonzalo Ignacio Di Renzo dan pemain pertahanan, Abdul Hanafie Tokyo Abdul Hasim. Di Renzo menghadiahkan gol pertama Sabah pada minit ke-40, manakala Hanafie Tokyo pada minit ke-53. Aksi babak pertama berakhir dengan hanya seminit masa tambahan, tanpa sebarang perubahan kedudukan yang menyaksikan Sabah mendahului 1-0. Beralih ke separuh masa kedua, Hanafie Tokyo mendapat peluang yang baik untuk menewaskan penjaga gol Penang, Mohd Ramdhan Ab Hamid pada minit ke-53 untuk Sabah selesa di hadapan dengan kedudukan 2-0. Selepas itu, Sabah berdepan asakan pemain Penang yang terdesak mencari gol untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan, khususnya ketika perlawanan memasuki 15 minit terakhir. Beberapa situasi dan cubaan berbahaya berjaya dicipta pemain lawan, namun pertahanan tuan rumah yang kental menyukarkan usaha mereka membolosi gawang Sabah. Tuan rumah hampir dibolosi menerusi sepakan percuma Penang FC dari luar kotak penalti Sabah pada minit ke-88, namun berjaya ditampan penjaga gol Sang Badak, Juan Flere. Ia adalah usaha akhir pasukan lawan untuk mendapatkan jaringan pada minit akhir perlawanan, sebelum dihadiahkan sepakan sudut pada minit kecederaan, namun masih gagal mendapat sebarang gol. Sang Badak turut mendapat peluang akhir pada minit kecederaan apabila dihadiahkan sepakan percuma, namun gagal membuahkan hasil. Kemenangan 2-0 pada malam ini menepati sasaran Sabah FC untuk sekali lagi memenangi perlawanan awal Liga Super musim ini selepas menewaskan Star City FC 3-1 pada Isnin lalu. – Info X

August 28, 2026

Info X Reporters

Jerit minta tolong sebelum tenggelam dalam parit

BEAUFORT: Seorang kanak-kanak lelaki sempat menjerit meminta pertolongan sebelum tenggelam selepas tergelincir ke dalam parit kebun sawit di Jalan Dua, Kampung Rancangan Klias, di sini, petang tadi. Dalam kejadian kira-kira 5.45 petang itu, mangsa berusia 10 tahun dipercayai berjalan di tebing parit bersama rakannya sebelum tergelincir akibat keadaan tanah yang licin selepas hujan. Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, mangsa yang tidak pandai berenang kemudian menjerit meminta pertolongan selepas terjatuh ke dalam parit berkenaan. “Rakannya yang panik dan tidak dapat membantu mangsa segera berlari memaklumkan kejadian itu kepada bapa mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah berhampiran. “Bapa mangsa kemudian bergegas ke lokasi kira-kira satu kilometer di belakang rumah mereka sebelum terjun ke dalam parit untuk mencari anaknya,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, ketika berada di dalam parit, bapa mangsa terpijak kaki anaknya sebelum menarik mangsa naik ke tebing. Katanya, lelaki itu cuba memberikan bantuan pernafasan, namun tidak berjaya sebelum membawa mangsa pulang ke rumah. “Pasukan perubatan Hospital Beaufort yang tiba di rumah mangsa kemudian menjalankan pemeriksaan dan mengesahkan kanak-kanak itu sudah meninggal dunia,” katanya. Champin berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati parit berkenaan baru dibersihkan dan didalamkan serta mempunyai ketinggian kira-kira tiga meter dengan kedalaman air mencecah dua meter. “Paras air dipercayai meningkat berikutan hujan ketika kejadian. “Pemeriksaan luaran oleh pegawai perubatan di Bahagian Forensik Hospital Beaufort tidak menemukan sebarang kesan perbuatan jenayah pada tubuh mangsa,” katanya. Menurutnya, bedah siasat dijadualkan dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Beaufort pagi ini bagi mengenal pasti punca kematian. “Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut dan siasatan lanjut diteruskan,” katanya. Sementara itu, Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa mengawasi anak-anak dan tidak membenarkan mereka keluar tanpa ditemani orang dewasa, terutama ketika berada berhampiran sungai atau kawasan berair. “Ibu bapa perlu mengetahui lokasi anak-anak bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya. – Info X

August 28, 2026

Info X Reporters

Lima selamat, pokok tumbang hempap dua kenderaan

PENAMPANG: Lima individu terselamat selepas dua kenderaan dinaiki mereka dihempap sebatang pokok tumbang di The Garden Condominium, di sini, malam ini. Kejadian itu menyebabkan Toyota Avanza dan Toyota Vanguard berkenaan mengalami kerosakan, namun semua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan selamat. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.54 malam sebelum tujuh anggota bergegas ke lokasi. “Pasukan bomba yang tiba empat minit kemudian mendapati sebatang pokok tumbang menghempap dua kenderaan terbabit. “Terdapat lima mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu, namun semuanya berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan. Menurutnya, anggota bomba menggunakan gergaji berantai untuk memotong pokok berkenaan sebelum mengalihkannya ke kawasan selamat. Katanya, tindakan itu dilakukan bagi menghapuskan risiko bahaya terhadap penghuni kondominium dan orang ramai di kawasan berkenaan. “Operasi ditamatkan pada 8.28 malam selepas pemeriksaan mendapati tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya. – Info X

August 28, 2026

Info X Reporters

Enam termasuk tiga wanita didakwa edar ekstasi

TAWAU: Enam individu didakwa di Mahkamah Majistret Tawau, di sini, atas pertuduhan mengedar 659.16 gram dadah jenis ekstasi dan memiliki 1.16 gram ketamin pada Jumaat. Tertuduh berusia 20 hingga 39 tahun itu ditahan pada Rabu lalu menerusi satu serbuan di sebuah rumah inap mewah di Taman Nordin, di sini. Mereka ialah Lisyanti Ibrahim, Andi Moh Arifai Tatta, Chang Vui Hiung, Sherlin Liew Zi Ling, Muhammad Haikal Daniel Azman dan Shazzreena. Berdasarkan kertas pertuduhan, keenam-enam tertuduh didakwa secara bersama mengedar dadah MDMA atau ekstasi seberat 659.16 gram di sebuah rumah inap di Taman Nordin, Jalan Kuhara, kira-kira jam 4.30 pagi, 26 Ogos lalu. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan bagi pertuduhan itu kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Dalam pertuduhan berasingan, semua tertuduh mengaku bersalah memiliki ketamin seberat 1.16 gram mengikut Seksyen 12(2) akta sama. Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menetapkan 18 September depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Jeffery Kadison.-Info X

August 28, 2026

Info X Reporters

Jawatan KPD Kinabatangan bukan amanah ringan – Janeve

KINABATANGAN: Ketua Polis Daerah Kinabatangan yang baharu, Superintendan Janeve Sindih bertekad melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman masyarakat di daerah itu dengan penuh komitmen, ketegasan serta kebijaksanaan. Janeve yang sebelum ini bertugas sebagai Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berkata, pelantikan berkenaan bukan sekadar membawa perubahan pangkat dan gelaran, sebaliknya menjadi pengiktirafan terhadap amanah serta tanggungjawab lebih besar yang perlu dipikul. “Saya sedar jawatan Ketua Polis Daerah bukan satu jawatan yang ringan. Ia menuntut komitmen, ketegasan, kebijaksanaan dan kesediaan memikul tanggungjawab dalam apa juga keadaan. “Saya menerima pelantikan ini dengan penuh rasa rendah diri dan akan menjadikannya sebagai satu amanah yang dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kinabatangan, di sini, hari ini. Majlis berkenaan disaksikan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan turut dihadiri Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Sabah, Datin Nurhayatie Farhana Abdullah. Turut hadir, Timbalan Ketua Cawangan khas Risikan dan Operasi Kontinjen Sabah, Asisten Komisioner Kamarudin Sulaiman; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil serta beberapa ketua polis daerah dan pegawai kanan PDRM. Sementara itu, Janeve turut merakamkan penghargaan kepada pucuk pimpinan PDRM, khususnya kepimpinan PDRM Sabah, atas kepercayaan yang diberikan kepadanya. Menurutnya, setiap kenaikan pangkat membawa bersama kepercayaan organisasi dan harapan lebih tinggi terhadap pegawai yang menerimanya. “Saya melihat hari ini bukan sebagai titik akhir kepada satu perjalanan, tetapi permulaan kepada amanah baharu. “Kepercayaan yang diberikan adalah satu tanggungjawab yang akan saya jaga,” katanya. Beliau turut menghargai pengorbanan isterinya, Chong Set Fui, yang juga Pengerusi PERKEP IPD Kinabatangan, serta anak-anak dan seluruh ahli keluarga sepanjang perkhidmatannya dalam PDRM. Katanya, di sebalik setiap kenaikan pangkat, pertukaran penempatan dan tuntutan tugas, terdapat pengorbanan isteri serta keluarga yang tidak selalu kelihatan. “Pencapaian yang diterima hari ini bukan kejayaan saya seorang, sebaliknya turut menjadi kejayaan keluarga yang banyak berkorban dan memberikan sokongan,” katanya. – Info X

August 28, 2026

BERNAMA

Ibu bapa, jurulatih jangan pandang ringan sakit lutut remaja

KUALA LUMPUR: Ibu bapa dan jurulatih sukan dinasihatkan supaya tidak menganggap sakit lutut berterusan dalam kalangan remaja sebagai kecederaan sukan biasa atau growing pains kerana ia mungkin merupakan tanda awal osteosarkoma, iaitu kanser tulang yang agresif. Osteosarkoma merupakan kanser tulang yang kerap menyerang kanak-kanak dan remaja, dengan kira-kira 75 peratus kes berlaku sebelum pesakit mencapai usia 25 tahun dan kadar insiden sebanyak 4.4 kes bagi setiap sejuta orang setahun. Pakar Bedah Onkologi Ortopedik di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Tie Teck Liang berkata osteosarkoma lazimnya berkembang di sekitar kawasan lutut, menyebabkan simptomnya mudah disalah anggap sebagai kecederaan akibat aktiviti fizikal, seterusnya menyumbang kepada kelewatan diagnosis. “Biasanya, sakit akibat kecederaan sukan akan berkurangan dengan rehat dan ubat tahan sakit. Namun, jika sakit berterusan lebih dua minggu, kekal teruk atau ubat tahan sakit tidak lagi berkesan, perlu segera mendapatkan pemeriksaan doktor,” katanya dalam kenyataan. Beliau berkata corak kesakitan lebih penting untuk diberi perhatian berbanding tahap kesakitan semata-mata, terutama apabila kesakitan menyebabkan anak terjaga daripada tidur pada waktu malam, selain terdapat benjolan, kaki bengkak atau anak mula berjalan terincut-incut tanpa punca yang jelas. Mengulas mengenai kesukaran mengenal pasti osteosarkoma pada peringkat awal, Dr Tie berkata berbeza dengan kecederaan tisu biasa, tumor kanser boleh membesar dengan cepat dalam tubuh kanak-kanak serta melibatkan saraf dan saluran darah berdekatan, sekali gus menjadikan rawatan lebih kompleks. “X-ray merupakan langkah pertama yang lazim dalam menilai kesakitan tulang yang berterusan kerana ia boleh mendedahkan perubahan tulang yang tidak normal dan membantu doktor menentukan langkah seterusnya,” katanya. Beliau berkata sekiranya terdapat perubahan yang mencurigakan pada X-ray, pemeriksaan lanjut seperti pengimejan resonans magnetik (MRI) mungkin diperlukan untuk menentukan saiz tumor serta hubungannya dengan saraf dan saluran darah berhampiran. Dr Tie turut mengingatkan bahawa biopsi atau pengambilan sampel tisu perlu dirancang dengan teliti dan sebaiknya dilakukan oleh pakar bedah yang akan mengendalikan pembedahan muktamad pesakit bagi mengurangkan risiko pencemaran tisu. “Biopsi yang tidak dirancang dengan baik boleh mencemarkan tisu sekeliling, merumitkan proses rekonstruksi, meningkatkan risiko kanser berulang serta menambah risiko anggota badan perlu diamputasi,” katanya. Beliau berkata kemajuan dalam rawatan kini membolehkan pembedahan menyelamatkan anggota badan dilakukan bagi kes terpilih, termasuk melalui kaedah rekonstruksi biologi seperti krioterapi. Menerusi kaedah itu, bahagian tulang pesakit yang terjejas dibuang dan dirawat menggunakan nitrogen cecair pada suhu -196 darjah Celsius bagi memusnahkan sel kanser sebelum tulang berkenaan diimplan semula. “Kelebihannya ialah kita menggunakan tulang pesakit sendiri, sekali gus mengurangkan isu seperti ketidakpadanan saiz dan menyokong penyembuhan tulang semula jadi dalam beberapa kes. “Bagi kanak-kanak, pendekatan ini juga boleh membantu meminimumkan perbezaan panjang anggota serta mengekalkan fungsi jangka panjang,” katanya. Beliau berkata proses rawatan dan pemulihan, termasuk kemoterapi serta pembedahan boleh mengambil masa kira-kira setahun, namun diagnosis awal penting bagi meningkatkan peluang mengekalkan anggota badan dan membolehkan pesakit kembali menjalani kehidupan aktif dan normal.– BERNAMA

August 28, 2026

BERNAMA

Jerebu berisiko jejas individu sihat jika terdedah berpanjangan – Pakar

KUALA LUMPUR: Jerebu bukan sahaja memberi risiko kesihatan kepada golongan rentan seperti kanak-kanak, warga emas dan pesakit asma namun boleh menjejaskan individu sihat sekiranya terdedah kepada pencemaran udara secara berpanjangan.  Pakar Perunding Kanan Perubatan Kecemasan Universiti Malaya Prof Datuk Dr Rishya Manikam berkata zarah halus dalam jerebu boleh memasuki saluran pernafasan secara berterusan, sekali gus meningkatkan risiko masalah seperti batuk, selesema, sakit tekak dan kesukaran bernafas. “Tidak semestinya kerana kita sihat, jerebu tidak akan mengganggu kita. Kalau itu persepsinya, perkara itu salah,” katanya menerusi program Fokus 15 bertajuk “Bila Setiap Nafas Jadi Risiko” terbitan Bernama TV di sini, hari ini. Dr Rishya berkata kesan pendedahan terhadap pencemaran udara lebih cepat dirasai oleh golongan yang mempunyai masalah kesihatan seperti asma dan penyakit paru-paru kronik serta kanak-kanak, wanita hamil dan warga emas. Sehubungan dengan itu, beliau berkata peningkatan gejala pernafasan ketika musim jerebu tidak seharusnya dianggap sebagai perkara biasa kerana jangkitan lain juga boleh berlaku dan memerlukan pemeriksaan doktor. Katanya, antara simptom yang memerlukan rawatan segera termasuklah sakit atau dada berasa sempit, tercungap-cungap ketika melakukan aktiviti yang biasanya tidak menyebabkan keletihan, demam serta batuk berkahak secara berterusan. “Masyarakat disaran memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di kawasan masing-masing dan mengurangkan aktiviti luar apabila tahap pencemaran meningkat. “Kalau boleh, sekiranya tempat itu IPU tinggi, jangan buat aktiviti luar kerana lebih banyak kita buat aktiviti luar, lebih laju pernafasan kita, lebih banyak zarah itu masuk ke saluran pernafasan,” katanya. Beliau turut menasihati pesakit asma untuk sentiasa membawa inhaler selain orang ramai disaran mendapatkan rawatan awal sekiranya gejala bertambah teruk.— BERNAMA