June 9, 2026
Info X Reporters
Gara-gara 10 ekor ikan ‘bom’, tiga lelaki didenda RM2,000
TAWAU: Tiga lelaki masing-masing didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah memiliki 10 ekor ikan yang dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan pada awal bulan ini. Tertuduh, Tarasani Baltapa, 50, Jumsele Ingsang, 38, dan Mahandias Sabturani, 37, masing-masing diperintah membayar denda itu atau berdepan penjara tiga bulan jika gagal membuat bayaran. Hukuman itu dijatuhkan hakim Ahmad Faizadh Yahaya selepas pertuduhan dibacakan terhadap ketiga-tiga tertuduh di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Selasa. Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka didapati memiliki 10 ekor ikan yang dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan ketika berada di sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran di perairan Tanjung Kiraz, pada jam 2.30 petang, 2 Jun lalu. Berikuran itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 26(1)(c) Akta Perikanan 1985 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25(b) akta sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Laester Bulun, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X
June 9, 2026
Info X Reporters
Aktiviti digital undang risiko penipuan dalam talian
KOTA KINABALU: Peningkatan aktiviti digital dalam kalangan pengguna meningkatkan risiko penipuan dalam talian, penyalahgunaan data peribadi dan penyebaran maklumat tidak sahih. Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata itu antara kesan buruk teknologi digital yang membuka kepada pelbagai kemudahan untuk pengguna. “Peningkatan aktiviti digital dalam kalangan pengguna membuka ruang kepada pelbagai kemudahan, namun pada masa yang sama turut meningkatkan risiko penipuan dalam talian, penyalahgunaan data peribadi serta penyebaran maklumat tidak sahih. “Scammer bergerak pantas. Justeru, kesedaran dan tindakan semua pihak juga mesti bergerak lebih pantas,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan bersama Mesyuarat Gerakan Pengguna Negeri (GPN) Sabah, di sini, pada Isnin. Berikutan situasi itu, beliau menegaskan perlunya usaha memperkukuh literasi digital dan kesedaran pengguna sebagai fokus penting membabitkan pelbagai agensi berkaitan. Sementara itu, katanya GPN Sabah akan terus memperkukuh perlindungan pengguna melalui pendekatan rentas agensi bagi menangani cabaran semasa yang melibatkan kos sara hidup, keselamatan makanan, transaksi digital dan ancaman penipuan dalam talian. Katanya, Mesyuarat GPN Sabah Bil 1/2026 pada Isnin itu menjadi platform penting dalam menyelaras pandangan serta memperkukuh kerjasama antara pelbagai kementerian, agensi penguatkuasaan, badan pengguna dan pihak berkepentingan. “Pendekatan rentas agensi adalah sangat penting kerana cabaran kepenggunaan hari ini tidak lagi bersifat tunggal, sebaliknya melibatkan pelbagai bidang termasuk ekonomi, keselamatan makanan dan keselamatan digital,” katanya. Pada masa yang sama, Julita berkata isu kos sara hidup dan keselamatan makanan turut diberikan perhatian berterusan melalui kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara. Beliau turut menegaskan bahawa GPN Sabah akan terus berperanan sebagai platform penyelarasan strategik dalam memperkukuh tindakan bersepadu antara agensi kerajaan dan rakan strategik berkaitan kepenggunaan. “Pengguna yang berilmu ialah pengguna yang berdaya, dan ini adalah asas kepada perlindungan pengguna yang lebih berkesan,” katanya. Beliau berharap kerjasama yang diperkukuh melalui GPN Sabah akan terus menyumbang kepada usaha melindungi kepentingan pengguna serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri ini. Turut hadir ialah Pengerusi GPN Sabah, Shahril Nizam Shahidin; Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KWKKR), Datuk Maria Chong; Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, Fredeck Kantod dan Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Datuk Dr Ts Ramle Kasin. Hadir sama Pengarah Jabatan Kimia Sabah, Ts Harun Ahmad; Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Sabah, Ratnawaty Talib; Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKAS), Dr Cleopatra @ Clare Asing; Presiden Pertubuhan Hal Ehwal dan Pelindung Pengguna Sabah (CAPS), James Bagah; Presiden Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Sabah, Kevin Loh Kian Min; dan Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (Cawangan Sabah), David Chan. – Info X
June 9, 2026
Info X Reporters
‘Siapkan segera projek pembinaan sekolah’
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan digesa memberi keutamaan kepada semua projek pembinaan dan naik taraf sekolah daif di Sabah serta memastikan segala proses kelulusan yang masih tertangguh dapat dipercepatkan. Menyuarakan gesaan itu, ADUN Likas, Tham Yun Fook, berkata rakyat tidak memerlukan tinjauan kosong, alasan atau janji baharu, sebaliknya mahukan tindakan, garis masa yang jelas dan komitmen tegas memastikan pembinaan sekolah dapat disiapkan secepat mungkin. “Pendidikan adalah hak setiap anak Malaysia. Kegagalan menyiapkan sebuah sekolah selama bertahun-tahun tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang normal dan tidak seharusnya berulang lagi di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Pemimpin Parti Warisan yang juga bekas Pegawai Pendidikan itu mengulas projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkon di Kota Marudu yang dilaporkan terbengkalai kerana belum siap setelah 16 tahun dilaksanakan. Isu sekolah itu sebelum ini dibangkitkan Ketua Wira Warisan Kota Marudu, Anizam Abd Rahman, kemudian disusuli tinjauan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk James Ratib. “Saya juga menyambut baik keprihatinan yang ditunjukkan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, yang turun padang meninjau sendiri keadaan projek SMK Langkon di Kota Marudu. “Namun demikian, lawatan semata-mata tidak memadai. Rakyat Sabah, khususnya pelajar, ibu bapa dan guru-guru, mahukan jawapan yang jelas mengenai bilakah projek ini akan disiapkan dan dapat digunakan sepenuhnya,” katanya. Katanya, beliau difahamkan syarikat kontraktor penyiap projek pembinaan sekolah itu diisytihar muflis pada tahun lalu. Berikutan itu, katanya beliau dimaklumkan Bahagian Pembangunan Kementerian Pendidikan (KPM) Seksyen Sabah sedang dalam proses mendapatkan kelulusan Kementerian Kewangan (MOF) untuk membuka tender baharu, termasuk semakan semula kos projek serta kelulusan berkaitan pertukaran kontraktor. “Kita dimaklumkan bahawa kerja-kerja pembinaan bangunan sekolah itu sudah siap hampir 86 peratus.Persoalannya, bilakah proses ini akan selesai dan bilakah pembinaan dapat diteruskan? Selepas 16 tahun menunggu, rakyat berhak diberikan garis masa yang jelas dan telus,” katanya. Betikutan itu, beliau menggesa Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah serta Menteri Pendidikan Malaysia memberi penjelasan mengenai jangka masa penyiapan SMK Langkon dan status terkini projek pembinaan bangunan baharu SK Simpangan di Paitan. “Bilakah sekolah di tapak baharu itu dijangka siap dan boleh digunakan oleh para pelajar? “Kedua-dua projek ini melibatkan masa depan anak-anak Sabah. Kerajaan tidak boleh membiarkan murid-murid terus menumpang di sekolah lain dalam tempoh yang terlalu lama sehingga menjejaskan keselesaan, keselamatan dan keberkesanan proses pembelajaran. “Anak-anak Sabah berhak menikmati persekitaran pendidikan yang kondusif dan setanding dengan pelajar di negeri-negeri lain,” katanya. Jelas Tham lagi, SMK Langkon dan SK Simpangan bukan sekadar isu pembinaan bangunan sekolah, sebaliknya mencerminkan cabaran yang lebih besar dalam pembangunan pendidikan di Sabah, termasuk kelewatan projek, sekolah daif, kekurangan kemudahan asas dan jurang pembangunan pendidikan antara Sabah dan Semenanjung,” katanya. – Info X
June 9, 2026
Info X Reporters
Kokain RM2 juta dalam bungkusan kurier tumpas
KOTA KINABALU: Cubaan menyeludup dadah jenis kokain dan ganja bernilai hampir RM3 juta menggunakan perkhidmatan kurier berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menerusi serbuan di Tawau bulan lalu. Rampasan membabitkan 4.6 kilogram kokain dan 10.65 kilogram ganja itu menjadi antara kejayaan terbesar direkodkan JKDM Sabah tahun ini dalam usaha membanteras pengedaran dadah di negeri ini. Pengarah Kastam Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, dadah berkenaan ditemui hasil pemeriksaan ke atas dua kotak mencurigakan di sebuah premis perkhidmatan kurier di Tawau pada 21 Mei lalu kira-kira jam 11.45 pagi. Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui 10 plastik putih mengandungi ketulan disyaki kokain dan 10 bungkusan aluminium foil berwarna jingga yang mengandungi bunga kering disyaki ganja. “Kokain yang dirampas seberat 4.6 kilogram dianggarkan bernilai RM2,048,823 manakala ganja seberat 10.65 kilogram bernilai RM851,712.80. “Jumlah keseluruhan rampasan bagi kes ini adalah RM2,900,535.80,” katanya pada sidang media, hari ini. Beliau berkata, ujian saringan awal mengesahkan kedua-dua bahan berkenaan menunjukkan tindak balas positif terhadap dadah berbahaya yang dipercayai kokain dan ganja. Menurutnya, siasatan mendapati sindiket menggunakan perkhidmatan kurier sebagai modus operandi untuk menghantar bahan terlarang bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. “Hasil siasatan awal mendapati dadah berkenaan dipercayai destinasi akhirnya adalah Lahad Datu. Bagaimanapun, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti dan mengesan pemilik serta individu yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan itu. “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan,” katanya. Dalam perkembangan sama, beliau berkata JKDM Sabah turut merekodkan beberapa rampasan lain membabitkan rokok dan minuman keras tidak berkastam di Keningau, Kota Kinabalu, Kuala Penyu dan Tawau. “Antara rampasan berkenaan ialah 279,400 batang rokok tidak berkastam bernilai RM251,618.80 di Keningau, 15,840 liter bir bernilai RM341,946 di Pelabuhan Sepanggar, 4,992 liter bir bersama sebuah lori di Kuala Penyu serta 61,200 batang rokok pelbagai jenama yang disorokkan dalam sebuah Toyota Fortuner di Tawau. “Turut dirampas sebuah Honda Jazz bernilai RM63,250 yang dipercayai tidak berkastam di Kampung Tinagat, Tawau. “Secara keseluruhan, nilai rampasan melibatkan dadah, rokok, minuman keras dan kenderaan dalam tujuh kes berasingan itu melebihi RM4 juta,” katanya. Ahmad Taufik berkata, JKDM akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan bagi mengekang kegiatan penyeludupan yang bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah mengancam keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. – Info X
June 9, 2026
Info X Reporters
Tiga cedera, rumah dan dua kenderaan musnah terbakar
TUARAN: Tiga individu termasuk seorang kanak-kanak perempuan cedera dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah di Kampung Minangkob, Jalan Tamparuli – Ranau, di sini, awal pagi tadi. Kebakaran itu turut memusnahkan sebuah Toyota Vios dan Perodua Viva, manakala sebuah Proton Persona mengalami kerosakan pada bahagian belakang. Semua mangsa yang cedera diberikan rawatan sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kurong Ak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.38 pagi sebelum mengerahkan lapan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian. Menurutnya, setibanya di lokasi pasukan bomba mendapati sebuah rumah terbakar 100 peratus. “Turut terbakar sepenuhnya ialah sebuah Toyota Vios dan Perodua Viva, manakala sebuah Proton Persona mengalami kerosakan di bahagian belakang dengan anggaran kemusnahan sebanyak 25 peratus. “Terdapat tiga mangsa terlibat dalam kejadian ini iaitu seorang wanita berusia 54 tahun yang cedera ketika menyelamatkan diri, seorang lelaki berusia 36 tahun mengalami serangan asma dan seorang kanak-kanak perempuan melecur pada bahagian kaki,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, semua mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba sebelum seorang mangsa dihantar ke Hospital Tuaran oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala dua lagi mangsa dibawa oleh pasukan EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut. Katanya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 122 meter dengan satu pancutan menggunakan sumber air daripada jentera bomba. “Api berjaya dikawal pada jam 3.40 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.05 pagi selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian. “Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X
June 8, 2026
Info X Reporters
Lima rumah terbakar di Taman Guan Soon Tawau
TAWAU: Lima rumah musnah dalam kebakaran di Lorong Haji Safie, Jalan Datuk Titingan, Taman Guan Soon, di sini, petang tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 3.34 petang itu, bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan cedera atau terkorban. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemisin Ujin berkata, sepasukan 17 anggota bersama beberapa jentera dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999. Katanya, jentera pertama tiba di lokasi enam minit kemudian dan mendapati kebakaran membabitkan lima rumah dengan tahap kemusnahan yang berbeza. “Rumah pertama jenis separuh kekal berkeluasan 40×40 kaki persegi terbakar kira-kira 60 peratus. “Empat lagi rumah jenis tidak kekal masing-masing berkeluasan 30×40 kaki persegi, 80×30 kaki persegi, 40×30 kaki persegi dan 10×15 kaki persegi musnah sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Jemisin berkata, operasi pemadaman turut dibantu lima anggota Bomba Komuniti Kampung Titingan serta agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan RELA. Menurutnya, pasukan bomba menggunakan satu aliran sepanjang 400 kaki dengan tiga pancutan air daripada jentera Water Tanker untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan berhampiran. “Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.55 petang sebelum operasi ditamatkan pada jam 5.46 petang selepas pemeriksaan mendapati tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian. “Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya. – Info X
June 8, 2026
Info X Reporters
Pemandu Hilux ekori ambulans di Kundasang kena tindakan
RANAU: Tindakan seorang lelaki memandu dan memotong kenderaan secara berbahaya di Jalan Kundasang – Mesilou, di sini, mengundang padah apabila dikenakan tindakan penguatkuasaan polis selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial. Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 10 saat yang dimuat naik menerusi Facebook Complaint Sabah kira-kira jam 8 pagi, 5 Jun lalu. Katanya, video berkenaan memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu secara berbahaya ketika memotong kenderaan lain di laluan berkenaan. “Susulan itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Ranau menjalankan siasatan sebelum berjaya mengesan pemandu terbabit yang merupakan lelaki tempatan berusia 58 tahun. “Hasil siasatan mendapati tindakan pemandu berkenaan melanggar peraturan lalu lintas dan tindakan penguatkuasaan telah diambil mengikut Kaedah 6(1), Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana memotong kenderaan lain dalam keadaan yang boleh menyebabkan bahaya atau kesulitan kepada pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Mursalin berkata, polis memandang serius sebarang bentuk pelanggaran undang – undang jalan raya yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya serta meningkatkan risiko kemalangan. Menurutnya, semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, mengamalkan pemanduan berhemah dan bertimbang rasa ketika berada di jalan raya demi keselamatan bersama. “Polis tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang serta peraturan jalan raya yang berkuat kuasa,” katanya. Terdahulu, tular satu video di media sosial memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux didakwa dipandu secara berbahaya sehingga hampir melanggar sebuah ambulans yang sedang membawa pesakit. Menerusi hantaran itu, individu yang memuat naik video berkenaan mendakwa kenderaan terbabit mengejar ambulans sambil memandu rapat dari belakang sebelum berhenti mengekori mereka sebaik tiba di pekan Kundasang. Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 4 petang pada 1 Jun lalu di Jalan Desa Mesilou menghala ke pekan Kundasang. – Info X
June 8, 2026
Info X Reporters
MCMC arah tindakan segera tingkat kualiti liputan komunikasi di Kampung Tinagat
TAWAU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan tindakan segera dilaksanakan oleh penyedia perkhidmatan komunikasi bagi meningkatkan kualiti liputan di Kampung Tinagat di sini, selepas menerima aduan berkaitan perkhidmatan selular yang tidak memuaskan di kawasan berkenaan. MCMC dalam kenyataan memaklumkan, lawatan ke Kampung Tinagat telah dilakukan susulan aduan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, DatukNizam Abu Bakar Titingan serta penduduk setempat. Lawatan itu turut disertai oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tinagat. Dalam lawatan berkenaan, MCMC telah melaksanakan sesi pengujian kualiti liputan dan prestasi perkhidmatan komunikasi menggunakan Wireless Broadband Access Service (WBAS) di tiga lokasi yang dikenal pasti di kawasan terbabit. Hasil pengujian mendapati dua daripada tiga lokasi tidak memenuhi standard mandatori yang ditetapkan oleh MCMC, sekali gus menunjukkan keperluan segera untuk tindakan pembaikan oleh penyedia perkhidmatan terlibat. Dapatan ujian kemudian dimaklumkan kepada penyedia perkhidmatan pada 29 Mei lalu untuk tindakan lanjut, termasuk mengemukakan maklum balas serta pelan tindakan dalam tempoh tujuh hari bekerja. MCMC memaklumkan, notis di bawah Seksyen 51(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan dikeluarkan sekiranya penyedia perkhidmatan gagal mengemukakan maklum balas dalam tempoh ditetapkan. Susulan itu, CelcomDigi telah diarahkan untuk melaksanakan penambahbaikan liputan rangkaian serta mengemukakan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang, manakala Maxis pula diarahkan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di tapak menara telekomunikasi di Kampung Tinagat. MCMC akan terus memantau pelaksanaan tindakan penambahbaikan oleh semua penyedia perkhidmatan terlibat bagi memastikan isu berkenaan dapat ditangani dengan berkesan serta memastikan penduduk menikmati perkhidmatan komunikasi yang lebih berkualiti. – Info X