Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

June 8, 2026

Info X Reporters

Aktiviti pelancongan dipantau, pastikan operasi telus, bawa manfaat untuk rakyat

KOTA KINABALU: Pemantauan dan penguatkuasaan aktiviti pelancongan di Semporna sedang diperkukuhkan bagi memastikan semua aktiviti beroperasi secara telus, mematuhi undang-undang dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan secara mampan. Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Arifin, berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan semua agensi berkaitan untuk mengenal pasti sebarang kelemahan dalam pelaksanaan dasar sedia ada dan mengambil langkah penambahbaikan yang sewajarnya. “Matlamat kita adalah jelas. Sabah kekal terbuka kepada pelaburan berkualiti yang mematuhi undang-undang dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri. “Namun, pada masa yang sama, kita mahu memastikan bahawa manfaat daripada pertumbuhan sektor pelancongan dapat dinikmati secara adil, inklusif dan mampan oleh rakyat Sabah sendiri. “Kementerian juga akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, agensi-agensi berkaitan dan pemain industri bagi memastikan sektor pelancongan Sabah terus berkembang sebagai pemacu ekonomi negeri sambil menjamin kepentingan dan kesejahteraan rakyat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Beliau mengulas pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung keperluan memastikan manfaat pertumbuhan industri pelancongan, khususnya di Semporna dapat dinikmati secara lebih meluas oleh rakyat tempatan. Jafry berkata, sebagai antara destinasi pelancongan paling terkenal di Malaysia dan rantau ini, Semporna mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan hasil peningkatan ketibaan pelancong antarabangsa dan domestik dalam beberapa tahun kebelakangan ini. “Pada 2025, Semporna merekodkan seramai 560,077 ketibaan pelancong, manakala bagi tempoh Januari hingga April 2026 sahaja, seramai 157,673 pelancong direkodkan mengunjungi daerah itu. “Statistik ini membuktikan bahawa Semporna terus menjadi antara pemacu utama industri pelancongan Sabah dan destinasi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya. Jelasnya, pertumbuhan itu sememangnya disokong oleh pelbagai pihak termasuk pelabur, pengusaha pelancongan, komuniti setempat dan agensi kerajaan. Sejajar dengan itu, katanya kementerian beliau mengalu-alukan pelaburan yang sah, bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang kerana memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan daya saing industri pelancongan Sabah, meningkatkan kualiti produk pelancongan serta membuka peluang pekerjaan dan perniagaan. “Namun demikian, kementerian berpandangan bahawa pembangunan industri pelancongan mesti berlaku secara seimbang dan inklusif. “Pertumbuhan sektor ini tidak seharusnya hanya diukur melalui jumlah ketibaan pelancong atau nilai pelaburan semata-mata, tetapi juga melalui sejauh mana manfaat ekonomi yang dijana dapat dirasai secara langsung oleh rakyat Sabah, khususnya komuniti tempatan yang menjadi tulang belakang kepada industri pelancongan negeri ini,” katanya. Sehubungan itu, Jafry berkata pihaknya mengambil serius perkara yang dibangkitkan Perdana Menteri mengenai penglibatan dan pemilikan dalam sektor berkaitan pelancongan termasuk pengangkutan pelancong, penginapan, agensi pelancongan, restoran dan perkhidmatan sokongan yang lain. “Kementerian percaya? rakyat tempatan perlu diberikan peluang yang lebih besar untuk mengambil bahagian dalam keseluruhan rantaian nilai industri pelancongan, sama ada sebagai usahawan, pemilik perniagaan, penyedia perkhidmatan, pekerja mahir mahupun rakan strategik dalam pembangunan destinasi pelancongan. “Kerajaan Negeri sememangnya konsisten dalam memastikan rakyat tempatan menjadi penerima manfaat utama daripada setiap aktiviti ekonomi yang berlaku di negeri ini. “Prinsip ini turut terpakai dalam sektor pelancongan, di mana penglibatan, pemilikan dan penyertaan aktif rakyat Sabah dalam perniagaan serta perkhidmatan berkaitan pelancongan perlu terus diperkasakan,” katanya. Beliau menegaskan, pertumbuhan industri pelancongan akan lebih bermakna apabila berjaya menarik pelaburan dan meningkatkan jumlah ketibaan pelancong, selain turut mewujudkan peluang ekonomi yang lebih besar kepada komuniti tempatan. – Info X

June 8, 2026

Info X Reporters

PH Sabah nafi guna logo GRS tanding PRU16

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah belum mengadakan sebarang perbincangan atau membuat keputusan muktamad berhubung penggunaan logo dan bentuk kerjasama dengan parti atau gabungan lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). Ketua Penerangannya, Datuk Chan Foong Hin, berkata sebarang keputusan berhubung perkara itu hanya diumumkan melalui saluran rasmi apabila tiba masanya. “Hakikatnya, sehingga hari ini, tiada sebarang perbincangan dan keputusan muktamad dibuat oleh PH Sabah berhubung penggunaan logo atau bentuk kerjasama pilihan raya yang akan dilaksanakan. “Sebarang keputusan hanya akan diumumkan melalui saluran rasmi apabila tiba masanya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. Kenyataan itu menyusul selepas sebuah akhbar tempatan melaporkan mengenai kemungkinan PH Sabah bertanding atas logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRU16. Chan menyifatkan laporan itu mengelirukan kerana memberi gambaran seolah-olah PH Sabah sudah membuat keputusan untuk bertanding menggunakan logo GRS pada pilihan raya akan datang. Katanya, PH Sabah sentiasa mengutamakan kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kebajikan rakyat Sabah. Sehubungan itu, jelasnya segala pertimbangan berkaitan kerjasama politik dan strategi pilihan raya akan dibuat berdasarkan prinsip itu dan memastikan kesinambungan agenda pembangunan untuk rakyat. “Justeru, adalah tidak tepat untuk membuat kesimpulan bahawa PH Sabah telah memutuskan untuk bertanding menggunakan mana-mana logo tertentu. “Pada masa yang sama, PH Sabah tidak menolak sebarang kemungkinan yang boleh dipersetujui bersama oleh pihak-pihak yang terlibat demi kepentingan rakyat dan kestabilan negeri. “Kami berharap semua pihak, termasuk media, dapat melaporkan perkara ini secara tepat dan tidak membuat tafsiran yang mendahului proses perbincangan yang masih berlangsung,” katanya. – Info X

June 8, 2026

Info X Reporters

Jamawi, Ruji, Yamani Hafez dilantik Ahli Biro Politik PKR Sabah

KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar dilantik sebagai Ahli Biro Politik (Biropol) PKR Sabah. Nama ADUN Melalap itu bersama dua lagi pemimpin baharu PKR Sabah diumumkan memegang jawatan berkenaan sebagai usaha memperkukuh struktur organisasi PKR di negeri ini. Ketua Penerangan PKR Sabah, Farid Sainuri dalam satu kenyataan pada Isnin menyatakan dua lagi pemimpin yang dilantik ke jawatan itu ialah Datuk Ruji Ubi dan Datuk Yamani Hafez Musa. Katanya, pengukuhan struktur organisasi parti di peringkat negeri bagi memastikan kesiapsiagaan jentera dan meningkatkan keberkesanan gerak kerja politik serta organisasi menjelang cabaran mendatang. “Sehubungan itu, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah telah bersetuju melaksanakan beberapa penambahbaikan dalam struktur kepimpinan negeri. “Antara pelantikan yang dipersetujui adalah pelantikan tiga Ahli Biro Politik (Biropol) MPN Sabah yang baharu iaitu Datuk Jamawi Jaafar, Datuk Ruji Ubi dan Datuk Yamani Hafez Musa. “Pelantikan ini diyakini akan memperkukuhkan lagi fungsi Biro Politik dalam memberikan pandangan strategik serta membantu memperkemas hala tuju parti di Sabah,” katanya. Selain itu, PKR Sabah turut mengumumkan pelantikan Patrict Sulaiman sebagai Ketua Cabang PKR yang baharu dan Arastam Pandorog sebagai Ketua Cabang Semporna selepas kedua-dua Ketua Cabang sebelum ini keluar parti. Farid turut mengumumkan pelantikan Ketua Cabang Tawau, Fung Thien Yin, sebagai Naib Pengerusi MPN III bagi mewakili Zon Tawau. “Pelantikan ini bertujuan memperkukuhkan representasi kepimpinan mengikut zon serta memastikan suara dan keperluan akar umbi di kawasan Pantai Timur terus diberikan perhatian sewajarnya,” katanya. Sementara itu, Farid berkata PKR Sabah turut menyatakan komitmen untuk membantu parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan. Katanya, sebagai tanda solidariti dan semangat perjuangan bersama, PKR Sabah akan menghantar pasukan sukarelawan bagi membantu gerak kerja kempen dan jentera pilihan raya di kedua-dua negeri. “KEADILAN Sabah percaya bahawa kekuatan parti terletak pada kesatuan, disiplin organisasi dan kesediaan seluruh anggota untuk berkhidmat di mana sahaja diperlukan. “Semangat inilah yang akan terus menjadi asas perjuangan parti dalam memperjuangkan agenda reformasi dan kebajikan rakyat,” katanya. – Info X

June 8, 2026

Info X Reporters

Lelaki melecur 80 peratus akibat kebakaran tong gas

PENAMPANG: Seorang lelaki melecur hampir 80 peratus pada anggota badannya selepas tong gas petroleum cecair (LPG) terbakar di sebuah unit pangsapuri di Taman Penampang, di sini, hari ini. Mangsa berusia 29 tahun mengalami kecederaan serius akibat kebakaran yang berlaku di ruang dapur kediamannya. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.15 pagi. Menurutnya, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera dan Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi kejadian. “Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 11.22 pagi dan mendapati berlaku kebakaran membabitkan tong gas LPG di ruang dapur sebuah unit pangsapuri. “Terdapat seorang mangsa lelaki yang mengalami kecederaan melecur kira-kira 80 peratus pada anggota badan akibat kejadian berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, anggota bomba segera memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut. “Pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.35 pagi,” katanya. Katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – Info X

June 8, 2026

Info X Reporters

Nasihat tsunami ditamatkan

KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menamatkan nasihat tsunami yang dikeluarkan susulan gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 di Mindanao, Filipina, pagi tadi. Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada jam 12 tengah hari ini, MET Malaysia memaklumkan nasihat tsunami yang dikeluarkan pada jam 8.36 pagi telah ditamatkan. Terdahulu, MET Malaysia mengeluarkan nasihat tsunami susulan gempa bumi berkenaan dengan ombak tsunami dijangka melanda beberapa kawasan pantai di pantai timur Sabah, termasuk Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari. Bagaimanapun, hasil pemantauan menunjukkan keadaan adalah terkawal dan tiada ancaman lanjut direkodkan. MET Malaysia berkata, penamatan nasihat itu merupakan maklumat terakhir yang dikeluarkan berhubung kejadian gempa bumi berkenaan melainkan terdapat perkembangan baharu atau maklumat tambahan pada masa akan datang. Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mendapatkan maklumat sahih daripada agensi berkaitan dan tidak menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh menimbulkan kebimbangan awam. – Info X

June 8, 2026

Info X Reporters

Suami isteri ditahan, ganja hampir 300 gram dirampas

PENAMPANG: Kegiatan dipercayai mengedar ganja yang dijalankan sepasang suami isteri berakhir apabila kedua-duanya diberkas dalam dua operasi berasingan di sekitar Putatan dan Penampang, 4 Jun lalu. Dalam operasi itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang turut merampas ganja seberat 294.66 gram dengan nilai anggaran RM2,950. Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, tangkapan pertama dilakukan di tepi jalan di Putatan membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun. Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan lima paket plastik lut sinar mengandungi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja seberat 22.85 gram. “Susulan tangkapan itu, polis menjalankan siasatan lanjut yang membawa kepada serbuan kedua di sebuah kawasan di Lok Kawi. “Dalam serbuan berkenaan, seorang wanita tempatan berusia 37 tahun yang juga isteri kepada suspek pertama berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi itu menemukan 16 paket plastik lut sinar berisi bahan disyaki ganja dengan anggaran berat keseluruhan 271.81 gram. Katanya, polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pembungkusan dan pengedaran dadah. “Jumlah keseluruhan ganja yang dirampas dalam kedua-dua operasi berkenaan adalah seberat 294.66 gram. “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan jika sabit kesalahan,” katanya. Menurutnya, suspek lelaki turut disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. Beliau berkata, polis akan terus mempergiat usaha membanteras aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan dadah dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu membanteras jenayah berkenaan. – Info X

June 8, 2026

Info X Reporters

Bertenang dan patuhi arahan pihak berkuasa – KM

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menasihati penduduk di Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu supaya bertenang serta mematuhi arahan pihak berkuasa susulan amaran tsunami berikutan gempa bumi berukuran 7.9 skala Richter yang berlaku di Mindanao, Selatan Filipina, pagi Isnin. Beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) di daerah terbabit sudah diaktifkan bagi menangani situasi bencana. Terdahulu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran mengenai ombak tsunami setinggi 0.4 meter dijangka melanda kawasan berkenaan bermula jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari. “Adalah penting untuk rakyat kekal bertenang dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya. Beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri sedang memantau keadaan itu dengan rapi. – Info X

June 8, 2026

Info X Reporters

Amaran tsunami di Sabah susulan gempa bumi kuat 7.9 magnitud di Mindanao

KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran tsunami bagi beberapa kawasan pantai di Sabah susulan kejadian gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 yang melanda Mindanao, Filipina, pagi ini. METMalaysia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, gempa bumi berkenaan dikesan berlaku pada jam 7.37 pagi tadi berpusat di koordinat 5.7° Utara dan 125.1° Timur, dengan kedalaman 50 kilometer. Kenyataan itu berkata, pusat gempa terbabit dilaporkan berada kira-kira 747 kilometer ke timur dari Semporna, Sabah. Katanya, menurut penilaian awal agensi berkenaan, ombak tsunami dijangka boleh melanda kawasan pesisir pantai di beberapa daerah di pantai timur Sabah bermula jam 10.30 pagi sehingga 12.00 tengah hari, dengan kawasan Pantai Lahad Datu dijangka menerima kesan terawal pada jam 10.30 pagi. Selain Lahad Datu, antara kawasan lain yang turut dijangka terjejas adalah Tawau, Semporna dan Kunak. Susulan amaran itu juga, METMalaysia menasihatkan seluruh penduduk di kawasan terbabit supaya segera mengambil langkah keselamatan awal dengan menjauhi kawasan pesisir pantai serta sentiasa mematuhi segala arahan dan panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan. “Pihak agensi akan terus memantau rapi perkembangan situasi berkenaan dan akan mengeluarkan maklumat lanjut sekiranya terdapat sebarang maklumat tambahan,” kata kenyataan itu lagi. – Info X