June 2, 2026
Info X Reporters
Seorang maut, tujuh cedera dalam nahas di Chanang Hill
KENINGAU: Seorang wanita maut manakala tujuh lagi cedera selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dinaiki mereka terbabas di Jalan Chanang Hill, Bandukan, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa yang juga penumpang kenderaan berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Timbalan Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Alizam Dalaman berkata, siasatan awal mendapati kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit di laluan berkenaan sebelum terbabas. Katanya, kejadian itu menyebabkan pemandu dan enam penumpang lain mengalami kecederaan, manakala seorang penumpang wanita disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. “Pegawai penyiasat masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian termasuk merakam gambar, melakar rajah kasar tempat kejadian serta mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan. “Selain itu, kenderaan yang terbabit turut ditahan untuk pemeriksaan lanjut di Puspakom,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, semua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Keningau dan sedang menerima rawatan lanjut. “Mayat mangsa yang meninggal dunia pula dibawa ke Unit Forensik Hospital Keningau untuk tindakan lanjut serta bedah siasat. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya. – Info X
June 2, 2026
Info X Reporters
56 warga asing, seorang warga tempatan disyaki terbabit penipuan pelaburan dalam talian ditahan di Labuan
LABUAN: Seramai 56 warga asing bersama seorang warga tempatan ditahan dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan pelaburan secara dalam talian menerusi serbuan di sebuah hotel, di sini, pada Isnin. Jumlah itu masing-masing membabitkan 48 warga China, lapan warga Vietnam dan seorang warga Malaysia. Suspek masing-masing berusia antara 20 hingga 46 tahun, dengan 50 lelaki dan tujuh wanita. Polis Labuan dalam satu kenyataan, berkata operasi yang bermula pada jam 8.40 pagi itu hasil risikan dan maklumat Bahagian Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah. Operasi itu dilaksanakan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) di Sabah dan Labuan. Kumpulan berkenaan dipercayai menjalankan kegiatan penipuan pelaburan secara dalam talian yang menyasarkan mangsa di Korea Selatan. Polis percaya kegiatan berkenaan beroperasi dari premis terbabit yang turut dijadikan tempat tinggal mereka sejak April lalu. Hasil serbuan itu, polis merampas pelbagai peralatan dan barangan dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan penipuan dengan nilai keseluruhan rampasan RM131,500. Semua suspek kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Labuan untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut. – Info X
June 2, 2026
Info X Reporters
‘Bayaran khas RM1.5 bilion tidak harus dipandang sinis, dipolitikkan’
KOTA KINABALU: Pengumuman bayaran pemberian khas interim RM1.5 bilion kepada Sabah oleh Kerajaan Persekutuan membuktikan usaha berterusan Kerajaan Negeri memperjuangkan hak negeri melalui saluran rundingan mula membuahkan hasil. Menjelaskan perkara itu, bekas Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said, berkata peningkatan bayaran interim daripada RM600 juta itu adalah satu perkembangan positif yang wajar dihargai semua pihak dan tidak seharusnya dipandang sinis atau dipolitikkan. Mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Chin Tek Ming yang mempertikaikan pengumuman itu, Jerry berkata isu tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang dikutip di Sabah adalah perkara kompleks kerana membabitkan aspek perundangan, perlembagaan serta rundingan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan. “Sebarang kemajuan yang dicapai menerusi rundingan perlu dilihat sebagai satu langkah ke hadapan dan bukannya alasan untuk menafikan usaha yang telah dilakukan. “Bayaran RM1.5 bilion yang diumumkan bukanlah penyelesaian muktamad kepada tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan, sebaliknya merupakan bayaran interim, sementara rundingan dan proses berkaitan diteruskan. “Oleh itu, adalah tidak adil untuk menggambarkan seolah-olah Sabah telah mengalah atau menerima jumlah yang lebih rendah daripada hak sebenar negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. Jerry turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang menurutnya konsisten memperjuangkan hak Sabah melalui pendekatan rundingan yang matang dan berhemah dengan Kerajaan Persekutuan. Katanya, pendekatan berkenaan terbukti berjaya apabila bayaran interim yang diterima Sabah kini meningkat lebih dua kali ganda berbanding jumlah yang diterima sebelum ini. “Malah peningkatan yang signifikan ini membuktikan suara dan tuntutan Sabah sedang diberikan perhatian serius oleh Kerajaan Persekutuan. “Ia juga menunjukkan pendekatan yang diambil oleh Kerajaan Negeri berada di landasan yang betul dalam usaha mendapatkan hak Sabah secara berperingkat dan berterusan,” katanya. Mengulas dakwaan bahawa Sabah masih kekal sebagai negeri termiskin di Malaysia selepas hampir enam tahun pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Jerry berkata kenyataan sedemikian perlu dilihat secara objektif dan menyeluruh. Beliau berkata, masalah kemiskinan, kekurangan infrastruktur asas, bekalan air, elektrik dan jalan raya bukanlah isu yang berlaku dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, sebaliknya menjadi cabaran yang telah berlarutan sejak sekian lama. Menurutnya, pelbagai usaha sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi menangani isu berkenaan termasuk meningkatkan hasil negeri, menarik pelaburan, memperkukuh pembangunan infrastruktur serta memperkasa pendidikan dan pembangunan modal insan. “Walaupun berdepan cabaran besar termasuk kesan pandemik COVID-19 yang menjejaskan ekonomi global, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Hajiji tetap berjaya mencatat pelbagai pencapaian dalam aspek ekonomi dan pembangunan negeri. “Justeru, adalah tidak tepat untuk menafikan segala usaha dan kemajuan yang telah dicapai hanya kerana masih terdapat cabaran yang perlu diselesaikan,” katanya. Jerry berkata rakyat Sabah kini semakin matang dalam menilai sesuatu isu dan memahami bahawa perjuangan menuntut hak negeri perlu diteruskan secara konsisten, berhemah dan berlandaskan fakta. Beliau menegaskan semua pihak seharusnya bersatu dalam memperjuangkan hak Sabah tanpa mengira perbezaan politik, selain menghargai setiap kemajuan yang dicapai demi kepentingan rakyat dan masa depan negeri. – Info X
June 2, 2026
Info X Reporters
Gagal curi kabel Sabah Electricity, suspek dicekup polis
BEAUFORT: Cubaan seorang lelaki mencuri kabel milik Sabah Electricity di tapak Projek Jalan Pan Borneo berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Patrick, Membakut, gagal apabila kegiatannya disedari pengawal keselamatan sebelum dia diberkas polis. Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam Sabtu lalu, pekerja keselamatan mengesan aktiviti mencurigakan sebelum menemui sebuah motosikal dan peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri kabel. Ketua Polis Daerah Beaufort, Champin Piuh berkata, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan potongan pada kabel SESB, namun suspek dipercayai gagal membawa lari kabel berkenaan selepas melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pekerja di lokasi kejadian. Menurutnya, hasil siasatan dan maklumat yang diperoleh, polis berjaya mengesan suspek sebelum menahannya di Kampung Limpayau, Membakut bagi membantu siasatan. “Turut dirampas sebuah motosikal serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam cubaan mencuri kabel berkenaan. “Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, pihaknya akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan jenayah yang menjejaskan kemudahan awam termasuk kes kecurian kabel yang boleh mengganggu bekalan elektrik serta merugikan banyak pihak. Katanya, orang ramai turut diseru supaya menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan bagi membantu mengekalkan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. – Info X
June 1, 2026
Info X Reporters
Pemandu maut pacuan empat roda dihempap pokok reput
NABAWAN: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya dihempap sebatang pokok reput yang tumbang secara tiba-tiba di Kilometer 36.30, Jalan Sepulut – Kalabakan, di sini, tengah hari tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 33 tahun sedang memandu dari arah Sepulut menuju ke Kalabakan bersama isterinya. Timbalan Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Alizam Dalaman berkata, siasatan awal mendapati sebatang pokok reput tumbang dari arah kanan jalan sebelum menghempap bahagian hadapan kenderaan mangsa. Katanya, pokok berkenaan mengenai bumbung hadapan, cermin depan dan bonet kenderaan menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak. “Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan muka sebelum dibawa orang awam ke Klinik Kesihatan Nabawan untuk mendapatkan rawatan. “Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, isteri mangsa yang turut berada dalam kenderaan hanya mengalami kecederaan ringan. Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati kejadian berlaku ketika cuaca baik dan tiada kejadian tanah runtuh dilaporkan di kawasan berkenaan. “Mayat mangsa akan dihantar untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian. “Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya. – Info X
June 1, 2026
Info X Reporters
Power bank dipercayai milik pencari sarang burung walit hilang ditemui dalam gua
LAHAD DATU: Pengecas mudah alih (power bank) dipercayai milik seorang lelaki yang hilang ketika mencari sarang burung walit di Gua Tepadung, Segama, di sini, ditemui pasukan penyelamat pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR), hari ini. Bagaimanapun, petunjuk berkenaan masih belum membawa kepada penemuan mangsa yang dikenali sebagai Ismail Ibrahim, 61, yang dilaporkan hilang sejak 26 Mei lalu. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid mengesahkan penemuan itu ketika operasi SAR yang disambung semula bermula jam 9.30 pagi tadi. Katanya, pasukan penyelamat berjaya memasuki lubang menegak pertama dan tiba di lokasi terakhir mangsa dilaporkan ditinggalkan oleh rakannya. “Semasa operasi pencarian dijalankan, pasukan menemui sebuah power bank yang dipercayai milik mangsa di kawasan berkenaan. “Bagaimanapun, mangsa masih belum ditemui walaupun pencarian dilakukan di sekitar lokasi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, pasukan penyelamat turut mengenal pasti satu lagi lubang baharu yang berpotensi diterokai. “Berdasarkan maklumat diperoleh, lubang itu dipercayai belum pernah dimasuki atau diterokai mana-mana pihak sebelum ini. “Operasi SAR ditangguhkan pada jam 4 petang dan akan disambung semula esok,” katanya. Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti mencari sarang burung walit di dalam Gua Tepadung bersama dua rakannya. Menurut maklumat, kedua-dua rakannya keluar dari gua untuk mencari sumber air minuman dan meninggalkan mangsa bersendirian di dalam gua berkenaan. Namun, apabila mereka kembali semula ke lokasi mangsa ditinggalkan, lelaki itu didapati sudah hilang sebelum usaha pencarian dilakukan, tetapi gagal menemuinya. – Info X
June 1, 2026
Info X Reporters
Tindakan tegas terhadap mana-mana pihak sebarkan ajaran sesat – Arifin
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) memandang serius sebarang usaha untuk menyebarkan mana-mana ajaran yang difatwakan salah, sesat dan menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diwartakan di Sabah pada 2019. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Mohd Arifin Arif, berkata berikutan itu, satu tindakan diambil selepas menerima aduan awam berhubung satu kumpulan ajaran sesat yang mengadakan program di sebuah dewan sekolah, di sini, semalam. Dalam satu kenyataan pada Isnin, beliau berkata susulan aduan itu, Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah (BPUUS) JHEAINS menjalankan operasi terhadap program kumpulan itu membabitkan seramai 52 anggota penfuatkuasa JHEAINS. “Program Jalsa Salana Wilayah Sabah Kali Ke-32 itu dikendalikan kumpulan Jamaat Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM) yang juga berkait dengan ajaran Ahmadiyah Qadiani. “Seramai 52 anggota Pegawai Penguat Kuasa Agama (PPA) JHEAINS diarahkan untuk melaksanakan operasi itu dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan seramai 25 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi mengawal keselamatan. “Hasil operasi yang dijalankan mendapati program itu sudah berlangsung selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Mei 2026 dan dianggarkan dihadiri hampir 300 orang peserta dari seluruh Sabah,” katanya. Beliau yang juga EXCO Agama negeri berkata, pelbagai bahan penerbitan, dokumen dan bahan promosi yang berkaitan dengan ajaran Ahmadiyah Qadiani dipamerkan dalam dewan sepanjang program berlangsung. “Semua bahan berkaitan diambil tindakan mengikut peruntukan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995 dan siasatan lanjut sedang dijalankan. “Ajaran Ahmadiyah Qadiani difatwakan sebagai sesat dan menyeleweng oleh Majlis Fatwa Negeri Sabah pada 2006 serta diwartakan pada 2007. “Justeru, umat Islam di negeri ini hendaklah berwaspada dan menjauhi sebarang bentuk penyebaran fahaman yang boleh menjejaskan kesucian akidah Islam,” katanya. Arifin turut merakamkan penghargaan kepada PDRM Sabah, khususnya PDRM Kota Kinabalu atas kerjasama dalam memastikan kawalan keselamatan ketika operasi dijalankan dan bersama-sama membantu membanteras penyebaran ajaran yang bercanggah dengan akidah Islam di Sabah. “Kerajaan negeri melalui JHEAINS terus komited memperkukuh usaha pemantauan, penguatkuasaan dan pendidikan bagi memastikan kesucian akidah umat Islam sentiasa terpelihara serta menjamin keharmonian masyarakat,” katanya. – Info X
June 1, 2026
Info X Reporters
Pemandu maut dihempap pokok tumbang
NABAWAN: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Sepulut – Kalabakan, berhampiran Kantin Pertama, di sini, tengah hari tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari itu, mangsa berusia 33 tahun dilaporkan memandu sebuah Toyota Hilux Vigo sebelum kenderaannya dihempap pokok yang tumbang secara tiba-tiba. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nabawan, Mohd Kadzri Raus berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum menggerakkan tujuh anggota bersama sebuah Compact Fire Rescue Tender (CFRT) ke lokasi. Katanya, ketika dalam perjalanan, pasukan bomba dimaklumkan mangsa sudah dikeluarkan orang awam dan dihantar ke Klinik Kesihatan Nabawan untuk mendapatkan rawatan. “Pasukan bomba kemudian bergerak ke klinik berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai keadaan mangsa. “Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, pasukan bomba seterusnya memastikan keadaan di lokasi kejadian selamat sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.50 petang. – Info X