Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

April 19, 2026

Info X Reporters

37 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan JIM Sabah

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah terus mempergiat operasi penguatkuasaan apabila menahan seramai 37 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen dalam beberapa operasi bersepadu yang dijalankan, pada Jumaat. Dalam operasi di sekitar Kota Kinabalu, sepasukan pegawai penguat kuasa JIM memeriksa seramai 75 individu yang terdiri daripada 45 warganegara Malaysia dan 30 warga Filipina. Hasil pemeriksaan itu, enam warga Filipina ditahan, membabitkan empat lelaki dewasa dan dua wanita dewasa selepas disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. Kesemua mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen sah. Sementara itu, operasi berasingan yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JIM Lahad Datu pula menyaksikan pemeriksaan ke atas 78 individu, sebelum membawa kepada penahanan seramai 31 warga asing. Daripada jumlah itu, 24 warga Filipina ditahan, terdiri daripada lima lelaki dewasa, 12 wanita dewasa serta tujuh kanak-kanak, yang turut disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. Dalam operasi sama, tujuh lelaki dewasa warga Pakistan turut ditahan kerana disyaki tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan, sekali gus melanggar Seksyen 15(1)(c) akta yang sama. Semua individu yang ditahan dibawa ke depot imigresen berhampiran untuk siasatan lanjut dan tindakan susulan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. Jabatan Imigresen Malaysia dalam kenyataan menegaskan komitmen berterusan agensi itu dalam memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI). Menurutnya, operasi seumpama itu akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi memastikan kedaulatan undang-undang negara sentiasa terpelihara serta memelihara keselamatan dan kesejahteraan rakyat. – Info X

April 19, 2026

Info X Reporters

200 rumah atas air musnah terbakar di Kampung Bahagia

SANDAKAN: Kira-kira 200 rumah atas air di Kampung Bahagia, Batu Sapi, di sini musnah dalam kejadian awal pagi tadi apabila api marak menjulang tinggi, menerangi keseluruhan kawasan penempatan berkenaan. Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, kebakaran merebak pantas di kawasan penempatan padat, diburukkan lagi faktor angin kencang serta kedudukan rumah yang rapat antara satu sama lain sehingga api sukar dikawal. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, seramai 30 anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan. “Pasukan bomba turut menerima bantuan lima anggota dari BBP Kinabatangan bagi menjalankan operasi pemadaman di lokasi kejadian. “Bagaimanapun, operasi berdepan kesukaran berikutan laluan sempit ke kawasan kampung selain keadaan air laut surut yang menyukarkan mendapatkan sumber bekalan air terbuka,” katanya dalam kenyataan media, pagi ini. Menurutnya, pasukan bomba menggunakan beberapa aliran hos bagi mengawal kebakaran dengan sumber air diperoleh daripada jentera Water Tanker serta pili bertekanan berhampiran. “Operasi turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Electricity dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengawal keadaan serta membantu mangsa terjejas. “Sehingga kini, kebakaran masih belum dapat dikawal sepenuhnya dan operasi pemadaman sedang giat dijalankan,’ katanya. Beliau berkata, setakat ini jumlah mangsa yang terlibat masih belum dapat dipastikan. “Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X

April 18, 2026

Info X Reporters

AKPS rampas sayap ayam RM1.5 juta gagal isytihar di Pelabuhan Sepanggar

KOTA KINABALU: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) merampas empat kontena berisi sayap ayam seberat kira-kira 80,000 kilogram bernilai hampir RM1.5 juta selepas disyaki tidak diisytiharkan di Pelabuhan Sepanggar, di sini, Rabu lalu. Rampasan dibuat menerusi operasi pemeriksaan AKPS Dermaga Kota Kinabalu dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kira-kira jam 2.10 petang hasil maklumat awal. Komander AKPS Dermaga Kota Kinabalu, Shahrizan Ibrahim berkata, pemeriksaan mendapati kesemua kontena berkenaan mengandungi sayap ayam dalam kuantiti besar yang tidak selaras dengan dokumen pengisytiharan. “Semua empat kontena itu mengandungi sayap ayam (chicken wings) dengan anggaran 80,000 kilogram bernilai kira-kira RM1.5 juta. “Semakan awal juga mendapati dagangan berkenaan dipercayai tidak diisytiharkan dengan betul, sekali gus menjadi kesalahan di bawah Seksyen 133(1)(a) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, operasi itu turut disaksikan wakil operator pelabuhan serta ejen kapal bagi memastikan proses pemeriksaan berjalan telus. Menurutnya, kes kini dalam siasatan lanjut dan tindakan penguatkuasaan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. “AKPS komited memperkukuh kawalan di pintu masuk negara bagi mengekang sebarang bentuk penyelewengan dagangan. “Sebarang cubaan mengelak pengisytiharan atau menyeludup barangan akan diambil tindakan tegas,” katanya. – Info X

April 18, 2026

Info X Reporters

Pastikan wakil kerajaan menang di Kota Marudu pada PRU16 – Hajiji

KOTA MARUDU: Kerjasama baik pemimpin parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengukuhkan kedudukan gabungan itu bagi memastikan Parlimen Kota Marudu diwakili wakil rakyat kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang dijangka diadakan tahun depan. Keyakinan itu disuarakan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berdasarkan kedudukan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tandek, Matunggong dan Bandau yang dikuasai wakil serta penyokong GRS. Pengerusi GRS itu berkata, walaupun DUN Bandau diwakili wakil rakyat Bebas, Datuk Maijol Mahap, beliau menyokong kepimpinan kerajaan GRS selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada akhir November tahun lalu. “Saya yakin terhadap gabungan kerjasama wakil rakyat kita di sini, semuanya GRS, malah Datuk Maijol, walaupun beliau wakil rakyat bebas, tapi dia ‘GRS’ juga itu dan saya yakin kita akan menang di Kota Marudu pada pilihan raya Parlimen akan datang. “Kita akan pastikan Kota Marudu diwakili parti kerajaan pada PRU akan datang. Berikutan itu, saya minta agar rakyat jangan terpengaruh dengan retorik dimainkan pemimpin pembangkang, mereka tidak dapat buat apa apa. “Sekarang adalah kerajaan GRS, kita ada lima tahun lagi, jadi rakyat perlu fikir dengan baik, sokonglah parti yang memerintah. Kita buat macam-macam sepanjang lima tahun lalu melalui inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) yang sekarang diteruskan ke fasa 2.0,” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri ADUN Bandau dan Pejabat Daerah Kota Marudu di Astaka Dataran Kota Marudu, di sini, pada Sabtu. Hadir sama ADUN Bandau yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Maijol Mahap. Hajiji berkata, tumpuan kerajaan pimpinannya kini adalah untuk menyelesaikan isu bekalan air, elektrik dan jalan raya yang diyakininya mampu diselesaikan dalam tempoh setahun dua dari sekarang. “Dalam mesyuarat Kabinet, isu ini diutamakan untuk diselesaikan dan kita yakin dalam tempoh satu dua tahun ini banyak masalah yang kita akan selesaikan menggunakan peruntukan yang ada. “Malah, baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) bernilai lebih RM4 bilion kepada kerajaan negeri untuk dilaksanakan. “Dulu kerajaan Pusat yang buat, tapi sekarang mereka yakin atas kebolehan kerajaan negeri, lalu turunkan kuasa kepada Ketua Menteri. Jadi, projek BALB ini akan dilaksanakan kerajaan negeri mulai tahun ini,” katanya. Sementara itu, beliau mengulangi komitmen kerajaan pimpinannya terhadap usaha berterusan untuk membantu rakyat, terutama golongan miskin dan susah di samping melaksanakan pembangunan negeri. “Masih banyak yang perlu dilaksanakan terutama memastikan rakyat yang susah dan yang perlu dibantu mesti kita santuni. “Kerajaan GRS akan mengambil apa juga usaha untuk melakukan ini dan untuk makluman hadirin, pada tahun ini saja, dalam konteks membantu rakyat kita di bawah, tahun ini kerajaan telah setuju beri bantuan kepada 140,000 rakyat kita dalam kategori miskin dan miskin tegar. “Ribuan orang yang mendapat manfaat di Kota Maurudu ini, inilah usaha kerajaan GRS yang tidak pernah dibuat oleh kerajaan sebelum ini, kita peduli rakyat, kita prihatin rakyat di bawah. “Kita rancang ekonomi untuk menjana ekonomi negeri, tapi kita jangan lupa bantu mereka yang perlukan bantuan, khususnya rakyat kita. Itulah antara perjuangan kerajaan yang ditunjangi GRS,” katanya. Pada majlis itu, Ketua Menteri turut mengumumkan kelulusan dua projek pembangunan untuk manfaat rakyat, khususnya di DUN Bandau yang masing-masing diberi peruntukan RM500,000. Projek itu ialah pembinaan masjid baharu Kampung Tambun dan Jambatan Dasar Kampung Lamparda. – Info X

April 18, 2026

Info X Reporters

Lebih 200 pelajar Sabah di Terengganu disantuni, B40 diberi keutamaan biasiswa

TERENGGANU: Lebih 200 pelajar Sabah yang menuntut di Terengganu disantuni dalam Program Roadshow Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah Zon Pantai Timur 2026, hari ini. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama negeri, Mohd Arifin Mohd Arif berkata, program itu membabitkan pelajar di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Menurutnya, program berkenaan diadakan bagi menyantuni serta mendengar sendiri permasalahan dihadapi pelajar Sabah selain memberi pendedahan mengenai peluang penajaan dan bantuan yang disediakan kerajaan negeri. “Kita turun padang bertemu mahasiswa dan mahasiswi, berbincang serta beramah mesra seperti yang diamanahkan oleh Ketua Menteri Sabah. “Dalam masa sama, kita turut mengenal pasti pelajar yang memerlukan bantuan khususnya daripada golongan B40 dan e-Kasih untuk diberi keutamaan dalam pemberian biasiswa,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menghadiri program berkenaan bersama Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Zainuddin serta Pengarah Biasiswa Kerajaan Negeri. Mohd Arifin berkata, selain biasiswa kerajaan negeri, beberapa agensi lain termasuk Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Yayasan Sabah dan Tabung Pendidikan Negeri Sabah turut memainkan peranan membantu pelajar dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan dan agama. Katanya, kerajaan negeri komited memastikan pelajar Sabah yang layak tidak tercicir daripada menerima bantuan kewangan. “Yang penting, kita mahu pastikan anak-anak Sabah ini mendapat bantuan sewajarnya khususnya biasiswa Kerajaan Negeri Sabah,” katanya. Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program berkenaan. – Info X

April 18, 2026

Info X Reporters

Layanan saksama jadi keutamaan HQE, agihan katil ikut keperluan klinikal

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah menegaskan Hospital Queen Elizabeth (HQE) komited memastikan layanan saksama kepada semua pesakit tanpa mengira latar belakang, dengan pengagihan katil dilaksanakan secara telus berdasarkan keperluan klinikal serta kekosongan semasa. Penegasan itu dibuat menerusi kenyataan media bagi menjawab isu “zero pending” di Jabatan Kecemasan dan Trauma serta dakwaan ugutan kakitangan dan layanan VIP di hospital berkenaan. Menurut kenyataan itu, pengurusan aliran pesakit yang cekap di Jabatan Kecemasan HQE amat penting bagi memastikan rawatan kecemasan diberikan dengan cepat dan selamat, memandangkan hospital berkenaan berfungsi sebagai pusat rujukan utama bagi Sabah dan Labuan. “Pelaksanaan pengurusan aliran pesakit ini adalah selaras dengan Garis Panduan Pengurusan Aliran Pesakit di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia serta modul MyLEAN Awareness, yang memberi fokus kepada pengurangan kesesakan di jabatan kecemasan,” menurut kenyataan itu. JKNS menjelaskan, antara inisiatif dilaksanakan termasuk penyelarasan penggunaan katil melalui Bed Management Unit (BMU), pewujudan wad multidisiplin dan pengukuhan pengurusan discaj menerusi pendekatan Expected Date of Discharge (EDD). Selain itu, kemudahan Discharge Lounge serta sistem pemantauan katil turut diperkenalkan bagi memastikan ketersediaan ruang untuk pesakit baharu dapat diurus dengan lebih berkesan. Menurut JKNS, pelaksanaan inisiatif sejak 29 Januari lalu menunjukkan hasil positif apabila penggunaan katil menjadi lebih optimum, tempoh menunggu kemasukan wad dapat dipendekkan, selain mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan secara signifikan. “Pada masa sama, kebajikan serta keselamatan pesakit terus menjadi keutamaan tertinggi dalam setiap pelaksanaan,” menurut kenyataan itu. Budaya kerja di HQE juga, menurut JKNS, berteraskan profesionalisme serta komunikasi berhemah, selain sebarang pelanggaran etika akan dikenakan tindakan tegas mengikut peraturan sedia ada. Bagi memperkukuh kelestarian inisiatif itu, JKNS memaklumkan penambahbaikan strategik akan terus dilaksanakan termasuk mesyuarat berkala bersama pihak berkepentingan bagi memastikan komunikasi terbuka serta penilaian sistem secara berterusan. “Penilaian berkala ini penting bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan pesakit secara praktikal, di samping mengutamakan kesejahteraan petugas kesihatan,” katanya. JKNS turut merakamkan penghargaan terhadap komitmen warga kesihatan yang terus berkhidmat walaupun berdepan beban kerja tinggi, sambil menegaskan setiap maklum balas yang diterima akan diteliti demi memastikan perkhidmatan kesihatan yang selamat, berkualiti dan berkesan untuk rakyat Sabah. – Info X

April 18, 2026

Info X Reporters

Pemuda Gagasan Rakyat buat laporan polis, dakwaan jual Sabah fitnah

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat tampil membuat laporan polis berhubung satu hantaran di Facebook (FB) yang didakwa memfitnah Ketua Menteri Sabah berkaitan isu Pulau Sebatik. Pemangku Ketua Pemuda Gagasan, Datuk Azrul Ibrahim berkata, tindakan itu bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap individu terbabit mengikut undang-undang sedia ada, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Menurutnya, hantaran berkenaan mengaitkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dengan dakwaan kononnya menjual sebahagian tanah Sabah kepada Indonesia. “Dakwaan ini adalah satu bentuk manipulasi yang boleh mengelirukan rakyat dan sudah pun dinafikan oleh Duta Besar Indonesia ke Malaysia. “Isu ini timbul susulan kekurangan penjelasan rasmi yang membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab memutarbelitkan fakta,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, malam tadi. Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Persekutuan khususnya Wisma Putra tampil memberi penjelasan segera bagi mengelakkan kekeliruan berterusan. Dalam masa sama, Azrul tidak menolak kemungkinan isu berkenaan sengaja dimainkan bagi mencetuskan persepsi negatif dan ketegangan, termasuk bermotifkan kepentingan tertentu. Katanya, tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu, fitnah dan tuduhan jahat terhadap kepimpinan negeri. “Isu Pulau Sebatik sangat sensitif kerana membabitkan sempadan negara serta hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia yang telah terjalin sekian lama. “Sebarang kenyataan tidak bertanggungjawab boleh menjejaskan hubungan diplomatik kedua-dua negara,” katanya. Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika mengulas isu berkaitan kepentingan negara dan mendapatkan maklumat daripada sumber sahih.Katanya, Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat akan terus memantau media sosial dan tidak teragak-agak membuat laporan polis jika terdapat unsur fitnah atau provokasi berterusan. – Info X

April 18, 2026

Info X Reporters

Dron ‘perhati’ pemandu degil potong garisan berkembar dalam Ops Didik

RANAU: Tindakan pemandu yang berani memotong di garisan berkembar akhirnya ‘kantoi’ apabila dipantau menggunakan dron dalam Op Didik yang dijalankan di Jalan Ranau – Tamparuli, di sini, semalam. Operasi oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau itu dijalankan di KM 3 dan KM 9 dengan penempatan anggota di dua lokasi berasingan bagi memantau pergerakan kenderaan secara serentak. Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, penggunaan dron membantu pihaknya mendapatkan gambaran udara secara langsung sekali gus memudahkan pengesanan kesalahan lalu lintas. “Antara kesalahan dikesan termasuk memotong di garisan berkembar, melanggar peraturan lalu lintas dan pemanduan berbahaya. “Hasil operasi, lima saman dikeluarkan atas kesalahan memotong di garisan berkembar yang boleh dikompaun sehingga RM300,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, tindakan lebih tegas juga boleh diambil mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu sekurang – kurangnya dua tahun jika sabit kesalahan. Beliau berkata, operasi itu dilaksanakan bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya terutama membabitkan kes maut selain meningkatkan kesedaran pengguna supaya mematuhi undang-undang. “Polis Ranau menggunakan kod ‘Ops Didik’ dengan pendekatan teguran halus yang membina. Kita usahakan untuk mengurangkan kemalangan akibat memotong di garisan berkembar melalui pendekatan mendidik bagi mengubah sikap pengguna jalan raya. “Penggunaan teknologi seperti dron terbukti berkesan dalam membantu penguatkuasaan dan kita akan terus melaksanakannya dari semasa ke semasa,” katanya. Sementara itu, beliau berkata, pendekatan itu diharap lebih berkesan apabila orang ramai semakin terbuka menerima teguran berbanding kaedah ‘menggertak’. “Melalui Op Didik, konsep perhati, tegur dan ubah sikap diketengahkan bagi memastikan pengguna jalan raya benar-benar memahami risiko serta bertanggungjawab ketika memandu,” jelasnya.