April 19, 2026
Info X Reporters
SK Simpangan, Paitan dipindah ke lokasi bebas banjir – James Ratib
PAITAN: Sekolah Kebangsaan (SK) Simpangan, di sini, yang mengalami kerosakan teruk akibat banjir awal tahun ini akan dipindahkan ke lokasi baharu yang lebih selamat. Pemindahan tapak sekolah itu disahkan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, selepas meninjau keadaan sekolah itu pada Sabtu. Katanya, pemindahan ke tapak baharu itu penting bagi memastikan masalah banjir yang sekian lama menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah itu diatasi. Beliau berkata, tapak baharu sekolah itu sudah dikenal pasti di kawasan Korporasi Pembangunan Desa (KPD) Kampung Simpangan. Jelasnya, cadangan itu mengambil kira faktor keselamatan dan keperluan jangka panjang murid serta warga sekolah yang sering berdepan risiko banjir di lokasi sedia ada. “Adalah wajar SK Simpangan yang sering dilanda banjir dipindahkan ke kawasan yang lebih tinggi berhampiran Kampung Simpangan iaitu di tapak KPD yang dicadangkan oleh JKKK, berbanding tapak asal sangat rendah dan berhampiran dengan sungai. “Pada masa sama, saya juga mencadangkan agar tapak asal pembinaan SK Simpangan di pekan Paitan dijadikan sebagai SK Pekan Paitan,” katanya. James berkata, cadangan pemindahan akan melalui proses pewartaan tanah yang akan dikemukakan kepada Jabatan Tanah dan Ukur sebelum dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk kelulusan selanjutnya. Dalam pada itu, beliau berkata bagi memastikan sesi pembelajaran murid tidak terganggu, penempatan sementara akan disediakan di Dewan Terbuka SMK Simpangan dengan pembinaan ‘partition’ yang sesuai. “Langkah ini penting bagi memastikan murid terus mendapat akses kepada pendidikan dalam suasana yang kondusif sementara menunggu pembinaan sekolah baharu diselesaikan,” katanya. Dalam lawatan yang sama, beliau turut mengunjungi SMK Simpangan dan menerima taklimat daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mengenai perkembangan semasa pendidikan di kawasan itu. – Info X
April 19, 2026
Info X Reporters
Hampir 11 jam bergelut padam kebakaran Kampung Bahagia, 1,000 rumah musnah
SANDAKAN: Hampir 11 jam bertarung dengan api, kebakaran besar yang memusnahkan penempatan atas air Kampung Bahagia di sini, akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya tengah hari tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, dianggarkan 1,000 rumah tidak kekal musnah sepenuhnya, sekali gus menyebabkan ribuan penduduk hilang tempat tinggal. Ketua Zon 6 Sandakan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Jasri Ab Jal berkata, operasi pemadaman berdepan pelbagai cabaran termasuk laluan sempit serta keadaan air laut surut yang menyukarkan sumber bekalan air. “Struktur rumah yang rapat selain angin kencang menyebabkan api merebak dengan cepat. “Selain itu, keadaan air laut yang surut menyukarkan usaha mendapatkan sumber air terbuka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman secata offensive dan defensive di bahagian kiri dan kanan kawasan kebakaran dengan menggunakan empat aliran sepanjang 1,000 kaki dengan 12 pancutan. “Jentera FRT bantuan daripada BBP Kinabatangan turut menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 400 kaki dengan empat pancutan. “kebakaran berjaya dikawal kira-kira jam 8.43 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12 tengah hari selepas kerja-kerja overhaul selesai. “Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pemeriksaan mendapati tiada lagi bahaya lain di lokasi,” katanya. Operasi membabitkan anggota BBP Sandakan dan BBP Kinabatangan dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela serta beberapa agensi lain termasuk PDRM, APM dan Sabah Electricity. – Info X
April 19, 2026
Info X Reporters
8,000 hilang tempat tinggal, 1,000 rumah musnah
SANDAKAN: Sekurang-kurangnya 8,000 penduduk hilang tempat tinggal selepas kira-kira 1,000 rumah musnah dalam kebakaran di penempatan atas air Kampung Bahagia, Batu Sapi, di sini, awal pagi tadi. Ketua Kampung Bahagia, Sharif Hashim Sharif Titing berkata, hampir 90 peratus kediaman di kampung itu terbakar, sekali gus menjadikannya kebakaran paling besar pernah direkodkan di kawasan berkenaan. Menurutnya, ini kejadian ketiga selepas insiden sama pada 1994 dan 2001, namun kali ini hampir keseluruhan kampung terjejas. “Syukur tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Kami berharap bantuan segera dapat disalurkan termasuk daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). “Kami juga berharap pusat penempatan sementara dapat disediakan untuk menempatkan mangsa,” katanya ketika ditemui. Sementara itu, Ketua Zon 6 Sandakan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Jasri Ab Jal berkata, kebakaran hanya dapat dikawal sepenuhnya kira-kira jam 8 pagi. Katanya, operasi pemadaman berdepan pelbagai cabaran termasuk laluan sempit ke lokasi selain kenderaan yang menghalang pergerakan jentera. “Struktur rumah yang rapat serta angin kencang menyebabkan api merebak dengan sangat cepat,” katanya. Dalam perkembangan sama, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi diaktifkan sebagai pusat penempatan sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa terjejas. Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan, Datuk Walter Kenson berkata, langkah itu diambil selepas pemeriksaan mendapati kawasan terlibat tidak selamat untuk didiami buat masa ini. – Info X
April 19, 2026
Info X Reporters
Bantuan segera disalur kepada mangsa kebakaran Kampung Bahagia, Sandakan – KM
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menggerakkan semua agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan dan menyediakan bantuan segera kepada mangsa kebakaran Kampung Bahagia, Batu Sapi di Sandakan. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menerusi perkongsian di Facebook beliau, berkata tindakan segera itu demi kebajikan lebih 400 mangsa dalam kebakaran besar itu. “Saya amat berdukacita menerima laporan kebakaran besar yang melibatkan ratusan buah rumah di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan. Kerajaan Negeri telah menggerakkan semua agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan mangsa sentiasa terjamin disamping menyediakan bantuan segera agar mereka berada dalam keadaan selamat dan selesa. “Keutamaan kita ketika ini adalah untuk memastikan kebajikan semua mangsa dijaga termasuk penyediaan tempat perlindungan sementara, makanan serta keperluan asas,” katanya. Hajiji berkata, Kerajaan Negeri akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan memastikan segala bentuk bantuan disalurkan dengan segera dan berkesan. Berdasarkan laporan tidak rasmi dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), setakat jam 9.15 pagi Ahad, Pusat Pemindahan (PP) PPR Batu Sapi, Sandakan mendaftarkan seramai 89 Ketua Isi Rumah (KIR) dengan jumlah keseluruhan seramai 445 mangsa. Kebakaran perkampungan atas air itu dilaporkan berlaku pada jam 1.30 pagi dengan laporan awal membabitkan kira-kira 200 rumah jenis tidak kekal. – Info X
April 19, 2026
Info X Reporters
37 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan JIM Sabah
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah terus mempergiat operasi penguatkuasaan apabila menahan seramai 37 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen dalam beberapa operasi bersepadu yang dijalankan, pada Jumaat. Dalam operasi di sekitar Kota Kinabalu, sepasukan pegawai penguat kuasa JIM memeriksa seramai 75 individu yang terdiri daripada 45 warganegara Malaysia dan 30 warga Filipina. Hasil pemeriksaan itu, enam warga Filipina ditahan, membabitkan empat lelaki dewasa dan dua wanita dewasa selepas disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. Kesemua mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen sah. Sementara itu, operasi berasingan yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JIM Lahad Datu pula menyaksikan pemeriksaan ke atas 78 individu, sebelum membawa kepada penahanan seramai 31 warga asing. Daripada jumlah itu, 24 warga Filipina ditahan, terdiri daripada lima lelaki dewasa, 12 wanita dewasa serta tujuh kanak-kanak, yang turut disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. Dalam operasi sama, tujuh lelaki dewasa warga Pakistan turut ditahan kerana disyaki tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan, sekali gus melanggar Seksyen 15(1)(c) akta yang sama. Semua individu yang ditahan dibawa ke depot imigresen berhampiran untuk siasatan lanjut dan tindakan susulan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. Jabatan Imigresen Malaysia dalam kenyataan menegaskan komitmen berterusan agensi itu dalam memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI). Menurutnya, operasi seumpama itu akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi memastikan kedaulatan undang-undang negara sentiasa terpelihara serta memelihara keselamatan dan kesejahteraan rakyat. – Info X
April 19, 2026
Info X Reporters
200 rumah atas air musnah terbakar di Kampung Bahagia
SANDAKAN: Kira-kira 200 rumah atas air di Kampung Bahagia, Batu Sapi, di sini musnah dalam kejadian awal pagi tadi apabila api marak menjulang tinggi, menerangi keseluruhan kawasan penempatan berkenaan. Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, kebakaran merebak pantas di kawasan penempatan padat, diburukkan lagi faktor angin kencang serta kedudukan rumah yang rapat antara satu sama lain sehingga api sukar dikawal. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, seramai 30 anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan. “Pasukan bomba turut menerima bantuan lima anggota dari BBP Kinabatangan bagi menjalankan operasi pemadaman di lokasi kejadian. “Bagaimanapun, operasi berdepan kesukaran berikutan laluan sempit ke kawasan kampung selain keadaan air laut surut yang menyukarkan mendapatkan sumber bekalan air terbuka,” katanya dalam kenyataan media, pagi ini. Menurutnya, pasukan bomba menggunakan beberapa aliran hos bagi mengawal kebakaran dengan sumber air diperoleh daripada jentera Water Tanker serta pili bertekanan berhampiran. “Operasi turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Electricity dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengawal keadaan serta membantu mangsa terjejas. “Sehingga kini, kebakaran masih belum dapat dikawal sepenuhnya dan operasi pemadaman sedang giat dijalankan,’ katanya. Beliau berkata, setakat ini jumlah mangsa yang terlibat masih belum dapat dipastikan. “Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X
April 18, 2026
Info X Reporters
AKPS rampas sayap ayam RM1.5 juta gagal isytihar di Pelabuhan Sepanggar
KOTA KINABALU: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) merampas empat kontena berisi sayap ayam seberat kira-kira 80,000 kilogram bernilai hampir RM1.5 juta selepas disyaki tidak diisytiharkan di Pelabuhan Sepanggar, di sini, Rabu lalu. Rampasan dibuat menerusi operasi pemeriksaan AKPS Dermaga Kota Kinabalu dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kira-kira jam 2.10 petang hasil maklumat awal. Komander AKPS Dermaga Kota Kinabalu, Shahrizan Ibrahim berkata, pemeriksaan mendapati kesemua kontena berkenaan mengandungi sayap ayam dalam kuantiti besar yang tidak selaras dengan dokumen pengisytiharan. “Semua empat kontena itu mengandungi sayap ayam (chicken wings) dengan anggaran 80,000 kilogram bernilai kira-kira RM1.5 juta. “Semakan awal juga mendapati dagangan berkenaan dipercayai tidak diisytiharkan dengan betul, sekali gus menjadi kesalahan di bawah Seksyen 133(1)(a) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, operasi itu turut disaksikan wakil operator pelabuhan serta ejen kapal bagi memastikan proses pemeriksaan berjalan telus. Menurutnya, kes kini dalam siasatan lanjut dan tindakan penguatkuasaan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. “AKPS komited memperkukuh kawalan di pintu masuk negara bagi mengekang sebarang bentuk penyelewengan dagangan. “Sebarang cubaan mengelak pengisytiharan atau menyeludup barangan akan diambil tindakan tegas,” katanya. – Info X
April 18, 2026
Info X Reporters
Pastikan wakil kerajaan menang di Kota Marudu pada PRU16 – Hajiji
KOTA MARUDU: Kerjasama baik pemimpin parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengukuhkan kedudukan gabungan itu bagi memastikan Parlimen Kota Marudu diwakili wakil rakyat kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang dijangka diadakan tahun depan. Keyakinan itu disuarakan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berdasarkan kedudukan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tandek, Matunggong dan Bandau yang dikuasai wakil serta penyokong GRS. Pengerusi GRS itu berkata, walaupun DUN Bandau diwakili wakil rakyat Bebas, Datuk Maijol Mahap, beliau menyokong kepimpinan kerajaan GRS selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada akhir November tahun lalu. “Saya yakin terhadap gabungan kerjasama wakil rakyat kita di sini, semuanya GRS, malah Datuk Maijol, walaupun beliau wakil rakyat bebas, tapi dia ‘GRS’ juga itu dan saya yakin kita akan menang di Kota Marudu pada pilihan raya Parlimen akan datang. “Kita akan pastikan Kota Marudu diwakili parti kerajaan pada PRU akan datang. Berikutan itu, saya minta agar rakyat jangan terpengaruh dengan retorik dimainkan pemimpin pembangkang, mereka tidak dapat buat apa apa. “Sekarang adalah kerajaan GRS, kita ada lima tahun lagi, jadi rakyat perlu fikir dengan baik, sokonglah parti yang memerintah. Kita buat macam-macam sepanjang lima tahun lalu melalui inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) yang sekarang diteruskan ke fasa 2.0,” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri ADUN Bandau dan Pejabat Daerah Kota Marudu di Astaka Dataran Kota Marudu, di sini, pada Sabtu. Hadir sama ADUN Bandau yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Maijol Mahap. Hajiji berkata, tumpuan kerajaan pimpinannya kini adalah untuk menyelesaikan isu bekalan air, elektrik dan jalan raya yang diyakininya mampu diselesaikan dalam tempoh setahun dua dari sekarang. “Dalam mesyuarat Kabinet, isu ini diutamakan untuk diselesaikan dan kita yakin dalam tempoh satu dua tahun ini banyak masalah yang kita akan selesaikan menggunakan peruntukan yang ada. “Malah, baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) bernilai lebih RM4 bilion kepada kerajaan negeri untuk dilaksanakan. “Dulu kerajaan Pusat yang buat, tapi sekarang mereka yakin atas kebolehan kerajaan negeri, lalu turunkan kuasa kepada Ketua Menteri. Jadi, projek BALB ini akan dilaksanakan kerajaan negeri mulai tahun ini,” katanya. Sementara itu, beliau mengulangi komitmen kerajaan pimpinannya terhadap usaha berterusan untuk membantu rakyat, terutama golongan miskin dan susah di samping melaksanakan pembangunan negeri. “Masih banyak yang perlu dilaksanakan terutama memastikan rakyat yang susah dan yang perlu dibantu mesti kita santuni. “Kerajaan GRS akan mengambil apa juga usaha untuk melakukan ini dan untuk makluman hadirin, pada tahun ini saja, dalam konteks membantu rakyat kita di bawah, tahun ini kerajaan telah setuju beri bantuan kepada 140,000 rakyat kita dalam kategori miskin dan miskin tegar. “Ribuan orang yang mendapat manfaat di Kota Maurudu ini, inilah usaha kerajaan GRS yang tidak pernah dibuat oleh kerajaan sebelum ini, kita peduli rakyat, kita prihatin rakyat di bawah. “Kita rancang ekonomi untuk menjana ekonomi negeri, tapi kita jangan lupa bantu mereka yang perlukan bantuan, khususnya rakyat kita. Itulah antara perjuangan kerajaan yang ditunjangi GRS,” katanya. Pada majlis itu, Ketua Menteri turut mengumumkan kelulusan dua projek pembangunan untuk manfaat rakyat, khususnya di DUN Bandau yang masing-masing diberi peruntukan RM500,000. Projek itu ialah pembinaan masjid baharu Kampung Tambun dan Jambatan Dasar Kampung Lamparda. – Info X