March 29, 2026
Info X Reporters
Tokoh korporat, Ketua Hakim Negara, KPN penerima darjah kebesaran tertinggi Sabah
KOTA KINABALU: Tokoh korporat dalam industri minyak dan gas serta teknologi, Datuk Abdul Farish Abd Rashid mendahului senarai 1,026 penerima pingat dan darjah kebesaran Sabah sempena sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, esok. Pengarah Urusan FPSO Ventures Sdn Bhd (FVSB) itu adalah antara tiga individu menerima darjah kebesaran tertinggi Sabah, Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima. Dua lagi ialah Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh. Sementara itu, seramai 79 individu menerima darjah kebesaran kedua tertinggi Sabah, Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk. Antara penerimanya ialah Panglima Armada Timur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris dan Panglima 5 Divisyen Tentera Darat, Brig Jen Datuk Shamshor Jaafar. Penerima lain ialah Hakim Mahkamah Tinggi, Maslinda @ Linda Datuk Mohd Ainal; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Awang Juri Awang Tahir dan Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity), Saadiah Aziz. Turut menerima PGDK ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr William Gotulis; Ketua Konservator Hutan Sabah, Zulkifli Suara dan Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Haniza Abdul Wahab. Selain itu, Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Hassan Mahali; Pengarah Bahagian Kabinet dan Dasar Jabatan Ketua Menteri Sabah, Dayang Noorashikin Zulkefli dan Setiausaha Polis Malaysia, DCP Datuk Abdul Rahman Kassim. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Hazem Mubarak Musa; Ahli Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar; bekas ADUN Labuk, Abdul Rahman Kongkawang; Ketua Cabang PKR Beaufort, Dikin Musah; Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Azrul Ibrahim dan Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Sulaman, Ghazali Hajiji antara pemimpin politik yang turut menerima PGDK. Tidak ketinggalan ahli akademik, antaranya Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Rossita Shapawi dan Pensyarah Kanan Sains Sosial UMS, Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung. Penerima selebihnya ialah bekas pemain bola sepak Sabah, Henry Saimpon dan bekas Pengurus Besar Sabah FC, Md Joh Wid. Sementara itu seramai 117 orang menerima pingat Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK), 192 menerima Ahli Darjah Kinabalu (ADK), 260 menerima Bintang Setia Kinabalu (BSK), 249 menerima Bintang Kinabalu (BK), manakala seramai 113 menerima Sijil Perkhidmatan Terpuji dan seramai 13 orang menerima Jaksa Pendamai. Antara penerima Jaksa Pendamai adalah Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Dr Ahemad Sade; Peguam Datuk Ram Singh dan Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, Datuk Awang Kadin Tang. – Info X
March 29, 2026
Info X Reporters
Rebut pelanggan punca gaduh di Jesselton Point
KOTA KINABALU: Perselisihan antara pekerja dua syarikat pelancongan dipercayai menjadi punca pergaduhan di hadapan sebuah kios di kawasan Jesselton Point, di sini, semalam. Kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu menyebabkan suasana di lokasi berkenaan kecoh apabila beberapa individu bertindak agresif sehingga berlaku insiden membaling kerusi. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit. Menurutnya, siasatan awal mendapati pergaduhan itu berpunca daripada perebutan pelanggan antara pekerja dua syarikat pelancongan di kawasan berkenaan. “Pergaduhan itu telah menyebabkan berlaku kerosakan terhadap harta benda milik pihak lain di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat oleh pengusaha kios yang terjejas bagi tujuan keselamatan serta mengelakkan salah faham dalam kalangan orang awam. “Setakat ini, tiada laporan dibuat oleh individu yang terlibat secara langsung dalam pergaduhan tersebut, namun rakaman video kejadian telah tular di media sosial,” katanya. Menurutnya, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh. “Usaha mengesan serta mengenal pasti individu yang terlibat sedang giat dijalankan,” katanya. Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta sentiasa mematuhi undang-undang. Terdahulu, tular satu video berdurasi 51 saat di media sosial memaparkan beberapa individu dipercayai terlibat dalam pergaduhan di kawasan berkenaan. Rakaman itu menunjukkan sekumpulan lelaki bertindak agresif termasuk membaling kerusi di tepi jalan sehingga mengundang kecaman netizen di media sosial. – Info X
March 29, 2026
Info X Reporters
Lima ditahan kes ‘serang’ kenderaan
KOTA KINABALU: Tindakan sekumpulan individu bertindak agresif terhadap sebuah kenderaan berhampiran Jesselton Quay, di sini, membawa kepada penahanan lima lelaki tempatan bagi membantu siasatan. Kejadian yang tular di media sosial itu dipercayai berlaku kira-kira jam 1.45 petang, semalam selepas mangsa selesai menghadiri majlis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC). Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 2.35 petang hari sama. Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang juga seorang guru berusia 30 tahun berdepan dengan beberapa individu dipercayai pekerja sebuah premis kurier ketika menuju ke kenderaannya. “Berlaku provokasi lisan sebelum situasi menjadi tegang, menyebabkan mangsa bertindak mengundurkan kenderaannya dan secara tidak sengaja melanggar sebuah kenderaan lain. “Susulan itu, beberapa individu bertindak mengejar mangsa sebelum memecahkan cermin bahagian pemandu dan cermin belakang kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, mangsa turut mendakwa diugut supaya keluar dari kenderaan ketika kejadian berlaku. “Bertindak atas maklumat, pihak polis menjalankan operasi segera dan berjaya menahan lima lelaki tempatan malam tadi, bagi membantu siasatan. “Permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat bagi melengkapkan siasatan,” katanya. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. Beliau berkata, polis memandang serius kejadian itu dan memberi jaminan siasatan dijalankan secara telus serta adil. “Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan,” katanya. – Info X
March 29, 2026
Info X Reporters
Sudah dua hari Christa tidak pulang
KOTA MARUDU: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di pekan Tandek, di sini, sejak Jumaat lalu. Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan remaja itu kira-kira jam 8.23 malam, semalam. Menurutnya, remaja dikenali sebagai Christa Natalia Majaron itu dilaporkan keluar dari rumah pada 27 Mac lalu kira-kira jam 7.25 malam tanpa memaklumkan kepada keluarganya. “Usaha mencari telah dijalankan oleh ahli keluarga, namun mangsa masih belum ditemui sehingga kini. “Remaja itu berbadan kurus, berkulit cerah, kening nipis serta berambut panjang hitam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu dengan menghubungi Sarjan Stephen Wan di talian 019-4695081 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Marudu di talian 088-662449. Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – Info X
March 29, 2026
Info X Reporters
Cuaca panas kitaran normal sistem monsun, intensiti dipengaruhi perubahan iklim – Pakar
KOTA KINABALU: Keadaan cuaca panas yang melanda negara ketika ini adalah sebahagian daripada kitaran sistem monsun, namun intensitinya boleh dipengaruhi faktor global seperti perubahan iklim dan fenomena atmosfera semasa. Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Gs Dr Lindah Roziani Jamru, berkata keadaan panas yang dirasai kini berlaku kerana Malaysia berada di penghujung Monsun Timur Laut dan bakal memasuki fasa peralihan monsun. Beliau berkata, dalam tempoh ini, litupan awan dan taburan hujan berkurangan, sekali gus menyebabkan peningkatan suhu di kebanyakan kawasan. “Secara asasnya, keadaan ini adalah normal dalam kitaran monsun Malaysia. Namun, tahap kepanasan yang dirasai boleh menjadi lebih ketara disebabkan faktor tambahan seperti perubahan iklim global dan fenomena atmosfera semasa,” katanya ketika ditemui media pada Jumaat. Jelasnya, fenomena global seperti El Niño memainkan peranan penting dalam mempengaruhi cuaca tempatan. “El Niño lazimnya menyebabkan keadaan lebih panas dan kering kerana taburan hujan berkurangan, sekali gus meningkatkan suhu di Malaysia,” katanya. Dalam pada itu, beliau berkata gelombang haba hanya berlaku jika suhu melebihi 37 darjah Celsius selama sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut. “Jika suhu sekitar 35 hingga 37 darjah Celsius, ia dianggap sebagai tahap berjaga-jaga, manakala suhu melebihi 40 darjah Celsius dikategorikan sebagai gelombang haba ekstrem,” katanya. Beliau yang juga Ketua Program Geografi FSSK UMS, berkata cuaca panas berpanjangan boleh memberi kesan serius terhadap sumber air, sektor pertanian dan kesihatan manusia. “Antara kesannya termasuk penyusutan paras empangan, gangguan kepada hasil pertanian akibat kekurangan air serta peningkatan risiko kesihatan seperti dehidrasi, strok haba dan penyakit berkaitan haba,” katanya. Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan tindakan bersama antara kerajaan dan masyarakat dalam menghadapi situasi cuaca panas ekstrem. Di peringkat kerajaan, katanya langkah seperti memperkukuh sistem amaran awal, meningkatkan kecekapan pengurusan sumber air dan memperhebat kempen kesedaran awam perlu diberi perhatian. “Dalam masa yang sama, masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan memastikan pengambilan air mencukupi, mengurangkan aktiviti luar terutama pada waktu tengah hari serta menggunakan air dan elektrik secara berhemah,” katanya. Tambah beliau, pendidikan geografi turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu cuaca dan iklim. “Ia membantu masyarakat memahami hubungan antara aktiviti manusia dan perubahan iklim, sekali gus mendorong tindakan yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya. – Info X
March 28, 2026
Info X Reporters
Mayat mangsa lemas ditemui tidak sempurna selepas empat hari hilang
KENINGAU: Bau kurang menyenangkan ketika memancing membawa kepada penemuan rangka manusia dipercayai milik seorang kanak-kanak lelaki di tebing Sungai Sigapon, di sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, kanak-kanak berkenaan dikenali sebagai Muhammad Aidan Ridwan, 10, ditemui dalam keadaan tidak sempurna selepas seorang lelaki terhidu bau busuk sebelum menghampiri kawasan berkenaan. Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan itu kira-kira jam 9.17 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi. “Siasatan mendapati rangka manusia yang ditemui dipercayai milik kanak-kanak yang sebelum ini dilaporkan lemas pada 24 Mac lalu di Sungai Pagalan, Sook. “Lokasi rangka ditemui di Sungai Sigapon dianggarkan kira-kira 23 kilometer dari lokasi kejadian asal mangsa dilaporkan lemas,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati rangka berkenaan tidak sempurna dan dipercayai telah dimakan haiwan liar. “Rangka bersama cebisan kulit dan tisu dikutip sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Keningau untuk tindakan lanjut,” katanya. Menurutnya, pengecaman dilakukan oleh ibu mangsa pada jam 3 petang semalam dan mengesahkan rangka berkenaan adalah anaknya berdasarkan struktur gigi. Difahamkan, dalam kejadian pada 24 Mac lalu, seorang lelaki warga emas, Fredoline Yariki, 60, bersama cucunya dilaporkan hilang ketika memeriksa bot di Sungai Pagalan berhampiran Taman Bersatu, Keningau. Kehilangan mereka disedari ahli keluarga sebelum usaha mencari dilakukan di kawasan sungai berkenaan. Warga emas itu kemudian ditemukan lemas di Sungai Banjar, Mempikit pada keesokan hari kira-kira jam 5.21 petang oleh penduduk kampung, manakala cucunya dipercayai dihanyutkan arus sebelum rangkanya ditemui di Sungai Sigapon. – Info X
March 28, 2026
Info X Reporters
Remaja lemas ketika mandi sungai bersama rakan
RANAU: Kegembiraan empat remaja mandi di Sungai Liwagu, Kampung Paginatan, di sini, petang tadi bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas. Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 15 tahun dilaporkan tiba-tiba meminta bantuan ketika berada di bahagian sungai yang dalam, namun tiga rakannya gagal menyelamatkan kerana tidak mahir berenang. Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.06 petang sebelum anggota bergegas ke lokasi. “Mangsa kemudian ditemui kira-kira 10 meter dari lokasi kejadian pada jam 5.30 petang dengan bantuan penduduk kampung sebelum dibawa ke Klinik Paginatan untuk rawatan lanjut. “Seterusnya mangsa diberikan bantuan pernafasan (CPR) selama kira-kira satu jam oleh pegawai perubatan, namun tidak berjaya diselamatkan. “Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 6.42 petang dan mayat kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Ranau untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, siasatan di tempat kejadian adalah sungai di kawasan Kampung Paginatan, di sini. “Jarak lokasi kejadian dengan rumah mangsa kira-kira 400 hingga 500 meter. “Pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang kecederaan lain pada tubuh mangsa. “Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya. – Info X
March 28, 2026
Info X Reporters
Tujuh rumah terbakar di Kampung Gudon
KOTA KINABALU: Tujuh rumah jenis separuh kekal terbakar dalam kejadian di Kampung Gudon, Menggatal, di sini, petang tadi. Dalam kejadian itu, lima rumah musnah sepenuhnya manakala dua lagi terbakar kira-kira 90 peratus dengan api marak memusnahkan keseluruhan struktur kediaman. Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Ronny Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.54 petang sebelum jentera pertama tiba di lokasi pada jam 4.10 petang. “Seramai 23 anggota bersama beberapa jentera termasuk FRT, LFRT, EMRS dan Water Tanker digerakkan ke lokasi kejadian. “Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 600 kaki dengan tiga pancutan air yang diperoleh daripada jentera dan pili bomba,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.58 petang dan tiada mangsa dilaporkan terlibat. Operasi diketuai Komander Operasi, PBK I Willfred Sulai dengan bantuan pelbagai agensi termasuk polis dan Sabah Electricity. Katanya, setakat ini, kerja-kerja pemadaman dan pemantauan masih dijalankan bagi memastikan tiada sisa api yang boleh mencetuskan kebakaran semula. “Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya.