August 25, 2026
Info X Reporters
Pelajar maut dilanggar lori selepas motosikal terbabas
KOTA BELUD: Seorang pelajar maut dilanggar lori ketika cuba menyelamatkan diri selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Jalan Kota Belud-Kota Marudu berhampiran Kampung Jawi-Jawi, di sini, petang tadi. Dalam kejadian jam 6.43 petang itu, mangsa, Muhammad Safwan Muad, 16, yang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Khairul Shah Peri berkata, siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki berusia 46 tahun dalam perjalanan dari Kota Marudu menuju Tuaran. Katanya, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Ego bersama pembonceng berusia 15 tahun pula dalam perjalanan dari arah Sembirai menuju Kudat. “Ketika tiba di lokasi dalam keadaan hujan, motosikal dinaiki kedua-dua remaja itu dipercayai terbabas di laluannya. “Selepas terjatuh, pembonceng motosikal bangun dan bergerak menuju ke bahu kiri jalan, manakala penunggang dipercayai berlari ke arah laluan lori,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, pemandu lori dipercayai gagal mengelak mangsa berikutan jarak terlalu dekat sebelum pelajar berkenaan dilanggar. “Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Hospital Kota Belud, manakala pembonceng dan pemandu lori tidak mengalami kecederaan. “Pemeriksaan mendapati motosikal tidak mengalami kerosakan, manakala bahagian bampar hadapan lori kemek,” katanya. Khairul Shah berkata, ketika kejadian, cuaca renyai selepas hujan, manakala keadaan jalan lurus dan berturap. “Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk tindakan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan,” katanya. – Info X
August 25, 2026
Info X Reporters
Tiga sekeluarga maut, tiga lagi cedera Viva terbabas
KUNAK: Tiga sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta dinaiki enam sekeluarga terbabas sendiri di Kampung Sungai Atas, Jalan Sungai Atas, di sini, petang tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 6.05 petang itu, kereta Perodua Viva terbabit dipercayai terbabas sebelum keenam-enam mangsa ditemui berada di luar kenderaan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohamad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 6.05 petang sebelum empat anggota dikejarkan ke lokasi. Katanya, pasukan bomba tiba kira-kira jam 6.10 petang, iaitu lima minit selepas menerima panggilan kecemasan. “Setibanya di lokasi, kami mendapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Viva yang terbabas sendiri di atas jalan raya. “Enam mangsa terbabit, dengan tiga disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala tiga lagi mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini. Menurutnya, tiada operasi menyelamat dilakukan pasukan bomba kerana semua mangsa sudah berada di luar kenderaan ketika pasukan tiba. Beliau berkata, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala tiga mangsa cedera dibawa ke Hospital Kunak menggunakan ambulans KKM bagi mendapatkan rawatan. “Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.31 malam selepas keadaan di lokasi disahkan selamat dan tiada bahaya lain wujud,” katanya. – Info X
August 25, 2026
Info X Reporters
Post-mortem pastikan sasaran 40 emas Sabah tercapai
l SHAH ALAM: Sesi “post-mortem” pencapaian kontinjen Sabah pada SUKMA XXII Selangor 2026 akan menjadi landasan utama untuk memastikan sasaran 40 pingat emas yang gagal dicapai kali ini dapat direalisasikan pada temasya akan datang. Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata penilaian menyeluruh akan dilakukan bagi mengenal pasti kelemahan, kekurangan dan perkara yang perlu diperbaiki supaya persiapan Sabah selepas ini lebih terarah dan berupaya mencapai sasaran berkenaan. Katanya, “post-mortem” itu bukan sekadar menilai pencapaian kontinjen di Selangor, sebaliknya menjadi asas kepada perancangan jangka panjang termasuk memperkukuh program pembangunan atlet dan memberi tumpuan kepada acara yang mempunyai potensi besar menyumbang pingat emas. “Insya-Allah kita akan memperbaiki di mana ada kelemahan dan kekurangan untuk kita menghadapi Sukan Malaysia yang akan diadakan dua tahun akan datang di negeri Kelantan. “Kita akan melihat semua aspek dan memastikan apa yang perlu diperbaiki dapat dilakukan supaya sasaran 40 pingat emas itu dapat dicapai pada SUKMA akan datang,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penutupan SUKMA XXII Selangor 2026 yang disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Aneka Walk, di sini, Isnin. Sabah menamatkan saingan di tempat kelapan keseluruhan dengan kutipan 30 emas, 27 perak dan 36 gangsa, berbanding sasaran 40 emas yang ditetapkan. Bagaimanapun, Nizam berkata pencapaian itu tetap membanggakan kerana kutipan emas Sabah meningkat berbanding 29 emas yang diraih pada SUKMA Sarawak 2024. Beliau berkata, pencapaian di Selangor menunjukkan Sabah mempunyai potensi untuk mencapai sasaran lebih tinggi, namun beberapa aspek perlu diperbaiki bagi memastikan prestasi kontinjen dapat dipertingkatkan secara konsisten. “Walaupun tidak mencapai sasaran kita, saya ingin menyatakan rasa bangga saya kepada kesungguhan atlet-atlet Sabah. “Ada sukan yang mencapai sasaran mereka, malah ada yang memberi lebih baik daripada sasaran seperti sepak takraw dan petanque,” katanya. Nizam berkata, beliau yang mengikuti hampir keseluruhan pertandingan sepanjang SUKMA Selangor turut melihat sendiri potensi besar dalam kalangan atlet Sabah yang boleh dikembangkan menerusi persiapan lebih awal dan tersusun. Katanya, hasil “post-mortem” nanti perlu diterjemahkan kepada tindakan konkrit termasuk memperkemas program latihan, mengenal pasti atlet berpotensi serta memberi tumpuan kepada acara yang mampu menjadi penyumbang utama emas. “Perjuangan tidak berakhir di Selangor. Kita akan terus berusaha, menambah baik kelemahan dan melangkah lebih jauh demi kecemerlangan sukan negeri kita. “Mudah-mudahan kita akan dapat mencapai sasaran kita untuk mendapat 40 pingat emas di kejohanan SUKMA yang akan datang, insya-Allah,” katanya. SUKMA XXII Selangor 2026 berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, menghimpunkan lebih 10,000 atlet daripada 15 kontinjen untuk merebut 468 pingat emas dalam 37 jenis sukan. Sabah menyertai 36 daripada 37 sukan yang dipertandingkan. Tuan rumah Selangor muncul juara keseluruhan selepas mengungguli temasya dengan 101 emas, 73 perak dan 71 gangsa.-Info X
August 25, 2026
Info X Reporters
Dua rumah terbakar di Sepanggar
KOTA KINABALU: Dua rumah musnah dalam kebakaran di Jalan Sepanggar berhampiran Masjid Nurul Huda, Kampung Gentisan, Sepanggar, di sini, hari ini. Dalam kejadian kira-kira jam 1.52 petang itu, dua rumah masing-masing jenis tidak kekal dan separuh kekal terbakar kira-kira 95 dan 90 peratus. Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu Mohd Hannis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.52 petang sebelum jentera tiba di lokasi pada jam 2.21 petang. Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.41 petang. “Pasukan mendapati kebakaran membabitkan dua buah rumah masing-masing jenis tidak kekal dan separuh kekal yang terbakar kira-kira 95 dan 90 peratus. “Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu,” katanya. Operasi pemadaman membabitkan 22 anggota dari BBP Kota Kinabalu dan pasukan bantuan BBP Lintas. Pasukan turut mendapat bantuan PDRM dan Bomba TLDM. – Info X
August 25, 2026
Info X Reporters
Ibu maut, dua anak cedera kereta bertembung lori
KOTA BELUD: Seorang guru GiatMARA maut manakala dua anaknya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Kota Belud – Tuaran berhampiran Taman Nikmat, di sini, hari ini. Dalam kejadian kira-kira jam 11.05 pagi itu, mangsa, Norasida Mayur, 42, disahkan meninggal dunia di lokasi selepas tersepit di tempat duduk pemandu. Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Khairul Shah Peri berkata, siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki berusia 42 tahun dalam perjalanan dari Kota Belud menuju Tuaran. Katanya, kereta jenis Perodua Alza dipandu mangsa bersama tiga anaknya berusia 15 hingga 18 tahun pula datang dari arah bertentangan. “Setibanya di lokasi kejadian, Perodua Alza dipercayai memasuki laluan lori sebelum kedua-dua kenderaan terbabit dalam kemalangan. “Akibat pelanggaran itu, Perodua Alza berpusing sebelum menghadap ke arah Tuaran, manakala lori berhenti di kawasan kedai makan di tepi jalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk tindakan lanjut. “Dua anak mangsa masing-masing berusia 15 dan 18 tahun cedera serta dibawa ke Hospital Kota Belud untuk menerima rawatan, manakala seorang lagi berusia 17 tahun tidak cedera. “Pemandu lori juga tidak mengalami kecederaan dan sudah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya. Khairul Shah berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud bagi membantu siasatan. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan. – Info X
August 25, 2026
Info X Reporters
Blok lima pintu, rumah dan empat kenderaan musnah terbakar
TAWAU: Lima pintu rumah dalam sebuah blok serta sebuah rumah kediaman musnah sepenuhnya dalam kebakaran berhampiran Jambatan Kampung Kalabakan, di sini, malam tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 7.03 malam itu, kebakaran turut memusnahkan dua kereta dan dua motosikal. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.03 malam sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi. Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira jam 8.57 malam selepas menempuh perjalanan sejauh 91 kilometer dari BBP Tawau. “Kebakaran membabitkan satu blok lima pintu berkeluasan kira-kira 150 x 30 kaki dan sebuah rumah kediaman berkeluasan 30 x 20 kaki. “Turut terbakar dua kereta dan dua motosikal yang masing-masing musnah 100 peratus,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan satu pancutan, manakala sumber air diperoleh daripada sungai berhampiran. “Pasukan bomba berdepan cabaran komunikasi apabila lokasi kejadian tidak mempunyai liputan GIRN mahupun talian telefon. “Bagaimanapun, operasi pemadaman berjaya dikawal pada jam 10.17 malam dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.28 malam selepas keadaan disahkan selamat,” katanya. Jemishin berkata, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian berkenaan. – Info X
August 25, 2026
Info X Reporters
Pembangunan Sabah perlu seiring pembangunan insan – KM
KOTA KINABALU: Kemajuan sebenar Sabah tidak boleh hanya diukur melalui pembangunan fizikal, pertumbuhan ekonomi atau kecanggihan teknologi, sebaliknya perlu turut disertai pembangunan insan yang memiliki ilmu, integriti, akhlak dan rasa tanggungjawab kepada masyarakat. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pengajaran daripada sirah Rasulullah SAW menunjukkan pembangunan sesebuah masyarakat perlu dilakukan secara menyeluruh dengan memperkukuh persaudaraan, memelihara kebajikan masyarakat dan meletakkan prinsip keadilan sebagai asas kehidupan bersama. Katanya, konsep rahmatan lil ‘alamin yang dibawa Rasulullah SAW mengandungi pengertian amat luas, termasuk kasih sayang, keadilan, kebijaksanaan, toleransi, amanah dan penghormatan terhadap martabat manusia. “Baginda membuktikan bahawa kekuatan kepimpinan bukan hanya terletak kepada kekuasaan, tetapi kepada keupayaan membina kepercayaan, berlaku adil serta memberikan manfaat kepada masyarakat,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, pada Selasa. Majlis itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Musa Aman. Hajiji berkata, dalam konteks Sabah, Kerajaan Negeri sentiasa komited memastikan pembangunan yang dilaksanakan dapat memberikan manfaat seluas-luasnya kepada rakyat dan bersifat inklusif dengan mengambil kira kepentingan masyarakat di bandar mahupun luar bandar. “Kita mahu membina sebuah negeri yang bukan sahaja maju dari sudut ekonomi dan pembangunan, tetapi turut mempunyai masyarakat yang kukuh nilai moralnya, tinggi integritinya dan erat hubungan sesama mereka,” katanya. Sehubungan itu, beliau berkata nilai yang ditunjukkan Rasulullah SAW seperti amanah, keadilan, kesungguhan, ihsan dan keprihatinan perlu terus menjadi inspirasi dalam melaksanakan setiap tanggungjawab yang diamanahkan. “Bagi penjawat awam, amanah hendaklah diterjemahkan melalui penyampaian perkhidmatan yang cekap, telus dan berintegriti. Bagi pemimpin, amanah bermaksud meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan. “Bagi masyarakat pula, amanah diterjemahkan melalui sikap bertanggungjawab, menghormati undang-undang serta bersama-sama memelihara keamanan dan keharmonian negeri,” katanya. Hajiji berkata Sabah yang mempunyai masyarakat terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya perlu terus memelihara kepelbagaian sebagai satu kekuatan yang menjadi asas perpaduan dan keharmonian negeri. “Saya menyeru seluruh rakyat supaya terus memelihara semangat perpaduan dan keharmonian yang telah lama menjadi kekuatan negeri Sabah. Janganlah perbezaan pandangan, fahaman mahupun latar belakang menyebabkan hubungan sesama kita menjadi renggang. “Sebaliknya, kita hendaklah memperbanyakkan titik persamaan, membudayakan dialog yang matang serta menyelesaikan perbezaan dengan penuh hikmah,” katanya. Beliau berkata keamanan dan kestabilan menjadi prasyarat kepada pembangunan kerana tanpa perpaduan, segala agenda pembangunan yang dirancang akan menjadi lebih sukar untuk direalisasikan. Dalam pada itu, Ketua Menteri menegaskan peranan generasi muda tidak boleh dipinggirkan dalam menentukan masa depan negeri, khususnya ketika mereka berdepan perkembangan teknologi, kecerdasan buatan, ledakan maklumat serta perubahan sosial yang berlaku begitu pantas. Katanya, golongan muda perlu dilengkapkan bukan sahaja dengan pendidikan dan kemahiran, tetapi juga kekuatan jati diri serta akhlak, selain memanfaatkan media sosial dan teknologi digital untuk menimba ilmu, membangunkan kemahiran, meningkatkan produktiviti serta menyebarkan perkara yang membawa manfaat. “Kita perlu menghindari budaya menyebarkan maklumat yang tidak sahih, fitnah, penghinaan serta kandungan yang boleh merosakkan akhlak dan hubungan sesama masyarakat,” katanya. Hajiji berkata akhlak Rasulullah SAW dalam menjaga tutur kata, menghormati manusia dan menyampaikan kebenaran dengan penuh hikmah sewajarnya menjadi pedoman dalam berinteraksi, termasuk dalam dunia digital. “Kita mahu melahirkan generasi muda Sabah yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing, tetapi dalam masa yang sama tetap teguh jati dirinya, tinggi akhlaknya dan mempunyai rasa tanggungjawab kepada agama, masyarakat, negeri dan negara,” katanya. Sempena sambutan itu, beliau menyeru umat Islam di Sabah memperkukuhkan kecintaan kepada Rasulullah SAW dengan menterjemahkannya dalam bentuk amalan, termasuk menyuburkan kasih sayang dalam keluarga, melaksanakan amanah dengan penuh kejujuran, membantu mereka yang berada dalam kesusahan serta memelihara hubungan sesama manusia. Hajiji berkata jika nilai murni yang ditunjukkan Rasulullah SAW diterapkan dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat serta pelaksanaan pentadbiran dan pembangunan, Sabah mampu dibina sebagai negeri yang lebih maju, aman, sejahtera dan diberkati Allah SWT. – Info X
August 25, 2026
Info X Reporters
Terminal pengecasan EV disedia di projek pembangunan baharu luar bandar – Perkasa Realty
KOTA KINABALU: Perkasa Realty Sdn Bhd (PRSB) merancang membina terminal pengecasan kenderaan elektrik (EV) di setiap projek pembangunan baharu yang dilaksanakannya di kawasan luar bandar negeri ini. Pengurus Besar PRSB, Mat Saidi Minting, berkata ia adalah antara komponen baharu yang dimasukkan dalam pelan pembangunan (DP) PRSB untuk projek baharu yang dilaksanakan, sebagai perancangan strategik jangka panjang memenuhi keperluan masa depan. Katanya, terminal pengecasan EV itu sebagai tambahan kepada komponen sedia ada iaitu pembinaan stesen minyak mini untuk projek yang dilaksanakan di luar bandar. Beliau berkata, pihaknya memahami dan mengikuti kemajuan teknologi automotif global yang turut berkembang di negeri ini. “Kita dapat melihat sekarang trend penggunaan EV, maka pembinaan terminal pengecasan adalah suatu keperluan di kawasan luar bandar. “Dengan adanya kemudahan ini nanti, maka pengguna EV tidak perlu risau untuk pergi ke kawasan luar bandar,” katanya dalam pertemuan bersama wakil media di pejabatnya baru-baru ini. Mat Saidi berkata terminal pengecasan EV itu akan menjadi nilai tambah kepada projek pembangunan baharu PRSB, sekali gus membolehkan industri lain turut berkembang. “Sebagai perintis pembangunan nilai tambah ini, PRSB berbangga dapat menyediakan kemudahan terbaik kepada komuniti di kawasan luar bandar,” katanya. PRSB adalah anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) yang bertanggungjawab dalam pembangunan premis perniagaan Bumiputera di kawasan pekan baharu dan luar bandar. Antara misinya adalah untuk membangunkan premis perniagaan di seluruh Sabah, termasuk mengenal pasti kawasan luar bandar yang berimpak tinggi untuk pembangunan kedai. Mat Saidi berkata sehingga kini PRSB sudah membangunkan lebih 120 projek di seluruh Sabah membabitkan penerima manfaat melebihi 1,500 individu dan syarikat Bumiputera. Katanya, PRSB lebih awal merintis pembangunan di kawasan-kawasan terpencil di negeri ini, termasuk sejauh Paitan, Long Pasia dan Pulau Sebatik. “Antara projek yang sedang dilaksanakan sekarang termasuk di Tungku, Lahad Datu, Sook dan Kinabatangan, manakala yang sedang dalam proses penyerahan kepada pembeli pula di Pekan Telupid dan Merotai,” katanya. Sementara di kawasan Tongod, katanya dua fasa projek telah dilaksanakan dengan fasa kedua baru sahaja disiapkan dan diperuntukkan kepada usahawan-usahawan Bumiputera beberapa tahun lalu. “Kita sedang giat mengenal pasti beberapa lagi kawasan baharu yang berpotensi untuk dibangunkan. “Usaha ini akan dilaksana, sama ada di atas tanah milik Sedco atau secara kolaborasi dengan agensi kerajaan lain seperti Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) dan pembangunan secara usahasama dengan pemilik-pemilik tanah persendirian ,” katanya. – Info X