Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

October 7, 2026

BERNAMA

Ibu Zara Qairina tampil sebagai saksi ke-82 inkues

KOTA KINABALU: Ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat, 46, hari ini tampil sebagai saksi ke-82 bagi prosiding inkues kematian anaknya di Mahkamah Koroner, di sini. Noraidah tiba di mahkamah kira-kira 9 pagi untuk memberikan keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan. Beliau merupakan antara dua saksi terakhir yang dipanggil memberikan keterangan dalam prosiding inkues itu sebelum Pegawai Penyiasat Inspektor Wong Yew Zhung. Semalam, kakak tiri Zara Qairina, Malianah Mahathir, 25, tampil sebagai saksi ke-81 dan memberikan keterangan tentang hubungannya dengan Allahyarham serta keluarga berkenaan. Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas pelajar tingkatan satu itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolahnya pada 4 pagi. – BERNAMA

October 7, 2026

Info X Reporters

Jangan lengahkan lagi, tunaikan segera kelayakan 40 peratus Sabah – Victor

TAMBUNAN: Seluruh rakyat negeri ini mendesak dan menuntut hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk kelayakan 40 peratus hasil bersih dari negeri ini ditunaikan segera. Penyelaras PGRS DUN Tambunan, Datuk Victor Peter Paut, berkata pemahaman rakyat Sabah ketika ini ialah hak-hak tersebut adalah hak milik mutlak negeri ini dan sepatutnya dikembalikan secara tuntas tanpa sebarang kompromi. Beliau turut meminta agar Ahli Parlimen Sabah, terus menerus mendesak agar isu itu sentiasa dibangkitkan setiap kali persidangan Dewan Rakyat berlangsung. “Rakyat Sabah hari ini mahukan pembangunan dan kemajuan yang setara dengan negeri-negeri lain. “Ramai pemimpin kita hari ini berpendapat yang sama dan Persekutuan seharusnya segera bertindak, bukan sekadar janji dan beri gula-gula yang semata-mata bertujuan untuk melengah-lengahkan kelulusan. “Rakyat sudah semakin muak dengan alasan demi alasan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Rabu. Beliau berkata, terdapat sebilangan pihak tertentu melabelkan Kerajaan Sabah yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai ‘dicucuk hidung’ tanpa memikirkan hal sedemikian secara lebih luas. Katanya, Kerajaan Sabah tidak pernah sesekali tunduk di bawah telunjuk Persekutuan atau sebarang arahan yang wajib diikuti. “Kerajaan Sabah mengamalkan toleransi dan terus menjaga hubungan baik antara kerajaan dengan kerajaan (Sabah dan Persekutuan). “Amalan berunding secara baik tetapi tegas dengan pendirian harus terus berjalan sehingga ada keputusan tuntas dalam suasana harmoni. “Semua di kalangan kita anak Sabah sangat menginginkan hak Sabah itu dituruti dan isu 40 peratus itu selesai secara baik. “Kita anak Sabah dahagakan pembangunan, kemajuan dan kemakmuran setanding Tanah Semenanjung dan Sarawak,” katanya. Sebagai Penyelaras PGRS DUN Tambunan dan salah seorang teraju kepimpinan daerah pedalaman, beliau turut sama berada dalam kelompok yang menuntut Persekutuan menjelaskan dan menyelesaikan isu itu dengan tuntas tanpa sebarang kompromi. – Info X

October 7, 2026

Info X Reporters

Lapan cedera termasuk lima parah nahas tiga kenderaan

PAPAR: Lapan lelaki cedera termasuk lima parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan dalam kejadian di Jalan Andus, di sini, pagi ini. Kemalangan membabitkan Perodua Bezza, Isuzu D Max dan sebuah motosikal dengan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun antara mangsa yang cedera parah. Empat mangsa parah berusia 15 hingga 48 tahun menaiki Perodua Bezza, manakala seorang lagi adalah penunggang motosikal berusia 33 tahun. Tiga lelaki berusia 36 hingga 50 tahun yang menaiki Isuzu D Max pula dilaporkan cedera ringan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rony Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.24 pagi. Katanya, seramai 10 anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) kemudian digerakkan ke lokasi. “Berdasarkan maklumat awal, kemalangan berlaku ketika Perodua Bezza membuat pusingan U sebelum bertembung dengan dua kenderaan lain. “Semua lapan mangsa berjaya dikeluarkan pasukan bomba sebelum diberikan rawatan awal di lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Rony berkata, mangsa kemudian dihantar ke hospital menggunakan EMRS serta ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut. “Operasi yang turut dibantu APM, PDRM dan KKM tamat pada jam 8.13 pagi selepas pemeriksaan dilakukan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi,” katanya. – Info X

October 7, 2026

Info X Reporters

Bomba periksa lima daerah susulan gempa magnitud 5.0

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menjalankan rondaan dan pemeriksaan di lima daerah susulan gempa bumi sederhana bermagnitud 5.0 yang melanda Lahad Datu, malam tadi. Pemantauan membabitkan Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau dengan pemeriksaan setakat ini tidak menemukan sebarang kerosakan struktur bangunan, runtuhan atau kebakaran. Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah, pagi ini, berkata rondaan dilakukan sebagai langkah susulan bagi memastikan keadaan di kawasan terlibat selamat. Katanya, bagi Zon 5, rondaan membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu. “Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang kerosakan struktur pada bangunan yang diperiksa, selain tiada kejadian runtuhan, kebakaran mahupun kecederaan dilaporkan. “Pasukan bomba turut memberikan nasihat keselamatan kepada orang awam supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan berlaku gegaran susulan serta segera memaklumkan pihak berkuasa sekiranya terdapat kerosakan atau kecemasan,” katanya. Sementara itu, pemantauan turut dilakukan BBP Sandakan di sekitar kawasan bandar, bangunan dan rumah di kawasan pesisir dengan keadaan dilaporkan terkawal serta tiada kerosakan dikesan. Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) melaporkan gempa bumi sederhana bermagnitud 5.0 melanda Lahad Datu pada jam 9.11 malam tadi. Gempa pada kedalaman 10 kilometer itu berpusat di kawasan perairan kira-kira 48 kilometer di timur Lahad Datu dengan gegaran turut dirasai di sekitar Pantai Timur Sabah. Sejarah gempa bumi merekodkan Lahad Datu pernah dilanda gempa bumi bermagnitud 6.2 pada 1976, selain dua gempa bumi sederhana masing-masing bermagnitud 5.7 pada 1984 dan 1994. – Info X

October 6, 2026

Info X Reporters

Lahad Datu dilanda gempa bumi sederhana

KOTA KINABALU: Satu gempa bumi sederhana dikesan melanda Lahad Datu dengan magnitud 5.0 skala Richter pada jam 9.11 malam ini. Berdasarkan info gempa bumi dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), pusat gegaran berlaku di kedalaman 10 kilometer kawasan perairan di koordinat 4.9 darjah utara dan 118.7 darjah timur. Pusat gegaran terletak 48 kilometer di timur Lahad Datu. “Gegaran dirasai di sekitar Pantai Timur Sabah, Malaysia. Jabatan Meteorologi Malaysia akan terus memantau keadaan ini,” katanya. Sejarah gempa bumi menyaksikan Lahad Datu pernah dilanda gempa bumi paling kuat di Malaysia dengan magnitu 6.2 pada 1976 selain dua gempa sederhana bermagnitud 5.7 pada 1984 dan 1994. Gempa bumi kecil juga sering dilaporkan berlaku di daerah itu termasuk selepas kejadian gempa bumi kuat berskala 6.0 di Gunung Kinabalu pada 2015. – Info X

October 6, 2026

Info X Reporters

Tingkatkan kemudahan sukan di Sipitang, Beaufort – Matbali

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah meminta supaya kemudahan di Kompleks Sukan Sipitang dan Kompleks Sukan Beaufort ditingkatkan bagi memenuhi keperluan pembangunan sukan. Beliau turut menyarankan supaya diperbanyakkan kemudahan sukan di kampung-kampung sebagai platform generasi muda mengasah bakat bidang sukan masing-masing. Matbali berkata pembangunan sukan tidak boleh hanya berlegar di bandar-bandar besar. “Kalau kita benar-benar mahu melahirkan juara, kita mesti membina gelanggang di kampung, menyediakan padang di daerah dan membuka ruang kepada anak-anak di luar bandar. “Juara tidak semestinya lahir di stadium besar, kadang-kadang juara bermula di gelanggang kecil sebuah kampung nun jauh terpencil,” katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapan perbahasan menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 pada Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen, Kuala Lumpur pada Selasa. Matbali yang juga Pengerusi Pengelola Lembaga Koko Malaysia (LKM) berkata daerah Sipitang antara contoh tempat lahirnya beberapa lagenda sukan dan atlet yang mengukir nama di persada sukan tanah air. Beliau memberi contoh Andrew Laban, Ronny Harun dan Mafry Balang dalam sukan bola sepak. Terbaru, nama atlet asal Sipitang, Gerfan Nigel Frank, menyinar di balapan apabila memenangi pingat emas SUKMA Selangor 2026 dalam acara lompat bergalah lelaki dengan catatan 4.55 meter. Sebelum itu pada 2023, Sipitang juga mengharumkan nama Sabah di pentas sukan dunia apabila pemanah tradisional asal Sipitang, Ismail Jumat memenang pingat gangsa untuk kontinjen Malaysia pada Kejohanan Terbuka Memanah Tradisional Eropah (ETO) di Jerman. Pada kejohanan yang sama, Rohayati Tarip @ Tariff, juga dari Sipitang turut menduduki tempat keempat. Dalam pada itu, Matbali berkata kemudahan di Kompleks Sukan Sipitang perlu dipertingkatkan kerana ia satu-satunya ruang utama warga setempat untuk beriadah, bersukan dan menjalankan aktiviti komuniti. Sementara itu, katanya, kerajaan juga perlu menaik taraf fasiliti dan kemudahan sukan di Kompleks Sukan Beaufort. Ketika ini, katanya kompleks itu mempunyai kemudahan asas seperti trek larian, padang bola sepak, gelanggang terbuka yang boleh digunakan untuk sukan bola tampar, bola keranjang dan futsal. “Adalah dicadangkan supaya kementerian menambah kemudahan di kompleks ini seperti dewan permainan padang hoki, lawn bowl, kolam renang dan lampu limpah padang bola sepak,” katanya. Mengenai Rang Undang-Undang Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026, Matbali berkata pindaannya amat bertepatan sekali seiring perkembangan sukan negara. “Kita juga perlu memperkukuh tadbir urus dan pemantauan badan sukan. Ia memastikan setiap badan sukan bergerak dengan perlembagaan, integriti, akauntabiliti dan kepentingan atlet sebagai keutamaan,” katanya. – Info X

October 6, 2026

Info X Reporters

Bekas ADUN Bingkor, Robert Tawik sertai PGRS

KENINGAU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik, hari ini menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS). Bekas Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Bahagian PGRS Keningau, Datuk Azman Ruslan di Kampung Antolob, Bingkor. Robert yang juga bekas Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, mempunyai pengalaman luas dalam politik serta pentadbiran negeri. Sementara itu, Azman menyifatkan penyertaan Robert sebagai perkembangan positif yang mampu memperkukuh keluarga besar PGRS di kawasan Parlimen Keningau. Katanya, pengalaman dan pandangan Robert adalah aset yang boleh dimanfaatkan bersama, khususnya dalam usaha memperjuangkan pembangunan serta kepentingan rakyat di Keningau. “Kita mengalu-alukan penyertaan Datuk Robert Tawik ke dalam keluarga besar PGRS. Pengalaman dan pandangan beliau amat bernilai dan saya percaya penyertaan ini akan memperkukuh lagi kerjasama serta usaha kita untuk membawa pembangunan yang lebih baik kepada rakyat Keningau,” katanya. Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai hala tuju pembangunan Parlimen Keningau, termasuk keperluan memperkukuh infrastruktur, ekonomi setempat dan kesejahteraan masyarakat. Azman berkata, perbezaan latar belakang politik tidak seharusnya menjadi penghalang untuk bersama-sama memberikan khidmat terbaik kepada rakyat. “Apa yang lebih penting sekarang ialah kita melihat ke hadapan. Kita mahu semua pihak yang mempunyai pengalaman, kemampuan dan kesediaan untuk berkhidmat dapat berganding bahu demi kepentingan rakyat dan masa depan Keningau,” katanya. Sementara itu, Robert Tawik menyatakan kesediaannya untuk menyumbang pengalaman dan tenaga dalam memperkukuh usaha pembangunan serta kebajikan rakyat di kawasan Keningau. – Info X

October 6, 2026

Info X Reporters

Pusat Rawatan Jantung Sabah lakar sejarah pasang perentak jantung tanpa wayar

KOTA KINABALU: Pusat Rawatan Jantung Sabah, Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) melakar pencapaian bersejarah berikutan kejayaan sulung menjalankan prosedur pemasangan perentak jantung tanpa wayar (leadless pacemaker) Aveir VR dari syarikat Abbott, iaitu yang pertama di Malaysia Timur. Berdasarkan perkongsian di Facebook HQE II, kejayaan itu menyusul selepas hospital berkenaan diiktiraf secara rasmi sebagai salah satu daripada tiga pusat bertauliah di seluruh Malaysia yang mempunyai pakar perubatan sah untuk menjalankan prosedur kardiologi berteknologi tinggi pada 10 September lalu. Katanya, kejayaan prosedur itu diketuai Pakar Perunding Kanan Kardiologi Datuk Dr Liew Houng Bang dan Pakar Kardiologi, Dr Foo Jhi Hui bersama seluruh warga Jabatan Kardiologi HQE II. “Syabas dan tahniah diucapkan kepada Datuk Dr Liew Houng Bang (Pakar Perunding Kanan Kardiolog), Dr Foo Jhi Hui (Pakar Kardiologi), serta seluruh warga Jabatan Kardiologi HQE II atas kejayaan sulung menjalankan prosedur pemasangan perentak jantung tanpa wayar (leadless pacemaker) Aveir VR daripada syarikat Abbott yang PERTAMA di Malaysia Timur! “Penghargaan istimewa dan terima kasih juga ditujukan kepada Dr Saravanan Krishinan (Pakar Perunding Kanan Kardiologi dan Elektrofisiologi) atas bimbingan dan khidmat nasihat proktor yang luar biasa sepanjang prosedur implan ini berlangsung,” kata perkongsian Facebook HQE II. Katanya, teknologi Aveir VR begitu istimewa kerana sangat kecil dengan saiz mikro yang jauh lebih kecil daripada bateri AAA dan menawarkan ketahanan bateri terbaik dalam industri. Selain itu, teknologi berkenaan juga memberi kesan invasif minimal kerana dimasukkan terus ke dalam jantung tanpa sebarang insisi (potongan) pada dada pesakit dan tanpa wayar transvenous. “Pemulihan cepat: Prosedur yang lebih selamat, mengurangkan risiko komplikasi dan memberikan kualiti hidup yang jauh lebih baik untuk pesakit,” katanya. HQE II berkata, kejayaan berimpak tinggi itu adalah hasil kolaborasi erat antara Pusat Rawatan Jantung Sabah dan pasukan Abbott Cardiac Rhythm Management, sekali gus membuka lembaran baharu bagi teknologi perubatan invasif minimal di Borneo. “Satu pencapaian yang amat membanggakan bagi seluruh pasukan elektrofisiologi kardiologi di rantau ini. Demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat di rantau Borneo, khususnya di Sabah,” katanya. – Info X