August 17, 2026
Info X Reporters
Mara Lasak 1.0 uji ketahanan warga JSJN Sabah
KOTA KINABALU: Bukan sekadar berlari sejauh 15 kilometer, warga Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah turut perlu melepasi 12 halangan sebelum menguji kemahiran menembak pistol dalam Ujian Kecergasan dan Ketahanan Fizikal (Mara Lasak 1.0) JSJN Sabah 2026. Program yang berlangsung pada 15 Ogos lalu itu menghimpunkan pegawai dan anggota JSJN dari seluruh daerah di Sabah bagi menguji tahap kecergasan, ketahanan mental, disiplin serta semangat berpasukan. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, penganjuran Mara Lasak 1.0 bukan sekadar memberi penekanan terhadap kemampuan fizikal, malah menjadi medan membentuk kekuatan mental dan kesiapsiagaan warga jabatan dalam menghadapi cabaran tugas. Menurutnya, tugas membanteras jenayah narkotik menuntut pegawai dan anggota sentiasa berada pada tahap kecergasan terbaik selain memiliki ketahanan mental tinggi bagi berdepan ancaman serta modus operandi sindiket dadah yang semakin kompleks. “Dalam kehidupan seharian, apabila kita berhadapan dengan kesukaran, ingat bagaimana kita menamatkan cabaran ini. Satu langkah, satu halangan, satu demi satu sehingga sampai ke garisan penamat. “Begitulah juga perjuangan kita memerangi dadah. Perjuangan ini mungkin panjang dan kemenangan tidak datang dengan mudah. Sindiket terus berubah, taktik mereka semakin licik dan ancaman semakin kompleks. “Namun, seperti sebuah perlumbaan, kita tidak boleh berhenti di tengah jalan. Selagi ada langkah yang mampu diteruskan, perjuangan mesti diteruskan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Ujian Kecergasan & Ketahanan Fizikal (Mara Lasak 1.0) JSJN Sabah, semalam. Mara Lasak 1.0 membabitkan tiga cabaran utama iaitu larian sejauh 15 kilometer, merentasi 12 halangan serta ujian kemahiran menembak pistol yang perlu diharungi peserta. Dalam pertandingan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Lahad Datu muncul juara, diikuti JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah sebagai naib juara, manakala BSJND Tawau menduduki tempat ketiga. Program berkenaan turut menjadi platform memperkukuh semangat kebersamaan dan kerja berpasukan dalam kalangan warga JSJN Sabah, selain memastikan setiap pegawai dan anggota sentiasa bersedia dari aspek fizikal serta mental dalam melaksanakan tugas membanteras dadah. Mara Lasak 1.0 membawa mesej bahawa perjuangan memerangi dadah memerlukan ketahanan, disiplin dan semangat yang tidak mudah menyerah selaras dengan tekad JSJN Sabah, “Perangi Dadah, Lindungi Generasi.” – Info X
August 16, 2026
Info X Reporters
Beri pertimbangan cadangan naikkan Budi Diesel kepada 500 liter sebulan – AMK Sabah
KOTA KINABALU: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah mahu kerajaan menimbangkan sebaik mungkin cadangan peningkatan kuota subsidi diesel di bawah inisiatif BUDI Diesel kepada 500 liter sebulan, khususnya di Sabah. Ketuanya, Zaidi Jatil, berkata cadangan yang dibangkitkan Junaidah Makku selaku wakil pembahas Sabah pada Kongres Nasional KEADILAN memang wajar dan disokong sepenuhnya. “Saya mengikuti penuh perbahasan beliau yang membawa suara serta realiti kehidupan rakyat Sabah. Pada pandangan kami, cadangan ini munasabah dan sewajarnya diberikan penelitian oleh YAB Perdana Menteri serta Kerajaan MADANI. “Sabah mempunyai keluasan geografi, bentuk muka bumi dan jaringan perhubungan yang berbeza berbanding kebanyakan kawasan lain di negara ini. “Masih terdapat masyarakat yang perlu menempuh perjalanan jauh untuk ke pekan, menghantar hasil pertanian, menjalankan perniagaan atau mendapatkan perkhidmatan asas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Katanya, penggunaan diesel bukan semata-mata soal pilihan tetapi menjadi keperluan oleh sebahagian rakyat untuk meneruskan kehidupan dan mencari rezeki. Tegasnya, sesuatu kadar yang dilihat mencukupi berdasarkan pengiraan di atas kertas, belum tentu mencukupi apabila berhadapan dengan realiti perjalanan di bumi Sabah. “AMK Sabah memahami dan menyokong matlamat Kerajaan MADANI untuk memastikan subsidi negara lebih bersasar, mengurangkan ketirisan serta memastikan bantuan dinikmati oleh golongan yang benar-benar layak. “Namun, subsidi bersasar juga seharusnya mengambil kira perbezaan keperluan antara wilayah, supaya dasar yang baik tidak akhirnya memberikan kesan yang berbeza kepada rakyat hanya kerana keadaan geografi mereka tidak sama. “Justeru, kami berharap cadangan kuota 500 liter sebulan ini dapat dinilai secara objektif berdasarkan data, jarak perjalanan, aktiviti ekonomi serta keperluan sebenar rakyat Sabah. “Kita tidak mahu rakyat di kawasan luar bandar terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi hanya kerana perjalanan mereka lebih jauh daripada orang lain,” katanya. Beliau berkata, Sabah tidak meminta layanan istimewa, sebaliknya hanya mahu keperluan Sabah dinilai berdasarkan realiti di negeri ini. Katanya, AMK Sabah percaya Kerajaan MADANI sentiasa terbuka mendengar pandangan dan melakukan penambahbaikan apabila sesuatu dasar memerlukan penyelarasan. “Keupayaan kerajaan mendengar suara dari bawah bukan tanda kelemahan, sebaliknya mencerminkan kematangan sebuah pentadbiran yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan. “Kami berharap suara yang dibawa melalui Kongres Nasional KEADILAN ini diberikan pertimbangan sewajarnya demi memastikan manfaat subsidi diesel benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya. – Info X
August 16, 2026
Info X Reporters
RM945,000 belum lulus, Jasnih perjelas dakwaan YS belanja besar untuk majlis malam ulang tahun
KOTA KINABALU: Dakwaan peruntukan RM945,000 bagi penganjuran malam ulang tahun Yayasan Sabah (YS) seperti didedahkan di media sosial sebelum ini belum mendapat kelulusan pihak pengurusan YS. Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Jasnih Daya, berkata setakat pengetahuannya, belum ada cadangan atau permohonan bajet bagi tujuan itu dikemukakan kepada pihak pengurusan untuk kelulusan. “Pihak Jawatankuasa Penganjur boleh mencadang dan memohon, tetapi tidak semestinya diluluskan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad. Innoprise Corporation Sdn Bhd adalah anak syarikat Yayasan Sabah. Jasnih berkata, bagi permohonan peruntukan dengan jumlah yang tinggi, kebiasaannya ia akan diteliti semula dan jumlahnya boleh dikurangkan mengikut keperluan. Langkah itu, katanya, penting bagi memastikan perbelanjaan dibuat secara berhemah dan bagi mengelakkan pembaziran. Beliau turut memberi jaminan bahawa Yayasan Sabah mempunyai mekanisme untuk mengawal perbelanjaan berlebihan. “Keutamaan kami ialah rakyat Sabah. Insya-Allah,” katanya. Jasnih turut berterima kasih kepada MAWAR Channel yang disifatkannya sebagai memberikan peringatan berhubung isu berkenaan. Hantaran beliau dibuat susulan dakwaan pelbagai pihak di media sosial yang mempersoalkan kononnya sejumlah RM945,000 dibelanjakan bagi sambutan malam ulang tahun Yayasan Sabah. – Info X
August 16, 2026
Info X Reporters
Sabah FA berdepan kelab dari Guam, India dan Bangladesh dalam aksi AFC
KOTA KINABALU: Pasukan bola sepak wanita Sabah FA bakal berdepan tiga pasukan terbaik Asia dalam aksi preliminary Juara-Juara Liga Wanita AFC (AWCL) 2026/2027 yang dijadual berlangsung di Stadium Likas, di sini, bermula Isnin (17 Ogos). Wakil Malaysia itu bakal berdepan Rovers FC dari Guam dalam aksi pertama mereka esok, disusuli Rajshahi Stars FC dari Bangladesh pada Khamis dan pasukan mewakili India, East Bengal FC pada Ahad depan. Ketua Jurulatih Sabah FA, Bobby Gonzales, mengakui cabaran pasukan bimbingannya bukan mudah, namun tetap yakin dengan kemampuan dan semangat pemain Sabah FA untuk bermain dengan baik. Beliau berkata, persiapan awal sudah dibuat untuk mengukuhkan kekuatan pasukan termasuk pengambilan enam pemain import dan perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan wanita sebelum ini. “Sudah semestinya ada banyak tekanan sebab kita tahu pasukan yang datang ke sini dari Bangladesh (Rajshahi Stars FC), West Bengal (India) dan juga Guam (Rovers FC). Kita kira pasukan yang terbaik di Asia ini. “Cuma sekarang ini kita kena tahu kekuatan dan kelemahan mereka,” katanya pada sidang media kejohanan itu yang dihadiri semua ketua jurulatih dan kapten pasukan bertanding, di sini, pada Ahad. Katanya, persediaan pasukan Sabah FA juga berjalan dengan baik dan lancar meskipun berdepan kekurangan pemain berikutan 11 orang pemain pasukan itu terbabit dalam Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor. Atas sebab itu juga, katanya Sabah FA memanfaatkan sepenuhnya enam kuota pemain import untuk kejohanan AFC kali ini, berbanding hanya empat pemain import untuk liga wanita nasional. Beliau turut mengharapkan sokongan penyokong bola sepak Sabah untuk turun menyaksikan perlawanan bertaraf antarabangsa itu yang kali kedua diadakan di Stadium Likas selepas kali pertama pada 2024. “Kita harap mereka dapat datang dan sokong pasukan kita. Bukan selalu kita dapat main di tempat sendiri macam ini, ia kira satu rezeki sebab kita dapat ‘home’ untuk kali kedua. “Kemungkinan selepas ini kita tidak akan dapat lagi, jadi kita berharap kepada semua peminat di luar sana, datang dan sokong pasukan wanita Sabah,” katanya. Sementara itu, kapten Sabah FA, Steffi Sarge Kaur, berkata selaku pemain, beliau dan rakan sepasukan sudah bersedia dari segi mental dan fizikal, selain teruja dapat bermain semula di gelanggang AFC. “Kami harap dapat memberikan yang terbaik dan menumpukan perlawanan demi perlawanan. Yang penting perlawanan pertama dulu, lepas itu kami akan fikirkan langkah seterusnya,” katanya. Beliau turut menyifatkan semua pasukan yang bertanding kali ini sama kuat dan sukar untuk menentukan siapa yang paling digeruni sebelum sepak mula berlangsung. – Info X
August 16, 2026
Info X Reporters
Lelaki maut dalam kemalangan membabitkan bas
KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah bas ketika dipercayai keluar dari jalan susur untuk membuat pusingan U di Jalan Tuaran berhampiran sebuah stesen minyak di Likas, awal pagi tadi. Dalam kejadian jam 1.25 pagi itu, mangsa warga Indonesia berusia 46 tahun mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II). Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, kemalangan membabitkan Perodua Viva dipandu mangsa dan sebuah bas dipandu lelaki berusia 34 tahun. Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang datang dari arah Inanam dipercayai keluar dari jalan susur untuk membuat pusingan U. “Ketika itu, sebuah bas sedang bergerak lurus dari arah pusat bandar raya Kota Kinabalu menuju ke Inanam sebelum berlaku perlanggaran. “Bas berkenaan melanggar bahagian sisi kiri Perodua Viva menyebabkan kenderaan itu terseret kira-kira 15 meter,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan parah dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HQE II sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kira-kira jam 3.50 pagi. “Bedah siasat akan dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik HQE I selepas waris mangsa dikesan. Polis sedang mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya. Operasi di lokasi kejadian turut dibantu pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan. – Info X
August 15, 2026
Info X Reporters
Rusdin kekal komited khidmat kepada rakyat, kestabilan kerajaan negeri – Armizan
KOTA KINABALU: Satu-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Rusdin Riman kekal menyokong kestabilan kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Memaklumkan perkara itu, Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata sokongan itu dinyatakan sendiri ADUN Paginatan itu ketika dihubunginya pada Sabtu. Katanya, beliau menghubungi Rusdin selepas pemangku Presiden KDM, Pricella Peter mengumumkan penamatan kerjasama KDM dengan GRS sebagai langkah memulihkan kekuatan parti. “Susulan pengumuman Pemangku Presiden KDM, saya berkesempatan berhubung dengan YB Datuk Rusdin Riman, ADUN Paginatan yang juga ADUN tunggal KDM. “Menurutnya, komitmen beliau adalah khidmat kepada masyarakat yang beliau wakili dan kestabilan Kerajaan Negeri untuk meneruskan agenda pembangunan untuk rakyat. “Beliau juga turut bersama dalam satu acara yang melibatkan ADUN-ADUN Kerajaan pagi tadi di Kota Kinabalu,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook pada Sabtu. Armizan menjelaskan, KDM bukan parti komponen GRS, namun selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada November tahun lalu, parti itu melalui ADUN tunggalnya menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. Terdahulu, Pricella mengumumkan keputusan KDM menarik diri daripada kerjasama GRS sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Katanya, keputusan itu dipersetujui sebulat suara Majlis Tertinggi KDM bagi membolehkan parti berkenaan bergerak mengikut kehendaknya di luar GRS. Beliau mengakui keputusan itu sesuatu yang berat, tapi perlu dilaksanakan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap KDM dan menunjukkan yang KDM mempunyai hala tuju masa depannya. “Apa yang berlaku selepas pilihan raya lalu telah menyebabkan kerosakan terhadap asas parti kita dan gerakan yang kita buat hari ini, keputusan ini, untuk menunjukkan bahawa ia dibuat bukan apabila tiba pilihan raya. “Kita perlu mengambil tindakan dan menarik semula kepercayaan daripada akar umbi supaya rakyat tidak melihat parti kita bertindak hanya pada masa piluhan raya, apabila Parlimen dibubarkan,” katanya pada sidang media selepas majlis perjumpaan tahunan KDM bagi menjelaskan hala tuju baharu parti itu, di Papar. Berikutan keputusan itu, katanya mana-mana pemimpin KDM yang memegang jawatan dalam kerajaan pimpinan GRS mungkin tertakluk kepada protokol perjawatan kerajaan, termasuk kemungkinan meletak jawatan. – Info X
August 15, 2026
Info X Reporters
KDM tamatkan kerjasama dengan GRS
PAPAR: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menarik diri daripada kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Pemangku Presidennya, Pricella Peter, berkata keputusan itu dipersetujui sebulat suara Majlis Tertinggi KDM bagi membolehkan parti berkenaan bergerak mengikut kehendaknya di luar GRS. Beliau mengakui keputusan itu sesuatu yang berat, tapi perlu dilaksanakan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap KDM dan mejunjukkan yang KDM mempunyai hala tuju masa depannya. “Apa yang berlaku selepas pilihan raya lalu telah menyebabkan kerosakan terhadap asas parti kita dan gerakan yang kita buat hari ini, keputusan ini, untuk menunjukkan bahawa ia dibuat bukan apabila tiba pilihan raya. “Kita perlu mengambil tindakan dan menarik semula kepercayaan daripada akar umbi supaya rakyat tidak melihat parti kita bertindak hanya pada masa piluhan raya, apabila Parlimen dibubarkan,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perjumpaan tahunan KDM bagi menjelaskan hala tuju baharu parti itu, di sini, pada Sabtu. Hadir sama Timbalan Presiden KDM yang juga ADUN Paginatan, Datuk Rusdin Riman; Setiausaha Agung KDM, Willie Jude Junaidi, Ahli Majlis Tertinggi KDM dan pemimpin tertinggi parti. Berikutan keputusan itu, katanya mana-mana pemimpin KDM yang memegang jawatan dalam kerajaan pimpinan GRS mungkin tertakluk kepada protokol perjawatan kerajaan, termasuk kemungkinan meletak jawatan. Pricella berkata, keputusan KDM itu termasuk kemungkinan mengadakan perbincangan dengan parti-parti tempatan lain sebagai persiapan untuk menghadapi PRU16 yang dijangka diadakan tahun depan. Katanya, KDM tidak akan bertanding secara solo pada PRU16 nanti, sebaliknya akan bergabung dengan parti tempatan lain, antaranya mungkin Parti Warisan dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR). “Mungkin Warisan dan mungkin STAR juga, tapi kita belum memutuskan sebarang keputusan kerana kita perlu mengadakan perbincangan terlebih dahulu. Tapi kemungkinan parti tempatan itu, ya,” katanya. Mengenai cadangan penubuhan blok Borneo, beliau berkata perkara itu memerlukan masa untuk dibincang sebelum keputusan dibuat dalam masa terdekat. Majlis perjumpaan dan amanat presiden itu, katanya dihadiri lebih 300 pemimpin dan ahli KDM dari 25 bahagian. Pricella turut menjelaskan ketidakhadiran seorang lagi Timbalan Presiden KDM yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Wetrom Bahanda yang katanya sibuk dengan urusan di Parlimen. – Info X
August 15, 2026
Info X Reporters
Gaduh rakan sekerja, wanita ditahan
TAWAU: Perselisihan faham antara dua rakan sekerja di Hospital Tawau bertukar kecoh apabila seorang wanita didakwa menolak dan menendang rakannya sebelum melakukan ugutan jenayah. Susulan kejadian itu, wanita berusia lingkungan 30-an berkenaan ditahan polis bagi membantu siasatan, manakala mangsa yang berusia lingkungan 20-an mengalami kesakitan pada bahagian badan. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, ketika kejadian, mangsa sedang berada di bilik rehat sebelum didatangi suspek yang dikenalinya. Katanya, suspek dipercayai meninggikan suara terhadap mangsa susulan perselisihan faham antara mereka. “Suspek kemudiannya didakwa menolak dan menendang mangsa sehingga menyebabkan mangsa mengalami kesakitan pada bahagian badan. “Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan suspek bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau. Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Rosdi turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak melulu atau menggunakan kekerasan apabila berlaku perselisihan faham. Katanya, sebarang pertikaian di tempat kerja perlu diselesaikan menerusi saluran yang betul termasuk melaporkannya kepada penyelia atau ketua masing-masing tanpa melibatkan ugutan atau kekerasan. – Info X