March 22, 2026
Info X Reporters
Ibu bersama anaknya 7 tahun mau kemalangan
SANDAKAN: Seorang ibu bersama anak perempuannya maut selepas motosikal dinaiki terbabit dalam kemalangan di Batu 23, Jalan Labuk, di sini, semalam. Kanak-kanak berusia tujuh tahun dilaporkan maut di lokasi kejadian, manakala ibunya yang berumur 28 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent, di sini. Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, motosikal terbabit dinaiki oleh tiga sekeluarga dikatakan dalam perjalanan menuju ke arah Beluran. Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal itu cuba memotong kenderaan lain dengan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Wira. Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, berkata akibat perlanggaran itu, kanak-kanak yang membonceng motosikal maut di tempat kejadian. “Penunggang motosikal dan pemandu kereta yang turut cedera menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent. “Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke unit forensik hospital yang sama untuk proses bedah siasat,” katanya. George berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati serta mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. – Info X
March 20, 2026
Info X Reporters
‘UMS tiada kaitan dengan Suara Mahasiswa UMS’
KOTA KINABALU: ‘Suara Mahasiswa UMS’ bukan entiti berdaftar di bawah universiti atau suara rasmi Universiti Malaysia Sabah (UMS). Perkara itu dijelaskan UMS melalui satu kenyataan bagi menjawab beberapa hantaran tular di media sosial oleh entiti yang menggunakan nama ‘Suara Mahasiswa UMS’, termasuk dakwaan berkaitan perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). “Sehubungan itu, UMS ingin menegaskan bahawa ‘Suara Mahasiswa UMS’ bukan merupakan entiti berdaftar di bawah universiti atau suara rasmi UMS. “Oleh yang demikian, sebarang kenyataan atau komentar yang dikemukakan oleh pihak berkenaan adalah tidak mewakili pendirian rasmi universiti,” kata kenyataan itu pada Jumaat. Dalam masa yang sama, katanya UMS memandang serius penggunaan logo universiti tanpa kebenaran oleh pihak terbabit. Jelasnya, ia satu tindakan yang tidak sah dan mengelirukan khalayak awam. “Orang ramai dinasihatkan untuk merujuk kepada saluran rasmi UMS bagi mendapatkan maklumat yang sahih serta mengelakkan sebarang kekeliruan,” katanya. – Info X
March 20, 2026
Info X Reporters
Lelaki pengsan terkunci dalam Hilux, bomba bertindak pantas
KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 37 tahun ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai terkunci di dalam kenderaan jenis Toyota Hilux berhampiran Bumi Kekal Kepayan, di sini, hari ini. Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Zainuddin Saidi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 2.49 petang. Menurutnya, seramai 11 anggota dari BBP Putatan dan Kota Kinabalu segera dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat. “Setibanya di lokasi, pihaknya mendapati mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kenderaan yang berkunci. “Pasukan bomba bertindak membuka kenderaan sebelum mengeluarkan mangsa dan menyerahkannya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut,” katanya. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.11 petang selepas keadaan disahkan selamat dan terkawal. – Info X
March 19, 2026
Info X Reporters
Kestabilan politik Sabah akan terus dikukuhkan – KM
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri kekal komited untuk memperkukuh kestabilan politik yang sedang dinikmati di Sabah ketika ini. Perkara itu ditegaskan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam perutusannya sempena sambutan Aidilfitri, di sini, pada Khamis. Katanya, kestabilan politik penting kerana ia adalah prasyarat utama kepada pembangunan dan kemakmuran negeri. “Kerajaan Negeri telah merangka hala tuju yang lebih strategik dan menyeluruh melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi memacu Sabah ke tahap kemajuan yang lebih tinggi. “SMJ 2.0 bukan sekadar pelan di atas kertas, sebaliknya ia adalah komitmen jitu untuk mentransformasikan ekonomi negeri, memperkasa modal insan dan memastikan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan,” katanya. Sehubungan itu, Ketua Menteri mengajak seluruh rakyat Sabah untuk menjadikan sambutan Aidilfitri sebagai pemangkin bagi memperbaharui tekad, mempererat perpaduan dan melipatgandakan usaha demi membina Sabah yang lebih maju dan sejahtera di bawah naungan agenda SMJ. “Sesungguhnya, Aidilfitri adalah simbol kemenangan melawan hawa nafsu, kemenangan mendidik jiwa dengan kesabaran dan keikhlasan serta platform terbaik untuk memperkukuh silaturahim sesama keluarga, jiran tetangga dan masyarakat keseluruhannya. “Di bumi Sabah yang bertuah ini, Aidilfitri diraikan dalam suasana muhibah oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama. Inilah kekuatan sebenar kita, iaitu perpaduan dalam kepelbagaian. “Nilai hormat-menghormati, toleransi dan kebersamaan yang kita warisi sekian lama harus terus dipelihara sebagai asas kestabilan dan kemajuan negeri,” katanya. – Info X
March 19, 2026
Info X Reporters
Tipu jual beli kenderaan dalam talian meningkat, rugi lebih RM14.6 juta
KOTA KINABALU: Kegiatan penipuan dalam talian khususnya membabitkan urusan jual beli kenderaan semakin membimbangkan apabila mencatatkan kerugian mencecah lebih RM14.6 juta dalam tempoh kurang tiga bulan. Bagi tempoh Januari hingga 15 Mac lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu membuka sebanyak 290 kertas siasatan berkaitan kes penipuan dengan 214 daripadanya adalah kes penipuan atas talian membabitkan kerugian RM11.12 juta. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 46 kes membabitkan penipuan pembelian e-dagang kenderaan dengan nilai kerugian RM328,888. Menurutnya, modus operandi sindiket adalah dengan menyalin iklan jualan kenderaan milik individu sebenar yang dipaparkan di media sosial seperti Facebook dan Mudah.my sebelum menawarkan harga jauh lebih murah bagi menarik minat mangsa. “Apabila mangsa berminat, suspek akan berunding harga dan mengarahkan mangsa pergi ke alamat pemilik asal untuk melihat kenderaan tersebut. “Dalam masa sama, suspek juga akan berurusan dengan pemilik sebenar dengan alasan mahu membeli dan menghantar wakil untuk melihat keadaan kenderaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, selepas mangsa berpuas hati dan bersetuju, sindiket akan meminta bayaran dibuat terlebih dahulu sebelum kenderaan diserahkan. “Namun selepas bayaran dibuat, pemilik sebenar enggan menyerahkan kenderaan kerana tidak menerima sebarang bayaran, manakala sindiket pula menghilangkan diri serta menyekat semua panggilan mangsa. “Siasatan mendapati sindiket bertindak sebagai orang tengah dan tidak pernah bersemuka dengan mangsa atau pemilik kenderaan,” katanya. Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran harga murah di media sosial serta membuat semakan terlebih dahulu terhadap pemilik kenderaan sebelum melakukan sebarang urus niaga. Dalam pada itu, orang ramai turut diingatkan supaya lebih berhati-hati dalam urusan tempahan homestay yang diiklankan secara dalam talian terutama menjelang musim cuti sekolah dan perayaan. “Orang awam perlu membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pembayaran bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan. “Kami memohon orang ramai sentiasa berwaspada terhadap penipuan scammer dalam talian,” katanya. – Info X
March 19, 2026
Info X Reporters
Sambutan Aidilfitri berskala kecil tangani cabaran ekonomi – Mustapha
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud meminta rakyat supaya memahami rasional tindakan kerajaan tidak mengadakan rumah terbuka sempena Aidilfitri ketika situasi ekonomi semakin tidak menentu ketika ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) itu berkata, ia sejajar arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kementerian dan semua jabatan serta agensi kerajaan tidak mengadakan rumah terbuka. Beliau bagaimanapun berkata, sambutan Aidilfitri berskala kecil yang tidak memerlukan perbelanjaan besar masih boleh diadakan bagi menyerikan suasana Hari Raya. Jelasnya, tindakan kerajaan itu menekankan langkah berjimat-cermat dalam perbelanjaan, selain memberi mesej kepada rakyat mengenai perlunya langkah itu dilaksanakan pada masa ini. “Apa yang penting kita kena berjimat cermat, itu saja. Pendekatan sekarang ialah berjimat cermat dan jika kita mahu berhari rayapun, kita buatlah berskala kecil dan rancang perbelanjaan dengan betul. “Kerajaan mahu supaya tiada pembaziran dan kita fokus kepada yang perlu saja. Kita sebenarnya diminta untuk tidak menganjurkan sambutan, tapi kalaupun ada hanya berskala kecil. “Arahan itu membabitkan semua agensi kerajaan dan kementerian, jadi tiada sambutan Aidilfitri dianjurkan. Kita mahu sampaikan mesej kepada rakyat bahawa kita perlu berjimat, jadi kita harap rakyat memahami tindakan itu,” katanya. Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pembelian Baju Raya kanak-kanak B40 dan miskin dari kawasan Parlimen Sepanggar, di sini, pada Khamis. Sementara itu, katanya kerajaan akan memastikan rakyat tidak menerima kesan teruk disebabkan perang di Asia Barat yang impaknya kini mula dirasai di seluruh dunia. “Apa yang penting kita jangan lupa mendoakan agar kita dapat kembali pulih daripada cabaran ekonomi yang semakin menekan sekarang ini akibat krisis yang berlaku di Asia Barat. “Kita harap situasi di kawasan itu akan semakin baik supaya kita tidak mendapat kesan berpanjangan daripada krisis peperangan di sana. “Tapi, pada masa yang sama, Kerajaan Madani akan cuba untuk memastikan keperluan asas kita mencukupi dan kita masih juga mengekalkan harga terutama petrol dan diesel, khususnya di Sabah,” katanya. Terdahulu, seramai 50 kanak-kanak golongan B40 dari dua sekolah dalam Parlimen Sepanggar dibawa membeli pakaian raya di sebuah kedai pakaian di Alam Mesra, di sini. Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, berkata program itu adalah inisiatif pihaknya dalam usaha membantu golongan kurang berkemampuan ketika membuat persiapan Aidilfitri. “Ini adalah program tahunan kita untuk membantu anak-anak golongan B40 membeli baju raya. Pada tahun ini kita pilih Sekolah Kebangsaan (SK) Gentisan dan juga SK Pengiran Siti Hafsah Karambunai. “Seramai 50 kanak-kanak yang terlibat, jadi kita harap dengan sumbangan kecil daripada Parlimen ini akan dapat menceriakan keluarga mereka menyambut Hari Raya dan memang kita di Parlimen Sepanggar amat prihatin dengan mana-mana golongan yang amat memerlukan,” katanya. – Info X
March 19, 2026
Info X Reporters
Aidilfitri wadah perkukuh perpaduan – Matbali
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah mengajak masyarakat negeri ini agar menjadikan sambutan Aidilfitri sebagai wadah memperkukuh perpaduan dan keharmonian dalam rakyat pelbagai kaum dan agama di Sabah. Beliau berkata, Aidilfitri bukan sekadar perayaan selepas sebulan menjalani ibadah puasa, tetapi juga satu kesempatan untuk mempereratkan hubungan silaturahim sesama keluarga, jiran tetangga serta rakan taulan tanpa mengira latar belakang. Dalam perutusan khas sempena Hari Raya Aidilfitri, beliau berkata semangat saling menghormati dan memahami antara satu sama lain perlu terus dipupuk agar keharmonian masyarakat dapat dikekalkan, khususnya di kawasan Sipitang yang terkenal dengan kepelbagaian budaya dan tradisi. Matbali yang juga Pengerusi Lembaga Koko Malaysia turut mengajak masyarakat mengambil kesempatan sempena Aidilfitri dengan mengunjungi sanak saudara serta sahabat handai yang sudah lama tidak ditemui, sekali gus mengeratkan kembali hubungan kekeluargaan dan persahabatan. Dalam masa yang sama, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak melupakan golongan kurang berkemampuan seperti fakir miskin, warga emas dan mereka yang memerlukan bantuan agar kegembiraan Aidilfitri dapat dirasai bersama. “Nilai keprihatinan dan sikap saling membantu adalah antara intipati penting dalam ajaran Islam serta budaya masyarakat Malaysia yang perlu terus diamalkan,” katanya. Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan orang ramai yang pulang ke kampung halaman sempena musim perayaan agar sentiasa berhati-hati di jalan raya dan mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan diri serta keluarga. “Pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, rancang perjalanan dengan teliti dan elakkan memandu dalam keadaan letih bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya. Mengakhiri perutusannya, beliau mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh rakyat khususnya warga di kawasan Parlimen Sipitang, sambil berharap sambutan Aidilfitri tahun ini akan terus mengukuhkan perpaduan serta membawa kegembiraan kepada semua. – Info X
March 19, 2026
Info X Reporters
Ong Chun Seong diburu polis bantu siasatan kes dadah
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Sabah sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berkaitan kes narkotik di daerah Penampang. Individu dikenali sebagai Ong Chun Seong, 37, itu dikehendaki berhubung kes bernombor Penampang/000243/2026 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu pihak polis. Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi talian 088-712222 atau 088-723961, atau terus kepada pegawai penyiasat Insp Mohd Ariff Jali di talian 011-33855989. Kerjasama orang ramai amat dihargai bagi membantu siasatan. – Info X Sumber Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah